Minyak sapi biasa digunakan ketika memasak hidangan nasi seperti nasi minyak atau nasi beriani. Namun, tahukah anda apakah sebenarnya jenis minyak ini? Kami terangkan kepada anda berkenaan kandungan utama minyak sapi dan perbezaannya dengan jenis mentega yang lain.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Apa itu minyak sapi?
Minyak sapi atau ghee merupakan sejenis mentega yang telah ditapis (clarified butter).
Ia lebih pekat dengan kandungan lemak berbanding mentega biasa.
Ini kerana kandungan air dan pepejal susunya telah dikeluarkan. Ia telah digunakan dalam budaya masyarakat India dan Pakistan selama beribu-ribu tahun.
Ghee ini telah dicipta untuk mengelakkan mentega daripada menjadi rosak semasa cuaca panas.
Memandangkan pepejal susunya telah dikeluarkan, ghee tidak memerlukan kaedah penyejukan untuk mengawetnya dan boleh disimpan pada suhu bilik selama beberapa minggu.
Malah, seperti minyak kelapa, ia mungkin akan menjadi pepejal apabila disimpan pada suhu yang sejuk.
Bagaimana minyak ini dihasilkan?
Ghee dihasilkan dengan cara memanaskan mentega bagi memisahkan bahagian cecair dan pepejal susu daripada lemak.
Pertama sekali, mentega akan direbus sehingga cecairnya menyejat dan pepejal susu mendap pada bahagian bawah kuali dan bertukar menjadi perang keemasan.
Seterusnya, baki minyak (ghee) dibiarkan sejuk sehingga suam. Ia kemudiannya ditapis sebelum dipindahkan ke dalam balang atau bekas.
Kandungan utama minyak sapi
Bagi satu sudu atau 15 gram ghee, ia mengandungi kandungan nutrisi seperti berikut:
Oleh sebab kandungan utama minyak sapi atau ghee hampir sepenuhnya terdiri daripada lemak tulen, maka ia tidak mengandungi sebarang karbohidrat.
Seperti kebanyakan jenis minyak masak, ghee mengandungi hampir 100% lemak.
Satu sudu besar ghee mengandungi 15 gram lemak, dan 9 gram daripadanya adalah lemak tepu.
Baki kandungan lemak dibahagikan antara kira-kira 5 gram lemak tak tepu yang lebih sihat dan kurang daripada 1 gram lemak tak tepu.
Ghee lebih pekat berbanding daripada mentega biasa, oleh itu ia mengandungi lebih banyak kalori dan lebih banyak lemak (termasuk lemak tepu).
Sepertimana jenis lemak yang lain, ghee perlu digunakan hanya sebagai bahan untuk meningkatkan rasa makanan lain dan bukannya sebagai sebahagian besar hidangan.
Apakah perbezaan antara mentega biasa dan juga ghee?
Ghee dan juga mentega mempunyai komposisi nutrisi yang hampir sama.
Namun terdapat beberapa perbezaan yang membezakan antara kedua-dua jenis lemak ini.
Untuk pengetahuan anda, kedua-duanya mengandungi hampir 100% kalori daripada lemak.
Namun, ghee mengandungi kepekatan lemak yang lebih tinggi berbanding daripada mentega.
Ia memberikan lebih asid butirik dan lemak tepu rantai pendek (short-chain saturated fat) yang lain berbanding mentega.
Selain itu, ghee juga mengandungi kandungan asid linoleik terkonjugasi yang lebih tinggi berbanding mentega.
Asid ini merupakan sejenis lemak tak tepu yang boleh membantu meningkatkan kehilangan lemak dalam badan.
Secara keseluruhannya, perbezaan antara mentega dan juga ghee tidaklah begitu besar.
Walau bagaimanapun, ghee tidak mengandungi laktosa gula susu dan kasein protein susu berbanding mentega.
Bagi mereka yang mempunyai alahan atau sensitif terhadap komponen tenusu ini, minyak ghee ini adalah pilihan yang lebih baik.
Kebaikan dan kelebihan ghee
Walaupun secara asasnya ghee merupakan sejenis lemak atau minyak, namun ia mempunyai beberapa manfaat yang tersendiri.
Antaranya ialah:
#1. Kaya dengan asid linoleik terkonjugasi
Sesetengah kajian menyatakan bahawa, asid linoleik terkonjugasi ini mungkin memberi manfaat terhadap penyakit seperti kolesterol tinggi, kanser dan juga obesiti.
Oleh itu, ia membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit seperti ini.
#2. Berpotensi mengurangkan keradangan usus
Ghee kaya dengan kandungan asid butirik iaitu sejenis asid lemak.
Asid butirik ini boleh membantu mengurangkan keradangan selain meningkatkan tahap kesihatan pencernaan manusia.
#3. Meningkatkan pengambilan vitamin A
Ghee juga boleh membantu anda meningkatkan pengambilan vitamin A. Vitamin A amat penting kerana ia boleh membantu mengekalkan kesihatan kulit, mata, fungsi imun badan dan lain-lain lagi.
#4. Boleh menyokong kesihatan jantung
Ghee juga kaya dengan asid lemak omega-3. Oleh itu, ia boleh membantu mengurangkan keradangan selain memberikan perlindungan daripada penyakit jantung.
Kesan sampingan minyak ini
Bagi mereka yang mempunyai kolesterol tinggi, anda disarankan untuk mengawal pengambilan ghee ini kepada satu atau dua sudu sahaja dalam sehari.
Ini kerana, satu sudu besar ghee mempunyai kandungan kolesterol yang mewakili 13% daripada pengambilan harian yang disarankan.
Selain itu, apabila minyak sapi dipanaskan pada suhu yang tinggi, kolesterolnya mungkin akan teroksida.
Kolesterol yang telah teroksida dikaitkan dengan peningkatan risiko beberapa penyakit, termasuklah penyakit jantung.
Oleh itu, pastikan anda mengehadkan pengambilan harian dan elakkan penggunaan ghee pada suhu yang tinggi.
Tidak salah untuk menggunakan ghee sekali-sekala, tetapi pengambilannya perlulah dikawal.
[embed-health-tool-heart-rate]