Apa itu Ujian Beban HIV?

Oleh

Definisi

Apakah itu ujian beban virus HIV?

Sejenis ujian untuk mengukur bilangan virus HIV (human immunodeficiency virus) di dalam darah. Beban virus pertamanya diukur apabila anda didiagnosis menghidapi jangkitan HIV. Bacaan pertama ini menjadi garis pangkal, dan bacaan beban virus di masa akan datang akan dibandingkan dengan garis pangkal. Memandangkan beban virus boleh berubah dari hari ke hari, kecenderungannya dari masa ke semasa digunakan untuk menentukan jika jangkitan tersebut semakin teruk. Jika beban virus anda menunjukkan kenaikan yang berterusan dalam beberapa bacaan, ia bermakna bahawa jangkitan semakin teruk. Jika kecenderungan beban virus berkurang dalam beberapa bacaan, ini bermakna jangkitan semakin pulih.

Beban virus diukur menggunakan salah satu dari 3 jenis ujian yang berbeza:

  • Reverse-transcriptase polymerase chain reaction (RT-PCR) test
  • Branched DNA (bDNA) test
  • Nucleic acid sequence-based amplification (NASBA) test

Ujian-ujian ini menyukat bacaan bahan genetik (RNA) virus HIV di dalam darah. Tetapi setiap ujian memberikan keputusan dengan cara yang berbeza. Oleh itu, sangat penting untuk menggunakan ujian yang sama dari masa ke semasa.

Mengapa ia dijalankan?

Waktu-waktu berbeza yang anda perlukan ujian ini:

  • Sejurus selepas diagnosis. Ini memberikan sesuatu yang disebut sebagai bacaan garis pangkal. Bacaan akan datang boleh dibandingkan dengannya.
  • Setiap 2 ke 8 minggu dari permulaan rawatan atau dari waktu perubahan pada rawatan. Ini membantu dalam menilai keberkesanan ubat.
  • Setiap 3 ke 6 bulan atau seperti yang diarahkan oleh doktor untuk melihat keberkesanan rawatan.

Doktor mungkin mengambil kira bacaan beban virus anda bersama kiraan CD4+ untuk membuat keputusan bila terapi antiretroviral patut dimulakan.

Perkara yang perlu anda tahu sebelum ujian

Apa yang anda perlu tahu sebelum menjalani ujian ini?

Keputusan ujian dari metod-metod yang berbeza (RT-PCR, bDNA, NASBA) untuk menyukat beban virus tidak boleh ditukar ganti. Ini menjadikan ia penting untuk menggunakan metod yang sama pada setiap kali sukatan.

Keputusan beban virus yang tidak dapat dikesan bukan bermakna darah anda sudah bebas virus HIV. Ia bermakna bilangan virus HIV di dalam darah anda terlalu sedikit untuk dikesan oleh ujian tersebut. HIV masih boleh menjangkiti orang lain walalupun beban virus tidak boleh dikesan.

Ujian beban virus tidak digunakan secara rutin untuk mendiagnosis HIV. Sebaliknya, ujian antibodi HIV yang digunakan untuk tujuan ini.

Ujian beban virus HIV menggunakan metod PCR adalah luar biasa sensitif sehingga boleh memberikan keputusan positif palsu.

Terdapat beberapa metod untuk menguji beban virus; keputusannya tidak boleh ditukar ganti. Jadi, amat penting untuk menggunakan metod yang sama setiap kali sukatan.

Ketahui apa yang berlaku

Apakah persediaan ujian ini?

Tiada persediaan yang khusus.

Apa yang berlaku ketika ujian ini?

Doktor akan membersihkan kawasan kecil di lengan atau siku anda menggunakan pengelap antiseptik atau pad alcohol. Dalam sesetengah kes, pembalut elastik akan dililit mengelilingi bahagian atas lengan anda untuk meningkatkan aliran darah. Ini akan membuatkan lebih mudah untuk mengambil darah dari vena anda.

Kemudian, lengan anda akan dicucuk dengan jarum ke dalam vena. Satu tiub akan dilekatkan pada jarum untuk mengumpul darah.

Apabila darah telah diambil, doktor akan mengalihkan jarum tersebut. Kemudian, doktor akan meletakkan swab kapas dan pembalut untuk menghentikan sebarang pendarahan di kawasan jarum dicucukkan.

Apa yang berlaku selepas ujian ini?

Anda akan dijadualkan untuk mendapatkan keputusan ujian. Doktor anda akan menjelaskan makna keputusan ujian. Sila ikut sebaiknya arahan doktor anda.

Memahami keputusan

Apa maksud keputusan saya?

Keputusan mengambil masa sehingga 2 minggu untuk siap.

Bacaan normal yang disenaraikan di sini–dinamakan julat rujukan–hanyalah sebagai panduan. Julat ini berbeza dari satu makmal ke makmal yang lain dan bergantung kepada metod yang digunakan (RT-PCR, bDNA, NASBA). Makmal anda mungkin mempunyai julat berbeza untuk bacaan normal. Laporan makmal anda seharusnya mengandungi julat yang digunakan oleh makmal tersebut. Doktor juga akan menilai bacaan anda bergantung kepada kesihatan anda dan faktor-faktor lain. Ini bermakna bacaan di luar bacaan yang disenaraikan normal mungkin masih normal bagi anda atau makmal anda.

Keputusan beban virus dilaporkan sebagai bilangan salinan HIV dalam mililiter (salinan/mL). Setiap virus dipanggil “salinan” kerana HIV membiak dengan membentuk salinan dari dirinya (replikasi).

Beban virus

Normal: HIV tidak dikesan di dalam darah.

Abnormal: HIV dikesan di dalam darah. Doktor akan membandingkan bacaan terkini anda dengan bacaan-bacaan sebelumnya.

Jika beban virus anda menunjukkan kenaikan yang berterusan dalam beberapa bacaan, ia bermakna bahawa jangkitan semakin teruk. Jika kecenderungan beban virus berkurang dalam beberapa bacaan, ini bermakna jangkitan semakin pulih.

Julat normal bagi ujian ini mungkin berbeza bergantung kepada makmal dan hospital. Sila berbincang dengan doktor anda tentang apa-apa persoalan yang anda ada berkenaan keputusan ujian anda.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 14, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 14, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.