Sampai Boleh Lumpuh? Kenali Komplikasi Migrain

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Hanya mereka yang pernah mengalami migrain sahaja yang tahu betapa peritnya rasa sakit berdenyut-denyut di kepala disebabkan oleh keadaan ini. Akibat kurangnya kesedaran tentang simptom, ciri-ciri dan juga komplikasi migrain, ramai yang keliru akan perbezaan sakit kepala (headcahe) dan migrain

Membezakan sakit kepala dan migrain

Sakit kepala

Sakit kepala adalah terma yang digunakan secara meluas untuk mencirikan keadaan sakit di bahagian kepala, muka atau leher. Berbeza dengan migrain, sakit kepala lazimnya dicetuskan oleh faktor persekitaran dan punca-punca sekunder. Contoh pencetus sakit kepala adalah:

  • Kerap mengetap rahang
  • Rasa lapar yang terlalu lama atau terlalu teruk
  • Kemurungan atau keresahan
  • Tidak cukup tidur
  • Postur badan yang tidak ergonomik
  • Jangkitan
  • Stres
  • Pengambilan ubat tertentu

Terdapat beberapa jenis sakit kepala utama seperti:

Sakit kepala jenis tegangan (Tension type headache) – Ini merupakan jenis sakit kepala yang paling lazim. Rasa sakit yang dialami dapat dicirikan oleh rasa tekanan berkamatan tinggi. Taburan rasa sakit yang dialami pula persis kawasan kepala yang diliputi oleh pemakaian bandana atau getah di sekeliling kepala dan dahi. 

Sakit kepala kluster (Cluster type headache) –  Sakit kepala jenis ini pula melibatkan rasa sakit di satu bahagian kepala sahaja, diikuti oleh simptom-simptom lain di bahagian yang sama (seperti mata berair atau mata merah di bahagian yang terjejas). Ia lazimnya bermula di sekitar mata sebelum merebak ke bahagian kepala dan leher. Ia disebut sebagai kluster kerana serangan berlaku dalam bentuk kumpulan atau kluster, dengan kitaran 1 hingga 8 kali sehari.

Sakit kepala sinus (Sinus headache) – Sakit kepala jenis ini berlaku akibat daripada jangkitan dalam saluran sinus. Untuk itu, mereka yang mengalami sakit kepala jenis ini lazimnya akan turut mengalami simptom jangkitan atau keradangan sinus yang lain seperti deman, hidung tersumbat, batuk dan juga rasa tekanan di bahagian muka. 

Migrain

Sedikit berbeza dengan sakit kepala, simptom utama migrain adalah rasa sakit berdenyut-denyut di sebelah kepala. Rasa sakit ini boleh berada pada tahap sederhana ataupun teruk. Melakukan aktiviti fizikal atau banyak bergerak berupaya untuk menerukkan lagi rasa sakit ini. Simptom utama selain rasa berdenyut ini adalah rasa loya dan muntah apabila terdedah kepada rangsangan cahaya dan bunyi, dan juga ketegangan di bahu dan leher. Terdapat dua jenis migrain yang utama iaitu migrain dengan aura dan juga migrain tanpa aura. 

Migrain tanpa aura adalah jenis yang lebih lazim. Ia dikatakan mewakili 75% daripada keseluruhan serangan migrain yang berlaku. Sungguhpun begitu, setiap serangan itu boleh terdiri daripada jenis yang berbeza. Untuk itu terdapat kemungkinan untuk seseorang mengalami kedua-dua jenis migrain sepanjang hayat mereka. Aura merujuk kepada gangguan deria (sensory disturbance) yang lazimnya berlaku sejurus sebelum serangan migrain terjadi. Ia lazimnya melibatkan gangguan deria penglihatan seperti:

  • Kemunculan titik buta dalam medan penglihatan
  • Kemunculan titik berwarna dalam medan penglihatan
  • Kelipan cahaya 
  • Berpinar-pinar
  • Medan penglihatan menjadi sempit (tunnel vision)
  • Garisan zig zag
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Buta sementara

Simptom aura lain yang tidak melibatkan deria penglihatan adalah:

  • Rasa nyilu dan kebas
  • Gangguan pertuturan
  • Rasa semut-semut di bahagian tangan dan kaki
  • Rasa lemah di sebahagian badan
  • Rasa pening
  • Rasa berpusing (vertigo)

Kesan dan komplikasi migrain

migrain

Ramai yang tidak tahu bahawa migrain mampu untuk mengakibatkan beberapa kesan dan komplikasi kesihatan yang membimbangkan. Himpunan komplikasi yang boleh berlaku akibat daripada migrain ini boleh melibatkan darjah keterukan yang sederhana sehinggalah darjah yang berbahaya. Berikut merupakan antara komplikasi migrain yang boleh berlaku:

1.Kelumpuhan sebelah badan (hemiplagic migraine)

Seseorang yang mengalami migrain berupaya untuk menghidap kelumpuhan sementara untuk sebelah bahagian badan mereka. Migrain jenis ini dikategorikan sebagai variasi migrain dan simptom lumpuh ini boleh disertai oleh gangguan pertuturan dan kekeliruan. Ia cukup menakutkan kerana simptomnya persis serangan angin ahmar (strok). Kelumpuhan ini boleh bertahan selama satu jam sehinggalah beberapa hari namun, ia lazimnya hilang selepas 24 jam. 

2.Status Migrainosus

Ini merupakan komplikasi yang jarang berlaku tetapi cukup menderitakan. Migrain dengan aura ini mampu untuk berlanjutan sehingga 72 jam dan penghidap kadang-kadang perlu dimasukkan ke hospital akibat rasa sakit yang terlalu teruk.

3.Infarksi yang berkaitan dengan migrain (Migrainous infarction)

Keadaan ini berlaku apabila migrain tersebut berkait dengan serangan strok. Lazimnya, komplikasi migrain jenis ini disertai aura dan boleh berlanjutan sehingga satu jam. Aura tersebut juga turut berupaya untuk berkekalan walaupun setelah migrain hilang. Aura yang berlanjutan untuk tempoh yang terlalu lama mungkin menandakan pendarahan dalam otak. 

4.Aura berkekalan tanpa infarksi

Hampir sama dengan komplikasi di atas tetapi tidak berlakunya sebarang pendarahan di di dalam otak. Aura dalam komplikasi migrain ini boleh berkekalan sehingga berminggu lamanya setelah serangan migrain tamat. 

5.Migralepsy

Keadaan ini dicirikan oleh epilepsi (serangan sawan yang berulang) yang dicetuskan oleh serangan migrain. Ia lazimnya berlaku dalam tempoh satu jam selepas migrain terjadi. Walau bagaimanapun, komplikasi migrain jenis ini adalah jarang. 

6.Strok berkaitan dengan migrain (Migrainous stroke)

Strok berlaku apabila aliran darah dalam otak tersumbat atau terputus. Ini boleh disebabkan oleh kebocoran salur darah atau halangan seperti pembentukan plak kolestrol dalam salur darah. Kaitan migrain dengan strok masih belum difahami sepenuhnya tetapi ia dikaitkan dengan jenis migrain dengan aura. Mujurlah, komplikasi migrain ini adalah sangat jarang berlaku. 

Tuntasnya, migrain bukan hanya rasa sakit berdenyut di kepala, ia berupaya untuk mempengaruhi keupayaan individu secara menyeluruh. Di samping itu, ia juga mampu untuk mengakibatkan beberapa komplikasi yang menyakitkan dan yang mengancam nyawa. Pemahaman yang kukuh adalah penting bagi membantu mereka yang mempunyai migrain. Diagnosis yang tepat dan rawatan pencegahan yang mencukupi dapat mencegah keterjadian komplikasi migrain. Jika anda mengalami serangan migrain dan/atau aura yang berlanjutan terlalu lama, segera berjumpa dengan doktor.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut