home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Ini 5 Bahaya Pengambilan Serbuk Protein, Hati-hati Kaki Gym!

Ini 5 Bahaya Pengambilan Serbuk Protein, Hati-hati Kaki Gym!

Dalam usaha untuk mendapatkan atau mengekalkan tubuh badan yang sasa lagi tegap, ramai orang yang gemar ambil tanpa tahu bahaya serbuk protein untuk kurus dan sado.

Ya, memang benar ia akan membantu individu yang inginkan tubuh badan yang tampak sihat dan sempurna namun tersembunyi bahaya di sebaliknya.

Persoalannya, apakah bahaya pengambilan serbuk protein untuk kurus yang dimaksudkan? Jom teruskan membaca artikel!

Apa itu serbuk protein untuk kurus?

Buat anda yang mungkin belum tahu, serbuk protein adalah sebatian komponen protein berbentuk serbuk yang berasal daripada tumbuhan atau haiwan.

Serbuk ini juga mungkin turut mengandungi variasi bahan lain seperti vitamin, mineral, bahan perasa, bahan pelikat, gula tambahan dan lain-lain lagi.

Kebiasaannya, ia akan digunakan sebagai suplemen sama ada untuk meningkatkan atau menurunkan berat badan dalam usaha mendapatkan indeks jisim badan yang ideal.

Mungkin ramai orang yang akan anggap bahawa ia adalah bagus ekoran protein adalah antara sumber nutrien paling penting buat tubuh badan individu.

Namun, bagaimana pula jika kami kata tersembunyi bahaya serbuk protein untuk kurus ini? Jangan terkejut dengannya!

serbuk protein untuk kurus

Apa bahaya serbuk protein untuk kurus?

Menurut Kathy McManus yang merupakan Pakar Diet dan Pengarah Jabatan Nutrisi dari Harvard-affiliated Brigham and Women’s Hospital, pengambilan protein ini mungkin berbahaya.

“Saya tidak akan menyarankan penggunaan serbuk protein melainkan dengan arahan dan seliaan daripada doktor atau pakar”, jelas Kathy McManus lagi.

#1. Ia mungkin tinggi dengan kalori

Kebanyakan serbuk protein untuk kurus dan sado ini memang tinggi dengan kalori ekoran kebiasaannya produk ini mengandungi gula tambahan – dipercayai sekitar 23 gram per sudu.

Selain itu, serbuk yang boleh dijadikan susu ini juga dikatakan mengandungi kira-kira 1,200 kalori yang akan membawa komplikasi pada berat badan.

Disebabkan kalori yang tinggi ini, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika mengambil serbuk ini jika tidak mahu sebarang kesan sampingan lain pula timbul.

#2. Ia boleh bawa masalah perut

Tidak semua orang mampu minum susu dengan baik tanpa ada kesan sampingan seperti alahan lebih-lebih lagi buat mereka yang ada inteloransi laktosa.

Memandangkan serbuk ini akan dibancuh menjadi susu, penderita kondisi tersebut perlu lebih berwaspada jika ingin mengambilnya untuk elak masalah pada perut.

Ini bertujuan mengelakkan masalah seperti mual-mual, muntah-muntah atau cirit-birit terutamanya jika kualiti dan kuantiti produk yang diambil kurang tepat.

serbuk protein untuk kurus

Bahaya serbuk protein untuk kurus #3. Mengandungi bahan tersembunyi

Meskipun semua produk perlu menyenaraikan bahan-bahan yang digunakan bagi proses pembuatan, masih ada risiko wujud bahan yang tersembunyi.

Badan-badan penyelidikan serta penguatkuasaan mungkin akan terlepas pandang beberapa bahan yang tersembunyi dan sebenarnya adalah berbahaya.

#4. Ambil tanpa perlu

Selain itu, ada lagi bahaya serbuk protein yang bukan berpunca daripada produk tetapi diri sendiri yang sebenarnya tidak perlukan suplemen sebegini.

Ia hanya akan menyebabkan jumlah protein di dalam tubuh badan anda terlalu tinggi lantas sukar untuk diproses. Jadi, jangan ambil jika tidak perlu.

#5. Kesan sampingan jangka masa panjang

Sebelum membeli sebarang produk, ramai orang yang hanya akan berpandukan pada testimoni sedangkan ia mungkin berbeza mengikut individu.

Ada orang yang mungkin berjaya dan ada yang tidak serta terdapat juga kemungkinan bahawa akan wujud kesan sampingan jangka masa panjang kelak.

Apa yang mungkin lebih menakutkan, kajian terbaharu telah menunjukkan bahawa ia mungkin mengandungi toksin pembawa penyakit! Benarkah?

Ia mengandungi toksin pembawa penyakit!

serbuk protein untuk kurus

Menurut kajian yang dijalankan oleh Clean Label Project (CLP) terhadap ratusan produk serbuk protein, hasilnya mungkin akan memeranjatkan kita semua.

Menerusi penelitian terhadap 134 jenis produk bagi 130 jenis toksin, didapati bahawa kebanyakan serbuk protein mengandungi toksin pembawa penyakit.

Toksin tersebut adalah logam berat (plumbum, arsenik, kadmium dan merkuri), bisphenol-A yang digunakan dalam industri pembuatan plastik, racun serangga serta bahan pencemar yang lain.

Apa yang lebih membimbangkan adalah toksin-toksin ini mempunyai kaitan dengan beberapa jenis penyakit berbahaya kepada individu termasuk kanser.

CLP kemudiannya menyimpulkan bahawa toksin-toksin ini mungkin datangnya daripada sisa tumbuhan, haiwan atau ketika proses pembungkusan di kilang.

Adakah anda masih boleh ambil produk ini?

Protein adalah antara sumber nutrien yang paling penting untuk tubuh badan terutamanya buat mereka yang sedang dalam usaha membina otot badan.

Disebabkan itu, adalah tidak salah untuk anda cuba ambil kerana bahaya serbuk protein mungkin tidaklah terdapat pada semua produk yang ada di pasaran.

Sebaiknya, cuba beli dan guna produk yang telah diakui oleh Food and Drugs Administration (FDA) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kathy McManus turut mencadangkan agar anda mendapatkan protein daripada sumber semula jadi daripada makanan atau minuman yang tentunya lebih sihat.

Konklusinya, bahaya serbuk protein ini tidak boleh dipandang ringan dan buat anda yang sedang atau ingin ambil, sila dapatkan informasi dan nasihat daripada pakar dahulu.

health-tool-icon

Kalkulator BMR

Guna kalkulator pengambilan kalori ini untuk menentukan keperluan kalori seharian yang anda perlu, berdasarkan tinggi, berat, umur dan tahap aktiviti anda.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. The hidden dangers of protein powders, https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/the-hidden-dangers-of-protein-powders, Accessed Oct 26 2021.
  2. Protein Powders May Be Doing More Harm than Good, https://www.center4research.org/protein-powders-more-harm-than-good/, Accessed Oct 26 2021.
  3. Health risks of protein drinks, https://www.consumerreports.org/cro/2012/04/protein-drinks/index.htm, Accessed Oct 26 2021.
  4. Bodybuilding and sports supplements: the facts, https://www.nhs.uk/live-well/healthy-body/body-building-sports-supplements-facts/, Accessed Oct 26 2021.
  5. The Dangers of Protein Drink Supplements, https://rucore.libraries.rutgers.edu/rutgers-lib/41222/PDF/1/play/, Accessed Oct 26 2021.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 27/10/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor