Ada masalah jantung tidak boleh bersenam? Siapa cakap? Ini cara senaman untuk pesakit jantung, jom amalkan!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Senaman untuk pesakit jantung
Senaman adalah komponen yang penting dalam mengekalkan kesihatan jantung. Bagi mereka yang mengalami penyakit jantung, ia masih diperlukan.
Namun, anda perlu sedar bahawa keadaan jantung anda sudah tidak seperti orang biasa.
Oleh itu, ia memerlukan disiplin tertentu untuk kekal selamat semasa melakukan aktiviti fizikal.
Berbincang dengan doktor
Hanya doktor anda tahu keadaan anda secara terperinci. Beliau boleh mencadangkan aktiviti fizikal yang sesuai dengan keadaan semasa.
Anda mungkin mendapati lebih banyak senaman yang sesuai untuk pesakit jantung yang boleh dilakukan berbanding apa yang berada di dalam fikiran.
Kebiasaannya, aktiviti melibatkan tekanan ke atas rintangan seperti tekan tubi dan angkat berat perlu dielakkan kerana ia memberikan beban yang banyak ke atas jantung.
Kerja-kerja harian di rumah juga kadangkala boleh membuatkan anda letih. Jangan memaksa diri melakukan semua kerja di rumah sehingga berasa penat.
Sebahagian ubat-ubatan juga boleh menjejaskan tindak balas badan anda terhadap aktiviti fizikal.
Baca juga:
Panduan umum senaman untuk pesakit jantung
1. Mulakan sedikit demi sedikit
Jangan lakukan senaman dengan terlalu drastik dan berat. Berikan badan anda masa untuk mendapatkan rentaknya. Dapatkan rehat antara senaman.
2. Elakkan aktiviti fizikal di luar dalam keadaan cuaca terlalu panas, sejuk atau lembap
Kelambapan yang tinggi membuatkan badan cepat letih. Suhu terlalu panas atau sejuk boleh menganggu peredaran darah, menyebabkan sesak nafas dan sakit dada.
Dalam keadaan cuaca seperti ini, sebaiknya lakukan aktiviti dalaman seperti berjalan di pasaraya.
3. Jangan abaikan minum air
Pastikan diri anda kekal terhidrat sepanjang masa.
Habiskan sekurang-kurangnya 8 gelas sehari jika doktor tidak menetapkan sebarang had pengambilan air untuk mereka yang mempunyai masalah jantung.
4. Mulakan secara perlahan selepas berehat
Jika anda berhenti daripada senaman berkala selama beberapa hari, disebabkan sakit atau bercuti, mulakan semula senaman secara beransur-ansur.
Bermula dengan aktiviti singkat dan kurang memenatkan. Kemudian, tambah secara perlahan-lahan.
Berhati-hati semasa bersenam
Jangan lakukan sebarang aktiviti fizikal semasa demam atau tidak sihat. Keadaan itu sendiri sudah memberikan tekanan ke atas jantung.
Jika ditambah dengan aktiviti fizikal, jantung mungkin tidak mampu menampungnya.
Semasa melakukan apa-apa aktiviti, berhenti dan rehat jika:
- Terlalu penat dan sesak nafas.
- Pening kepala.
- Tidak selesa pada dada, leher, rahang atau bahu.
- Rasa lemah badan.
Jika masih tidak hilang selepas berhenti dan berehat, dapatkan bantuan perubatan segera.
[embed-health-tool-heart-rate]