backup og meta

Pakai Deodoran & Anti-Perspirant Boleh Sebabkan Kanser? Adakah Ia Fakta @ Mitos?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 30/08/2022

    Pakai Deodoran & Anti-Perspirant Boleh Sebabkan Kanser? Adakah Ia Fakta @ Mitos?

    Pemakaian deodoran dan anti-perspirant merupakan sesuatu yang wajib tidak kiralah oleh mereka yang berjantina lelaki ataupun perempuan. 

    Setiap orang yang menggunakan deodorant pasti pernah mendengar khabar angin tentang produk ini yang dikatakan boleh menyebabkan penyakit kanser.

    Malah, ramai yang anggap berita palsu ini merupakan sesuatu yang benar! Oleh sebab itu, mereka lebih rela untuk tidak memakai sebarang deodoran ketika keluar rumah.

    Eh, jangan macam itu! Sebelum anda percaya apa-apa khabar angin, anda perlulah selidik terlebih dahulu kebenaran di sebalik berita tersebut.

    Jangan cepat terpedaya dengan berita palsu. Deodoran merupakan produk yang selamat digunakan. Malah ia juga boleh bantu anda untuk mengelakkan masalah bau badan.

    Tetapi, apa sebenarnya yang menyebabkan munculnya khabar angin mengenai deodoran ini? Jika anda ingin tahu lebih lanjut, jom ikuti artikel kami di bawah!

    Baca lebih lanjut tentang Kanser di sini.

    Mengapa deodoran dikatakan boleh menyebabkan kanser

    Tahukah anda, khabar angin mengenai deodoran dan kanser, terutamanya kanser payudara ini sudah lama bertebaran di laman sosial? Untuk pengetahuan anda, kenyataan yang mereka selalu gunakan untuk menyokong khabar angin ini adalah:

  • Bahan yang mengandungi kanser di dalam deodoran boleh menyerap masuk ke dalam kulit di bahagian ketiak ketika anda bercukur. Karsinogen itu dikatakan akan berkumpul di dalam nodus limfa. Lama-kelamaan, bahan-bahan toksik tersebut akan berkumpul dan bermutasi menjadi kanser.
  • Kebanyakan kanser payudara terjadi pada bahagian payudara yang paling dekat dengan ketiak anda. Pemakaian deodoran dan anti-perspirant pada kawasan tersebut dikatakan menjadi punca utama kanser.
  • Lelaki tidak mempunyai risiko kanser payudara setinggi wanita kerana mereka tidak mencukur bahagian ketiak. Oleh sebab itu, bahan kimia yang terdapat di dalam deodoran tidak dapat menembusi kulit mereka.
  • Pernahkah anda mendengar kenyataan seperti di atas? 

    Jika ya, penulis harap anda tidak mudah percaya kerana perkara di atas adalah tidak benar sama sekali. Malah, hingga hari ini, tidak ada sebarang bukti kukuh yang boleh menyokong kenyataan di atas.

     Apakah sebab utama munculnya kenyataan di atas?

    Deodoran dan anti-perspirant menggunakan bahan berasaskan aluminium sebagai sebahagian daripada formulasi mereka. Bahan ini akan bertindak sebagai satu ‘penyumbat’ yang akan menghalang peluh daripada keluar.

    Ada beberapa kajian yang mencadangkan bahawa bahan yang berasaskan aluminium ini akan diserap oleh kulit di sekitar bahagian payudara.

    Selain itu, bahan ini juga dikatakan mempunyai kesan yang sama seperti hormon estrogen. Ramai yang tahu mengenai peranan hormon estrogen dalam menggalakkan pertumbuhan tumor kanser payudara.

    Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang kajian yang dapat membuktikan perkara ini. 

    Malah, sebuah eksperimen telah dijalankan pada tahun 2014 yang telah membuktikan bahawa bahan berasaskan aluminium dalam deodoran dan anti-perspirant tidak akan menyebabkan kanser.

    Samalah seperti paraben, satu lagi bahan yang digunakan dalam formulasi deodoran dan anti-perspirant. Bahan ini juga dikatakan mempunyai efek yang sama seperti hormon estrogen.

    Tetapi, sama seperti bahan berasaskan aluminium, penggunaan paraben juga didapati tidak menyebabkan kanser.

    Benarkah pemakaian deodoran selepas bercukur boleh tingkatkan risiko kanser?

    anti perspirant

    Luka yang disebabkan oleh pisau cukur tidak akan menyebabkan anda menghidap kanser. Namun, anda mungkin akan terkena jangkitan jika luka itu dibiar begitu sahaja dan tidak dijaga dengan rapi.

    Beberapa jenis deodoran boleh menyebabkan si pemakainya mendapat reaksi alergi. Oleh sebab itu, mungkin anda akan rasa gatal-gatal selepas memakai deodoran.

    Tetapi, jangkitan ataupun rasa gatal-gatal bukanlah tanda kanser. Deodoran juga tidak mempunyai sebarang bahan yang boleh dikategorikan sebagai karsinogen.

    Selain itu, bahan berasaskan aluminium yang dikatakan boleh menyerap ke dalam kulit juga sebenarnya tidak boleh menyerap dengan baik.

    Kajian menunjukkan hanya 0.012% sahaja bahan ini diserap ke dalam kulit. Yang selebihnya akan kekal berada di luar kulit dan akan hilang dengan sendirinya selepas satu tempoh masa tertentu  ataupun selepas anda mandi.

    Lelaki tidak terdedah kepada kanser payudara kerana mereka tidak bercukur, betul ke?

    deodoran

    Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali. Untuk pengetahuan anda, lelaki tidak mempunyai risiko untuk menghidap kanser payudara setinggi wanita kerana mereka mempunyai tisu payudara yang kurang berbanding orang perempuan. 

    Selain itu, hormon dalam badan juga memainkan peranan yang penting. 

    Ini kerana, lelaki yang ada kondisi genetik yang menyebabkan tahap hormon estrogen yang lebih tinggi mempunyai lebih risiko untuk menghidap kanser payudara.

    Kanser payudara tidak ada kaitan dengan ketebalan bulu ketiak seseorang. Pemakaian deodoran juga tidak akan jadi kurang berkesan jika individu yang memakainya tidak bercukur.

    Kesimpulan

    Selepas ini, tidak perlulah anda risau lagi untuk memakai deodoran ataupun anti-perspirant. Kedua-dua produk ini telah terbukti tidak akan menyebabkan anda menghidap kanser.

    Malah, penggunaan deodoran merupakan sesuatu yang penting setiap hari. Sudah pasti anda ingin elak daripada berbau masam akibat peluh setiap hari, bukan?

    Cuma, jika anda mempunyai alergi terhadap paraben ataupun bahan yang berasaskan aluminium, anda mungkin perlu bertukar dan menggunakan produk yang bebas bahan-bahan ini.

    Alergi mungkin akan menyebabkan anda alami ketidakselesaan ketika memakai deodoran. Jika anda mempunyai masalah ini, cepat-cepatlah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut! 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 30/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan