Siapa yang tidak kenal dengan organ yang dikenali dengan nama jantung?
Buat anda yang mungkin kurang arif tentangnya, jantung manusia adalah satu organ penting yang berfungsi mengepam darah dalam tubuh badan kita.
Jika organ ini berhenti mengepam darah di dalam tubuh badan, maka seseorang itu akan mati.
Apa yang membimbangkan, sebab nombor satu kematian di negara kita iaitu Malaysia dan juga di seluruh dunia adalah berkaitan dengan masalah organ ini.
Sebenarnya, terdapat banyak perkara yang mungkin anda tidak tahu mengenai organ yang sangat penting ini.
Ingin tahu fakta menarik tentang jantung manusia? Sila teruskan membaca artikel ini dengan lebih lanjut!
1. Purata saiznya ialah segenggam penumbuk
Cuba genggam tangan anda membentuk seperti penumbuk.
Kalau anda ingin tahu, itulah anggaran saiz jantung manusia.
Walaupun ia adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan saiz tubuh badan keseluruhannya, ia mampu mengepam darah ke seluruh badan dengan otot yang sangat kuat dan tahan lama.
2. Ia berdegup lebih 85,000 kali dalam masa sehari
Kadar degupan bagi orang normal ialah antara 60 hingga 90 degupan seminit.
Jika didarabkan dengan 24 jam, ia bersamaan 86,400 hingga 129,600 degupan dalam masa sehari.
Apa yang lebih menarik, organ ini terus berdegup tanpa henti.
Jika ia terhenti walaupun beberapa minit, anda boleh pitam kerana darah tidak dapat sampai ke otak.
3. Ia masih boleh berdegup walaupun dikeluarkan dari badan
Degupan organ ini dikawal oleh sistem konduksi yang menghasilkan aliran elektrik dengan sendiri untuk merangsang otot-otot jantung mengecut dan mengendur.
Walaupun dikeluarkan dari badan, aliran eletrik tersebut masih boleh dihasilkan sendiri.
Apa yang lebih menarik adalah organ ini akan masih berdegup!
Fakta yang sangat mengagumkan bukan?
4. Punca kematian nombor satu di dunia ialah penyakit jantung
Keadaan kesihatan yang disebut sebagai penyakit jantung iskemik (IHD) mengungguli tangga pertama di peringkat global dan juga Malaysia.
Ia berlaku disebabkan salur darah koronari yang membekalkan darah ke sel-sel jantung tersumbat menyebabkan darah dan oksigen tidak sampai ke sel tersebut sehingga menjejaskan fungsi organ ini.
Dalam sesetengah kes, degupan boleh terhenti dan pesakit meninggal dunia.
5. Sel jantung tidak boleh berkembang biak
Berbeza dengan sel lain yang boleh berkembang biak dan menggantikan sel yang rosak, sel organ ini tidak mempunyai kebolehan tersebut.
Ini menjadikan jantung manusia sangat berharga.
Sebagai contoh, apabila kulit anda terluka, badan akan memberi isyarat kepada sel kulit untuk membentuk sel baru bagi menggantikan sel yang telah mati (luka).
Selepas beberapa hari, luka tersebut akan tercantum semula.
Jika berlaku kecederaan pada organ ini, tiada sel baru akan dihasilkan tetapi hanya akan membentuk parut.
Jadi, sila pelihara organ paling penting ini untuk memastikan ia kekal sihat, kuat dan cergas agar mampu mengepam darah ke dalam tubuh badan kita setiap masa.
Keliru dengan kadar degupan sasaran organ ini yang paling ideal?
Jom kira kadar degupan sasaran anda di Kalkulator Kadar Jantung Sasaran kami!
[embed-health-tool-heart-rate]