Baru-baru ini, portal Public Health Malaysia ada menaikkan satu hantaran berkenaan keberkesanan daun kapal terbang dalam merawat kencing manis.
Hantaran di laman Facebook tersebut susulan beberapa post oleh netizen yang mendakwa daun pokok kapal terbang berkesan mengubati diabetes. Adakah ia benar seperti didakwa?
Kenali daun kapal terbang ini!
Daun kapal terbang atau nama saintifiknya, Chromolaena odorata syn Eupatorium odoratum adalah sejenis tumbuhan yang bukan sahaja digunakan oleh masyarakat di negara ini, malah juga di beberapa negara lain.
Digunakan dalam perubatan tradisional, pokoknya dikategorikan sebagai sejenis tumbuhan rumpai dan dibuang atau dimusnahkan dalam sektor perladangan atau pertanian.
Ia berasal dari bahagian tropika benua Amerika. Di Malaysia, ia bukan sahaja dikenali dengan nama daun kapal terbang, tetapi juga dikenali dengan nama daun rumput Malaysia.
Ia juga dikenali dengan nama rumpai Siam, Christmas Bush, Bitter Bush atau Baby Tea.
Pokoknya dengan daun yang lebar ini mudah dijumpai tumbuh di kawasan semak samun atau mungkin juga terdapat di halaman rumah anda.
Dakwaan keberkesanan daun kapal terbang
Sebelum, ini terdapat dakwaan oleh pengguna media sosial seperti Facebook yang mengatakan bahawa ia boleh membantu mengawal kencing manis atau diabetes.
Menurut dakwaan tersebut, tumbuhan ini dipetik dan dicuci dengan bersih terlebih dahulu.
Kemudiannya, daun tersebut direndam di dalam air panas sekurang-kurangnya dalam tempoh selama 3 jam.
Selepas itu, air rendaman daun pokok kapal terbang tersebut diminum sekali setiap hari, dan rasanya amatlah pahit.
Bukan itu sahaja, semakan di laman web lain turut mendapati bahawa daun ini juga didakwa mampu menurunkan tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Dengan kaedah yang hampir sama iaitu dengan merendam daun tersebut dalam air panas, ia didakwa mampu menurunkan tekanan darah tinggi dengan sangat berkesan.
Malah, ia juga dikatakan boleh merawat lelah, penyakit jantung, gout, buasir, batuk dan melangsingkan tubuh badan.
Ini bahaya yang menanti jika anda minum air rendaman daun kapal terbang
Menurut seorang Pakar Kimia Tumbuhan, Dr. Che Puteh Osman, daun pokok kapal terbang ini sebenarnya amatlah berbahaya jika ditelan.
Ini disebabkan oleh kandungan sebatian kimia di dalamnya yang berasal daripada kumpulan alkaloid pyrrolizidine.
Alkaloid pyrrolizidine adalah sejenis bahan karsinogen atau secara mudahnya, bahan yang boleh menyebabkan kanser.
Menurut Dr. Che Puteh lagi, bahan kimia daripada daun ini boleh menyebabkan keracunan dalam jangka pendek dan boleh juga menyebabkan kanser hati dalam jangka panjang.
Jika ibu mengandung meminum air rendaman daun pokok kapal terbang ini, bahan kimia tersebut boleh berpindah daripada ibu kepada bayi yang dikandungnya itu.
Antara simptom yang boleh berlaku adalah kesakitan yang teramat sangat pada perut, muntah-muntah dan juga pembesaran hati.
Ia jelas sekali tidak berkesan merawat kencing manis, darah tinggi atau sebarang penyakit lain seperti yang didakwa oleh ramai individu.
Tidak berkesan rawat diabetes, tetapi boleh digunakan untuk rawat luka kecil
Menurut Dr. Che Puteh Osman, secara tradisionalnya, ia boleh digunakan sebagai salah satu rawatan bagi luka-luka kecil jika tidak terdapat akses terhadap ubat-ubatan moden.
Ini kerana kandungan tetrahydroxyflavone yang terdapat dalam daun tumbuhan ini boleh menyebabkan pembekuan darah dan seterusnya menghentikan darah daripada terus mengalir jika ada sebarang luka kecil.
Daunnya dihancurkan dan ditepek pada lokasi luka pada tubuh badan anda.
Namun, jika luka yang dialami tersebut agak besar atau dalam, anda dinasihatkan untuk terus berjumpa doktor bagi mengelakkan komplikasi yang lebih berbahaya seperti jangkitan atau pendarahan yang tidak terhenti.
Ubah gaya hidup, bukan semudah minum air rendaman daun
Untuk mereka yang benar-benar berniat untuk mengawal penyakit kencing manis yang dialami, ia tidak semudah dengan hanya meminum air rendaman daun tumbuhan seperti ini.
Apa yang perlu anda lakukan adalah dengan mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat, mengawal pengambilan gula harian dan pastikan anda mematuhi pengambilan ubat-ubatan kencing manis yang diarahkan doktor.
Ingat, jangan sesekali mempercayai secara bulat-bulat setiap apa yang dikongsikan di platform sosial.
Bertanyalah kepada pakar atau mereka yang berada dalam bidangnya untuk sebarang kepastian.
[embed-health-tool-bmr]