Penuaan akan berlaku secara semula jadi dengan peningkatan usia. Tetapi selain faktor umur, tahukah anda kemurungan dan trauma juga mampu mempercepatkan proses penuaan?
Kajian baharu mendapati mereka yang hidup dengan gangguan kemurungan atau trauma secara biologinya adalah lebih tua berbanding individu yang tidak mengalami masalah tersebut.
Kanak-kanak yang mengalami trauma akibat penderaan atau keganasan pada awal usia turut menunjukkan tanda-tanda penuaan yang lebih cepat.
Depresi dan simptom-simptomnya
Depresi atau turut dikenali sebagai gangguan kemurungan adalah masalah perubatan mental serius yang memberi kesan negatif terhadap perasaan, cara berfikir dan bagaimana seseorang bertindak.
Depresi menyebabkan perasaan sedih, kosong atau kehilangan minat terhadap aktiviti yang digemari atau pernah dinikmati. Berita baiknya, ia masih boleh dirawat.
Ia juga boleh menyebabkan pelbagai masalah emosi dan fizikal serta dapat mengurangkan kemampuan pesakit untuk berfungsi di tempat kerja atau rumah dengan normal.
Simptom depresi mempunyai peringkatnya tersendiri daripada ringan sehingga parah yang boleh merangkumi:
- Perasaan sedih atau tertekan
- Kehilangan minat dalam aktiviti yang pernah dinikmati
- Perubahan selera makan, penurunan berat badan atau kenaikan yang tidak berkaitan dengan diet
- Masalah kekurangan atau terlalu banyak tidur
- Kehilangan tenaga atau sering keletihan
- Rasa bersalah atau tidak berharga
- Kesukaran berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan
- Kerap berfikir tentang kematian atau keinginan membunuh diri
Untuk mengenal pasti gejala depresi, ia sering berlangsung sekurang-kurangnya 2 minggu dan akan menunjukkan perubahan pada tahap seseorang berfungsi.
Tetapi, masalah kesihatan lain seperti tiroid, tumor otak atau kekurangan vitamin juga dapat meniru simptom-simptom kemurungan.
Para wanita lebih cenderung untuk mengalami masalah mental ini berbanding kaum Adam.
Beberapa kajian menunjukkan satu pertiga daripada golongan wanita akan mengalami episod kemurungan sepanjang hayat mereka.
Mari kenali apa itu trauma
Menurut American Psychological Association (APA), trauma adalah tindak balas emosional terhadap peristiwa yang mengerikan seperti kemalangan, kecederaan, atau bencana alam.
Selain itu, seseorang individu mungkin mengalami trauma sebagai tindak balas terhadap peristiwa yang mereka anggap mengancam atau memudaratkan secara fizikal atau emosi.
Bukan itu sahaja, trauma boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan penderita.
Sekiranya gejala berlanjutan dan bertambah parah, trauma boleh berkembang menjadi gangguan kesihatan mental yang disebut gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD).
Terdapat beberapa jenis trauma, termasuk:
- Trauma akut: Ia disebabkan oleh tekanan atau peristiwa yang dianggap berbahaya
- Trauma kronik: Disebabkan oleh pendedahan berulang dan berpanjangan terhadap peristiwa yang sangat tertekan. Contohnya, kes penderaan kanak-kanak, buli, atau keganasan rumah tangga
- Trauma kompleks: Ia disebabkan oleh pendedahan kepada pelbagai peristiwa traumatik
- Trauma sekunder: Ia adalah satu bentuk trauma yang lain. Seseorang boleh mengalami gejala trauma daripada hubungan rapat dengan individu yang pernah ada pengalaman traumatik
Bagaimana kemurungan mempengaruhi proses penuaan?
Depresi telah menjadi salah satu masalah kesihatan mental yang paling banyak dialami oleh individu di seluruh dunia.
Penyelidikan baharu menunjukkan bahawa kemurungan mampu menyebabkan penuaan pramatang.
Para saintis yang diketuai oleh Laura Han dari Pusat Perubatan Universiti Amsterdam di Belanda telah mengkaji struktur DNA individu yang mengalami depresi dan membuat penemuan yang menarik.
Para penyelidik membentangkan penemuan mereka di persidangan European College of Neuropsychopharmacology, yang diadakan di Barcelona, Sepanyol, dan mereka menerbitkan kajian berjudul American Journal of Psychiatry.
Kesan penuaan pramatang ini lebih ketara pada mereka yang mengalami pengalaman buruk semasa kanak-kanak, seperti penderaan, trauma, pengabaian, atau penyalahgunaan.
Han dan rakannya telah menjalankan kajian DNA dengan memerhatikan seramai 811 peserta dengan gangguan kemurungan dan 319 peserta tanpa masalah depresi.
Dengan menggunakan sampel darah mereka, para penyelidik meneliti bagaimana DNA peserta berubah dengan usia.
Hasil kajian itu menunjukkan perubahan epigenetik berlaku dengan lebih cepat pada mereka yang mengalami gangguan kemurungan.
Epigenetik adalah kajian tentang perubahan ekspresi gen yang tidak mempengaruhi urutan DNA.
Perubahan tersebut juga boleh berlaku akibat banyak faktor, termasuk persekitaran dan gaya hidup seseorang.
Salah satu mekanisme di mana perubahan epigenetik terjadi disebut DNA methylation iaitu, apabila kumpulan methyl dipindahkan dan ditambahkan ke dalam DNA.
Secara keseluruhan, para saintis dapat memerhatikan individu dengan masalah kemurungan mempunyai tahap methyl dan perubahan epigenetik yang secara biologinya menjadikan mereka lebih berusia.
Lebih khusus lagi, ini bermaksud mereka yang mengalami kemurungan secara biologinya lebih tua 8 bulan, berbanding individu yang tidak mengalaminya.
Dalam beberapa kes kemurungan yang teruk, proses penuaan mampu bertambah berkali ganda sehingga 10 ke 15 tahun lebih tua daripada usia kronologi!
Rumusan
Seperti yang telah dikupaskan, kajian mengesahkan masalah berkaitan mental seperti depresi dan trauma mampu memberi kesan terhadap kesejahteraan seseorang, terutamanya proses penuaan.
Trauma daripada zaman kanak-kanak juga memberikan impak yang besar kepada pesakit secara psikologi dan emosi.
Sekiranya anda mula menunjukkan gejala-gejala kemurungan mahupun trauma, segera dapatkan bantuan daripada pakar sebelum ia bertambah parah.
[embed-health-tool-bmi]