Industri susu kambing
Pengembalaan kambing dikatakan telah berlaku lebih 10 ribu tahun yang lalu di sekitar kawasan pergunungan di Iran. Ini menjadikan kambing sebagai salah satu daripada binatang ternakan yang tertua di dunia. Keju yang dihasilkan daripada susu kambing dianggap sebagai makanan yang dihormati sehinggakan ia digunakan oleh kerabat Firaun ketika tamadun Mesir Purba dalam upacara pengebumian mereka. Dalam kebanyakan negara, menternak kambing adalah salah satu daripada bahagian penting dalam ekonomi mereka, khususnya di negara-negara Mediterranean dan juga kawasan timur tengah. Manakala di negara-negara seperti Perancis, Itali, Sepanyol dan Greece, terdapat penstrukturan yang membolehkan aktiviti penternakan kambing itu menjadi tersusun.
Dari segi penghasilan, susu kambing dihasilkan dengan begitu banyak di sekitar kawasan Afrika Barat, Caribbean dan juga Afrika Tengah. Jika dibandingkan, lengkungan tempoh pengeluaran susu untuk kambing adalah lebih rata dan pendek. Namun yang demikian, pemilihan genetik kambing-kambing tenusu telah membawa kepada peningkatan dalam penghasilan susu dan juga tempoh laktasi. Program pembiakbakaan seperti ini banyak tertumpu di sekitar Eropah dan Amerika Utara. Kambing khusus yang dihasilkan ini dieksport pula ke beberapa negara membangun yang lain untuk dikacukkan dengan spesies kambing natif, untuk menambah baik penghasilan susu mereka. Baka kambing yang paling banyak diedarkan adalah Saanen, Anglo-Nubian, Toggenburg, Alpine dan West African Dwarf.
Sejak tahun 1990, minat terhadap susu kambing telah meningkat dengan banyak. Daripada penghasilan sebanyak 10 juta tan metrik pada tahun 1990, kepada 15.2 juta tan metrik pada tahun 2008. Di Amerika Syarikat, kambing ladang ternakan boleh dijumpai di setiap negeri. Menurut Jabatan Agrikultur Amerika Syarikat (USDA), setakat bulan Januari tahun 2017, Amerika Syarikat mempunyai sekitar 373 ,000 kambing tenusu, dengan negeri yang mempunyai bilangan tertinggi adalah Wisconsin (44 ,000).
Manfaat kesihatan daripada pengambilan susu kambing
Susu kambing, sama ada dalam bentuk susu atau telah diolah kepada produk tenusu yang lain seperti keju, telah lama dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan kerana profil nutrisinya. Bahkan, salah satu faktor yang mendorong kepada peningkatan dalam pasaran industri ini adalah akibat daripada dakwaan kesihatan yang mengatakan susu kambing ini cukup berkhasiat dan jauh lebih baik berbanding susu yang dihasilkan oleh binatang mamalia lain seperti lembu dan kambing biri-biri. Untuk mengetahui lebih lanjut, berikut adalah manfaat kesihatan serta perincian nutrisi yang terdapat dalam susu kambing.
Mengandungi MCT yang tinggi
Apabila dibandingkan dengan susu lembu, susu yang diperoleh daripada kambing mengandungi asid lemak mono tidak tepu (MUFA), asid lemak poli tidak tepu (PUFA) dan juga rantaian trigliserida sederhana (MCT) yang lebih tinggi. Kesemua sebatian yang disebut tadi adalah bermanfaat untuk mereka yang mempunyai keadaan kardiovaskular ataupun untuk mereka yang ingin mencegah daripada menghidapi keadaan-keadaan tersebut. MCT diserap secara pasif (mudah) oleh saluran sistem gastrousus kerana ia tidak perlu melalui proses modifikasi yang terpaksa dilalui oleh rantaian asid lemak yang lebih panjang sebelum ia boleh diserap. Selain itu, MCT juga tidak memerlukan garam hempedu untuk dihadam. Oleh yang demikian, MCT dikira sebagai sumber tenaga biologi yang baik kerana betapa mudahnya untuk ia diserap dan digunakan oleh badan. Pesakit yang menghidap masalah malnutrisi, masalah penyerapan atau masalah metabolisma asid lemak tertentu, dirawat dengan pengambilan MCT kerana ia tidak memerlukan penggunaan tenaga untuk diserap, digunakan atau untuk disimpan. Sebagai contoh, pemberian MCT berserta diet rendah lemak telah dicirikan sebagai salah satu elemen rawatan yang penting bagi penyakit Waldmann.
Kurang tindak balas alergi
Alergi adalah tindak balas tisu yang abnormal atau terganggu, yang berlaku selepas terjadinya pendedahan kepada suatu antigen asing. Bayi yang baru lahir adalah sangat sensitif terhadap antigen yang terdapat dalam protein. Kajian menunjukkan alergi terhadap susu lembu berpunca daripada kandungan kasein α s-1 yang tinggi di dalamnya. Namun yang demikian, susu kambing mengandungi paras kasein α s-1 pada tahap 89% lebih rendah berbanding susu lembu. Atas sebab itu, insiden alergi dalam pengambilan susu kambing adalah jauh lebih rendah.
Selain itu, kajian mendapati bahawa berbanding susu yang dihasilkan oleh kambing, susu lembu dikaitkan dengan peningkatan penanda-penanda keradangan (inflammatory markers) seperti cytokine interleukin-4 (IL-4), TNF-α dan juga antibodi IgG1. Penanda keradangan seperti TNF-α adalah perantara utama (primary mediator) kepada tindak balas advers terhadap protein dalam susu lembu yang membawa kepada masalah seperti gangguan sistem gastrosusus, gangguan sistem pernafasan dan juga simptom kulit seperti ekzema.
Antibodi IgG1 pula merupakan salah satu penanda utama dalam tindak balas hipersensitiviti di mana ia akan bergabung dengan sel mast dan mencetuskan degranulasi (permulaan kepada tindak balas alergi), sebelum peningkatan paras histamin berlaku dan simptom alergi mula muncul. Apa yang menarik adalah selain mengandungi paras penanda keradangan yang jauh lebih rendah, susu kambing juga turut dikaitkan dengan peningkatan paras penanda antiradang seperti cytokine IL-10. Fungsi cytokine IL-10 adalah untuk menekan dan menghalang penghasilan cytokine keradangan dan juga TNF-α.
Lebih mudah diterima untuk mereka yang mengalami masalah intolerans laktosa
Keadaan intolerans laktosa adalah disebabkan oleh kekurangan enzim lactase dalam badan seseorang itu. Enzim ini berfungsi untuk menghadam gula utama dalam susu iaitu laktosa. Apabila seorang penghidap intolerans laktosa mengambil susu, laktosa yang tidak dihidrolisis ini akan ditapai oleh bakteria-bakteria yang terdapat di dalam usus besar. Proses penapaian ini akan menyebabkan pembentukan gas dan juga pelepasan asid lemak bebas. Tindakan tersebut akan mengakibatkan simptom-simptom seperti kembung perut, cirit-birit, ketidakselesaan perut dan juga kerap membuang angin. Oleh yang demikian, ia dikaitkan dengan masalah intolerans laktosa yang lebih rendah. Susu yang diperoleh daripada kambing mengandungi laktosa yang lebih rendah berbanding susu lembu.
Lebih mudah untuk dihadam oleh badan
Susu yang dihasilkan oleh kambing berbeza dari segi kandungan proteinnya berbanding susu lembu. Susu daripada kambing mengandungi kandungan kasein yang lebih rendah, menjadikan kadar proteinnya lebih tinggi. Kadar kasein kepada protein yang lebih rendah ini membantu untuk memudahkan penghadaman berbanding susu lembu yang mempunyai kadar ckasein kepada protein yang lebih tinggi. Ini kerana ia membawa kepada pembentukan globul lemak yang lebih kecil dan juga pembentukan dadih (curd) yang lebih lembut.
Kandungan asid amino yang tinggi dan nutrisi bukan protein (NPN) yang baik
Kecuali asid amino tyrosine dan juga cysteine, untuk asid amino yang lain, susu kambing mengandungi kuantiti asid amino yang lebih banyak berbanding asid amino yang sama yang terdapat dalam susu lembu. Selain itu, susu yang dihasilkan oleh kambing juga mengandungi unsur atau nutrisi bukan protein (NPN) yang baik dan juga dalam kandungan yang lebih tinggi. Nukelotida (Nu) yang terdapat dalam susu kambing membantu untuk mematangkan sistem imun bayi yang menerima susu tersebut, menyebabkan ia sering ditambah ke dalam susu formula bayi. Berbeza dengan susu lembu, susu yang dihasilkan oleh kambing hampir mengandungi paras Nu yang sama dengan susu badan manusia, tanpa perlu Nu tambahan. Tambahan lagi, ia juga kaya dengan Polyamine. Polyamine yang terdapat dalam susu telah terbukti sebagai sebatian kimia yang penting untuk menyokong tumbesaran yang optimum, fungsi sel-sel dalam sistem gastrousus dan juga untuk kematangan enzim-enzim yang terdapat pada sepanjang sistem gastrousus. Kajian mendapati bahawa susu dan juga kolostrum kambing mengandungi kandungan polyamine yang tinggi. Bahkan, ia lebih tinggi berbanding susu binatang mamalia yang lain.
Kandungan dan metabolisma vitamin dan mineral yang lebih baik
Secara keseluruhan, kandungan mineral dan juga vitamin yang terdapat dalam susu kambing adalah lebih tinggi daripada kandungan vitamin dan mineral yang terdapat dalam susu badan manusia. Susu badan manusia hanya mengandungi satu per empat hingga satu per enam sahaja daripada kandungan kalsium dan magnesium yang terdapat dalam susu yang dihasilkan oleh kambing. Berdasarkan kajian terkini, manfaat nutrisi susu kambing bukan sahaja disebabkan oleh kandungan vitamin dan mineral di dalamnya, ia turut disokong oleh kecekapan badan kita dalam menggunakan mineral daripada susunya untuk proses metabolisma. Sebagai contoh, ketersediaan Zink dalam badan diperkuatkan dengan kehadiran susu kambing berbanding susu yang diperoleh daripada lembu. Selain itu, susu yang dihasilkan kambing juga dikenal pasti berupaya untuk mengekalkan ketersediaan kalsium dalam darah yang tinggi tanpa menghalang penggunaan zat besi oleh badan.
Dari sudut vitamin dan zat-zat lain, susu daripada kambing mengandungi jumlah iodin yang lebih tinggi berbanding susu manusia. Ia juga membekalkan vitamin A dan niacin yang mencukupi, di samping vitamin-vitamin baik yang lain seperti thiamin, riboflavin dan juga asid pantotenik untuk bayi kecil. Bahkan, seorang bayi yang hanya diberikan susu kambing akan dibekalkan dengan lebihan dalam nutrisi dan zat seperti protein, kalsium, fosforus, vitamin A, thiamin, riboflavin, niacin dan juga asid pantetonik menurut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Susu daripada kambing mengandungi vitamin A yang lebih tinggi berbanding susu lembu kerana metabolisma kambing menukarkan semua β-carotene dalam makanan mereka kepada vitamin A. Untuk sebab yang sama, susu mereka lebih putih berbanding susu lembu. Malahan, jumlah vitamin A yang terdapat dalam susu kambing sama dengan kandungan vitamin A dalam susu badan manusia. Vitamin A penting dalam tindak balas sistem imun semula jadi (innate) dan juga sistem imun adaptif, termasuklah imuniti sel berperantara (cell-mediated immunity) dan tindak balas antibodi.
Mengandungi karbohidrat yang serupa dengan susu badan manusia
Oligoskarida, jenis karbohidrat yang lazim, merupakan komponen yang bermanfaat yang terdapat dalam susu badan manusia kerana sifat prebiotik dan antijangkitannya. Kajian mendapati susu yang dihasilkan oleh kambing, secara puratanya mengandungi 250 hingga 300mg/L oligosakardia, sekitar 4 hingga 5 kali ganda lebih tinggi berbanding yang terdapat dalam susu lembu dan 10 kali ganda lebih tinggi berbanding susu kambing biri-biri. Walaupun kandungan oligosakarida tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan susu badan manusia (5–8 g/L), struktur kompleks oligosakaridanya adalah yang paling hampir dengan struktur oligosakarida yang terdapat dalam susu badan manusia. Untuk tujuan itu, susu daripada sumber kambing adalah sumber semula jadi terbaik untuk mendapatkan oligosakarida yang serupa dengan susu badan manusia, untuk diberikan kepada bayi.
Baik untuk kesihatan jantung
Susu kambing mempunyai pelbagai tindakan yang menjadikannya baik untuk kesihatan jantung anda dan juga bayi anda. Sebagai contoh, susu yang dihasilkan kambing mengandungi kandungan karnitin yang tinggi. Kandungan karnitin yang tinggi ini membantu untuk meningkatkan penghasilan tenaga daripada oksidasi asid lemak dan dengan cara ini juga, ia mengurangkan ketersediaan substrat yang berpotensi untuk menjalani proses peroksidasi lipid.
Tambahan lagi, bila dibandingkan dengan susu lembu, susu yang diperoleh daripada kambing mengandungi asid lemak mono tidak tepu (MUFA), asid lemak poli tidak tepu (PUFA) dan juga rantaian trigliserida sederhana (MCT) yang lebih tinggi. Kesemua sebatian yang disebut tadi adalah bermanfaat untuk mereka yang mempunyai keadaan kardiovaskular ataupun untuk mereka yang ingin mencegah daripada menghidapi keadaan-keadaan tersebut. Sebagai contoh, MUFA membantu untuk mengurangkan paras kolesterol dalam badan secara keseluruhan dan juga paras Lipoprotein berketumpatan rendah (LDL). Dalam masa yang sama, MUFA mengekalkan paras Lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) dalam badan. LDL digelar sebagai kolesterol jahat kerana ia bertindak sebagai pengangkut yang menghantar kolesterol daripada hati kepada salur darah. Kolesterol baik pula (HDL), dikatakan kolesterol baik kerana tindakannya yang membuang kolesterol dalam salur darah. Kandungan HDL yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko penyakit jantung akibat arterosklerosis yang lebih rendah.
Dari sudut kandungan kolesterol pula, susu daripada kambing mengandungi kandungan kolesterol keseluruhan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan susu lembu. Akhir sekali, susu kambing memberikan kesan perlindungan kepada jantung kerana ia bertindak mencetuskan kesan hipokolesterolemia dalam badan, dengan cara merendahkan paras trigliserida dalam plasma yang akhirnya membawa kepada kesan positif dalam metabolisma asid lemak.
Mengandungi pelbagai jenis antioksidan
Antioksidan adalah suatu unsur yang menyahaktifkan radikal bebas di dalam badan (free radicals). Radikal bebas ini terhasil oleh beberapa laluan metabolisma badan dan ia terjadi akibat ciri-cirinya yang tidak stabil. Radikal bebas ini juga berupaya untuk mencederakan sel, tisu badan dan juga salur darah. Vitamin C adalah antioksidan boleh larut dalam air yang cukup terkenal. Ia juga merupakan vitamin yang banyak terkandung di dalam susu kambing, lebih tinggi berbanding kandungan yang terdapat dalam susu lembu. Selain itu, ia juga mengandungi antioksidan lain seperti vitamin E. Antioksidan seperti vitamin C ini banyak mempengaruhi sistem imun termasuklah dalam kawalan sistem imun badan.
Sebagai rumusan, terdapat pelbagai manfaat kesihatan yang seseorang boleh nikmati apabila mereka mengamalkan pengambilan susu kambing. Kebanyakan daripada manfaat kesihatan ini datangnya daripada profil nutrisi susu yang dihasilkan kambing. Kandungan seperti vitamin dan mineral yang tinggi menjadikannya sumber vitamin yang cukup bagus. Di samping itu, bagaimana badan manusia menghadam susunya dan juga persamaan struktur khasiat mereka kepada komponen seperti karbohidrat yang terdapat dalam susu badan manusia, menjadikannya alternatif susu badan yang cukup baik. Jika anda risau atau tidak tahu bagaimana untuk memulakan pengambilan susu ini, dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan.
[embed-health-tool-bmr]