Apa itu Pneumonia Atipikal?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Pneumonia Atipikal?

Pneumonia adalah keradangan yang berlaku pada paru-paru berpunca daripada jangkitan bakteria. Pneumonia atipikal pula adalah sejenis pneumonia yang tidak berpunca daripada bakteria yang biasa menyebabkan pneumonia tipikal. Pneumonia tipikal lebih serius jika dibandingkan dengan atipikal.

Pneumonia atipikal kadangkala dipanggil sebagai “walking pneumonia”  kerana kes sebegini jarang sekali perlu dihospitalkan.

Apakah kebarangkalian Pneumonia Atipikal?

Pneumonia atipikal sebenarnya agak lazim berlaku.Kira-kira 2 juta kes yang disebabkan oleh mycoplasma pneumoniae (bakteria pneumonia atipikal) berlaku di Amerika Syarikat setiap tahun. Mycoplasma pneumoniae bertanggungjawab untuk 1-10 kes daripada 50 kes pneumonia perolehan-komuniti (jangkitan pneumonia luar daripada kawasan hospital)

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Pneumonia Atipikal?

Simptom lazim bagi pneumonia atipikal ialah:

  • Menggigil/sejuk
  • Batuk (jika dijangkiti legionella penumoniae, anda boleh batuk lendir berdarah)
  • Demam, sederhana atau tinggi
  • Sesak nafas (berlaku apabila anda memaksa diri)

Simptom-simptom lain termasuklah:

  • Sakit dada yang bertambah teruk apabila menarik nafas dalam-dalam atau batuk
  • Kekeliruan,selalunya berlaku pada orang yang berumur atau yang terkena jangkitan legionella pneumoniae
  • Sakit kepala
  • Kehilangan selera, kekurangan tenaga dan cepat penat
  • Sakit otot dan sendi
  • Kulit yang berpeluh dan sejuk

Simptom yang kurang lazim termasuklah :

  • Cirit birit (selalunya disebabkan oleh legionella pneumoniae)
  • Sakit telinga (dengan mycoplasma pneumoniae)
  • Sakit mata (dengan mycoplasma pneumoniae)
  • Benjolan pada  leher (dengan mycoplasma pneumoniae)
  • Ruam (dengan mycoplasma pneumoniae)
  • Sakit tekak (dengan mycoplasma pneumoniae)

Pneumonia yang berpunca daripada mycoplasma dan chlamydophila selalunya tidak terlalu teruk. Pneumonia yang disebabkan legionella pula teruk pada awal 4-6 hari, kemudian bertambah baik selepas 4-5 hari

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Hubungi doktor sekiranya anda mengalami perkara berikut:

  • Sakit dada apabila batuk dan bernafas
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Batuk menyebabkan  anda tidak boleh tidur

Punca

Apakah punca Pneumonia Atipikal?

Pneumonia atipikal berpunca daripada 3 jenis bakteria yang berikut:

  • Legionella pneumophila (L. pneumophila)
  • Mycoplasma pneumoniae (M. pneumoniae)
  • Chlamydophila pneumonia (C. pneumoniae)

Mycoplasma pneumoniae

Bakteria ini lebih cenderung untuk menjangkiti golongan yang berumur bawah 40 tahun. Dijangkakan sekurang-kurangnya 2 juta kes berlaku setiap tahun.

Penyakit ini selalunya berlaku kepada orang yang bekerja dan hidup di dalam populasi yang besar seperti sekolah, penjara, tempat berteduh orang gelandangan dan rumah kumpulan. Namun, kebanyakannya didiagnos tanpa ada faktor risiko yang khusus.

Legionella pneumoniae

Legionella pneumonia dikenali juga sebagai penyakit Legionnaires. Ia boleh berlaku apabila anda menyedut wap air yang telah dijangkiti L.pneumophila.Selalunya bakteria ini ditemui di dalam pembekal air bangunan atau menara penyejuk. Ia boleh menjadi lebih teruk berbanding pneumonia atipikal yang lain.

Wabak penyakit ini terjadi apabila apabila dua orang jatuh sakit dan medapat jangkitan daripada tempat yang sama. Jabatan kesihatan tempatan akan menyiasat sebarang wabak yang berpotensi berlaku ditempat tersebut.

Bukan semua orang yang terdedah kepada jangkitan ini akan jatuh sakit. Mereka mungkin terkena jangkitan yang kurang serius yang dipanggil demam Pontiac. Antara simptom demam pontiac termasuklah sakit kepala, demam, dan sakit badan . Mereka yang terkena jangkitan ini juga tidak mengalami pneumonia. Minta khidmat nasihat doktor sekiranya anda terasa dijangkiti oleh bakteria ini.

Chlamydophilia Pneumonia

Pneumonia jenis ini boleh berlaku sepanjang tahun . Simptomnya sangat lemah dan jarang sekali menyebabkan kes yang serius.

Lazimnya ia berlaku pada golongan kanak-kanak yang bersekolah. Dijangkakan sebanyak 50% orang dewasa pernah dijangkiti bakteria ini menjelang umur 20.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Pneumonia Atipikal?

Terdapat banyak faktor risiko pneumonia atipikal seperti:

  • Merokok
  • Umur yang sudah lanjut
  • Sistem imun yang lemah
  • Sakit kronik yang lain

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Pneumonia Atipikal didiagnosis?

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan sinar –X. Sinar-X boleh membantu untuk membezakan antara pneumonia dan penyakit respiratori yang lain seperti bronkitis akut.

Berdasarkan simptom, doktor mungkin akan menjalankan ujian yang lain, termasuklah:

  • Kultur daripada lendir didalam paru-paru yang dipanggil kahak
  • Ujian pewarna Gram (Gram stain) terhadap kahak
  • Swab tekak
  • Kiraan darah lengkap
  • Ujian darah untuk antibodi spesifik
  • Kultur darah

Bagaimana pesakit Pneumonia Atipikal dirawat?

Ubat antibiotik akan digunakan untuk merawat bakteria spesifik yang menyebabkan kondisi anda. Bagi kes yang lemah, antibiotik boleh diambil secara oral. Bagi kes yang lebih teruk, doktor mungkin akan memasukkan ubat melalui saluran darah. Antibiotik akan n diberikan selama 2 minggu atau lebih. Habiskan antibiotik yang telah dipreskrib walaupun sudah terasa sihat. Sekiranya anda berhenti terlalu awal, jangkitan boleh kembali dan semakin sukar untuk dirawat. Sesetengah orang yang dijangkiti pneumonia atipikal yang serius mungkin memerlukan bekalan oksigen.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Pneumonia Atipikal?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi pneumonia atipikal:

  • Turunkan suhu badan dengan aspirin, NSAID(seperti ibuprofen atau naproxen), atau acetaminophen. Jangan berikan aspirin kepada kanak-kanak kerana boleh mengakibatkan penyakit yang merbahaya yang dipanggil Sindrom Reye
  • Jangan ambil ubat batuk tanpa berbincang dengan doktor/ahli farmasi.Ubat batuk mungkin akan menambahkan kesukaran anda untuk mengeluarkan kahak.
  • Minum banyak air untuk mencairkan lendir dan mengeluarkan kahak.
  • Dapatkan rehat secukupnya. Minta tolong orang lain untuk melakukan kerja rumah.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 30, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.