backup og meta

Alamak! Pakar Kata, Orang Rendah Lebih Berisiko Untuk Dapat Diabetes! Ini Sebabnya

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 28/06/2021

    Alamak! Pakar Kata, Orang Rendah Lebih Berisiko Untuk Dapat Diabetes! Ini Sebabnya

    Adakah ketinggian boleh mempengaruhi tahap kesihatan seseorang? Contohnya, ada yang kata, orang pendek atau rendah lebih mudah untuk dapat diabetes berbanding orang yang tinggi.

    Mengapa orang rendah mempunyai risiko diabetes yang lebih tinggi?

    Orang pendek lebih berisiko untuk dapat diabetes

    Mungkin kedengaran agak pelik atau tidak berasas, tetapi ada kajian yang menyatakan hal ini.

    Para penyelidik menyatakan, semakin tinggi seseorang itu, maka semakin kurang risikonya untuk mendapat diabetes.

    Ini adalah berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh penyelidik-penyelidik di German Institute of Human Nutrition Potsdam-Rehbruecke.

    Para penyelidik melaporkan bahawa risiko diabetes jenis 2 menurun sebanyak 41% untuk lelaki dan 33% untuk wanita bagi setiap 10 sentimeter ketinggian tambahan.

    Secara khususnya, individu dengan kaki terpanjang mempunyai risiko diabetes paling rendah, terutamanya dalam kalangan lelaki.

    Mengapa faktor ketinggian seperti orang pendek mempengaruhi risiko diabetes?

    orang pendek

    Kajian ini bukanlah kajian pertama yang dilaksanakan untuk melihat hubungan antara ketinggian dan juga risiko diabetes.

    Namun, kajian yang dilakukan ini adalah lebih terperinci dengan melihat kepada risiko yang berkaitan dengan komponen ketinggian seseorang.

    Contohnya seperti kepanjangan kaki dan juga ketinggian ketika duduk.

    Menurut penyelidik, Dr. Nabil Adam, tubuh dan kaki yang lebih pendek mungkin disebabkan oleh kurangnya penyerapan atau pengambilan nutrisi yang sepatutnya ketika seseorang individu tersebut masih kecil.

    Kajian ini juga mendapati bahawa sekurang-kurangnya beberapa peningkatan risiko dalam kalangan orang pendek dapat dijejaki sehingga ke tahap lemak hati, lipid darah, dan faktor risiko diabetes lain yang lebih tinggi.

    Ini termasuklah peningkatan kadar trigliserida, adiponektin, dan protein C-reaktif.

    Peratusan lemak hati yang banyak menyebabkan orang rendah mendapat risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes.

    Memandangkan ketinggian seseorang itu tidak lagi dapat diubah ketika sudah dewasa, intervensi bagi mengurangkan lemak hati mungkin perlu dilakukan.

    Ini bagi mengurangkan risiko yang berkaitan dengan ketinggian yang rendah.

    Melalui kajian terdahulu juga, individu yang lebih tinggi pula telah terbukti kurang sensitif terhadap insulin dan mempunyai fungsi sel beta yang lebih baik.

    Ini bermaksud mereka memetabolisme insulin dengan lebih baik dan menyimpan lebih sedikit peratusan lemak pada hati mereka.

    Ini menjadikan orang yang lebih tinggi kurang berisiko untuk mendapat diabetes berbanding orang rendah.

    Apa kata pakar lain?

    orang pendek

    Menurut Dr. Lawrence Gerlis, telah diketahui bahawa ketinggian yang tidak normal sering dikaitkan dengan penyakit metabolik tertentu.

    Sebagai contoh, Sindrom X, yang menyebabkan ketidaknormalan pada lipid seperti kolesterol dan juga diabetes, dikaitkan dengan ketinggian yang pendek dan pertambahan ukuran lilitan di sekitar pinggang.

    Tambah Dr. Lawrence lagi, penyebabnya adalah bersifat kompleks dan mungkin bersifat genetik.

    Tetapi postur badan yang tinggi dan kurus secara umumnya diakui lebih sihat daripada bentuk badan yang lebih pendek dan gemuk.

    Ukuran badan mempengaruhi cara lemak diangkut dan diproses di dalam hati, dan hal ini turut mempengaruhi fungsi pankreas, yang boleh menyebabkan diabetes jenis 2.

    Seorang pakar pemakanan, Ruth Pupo Garcis sebaliknya mengingatkan agar tidak terlalu menekankan ketinggian berbanding faktor risiko diabetes yang lain.

    Menurut beliau, individu yang lebih pendek mungkin lebih cenderung untuk menjadi gemuk kerana purata pengambilan makanan yang berlebihan.

    Namun, kandungan lemak badan, bukan ketinggian badan, akan memberi kesan lebih besar kepada risiko diabetes jenis 2.

    Dengan kata lain, jika orang pendek memiliki BMI, berat badan, dan lemak badan yang normal, mereka akan mempunyai risiko lebih sedikit untuk menghidap diabetes jenis 2.

    Tambahan pula, individu yang tinggi tetapi obes, dengan atau tanpa sejarah diabetes dalam keluarga, berserta tabiat makan yang buruk mungkin berisiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit diabetes.

    Menurut Ruth, kita perlu ingat bahawa risiko diabetes mempunyai pelbagai faktor, dan kita tidak dapat mengenal pasti risiko hanya berdasarkan kepada ketinggian atau pada satu faktor semata-mata.

    Kesimpulan

    Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan ini, dapatlah disimpulkan bahawa individu yang lebih rendah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat diabetes jenis 2 berbanding orang yang lebih tinggi.

    Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kandungan lemak hati yang lebih tinggi berbanding individu dengan ketinggian yang lebih tinggi.

    Namun, risiko tersebut bukanlah satu-satunya risiko yang perlu dilihat.

    Individu yang tinggi tetapi obes juga masih berisiko besar untuk mendapat diabetes jika faktor risikonya jauh lebih banyak daripada individu orang pendek. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 28/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan