Dua, tiga hari kebelakangan ini anda kurang berselera? Terdapat banyak faktor boleh menyumbang kepada keadaan tersebut. Tetapi usah bimbang, Hello Doktor ada cara mengembalikan selera makan anda yang boleh dicuba.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Faktor mempengaruhi selera makan
Selera makan adalah keinginan semula jadi yang dirasai seseorang untuk makan. Anda boleh rasa lapar tanpa ada selera, berselera tinggi tanpa tanda-tanda lapar atau lapar dengan selera makan.
Sebelum mengetahui cara mengembalikan selera makan, berikut antara punca yang boleh mempengaruhi keinginan untuk makan:
Diet
Jenis dan kekerapan pengambilan makanan boleh memberi kesan kepada selera anda.
Masalah perubatan
Beberapa masalah kesihatan boleh menyumbang kepada hilang selera seperti jangkitan bakteria dan virus, kanser serta penyakit tiroid.
Penyakit yang boleh menyebabkan kehilangan rasa dan bau juga boleh mengakibatkan anda tidak berselera.
Ubatan
Ada sesetengah ubat boleh meningkatkan keinginan makan sekali gus membawa kepada peningkatan berat badan – antidepresan dan antipsikotik, penyekat beta, penyekat saluran kalsium dan ubat diabetes seperti insulin.
Kesihatan mental
Mood atau keadaan emosi seseorang mungkin menyumbang kepada keinginan untuk makan. Tekanan boleh menyebabkan seseorang makan berlebihan atau kurang.
Keadaan kesihatan mental tertentu, seperti kemurungan dan beberapa gangguan makan juga boleh memberi kesan kepada selera anda.
Kehamilan
Bagi wanita hamil, mereka boleh mengalami penolakan dan keinginan kuat terhadap makanan tertentu.
Rasa loya atau sembelit – keadaan normal semasa mengandung – turut boleh mengurangkan selera makan.
Peneman
Individu yang menemani anda makan juga boleh memberi kesan kepada selera dan pilihan makanan.
Baca juga:
Cara mengembalikan selera makan
Berikut adalah beberapa cara mudah untuk meningkatkan selera makan anda:
1. Lebihkan jumlah hidangan
Ambil 6-8 hidangan kecil sehari berbanding 3 hidangan besar. Hidangan bersaiz kecil dan kerap boleh membantu anda makan lebih banyak secara keseluruhan.
Jika rasa lapar itu adalah lebih banyak pada waktu pagi, maka ambil lebih kerap hidangan kecil pada waktu pagi – ketika anda berasa lapar.
2. Kurangkan pengambilan serat, cara mengembalikan selera makan
Diet tinggi serat terbukti menggalakkan rasa kenyang dan mengurangkan pengambilan kalori. Jadi anda mungkin mahu mengurangkan pengambilan serat jika ingin meningkatkan keinginan makan.
Makan diet rendah serat boleh menghalang daripada berasa terlalu kenyang, dan mungkin membantu anda makan lebih banyak pada siang hari.
3. Makanan kaya nutrien
Antara cara mengembalikan selera makan yang boleh dicuba adalah dengan menggabungkan kalori dan khasiat makanan. Pilihlah makanan yang padat nutrien dalam diet harian.
Makanan berkalori tinggi dan kaya dengan nutrien seperti:
- Ubi keledek, kacang pis dan jagung
- Buah-buahan kering, avokado dan 100% jus buah
- Bijirin penuh seperti beras perang, quinoa dan barli
- Kekacang dan lentil
- Ikan berlemak seperti salmon dan tuna
- Kacang, bijian dan mentega kacang
- Susu, yogurt dan keju
- Telur
Anda juga boleh menambah penggalak kalori untuk meningkatkan ketumpatan kalori makanan yang dimakan.
Antara contohnya seperti menyediakan oat dengan susu, taburkan chia seed dan kismis pada salad, tambahkan keju pada kentang bakar atau memasak sayur-sayuran, bijirin dan protein pilihan anda dengan minyak sayuran.
4. Makanan kesukaan
Sememangnya pengambilan makanan seimbang yang sihat dan berkhasiat adalah penting, namun apa yang harus menjadi keutamaan adalah seseorang itu harus menyukai hidangan makanan di hadapan mereka.
Sentiasa pilih makanan dan snek yang benar-benar menjadi kesukaan anda – walaupun ia mungkin bermakna anda akan mengambil hidangan sama berulang kali selama beberapa hari.
Perkara paling mustahak adalah anda harus makan dan mendapat semula selera yang hilang itu.
Cara mengembalikan selera makan #5. Eksperimen dengan menu baharu
Ada kalanya hilang selera makan itu disebabkan anda bosan dengan pilihan makanan yang dimakan.
Sama ada anda sudah terbiasa mengambil beberapa hidangan yang sama setiap minggu atau sentiasa memilih hidangan yang mudah, jadi kini tiba masanya untuk mengubah keadaan itu.
Anda boleh mencuba masakan lain yang belum pernah dicuba – secara amnya bersikap terbuka kepada hidangan dan snek baharu bagi menghidupkan semula selera anda.
[embed-health-tool-bmi]
6. Minum kalori
Minum minuman berkalori mungkin merupakan cara lebih bermotivasi untuk meningkatkan pengambilan kalori daripada perlu mengunyah makanan – terutamanya jika anda tidak berasa lapar.
Menggantikan beberapa makanan dengan minuman berkhasiat dan berkalori tinggi merupakan cara tambah selera makan yang boleh dicuba.
Smoothie, milkshake dan jus adalah antara pilihan minuman pengganti makanan yang baik. Gunakan bahan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayuran.
Anda juga boleh menambah sumber protein yang baik seperti susu penuh krim, yogurt atau serbuk protein untuk kalori dan nutrien tambahan.
7. Senaman bantu tambah selera makan
Aktiviti fizikal membebaskan bahan kimia otak yang meningkatkan mood dan merangsang selera makan.
Berjalan kaki kira-kira sejam atau lebih sebelum makan mungkin membantu menjadikan hidangan seterusnya lebih menarik
Tambah selera makan
Mengalami turun naik keinginan makan adalah normal. Semoga perkongsian cara mengembalikan selera makan di atas dapat membantu anda.
Tetapi jika perubahan yang dialami terlalu mendadak, berbincanglah dengan doktor – ia mungkin berpunca oleh masalah kesihatan tertentu.