backup og meta

Bahaya Pil Perancang Boleh Sebabkan Darah Beku? Orang Perempuan, Hati-hati!

Bahaya Pil Perancang Boleh Sebabkan Darah Beku? Orang Perempuan, Hati-hati!

Ada yang mengatakan pengambilan pil perancang keluarga boleh menyebabkan wujudnya risiko kesihatan seperti embolisme pulmonari. Adakah ia benar?

Bahayakah pil perancang keluarga?

Dikatakan kombinasi pil kawalan kelahiran yang mengandungi hormon progestin drospirenone, boleh meningkatkan risiko untuk mengalami masalah embolisme pulmonari atau turut dikenali sebagai pembekuan darah di paru-paru.

Biasanya drospirenone akan digabungkan dengan etinil estradiol dan levomefolate dalam penghasilan pil perancang keluarga.

Di pasaran pada masa kini, terdapat pelbagai jenis kaedah kawalan kelahiran yang boleh menjadi pilihan dengan kebaikan dan keburukan yang tersendiri.

Dalam memilih kaedah perancangan keluarga yang betul, umumnya, tidak terdapat kaedah tepat untuk semua individu. 

Namun, bantuan dan nasihat daripada doktor pastinya akan dapat membantu mencari kaedah yang bersesuaian dengan keperluan dan amalan gaya kehidupan anda.

Apakah yang dimaksudkan dengan embolisme pulmonari?

Pastinya ramai yang tidak mengetahui apa yang dikatakan dengan embolisme pulmonari, kan?

Ia merupakan keadaan di mana berlaku pembekuan darah di salah satu arteri pada paru-paru. Selalunya ia disebabkan oleh trombosis urat dalam (deep vein thrombosis, DVT). 

pil perancang keluarga

DVT adalah keadaan serius yang berlaku ketika gumpalan darah terbentuk pada urat jauh dalam tubuh (biasanya di kaki) dan bergerak ke paru-paru. 

Apabila situasi tersebut terjadi, masalah pembekuan darah pada paru-paru boleh menyebabkan:

  • Sekatan aliran darah ke paru-paru
  • Penurunan tahap oksigen dalam darah
  • Menjejaskan organ dalam tubuh yang lain

Adakah embolisme pulmonari keadaan yang berbahaya?

YA, ini kerana jika individu yang mengalami keadaan tersebut tidak menerima rawatan lebih awal dan dibiarkan berlanjutan, ia boleh mengancam nyawa.

Tetapi bagaimana keadaan ini boleh mempunyai kaitan dengan pengambilan pil perancang? 

Pil perancang keluarga & kesan pembekuan darah

Jika anda sedang menggunakan pil kawalan kelahiran, usah bimbang. Ini kerana tidak semua jenis pil boleh meningkatkan risiko untuk masalah embolisme pulmonari.

Hanya pil yang mengandungi kombinasi hormon drospirenone sahaja yang berisiko tinggi untuk mewujudkan masalah kesihatan ini. 

Seperkara yang perlu difahami adalah masalah pembekuan darah pada paru-paru ini merupakan kesan sampingan jarang untuk berlaku. 

Walau bagaimanapun, terdapat faktor risiko lain pada individu tertentu yang mungkin akan meletakkan seseorang itu lebih terdedah untuk mengalaminya.

Berdasarkan pengumuman keselamatan daripada U.S Food and Drug Administration (FDA) mengatakan, risiko pembekuan darah ini lebih tinggi ketika menggunakan pil perancang keluarga.

Namun dipercayai, risiko untuk seseorang wanita mengalami embolisme pulmonari sepanjang kehamilan dan ketika proses kelahiran adalah lebih tinggi berbanding semasa pengambilan pil pencegah kehamilan tersebut. 

Faktor risiko lain

Pengambilan pil kawalan kelahiran dengan kandungan drospirenone bukanlah satu-satunya cara yang boleh meningkatkan risiko kepada masalah pembekuan darah pada paru-paru ini.

Terdapat juga penyebab lain yang boleh meningkatkan risiko seseorang individu untuk mengalaminya, termasuklah:

  • Sejarah keluarga dengan embolisme pulmonari atau pembekuan darah vena
  • Mengalami barah, terutamanya paru-paru, ovari atau pankreas
  • Pernah terkena serangan jantung atau strok
  • Patah kaki atau pinggul
  • Keadaan hypercoagulable atau gangguan pembekuan darah genetik
  • Mempunyai tabiat merokok
  • Mengambil estrogen atau testosteron
  • Kehamilan
  • Mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif
  • Pernah mengalami masalah pembekuan darah sebelum ini
  • Menjalani prosedur pembedahan besar
  • Tempoh tidak aktif yang lama, seperti bed rest 
  • Mempunyai masalah obesiti
  • Berusia lebih 35 tahun dan merokok
  • Berusia lebih 60 tahun

pil perancang keluarga

Sekiranya anda mempunyai faktor risiko di atas, berbincanglah dengan doktor sebelum pengambilan sebarang pil perancang keluarga yang mengandungi kombinasi drospirenone.

Bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas, anda disarankan untuk memilih menggunakan alat kontraseptif tanpa penggunaan hormon. 

Mengenal pasti simptom embolisme pulmonari

Anda juga harus berjumpa doktor sekiranya mengalami keadaan seperti:

  • Pengsan, pening atau terasa kepala seakan berpusing
  • Sakit kepala atau kesakitan yang semakin teruk
  • Masalah mata seperti penglihatan kabur atau berganda
  • Kahak berdarah
  • Demam
  • Perubahan warna kulit atau berkeringat (cyanosis)
  • Penyakit kuning atau jaundis
  • Kesakitan pada perut

Bukan semua simptom di atas berkaitan dengan embolisme pulmonari. 

Pun begitu, gejala yang dinyatakan adalah kesan sampingan yang boleh terjadi daripada pengambilan pil pencegah kehamilan.

Anda juga berkemungkinan untuk mengalami simptom lain yang dinyatakan kesan tindak balas tubuh kepada kombinasi hormon dalam pil kontraseptif tersebut. 

Lakukan pemeriksaan doktor

Masalah pembekuan darah pada paru-paru boleh mempunyai gejala yang berbeza. Ia bergantung kepada: 

  • Saiz darah beku/ gumpalan darah
  • Jumlah bahagian paru-paru yang terjejas
  • Sama ada anda mempunyai masalah perubatan lain seperti penyakit jantung atau paru-paru

Anda perlu melakukan rawatan perubatan segera jika mengalami gejala seperti berikut ketika pengambilan pil kontraseptif dengan gabungan hormon:

pil perancang keluarga

Perhatian!

Mendapatkan rawatan awal adalah cara terbaik untuk bertahan dengan masalah embolisme pulmonari.

Jadi jangan berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan jika rasa ada yang tidak kena dengan diri anda. 

Tindakan tersebut mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda.

Pemilihan pil perancang keluarga

Sebelum memutuskan untuk mengambil sebarang kaedah kontraseptif, berbincanglah dengan doktor untuk mengetahui pilihan yang terbaik buat anda. 

Ia boleh membantu anda untuk mengenal pasti sebarang faedah atau risiko berkaitan dengan pil pencegah kehamilan yang mungkin menjadi pilihan anda, sekali gus mengelakkan risiko untuk mengalami embolisme pulmonari.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Pulmonary embolism in a healthy woman using the oral contraceptives containing desogestrel. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5364109/. Accessed on Jan 5, 2021. 

Consumer Health Info: Hormonal Birth Control and Blood Clot Risk. https://nwhn.org/hormonal-birth-control-blood-clot-risk/. Accessed on Jan 5, 2021. 

Hormonal Birth Control: Risk of Blood Clots. https://www.uofmhealth.org/health-library/tw9278. Accessed on Jan 5, 2021. 

Birth Control Methods. https://www.stoptheclot.org/about-clots/webinar_contra/birth_control_clots/. Accessed on Jan 5, 2021. 

What To Know About Birth Control and Blood Clots. https://health.clevelandclinic.org/yes-your-birth-control-could-make-you-more-likely-to-have-a-blood-clot/. Accessed on Jan 5, 2021. 

FDA Drug Safety Communication: Updated information about the risk of blood clots in women taking birth control pills containing drospirenone. https://www.fda.gov/drugs/drug-safety-and-availability/fda-drug-safety-communication-updated-information-about-risk-blood-clots-women-taking-birth-control. Accessed on Jan 5, 2021. 

Versi Terbaru

14/08/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Jangan Ingat Perokok Saja Yang Kena Masalah Pernafasan COPD, Yang Tak Merokok Juga Berisiko!

Apa Itu Suntikan Perancang Keluarga? Ini Maklumat Patut Anda Tahu


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 14/08/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan