Adakah Kencing Manis Boleh Disembuhkan Dengan Gaya Hidup Sihat?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 01/07/2020 . 4 minit bacaan

Selain daripada menduduki tangga teratas bagi kategori negara paling tinggi masalah obesiti, Malaysia juga merupakan negara yang mempunyai purata pesakit diabetes paling tinggi di Asia. Tidak hairanlah memandangkan obesiti merupakan faktor risiko yang penting untuk penyakit kencing manis. Namun, persoalannya, adakah mereka yang menghidap kencing manis boleh sembuh? Ikuti artikel ini untuk penjelasan selanjutnya.

Kencing manis jenis satu vs kencing manis jenis dua

Walaupun kedua-duanya menggunakan nama penyakit yang sama, ia mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Kencing manis jenis satu kebiasaannya didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak yang tidak mempunyai sebab yang jelas di mata orang yang mendiagnosis. Ia merupakan kesan tindak balas tidak normal sistem imun badan terhadap sel beta di dalam organ pankreas menyebabkan ia tidak mampu untuk menghasilkan insulin. Secara amnya, mereka yang menghidap kencing manis jenis satu tidak obes, aktif bersenam, namun, faktor risiko yang paling penting adalah punca genetik dan sejarah keluarga dengan penyakit yang sama. 

Kencing manis jenis dua pula mempunyai perkaitan di antara faktor genetik dan persekitaran. Antara faktor risiko yang meningkatkan kebarangkalian untuk anda mendapat kencing manis adalah:

  • Mempunyai masalah lebihan berat badan dan obesiti
  • Berumur 45 tahun dan ke atas
  • Mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit yang sama
  • Hidup secara sedentar
  • Mempunyai sejarah diabetes gestasi sewaktu hamil atau pernah melahirkan anak dengan berat melebihi 4 kg
  • Wanita yang pernah didiagnosis dengan keadaan kesihatan polycystic ovarian syndrome (PCOS)
  • Mempunyai masalah kesihatan seperti masalah jantung, hipertensi, tinggi kolesterol
  • Mereka yang perlu mengambil ubat khusus seperti rawatan HIV dan rawatan antipsikotik

Mereka yang didiagnosis dengan kencing manis jenis 1 mempunyai organ pankreas yang tidak mampu menghasilkan jumlah insulin yang cukup atau tiada insulin. Mereka perlu mengambil suntikan insulin seumur hidup bagi membantu proses metabolisme glukosa. 

Bagi yang didiagnosis dengan kencing manis jenis dua pula, pankreas mereka boleh menghasilkan insulin seperti individu lain namun tahap kerintangan insulin pada sel tinggi. Ini bermakna, mereka memerlukan bilangan insulin yang banyak bagi memastikan kelancaran proses metabolisme glukosa.  

Ada juga sebilangan kes yang mana pankreas individu tersebut tidak boleh menghasilkan jumlah insulin yang cukup. Jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan komplikasi yang teruk seperti kerosakan urat saraf, kebutaan, hipertensi dan penyakit jantung.

Artikel ini akan memberikan tumpuan lebih kepada kencing manis jenis dua memandangkan kencing manis jenis satu tidak boleh sembuh namun simptomnya boleh dikawal dengan suntikan insulin seumur hidup.

Penghidap kencing manis boleh sembuh?

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, terdapat kira-kira 3.6 juta penghidap kencing manis di Malaysia. Ia bukan sahaja menduduki tangga pertama di carta Asia Tenggara malah merupakan salah satu negara yang memiliki jumlah pesakit diabetes tertinggi di seluruh dunia. Perkara ini amat membimbangkan memandangkan anggaran jumlah pesakit pada tahun 2025 boleh mencecah kira-kira 7 juta jika ia tidak dibendung. 

Penyebabnya? Gaya hidup moden yang lebih sedentar dan amalan pemakanan yang tidak sihat. Persoalannya di sini, adakah pesakit kencing manis boleh sembuh? Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi keberkesanan rawatan mereka yang menghidap kencing manis. Jadi, jika seseorang itu bertanyakan kepada anda, adakah pesakit kencing manis boleh sembuh? Jawapannya ya, dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Saranan spesifik buat mereka yang menghidap kencing manis

Kawal berat badan

Pengawalan berat badan merupakan satu kaedah yang berkesan dalam menghindari atau merawat penyakit kencing manis. Masalah berat badan berlebihan dan obesiti dilihat sudah menular berdasarkan kenaikan insidennya pada setiap tahun namun, melalui kawalan kalori pemakanan dan aktiviti fizikal, masalah tersebut boleh dirawat. 

Mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan boleh mengamalkan amalan pemakanan seimbang bagi menurunkan berat badan masing-masing. Saranan terkini adalah supaya kadar penurunan berat badan berada pada sekitar 5 hingga 10 peratus daripada berat badan asal dalam tempoh 6 bulan. 

Perkara ini boleh dicapai melalui pengurangan pengambilan kalori sebanyak 500 hingga 1000 kalori sehari. Jika ia mampu dilaksanakan, penurunan berat badan boleh berlaku dalam sekitar 500 g hingga 1 kg seminggu. Lama kan? Kota Rom tidak dibina dalam masa satu hari, begitu juga tubuh badan yang sihat.

Kawal pengambilan nutrisi makro 

Betul ke kalau kita kawal pengambilan karbohidrat, kita boleh sihat? Bagi mereka yang menghidap kencing manis, tiada sebarang pengkhususan berkenaan dengan peratusan karbohidrat, protein dan lemak bagi mendapatkan jumlah nutrisi yang ideal. Namun menurut Persatuan Dietetik Malaysia, pemakanan seimbang terdiri daripada 45-60% sumber karbohidrat, 15-20% sumber protein dan 25-35% sumber lemak. 

Pengamalan diet seperti diet ketogenik, Paleo, Dukan dan sebagainya boleh membantu individu dalam mencapai berat badan ideal. Namun begitu, faktor seperti matlamat, gaya hidup individu dan budaya perlu diambil kira bagi memastikan ia relevan untuk diamalkan dalam jangka masa panjang.

Pengambilan makanan berserat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang boleh membantu dalam menurunkan berat badan. Ia juga dapat melindungi individu daripada kanser. Minuman bergula sewajarnya diambil sekali sehari maksimum bagi mengelakkan masalah metabolik.

Aktiviti fizikal

Bukan semua jenis aktiviti fizikal selamat buat pesakit diabetes. Secara amnya, senaman ringan dan berintensiti sederhana seperti berbasikal dan berjoging selamat untuk mereka yang menghidap diabetes. Namun, buat mereka yang ingin menceburi sukan lasak seperti bola sepak, ragbi, berkayak dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor.

Ini berikutan risiko yang mungkin akan meningkatkan kebarangkalian untuk komplikasi baru timbul atau komplikasi lama menjadi bertambah teruk. Sebagai contoh, mereka yang sudah mengalami kerosakan urat saraf tidak mempunyai deria sentuh pada permukaan tangan dan tapak kaki. Kecederaan boleh mengundang padah memandangkan, tanpa kesedaran berkenaan dengan luka tersebut, kebersihan kebiasaannya terabai. Ini akan meningkatkan risiko jangkitan menyebabkan luka berubah menjadi ulser yang lambat sembuh.

Saranan terkini adalah supaya seseorang individu itu bersenam sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Aktiviti tersebut perlu dilakukan sekurang-kurangnya 150 minit bagi aktiviti bertahap sederhana. Anda juga disarankan untuk melakukan aktiviti lasak sekurang-kurangnya 90 minit sehari. Ia telah terbukti berkesan dalam mengawal simptom kencing manis seterusnya menyebabkan tahap pengawalan gula yang lebih baik, mengurangkan keperluan untuk menggunakan rawatan farmakologikal dan mengurangkan berat badan.

Konklusi

Jadi, berbalik kepada soalan asal, pesakit kencing manis boleh sembuh ke? Ia sebenarnya bergantung kepada cara anda menguruskan diri anda setelah mendapat diagnosis kencing manis. Jika anda merupakan salah seorang pesakit kencing manis, amalkan gaya hidup sihat. Penyakit kencing manis boleh sembuh namun jika ia melarat atau jika anda menghidap kencing manis jenis satu, simptomnya boleh dikawal. Siapa tahu suatu hari nanti semua jenis kencing manis boleh sembuh, kan?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Air Kencing Dihurung Semut? Selain Tanda Diabetes, Ini Juga Simptom Penyakit Lain!

    Betul ke air kencing orang yang menghidap diabetes rasa manis sampaikan boleh menarik minat semut? Jom ikuti artikel kami untuk maklumat lebih lanjut!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Pusat Kesihatan, Diabetes 16/07/2020 . 3 minit bacaan

    Orang Kencing Manis Banyak Pantang-Larang, Tapi Makanan Apa Yang Boleh Diambil? Ini Dia!

    Anda seorang pesakit diabetes dan tidak tahu apakah jenis makanan yang boleh dimakan? Ini contoh menu makanan untuk diabetes yang boleh anda amalkan

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Pusat Kesihatan, Diabetes 04/06/2020 . 3 minit bacaan

    Bulan Syawal Tiba! Penghidap Diabetes Jenis 1 Perlu Lebih Berjaga-jaga, Ikuti Panduan Pemakanan Ini

    Bulan Ramadan dan Syawal memang mencabar bagi pesakit diabetes, khususnya jenis diabetes 1. Ini panduan pemakanan bagi pesakit kencing manis.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Tips Kesihatan, Gaya Hidup Sihat 20/05/2020 . 3 minit bacaan

    Rahsia Langsing Che Puan Syamim: 9 Tahun Tak Sentuh Nasi – Ini Tip Efektif Turun Berat?

    Pernahkah anda tertanya apakah cara turun berat badan yang Che Puan Syamim Farid amalkan? Adakah ia sesuai untuk anda? Jom ikuti artikel ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Sihat Bergaya 11/03/2020 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    makanan untuk pesakit diabetes

    Teringin Nak Makan Manis Tapi Ada Diabetes? Ini 7 Jenis Buah Dan Sayur TERBAIK Untuk Anda

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Diterbitkan pada 12/08/2020 . 3 minit bacaan
    penjagaan pesakit diabetes

    Kalau Tak Nak Kaki Kena Potong, Pesakit Kencing Manis MESTI Ikut 13 Tip Penjagaan Kaki Ini

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 11/08/2020 . 3 minit bacaan
    penjagaan warga tua

    Orang Tua Anda Menghidap Kencing Manis? Ini Cara Penjagaannya, Ada 9 Checklist Kena Patuhi!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 05/08/2020 . 3 minit bacaan
    jenis buah-buahan

    Ini 10 Buah-Buahan Yang Paling TINGGI Kandungan Gula, Jangan Terkejut, Buah Tin Pun Tersenarai!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 03/08/2020 . 3 minit bacaan