
Mutakhir ini, penularan virus Influenza di Malaysia berada di tahap yang sangat membimbangkan. Influenza (flu) merupakan sejenis virus yang menyerang sistem pernafasan seseorang. Penyakit ini akan menimbulkan gejala seperti demam, batuk, pening kepala, sakit tekak, sakit kepala dan hidung berair.
Flu adalah berbeza dengan selsema biasa. Ini kerana virus ini akan menyerang secara tiba-tiba dan mempunyai mudarat yang lebih membimbangkan. Lebih menakutkan, penyakit ini boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan kadar segera. Selain pengambilan ubat-ubatan, pengambilan vaksin merupakan cara yang paling terbaik untuk mencegah virus ini daripada hadir dalam kehidupan anda.
Penularan virus ini di Malaysia
Terdapat dua kumpulan utama virus ini iaitu virus Influenza A dan Influenza B serta satu kumpulan yang kurang menjejaskan manusia iaitu Influenza C. Antara strain virus influenza yang kini kerap menjangkiti badan manusia adalah H1NI dan H3N2 daripada kumpulan virus Influenza A. Bagi kumpulan virus Influenza B pula, contoh virus yang kain menular adalah Yamagata dan Victoria.
Di Malaysia, influenza sangat mudah merebak disebabkan iklim yang sesuai untuk penularannya iaitu iklim tropika. Kes yang paling kerap disahkan dalam negara adalah berkaitan dengan Influenza A di mana 22.3% berpunca daripada H1NI dan 14.7 berpunca daripada H3N2.
Apakah langkah terbaik mengatasi virus ini?
Datuk Dr Christopher Lee ada menyatakan dalam ucapannya ketika majlis pelancaran vaksin terbaharu berasaskan sel kultur di Kuala Lumpur, formulasi vaksin influenza perlu dikaji semula dan dikemaskini setiap tahun demi mengikuti perkembangan evolusi virus influenza. Dalam pada itu, beliau turut menekankan tentang kepentingan pengambilan vaksin Influenza bagi menjamin perlindungan yang lebih baik.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pakar Perunding Unit Berjangkit dan Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, menyatakan tentang teknologi terkini penghasilan vaksin berasaskan sel kultur merupakan langkah terbaik bagi mencegah penularan virus Influenza. Ini kerana teknologi kultur sel bukan lagi sesuatu yang baharu dan sudah terbukti keberkesannya dalam dunia perubatan menerusi penggunaanya terhadap virus-virus lain.
Adakah vaksin ini mujarab dan selamat untuk digunakan?
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), vaksin Influenza berasaskan sel kultur dapat menyingkirkan adaptasi telur yang berlaku dalam vaksin Influenza berasaskan telur. Keadaan ini kemudiannya akan menghasilkan vaksin yang mengandungi virus yang lebih mirip kepada virus Influenza yang sedang tersebar sekaligus meningkatkan tahap keberkesanan vaksin.
Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Runding Pediatrik dan Neonatologi, Hospital Pakar KPJ Damansara dan Mantan Presiden Persatuan Islam Malaysia (IMAM) turut menyokong penciptaan vaksin terbaharu ini. Beliau dalam ucapannya ketika majlis pelancaran vaksin terbaharu berasaskan sel kultur di Kuala Lumpur menyatakan bahawa pembiakan virus Iinfluenza dalam sel kultur tidak bergantung kepada bekalan telur. Ini membolehkan mereka yang alah kepada telur mendapatkan vaksin ini dengan selamat.
Menurut beliau lagi, daripada kajian yang sedia ada dan terbitan daripada FDA (US Food & Drug Administration), menunjukkan bahawa vaksin ini lebih berkesan dan kurang kesan sampingan jika dibandingkan dengan vaksin yang sedia ada. Dan juga tiada terdapat sel-sel unsur haiwan di dalam vaksin ini kerana telah melalui beberapa proses saringan dan penyucian yang rapi dan teliti.
Vaksin SKYCellflu Qudrivalent
Vaksin yang dihasilkan oleh syarikat inovasi kesihatan global, AJ Biologics ini merupakan virus yang terbukti keberkesannya. Menurut ujian klinikal yang telah dijalankan, vaksin ini memaparkan tahap keimunogenan yang baik terhadap kempat-empat strain Influenza. Ujian ini juga menunjukkan kadar seroperlindungan yang melebihi 90% untuk kanak-kanak dan remaja manakala bagi individu dewasa dan warga tua pula, kadar seroperlindungan pula melebihi 95%.
Selain sudah terbukti keberkesannya, vaksin ini berpotensi memberi tahap perlindungan yang lebih tinggi daripada vaksin-vaksin yang lain. Dalam pada itu lagi, vaksin ini juga dihasilkan tanpa menggunakan pengawet dan antibiotik. Ini membuatkan vaksin ini tulen dan selamat untuk digunakan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.