Semakin sedikit kalori yang berada dalam sistem pencernaan anda, semakin banyak lemak yang dibakar sewaktu bersenam, kerana tubuh menggunakan bekalan makanan sedia ada. Disebabkan itu, jika anda ingin membakar lemak dan menurunkan berat badan, senaman pagi sebaiknya dilakukan sebelum makan.
Namun, menurut Freguson, CEO Diet Free Life, sebagaimana yang dilaporkan oleh HuffingtonPost, jika tujuan anda bersenam adalah untuk meningkatkan kecergasan fizikal, kekuatan, dan kelajuan, maka bersenam tanpa pengambilan makanan akan menjadi kaedah yang kurang berkesan, kerana anda tidak bersenam secergas mungkin jika tidak banyak kalori tersedia untuk membekalkan tenaga mencukupi.
Bagi penghidap diabetes, bersenam sebelum makan tidak dibenarkan kerana mereka berkemungkinan menghadapi kekurangan kadar gula darah (hipoglisemia). Jika anda menghidap diabetes, anda disarankan untuk bersarapan atau memakan sedikit kudap-kudapan terlebih dahulu sebelum bersenam.
Tips bersenam pagi sebelum sarapan
Pada akhirnya, bersenam dan bersarapan adalah kegiatan yang dipengaruhi oleh kebiasaan. Aktiviti apa pun yang anda utamakan dahulu, belum tentu ianya sesuai dengan semua orang. Namun, jika anda ingin mencuba bersenam dengan perut kosong, berikut adalah beberapa tips yang boleh anda ikuti:
- Persiapkan diri anda daripada malam sebelumnya – bangun pagi dipengaruhi oleh jam biologi dan waktu tidur, jadi jika anda ingin bersenam pagi, cukupkan keperluan waktu tidur anda agar tubuh bersedia untuk beraktiviti fizikal di pagi hari.
- Lakukanlah senaman yang sesuai dengan anda – jenis senaman yang dapat anda lakukan patut disesuaikan dengan keinginan atau yang biasa anda lakukan. Jika anda baru bermula, cubalah dengan senaman berintensiti rendah seperti jalan pagi atau joging.
- Cukupkan keperluan air – minum sekitar setengah hingga satu liter air mineral sebelum dan selepas bersenam. Anda disarankan untuk mencukupkan keperluan air ini sekitar 2 atau 3 jam sebelum bersenam.
- Berhenti bila penat dan makan bila-bila masa yang anda suka – jika anda berasa kepenatan atau lapar, berhenti bersenam untuk mencegah penyusutan otot.
- Cukupkan pengambilan nutrien setelah bersenam – hal ini perlu dilakukan dalam jangka waktu maksimum 45 minit setelah anda bersenam, tanpa mengira anda telah atau belum bersarapan sebelumnya. Namun jangan hanya mengambil karbohidrat, kerana pengambilan proteinlah yang harus diperbanyakkan.
Benarkah Sarapan Pagi Meningkatkan Kesuburan?

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Clinical Science, pengambilan separuh daripada kalori harian anda di waktu pagi boleh meningkatkan kesuburan anda. Kajian mendapati bahawa makan sarapan pagi yang berkhasiat boleh memberikan impak positif kepada wanita yang mengalami masalah kesuburan. Penyelidik dari Hebrew University of Jerusalem dan Tel Aviv University mengatakan pengambilan sarapan pagi yang berat boleh meningkatkan kesuburan dalam kalangan wanita yang mengalami masalah haid tidak teratur.
Kajian tersebut dibuat kepada 60 wanita yang berusia 25 hingga 39 tahun yang mengalami masalah Sindrom Polisistik Ovari (PCOS) serta indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 23. Kajian ini dibuat untuk memahami sama ada masa makan mempunyai impak kepada kesihatan wanita yang mengalami masalah haid tidak teratur, disebabkan oleh PCOS. Dalam kajian tersebut, wanita-wanita ini dibahagikan kepada dua kumpulan; setiap kumpulan dibenarkan mengambil 1,800 kalori sehari. Bezanya, satu kumpulan iaitu 30 wanita diberikan hidangan berat semasa sarapan pagi sementara 30 wanita lagi diberikan hidangan berat semasa waktu makan malam mereka.
Kajian tersebut mendapati bahawa wanita yang makan hidangan berat semasa sarapan pagi berjaya menurunkan tahap glukos dan insulin (turun sehingga 8 peratus), berbanding dengan kumpulan yang mengambil makanan berat sewaktu makan malam. Dalam kumpulan yang mengambil sarapan pagi juga, para penyelidik melihat bahawa tahap testosterone mereka berkurang sehingga hampir 50 peratus. Malah yang lebih menggembirakan lagi, wanita-wanita ini mengovulasi pada kadar yang lebih tinggi apabila mereka mengambil hidangan berat semasa sarapan pagi. Melalui kajian tersebut, penyelidik menyatakan bahawa bukan sahaja amaun kalori yang kita ambil secara harian penting, tetapi masa pengambilan juga adalah lebih penting.
Selain itu, makan lebih di waktu pagi dapat dikaitkan dengan manfaat kesihatan seperti kurang berat badan, kuat metabolisma, dan sensitiviti insulin meningkat. Malah, peningkatan sensitiviti insulin ini memberikan pengurangan hormon lelaki dalam kalangan mereka yang mengalami PCOS. Jika anda makan banyak pada waktu pagi, jadual pemakanan anda lebih sejajar dengan waktu bangun-tidur semula jadi anda- yang mana jam sirkadian anda membantu mengawal pengeluaran hormon. Hasilnya, tubuh anda kurang menghasilkan hormon yang salah.
Makanan Terbaik untuk Sarapan

Anda pastinya selalu mendengar bahawa sarapan sangat diperlukan untuk kesihatan anda. Walau bagaimanapun, anda hanya boleh kekal sihat jika anda memilih sarapan pagi yang menyihatkan. Memilih makanan segera atau gula-gula pada waktu pagi tidak akan memberikan sebarang manfaat kesihatan. Jika anda benar-benar mahukan yang terbaik daripada sarapan anda, di sinilah apa yang anda perlukan:
Telur
Hampir semua orang sukakan telur yang bukan sahaja lazat tetapi juga berkhasiat. Kajian menunjukkan bahawa sarapan dengan telur membantu meningkatkan rasa kenyang, mengurangkan pengambilan kalori anda daripada makanan seterusnya dan memastikan tahap gula dan insulin darah anda terkawal. Antioksida dalam telur (lutein dan zeaxanthin) melindungi anda daripada gangguan mata seperti katarak dan degenerasi makula. Telur penuh dengan choline, nutrien yang menyumbang kepada otak dan jantung yang sihat.
Oatmeal
Oatmeal datang dari oat tanah – satu sumber beta-glucan. Beta-glucan adalah sejenis serat yang dipercayai mengurangkan kolesterol dan juga menggalakkan rasa kenyang. Satu kajian mendapati bahawa beta-glucan mencetuskan pembebasan peningkatan tahap PYY yang merupakan hormon yang bertanggungjawab untuk membuat anda berasa kenyang selepas makan. Oatmeal penuh dengan antioksidan yang boleh membantu meningkatkan kesihatan jantung dan mengawal tekanan darah. Walau bagaimanapun, oat sering tercemar dengan bijirin seperti barli. Jadi, mereka yang mempunyai alahan gluten hanya boleh membeli oat yang telah disahkan sebagai bebas gluten. Memandangkan oatmeal adalah agak rendah dalam protein, anda perlu bersedia dengan susu atau hidangkan dengan telur untuk meningkatkan pengambilan protein anda.
Biji chia
Biji chia tinggi serat bahkan sebahagian daripada serat yang ditemui dalam biji chia adalah serat likat. Serat likat pandai menyerap air, menggalakkan pergerakan makanan melalui saluran penghadaman, menyebabkan peningkatan rasa kenyang dan puas. Satu kajian kecil mendapati bahawa pesakit kencing manis mungkin mendapat manfaat daripada pengambilan biji chia kerana membantu mengurangkan rasa lapar dan tekanan darah serta paras gula dalam darah. Biji Chia juga kaya antioksidan yang membantu mencegah kerosakan sel disebabkan oleh radikal bebas yang dikeluarkan semasa metabolisma.
Kacang
Kacang sangat elok untuk sarapan pagi kerana boleh mengisi perut anda dan menghalang pertambahan berat badan. Walaupun kacang adalah makanan yang berkalori tinggi, badan anda sebenarnya tidak menyerap segala lemak di dalamnya. Mereka yang mempunyai risiko penyakit jantung boleh mengurangkan risiko mereka dengan memakan kacang. Kacang juga terbukti mengurangkan rintangan insulin dan keradangan. Oleh itu, pesakit diabetes mungkin mendapati kacang berkesan mengawal gula dan kolesterol dalam darah mereka.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.
Baca juga:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen