brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Nak Diet Tapi Tak Tahu Apa Makanan Rendah Kalori? Ada 6 Pilihan Untuk Anda

Nak makan lebih banyak tanpa rasa terlalu bersalah? Makanan rendah kalori sering menjadi pilihan bagi mereka yang mahu mengawal pengambilan kalori harian. Namun, adakah semua makanan rendah kalori benar-benar baik untuk kesihatan? Jawapannya bergantung kepada jenis makanan, kandungan nutrisi dan cara ia diambil. Makanan yang rendah kalori tetapi kurang nutrisi tidak semestinya pilihan yang lebih baik. Sebaliknya, makanan yang kaya dengan serat, vitamin, mineral dan protein boleh membantu memberikan rasa kenyang serta menyokong keperluan tubuh.

Nak Diet Tapi Tak Tahu Apa Makanan Rendah Kalori? Ada 6 Pilihan Untuk Anda

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

Apa itu makanan rendah kalori?

Secara umum, makanan rendah kalori ialah makanan yang memberikan jumlah tenaga yang lebih rendah berbanding makanan lain dalam saiz hidangan yang sama.

Walaupun kalori penting untuk membekalkan tenaga kepada tubuh, keperluan setiap individu adalah berbeza berdasarkan umur, jantina, saiz badan dan tahap aktiviti fizikal.

Anda juga perlu tahu, dengan mengambil terlalu banyak kalori kosong boleh menyebabkan kenaikan berat badan dan meningkatkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan kanser.

Sebaliknya, makanan yang kaya nutrisi menawarkan lebih banyak nilai pemakanan dan boleh membantu meningkatkan kesihatan.

Makanan untuk diet tetapi kaya nutrisi membantu anda memperoleh nutrisi tanpa kalori berlebihan, jadi makanan ini membantu memenuhi keperluan pemakanan anda sambil menyokong berat badan yang sihat.

Kenapa makanan rendah kalori boleh membantu kesihatan?

Makanan rendah kalori yang kaya dengan nutrisi boleh membantu seseorang membina corak pemakanan yang lebih seimbang.

Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah makanan rendah kalori dan kaya nutrisi kerana ia penuh dengan vitamin, mineral dan serat yang penting,

Hal ini kerana, mereka secara semula jadi rendah lemak dan tidak mengandungi kolesterol, menjadikannya pilihan yang baik untuk kesihatan jantung.

Tambahan pula, ia kaya dengan serat, yang membantu penghadaman, mengawal paras gula dalam darah, dan boleh menurunkan kolesterol.

Buah-buahan dan sayur-sayuran juga kaya dengan fitokimia, sebatian semula jadi seperti beta-karotena, lutein dan likopen.

Fitokimia dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit kronik termasuk penyakit jantung, diabetes, dan beberapa jenis kanser.

Protein adalah nutrien penting yang badan anda perlukan untuk berfungsi dengan baik.

Ia penting untuk membina dan mengekalkan otot dan menyokong kulit sihat. Protein memainkan peranan penting dalam membuat anda rasa kenyang, yang boleh membantu dalam pengurusan berat badan.

Daging tanpa lemak dan ayam adalah sumber protein yang bagus kerana mengandungi vitamin seperti vitamin B dan mineral termasuk zat besi dan zink.

Makanan laut turut adalah pilihan lain yang berkhasiat, rendah kalori dan tinggi protein.

6 Makanan rendah kalori untuk hari-hari anda! 

1. Sayur-sayuran hijau

Bayam, sawi, brokoli dan salad antara pilihan yang boleh ditambah ke dalam hidangan harian.

Selain mempunyai kandungan kalori yang rendah, sayur-sayuran ini membekalkan pelbagai vitamin, mineral dan serat.

Cuba tambah sayur rendah kalori ini ke dalam nasi, mi, sup atau hidangan utama supaya pinggan lebih seimbang.

2. Timun

makanan rendah kalori
Timun, pilihan sayuran rendah kalori.

Timun mempunyai kandungan air yang tinggi dan boleh menjadi pilihan snek yang menyegarkan. Ia boleh dimakan begitu sahaja atau dijadikan salad.

Timun bersaiz sederhana mengandungi 15 kalori.

Jadi, anda perlu berhati-hati dengan sos yang dipilih kerana kandungan kalori dan gula tersebut boleh meningkat.

3. Tomato, makanan rendah kalori untuk diet

Tomato bukan sahaja mengandungi 24 kalori, malah membekalkan nutrisi seperti vitamin C kepada tubuh. 

Ia mudah dimasukkan ke dalam sandwic, salad, telur atau dimakan sebagai sebahagian daripada hidangan utama.

Sebab itulah sayuran ini sering dijadikan pilihan dalam diet!

4. Buah-buahan

Buah seperti tembikai, oren, epal dan strawberi boleh menjadi pilihan apabila teringin sesuatu yang manis.

Walaupun mengandungi gula semula jadi, buah turut membekalkan serat, vitamin, mineral dan air.

Lebih baik makan buah begitu saja berbanding minum jus buah yang mempunyai serat lebih rendah.

5. Dada ayam

Dada ayam antara pilihan popular makanan untuk diet kerana boleh membantu dalam penurunan berat badan. 

Kalori yang sedikit di dalam dada ayam menjadikan anda mudah untuk mengawal bilangan kalori dan mengandungi protein tinggi yang membantu mengekalkan otot dan meningkatkan rasa kenyang.

6. Tuna, makanan rendah kalori untuk diet

Selain rendah kalori dan tinggi protein, tuna dipercayai menyokong kekuatan tulang dan mengurangkan risiko diabetes.

Hal ini kerana, tuna adalah sumber vitamin D yang baik, di mana ia penting dalam penyerapan kalsium dan kesihatan tulang.

Protein berkualiti tinggi dan asid lemak omega-3 dalam tuna dapat membantu mengurangkan risiko diabetes jenis 2.

Kesimpulan

Makanan rendah kalori boleh menjadi sebahagian daripada corak pemakanan yang sihat untuk anda amalkan.

Pilih makanan yang kaya dengan nutrisi, serat dan protein, pelbagaikan jenis makanan serta kawal saiz hidangan mengikut keperluan.

Hal ini kerana, pemakanan yang sihat bukan tentang makan paling sedikit tetapi tentang memberikan tubuh nutrisi yang diperlukan dengan cara yang boleh dikekalkan untuk jangka panjang.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Norhanan Abdul Latip · Disemak pada 6 jam lalu