
Nak Kulit Lebih Sihat Dan Cantik? Kita Kena Kenali Organ Ini Dengan Lebih Dalam!
Kulit sihat dan cantik merupakan perkara yang diidam-idamkan oleh ramai wanita. Pipi yang gebu, dahi licin dan kulit yang ‘glowing’ adalah antara definisi kesihatan kulit pada masa kini.

Kulit merupakan organ yang paling besar dalam badan manusia. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu fungsi kulit yang sebenar dan peranannya terhadap kesihatan manusia.
Seperti yang ramai serba maklum, kulit yang ‘glowing’ merupakan tanda kulit yang sihat. Namun, ada banyak lagi perkara berkenaan organ ini yang mungkin anda tidak tahu.
Dalam artikel ini, kami akan membincangkan apakah maksud sebenar kulit sihat dan cantik, jenis-jenisnya serta penyakit kulit yang lazim berlaku kepada rakyat Malaysia.
4 Lapisan utama kulit
Kulit kita terdiri daripada beberapa lapisan utama iaitu:
Epidermis: Epidermis merupakan lapisan kulit yang paling luar. Lapisan ini amat nipis namun ketebalannya berbeza-beza mengikut kawasan badan. Contohnya, lapisan epidermis lebih tebal pada kawasan seperti tapak tangan dan tapak kaki berbanding kawasan lain pada badan kita.
Dermis: Di bawah lapisan epidermis, terletaknya lapisan yang lebih tebal iatu lapisan dermis. Pada lapisan inilah terletaknya semua saraf, salur darah, dan kelenjar peluh.
Hipodermis: Lapisan ini merupakan lapisan kulit yang paling dalam. Ia mempunyai fungsi sebagai tempat simpanan lemak untuk tujuan insulasi. Lapisan ini menggabungkan kulit dengan otot dan juga tulang manusia.
Apakah fungsi kulit?
Kulit merupakan organ yang mempunyai pelbagai fungsi penting. Antaranya ialah:
- Bertindak sebagai perisai pertama yang melindungi manusia daripada patogen seperti bakteria dan virus.
- Melindungi badan daripada trauma dan menyerap hentakan.
- Melakukan regulasi suhu badan. Contohnya, jika badan terlalu panas, kulit akan merembeskan peluh untuk menurunkan suhu badan.
- Melindungi diri daripada sinaran UV yang berbahaya.
- Deria yang membantu kita merasa perbezaan suhu, tekstur dan lain-lain.
- Membuat vitamin D yang penting untuk kekuatan tulang.
Maksud kulit yang sihat dan cantik

Kulit yang sihat dan cantik merangkumi pelbagai perkara: Contohnya nutrisi, penjagaan muka, hidrasi dan juga tahap kesihatan individu.
Secara amnya, anda dikatakan mempunyai kulit yang sihat dan cantik jika:
- Kulit anda lembut.
- Bebas jerawat.
- Tidak kering atau berkuping.
- Elastik. Apabila ditekan atau dipicit, ia mudah kembali ke bentuk asal.
- Tona wajah sekata.
- Hangat pada sentuhan.
Namun, masih ada banyak aspek yang perlu diambil kira apabila bercakap mengenai kesihatan kulit. Ini termasuklah jenis kulit dan kondisi kulit yang anda alami.
Jenis kulit
Ada lima jenis kulit yang anda perlu tahu:
1. Kulit berminyak
Seperti namanya, kulit berminyak bermaksud kulit yang mempunyai kelenjar minyak yang lebih aktif daripada biasa.
Mereka yang mempunyai kulit jenis ini selalunya mempunyai pori yang lebih besar. Oleh sebab itu, kulit mereka mudah dinaiki jerawat dan blackhead.
2. Kulit kering
Individu yang mempunyai kulit yang kering selalunya akan nampak tidak bermaya.
Salah satu sebab kulit mereka nampak kusam ialah disebabkan oleh sel-sel kulit mati yang berkumpul pada permukaan kulit.
Selain itu, mereka yang mempunyai kulit kering selalunya tidak mempunyai pori sebanyak individu dengan kulit berminyak.
Mereka juga lebih mudah mengalami iritasi disebabkan kekeringan yang dialami.
3. Kulit kombinasi
Kebanyakan ahli dermatologi akan menggunakan terma kulit kombinasi untuk menjelaskan mereka yang mempunyai keadaan kulit yang tidak sekata.
Sebagai contoh, kawasan sekitar hidung dan dahi mereka berminyak, namun bahagian pipi pula kering.
Selain itu, ada juga dikatakan mempunyai kulit jenis kombinasi jika wajah anda berminyak ketika cuaca panas dan kering ketika hujan.
4. Kulit sensitif
Jika anda mempunyai kulit sensitif, itu bermaksud anda lebih terdedah kepada inflamasi.
Mereka dengan kulit yang sensitif perlu menggunakan produk yang lebih lembut pada wajah. Jika tidak, kulit akan bertukar kemerah-merahan akibat iritasi.
5. Kulit normal atau sihat
Kulit yang normal mungkin berbeza mengikut individu. Namun, secara amnya, kulit yang normal selalunya lebih mudah bertoleransi terhadap sebarang perubahan pada permukaan kulit.
Kondisi kulit yang lazim
Kulit manusia akan bertindak balas terhadap perubahan dalaman dan luaran. Perubahan ini boleh mencetuskan beberapa kondisi atau penyakit kulit seperti:
1. Jerawat

Jerawat merupakan satu kondisi yang lazim dalam kalangan remaja, namun ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira umur.
Jerawat berlaku apabila folikel rambut tersumbat dengan minyak ataupun sel kulit mati.
Apabila anda mengalami jerawat, anda mungkin juga akan mempunyai masalah:
- Whiteheads.
- Blackheads.
- Biji-biji kecil berwarna merah yang dikenali sebagai papules.
- Jerawat besar yang menyakitkan, juga dikenali sebagai nodules.
Jika anda mempunyai jerawat yang teruk, pastikan anda berjumpa dengan doktor kulit secepat mungkin.
Mereka boleh bantu anda untuk dapatkan rawatan yang sesuai dengan masalah anda.
2. Psoriasis
Psoriasis merupakan masalah kulit yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
- Kulit berkuping yang kemerah-merahan.
- Kuping ini selalunya berwarna perak.
- Kawasan kulit yang terjejas selalunya pada bahagian belakang badan, siku dan juga lutut.
Hingga hari ini, masih belum ada rawatan yang boleh menyembuhkan psoriasis. Namun, ada rawatan yang boleh dilakukan untuk melegakan simptom yang dialami pesakit.
3. Ekzema dan Dermatitis
Ekzema yang paling lazim dikenali sebagai ekzema atopik, ataupun atopic dermatitis. Kondisi ini mempunyai ciri-ciri seperti:
- Rasa gatal.
- Kulit mengelupas.
- Kulit kering.
- Kulit yang kemerah-merahan.
Ekzema selalunya menyerang kawasan yang berbeza pada tubuh badan manusia termasuklah pada siku, lutut, tangan, leher, pipi dan juga kulit kepala.
Simptom yang dialami selalunya dapat dikurangkan dengan rawatan yang bersesuaian. Namun, mereka yang mempunyai ekzema selalunya terpaksa hidup dengan kondisi ini seumur hidup.
4. Jangkitan fungi, bakteria dan virus
Kadangkala, jangkitan oleh fungi, bakteria dan virus juga boleh membuatkan kulit kita jadi tidak sihat. Sebagai contoh:
- Cold sores akibat virus herpes simplex.
Untuk pengetahuan anda, cold sores ini berbentuk ketulan pada sekitar bibir.
Mereka yang mempunyai cold sores selalunya akan rasa pedih dan gatal di sekitar kawasan mulut. Dengan bantuan krim anti viral, luka ini boleh disembuhkan dalam masa 7 hingga 10 hari.
- Kurap atau ringworm
Kurap selalunya berlaku disebabkan jangkitan fungi. Ia berbentuk bulat dan berwarna merah. Namun, kurap juga kadangkala nampak seperti ruam yang dikelilingi oleh sisik berwarna putih.
Lazimnya, kurap akan berlaku pada kawasan tangan dan kaki, namun ia boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan. Penyakit ini boleh dirawat menggunakan krim anti fungi.
- Cellulitis
Cellulitis merupakan sejenis jangkitan bakteria yang menjangkiti kulit. Selalunya, ia berlaku pada tangan, tapak kaki atau pada kawasan betis.
Tanda cellulitis termasuklah kulit yang membengkak dan kemerah-merahan. Ia juga rasa sakit dan panas jika dipegang.
Selain itu, pesakit juga akan alami kesukaran untuk bergerak dan akan diserang demam panas.
- Ketuat
Ketuat merupakan sesuatu yang amat lazim berlaku. Ketulan kecil pada permukaan kulit ini boleh naik pada mana-mana bahagian badan anda.
Ketuat merupakan satu kondisi yang tidak berbahaya dan akan hilang begitu sahaja walaupun tanpa sebarang rawatan.
Namun, jika ia menyebabkan anda rasa sakit, anda boleh berjumpa dengan doktor untuk membuang ketuat tersebut.
5. Penuaan
Kulit yang alami penuaan selalunya akan mengalami:
- Bintik penuaan.
- Kulit kering.
- Kedutan.
- Kulit kasar.
- Kulit mengendur.
Apabila umur kita semakin bertambah, kulit akan kehilangan keanjalannya. Namun, jika anda mempunyai rutin skincare yang baik, anda boleh memperlahankan proses penuaan.
Penjagaan wajah untuk kulit sihat dan cantik

Cara yang terbaik untuk menjaga kulit wajah ialah:
- Makan makanan yang sihat.
- Jangan merokok.
- Lindungi kulit daripada sinaran matahari.
- Gunakan produk kecantikan yang tidak kasar pada kulit.
- Minum air dengan mencukupi.
