Kecederaan Pleksus Brachial

Oleh

Definisi

Apakah itu kecederaan pleksus brachial?

Pleksus brachial merupakan rangkaian saraf yang menghantar isyarat daripada tulang belakang ke bahu, lengan dan tangan anda. Kecederaan pleksus brachial berlaku apabila saraf-saraf ini tertegang, ditekan atau dalam kes serius, saraf ini terkoyak daripada saraf tunjang.

Kecederaan pleksus brachial, juga dikenali sebagai penyengat atau pembakar, yang biasanya berlaku dalam sukan seperti bola sepak. Bayi kadangkala mengalami kecederaan ini semasa lahir. Keadaan lain seperti radang atau ketumbuhan, mungkin menjejaskan pleksus brachial.

Kecederaan pleksus brachial yang paling teruk adalah kesan daripada kemalangan jalan raya. Kecederaan teruk pleksus ini akan menyebabkan lengan anda lumpuh, hilang fungsi dan deria. Prosedur pembedahan seperti graf saraf, pemindahan saraf atau pemindahan otot boleh membantu memulihkan fungsi tersebut.

Apakah kebarangkalian kecederaan pleksus brachial?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom kecederaan pleksus brachial?

Simptom lazim kecederaan ini ialah:

  • Sakit
  • Hilang deria
  • Lemah otot
  • Lepuh sebahagian atau kesemua otot bahu dan kedua-dua tangan

Sesetengah pesakit mungkin mengalami kesakitan avulsi (jenis sakit yang membakar, menghancurkan) dalam pengedaran saraf yang cedera.

Terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan simptom, sila berunding dengan doktor anda.

Bilakah saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu menghubungi doktor anda jika berlaku sebarang perkara berikut:

  • Pembakar atau penyengat berulang kali
  • Rasa lemah pada tangan dan lengan
  • Lemah pada mana-mana bahagian lengan yang terlibat dengan trauma
  • Lumpuh keseluruhan bahagian lengan selepas trauma
  • Sakit leher
  • Simptom pada kedua-dua belah lengan
  • Simptom pada tangan dan kaki

Punca-punca

Apakah punca kecederaan pleksus brachial?

  • Kerosakan saraf atas yang membentuk pleksus brachial apabila bahu anda tertekan ke bawah sementara leher anda tertolak ke atas daripada bahu yang tercedera. Saraf bawah lebih cenderung tercedera apabila lengan anda diangkat melebihi paras kepala anda. Kecederaan ini berlaku dalam beberapa cara, antaranya ialah:
    • Sukan. Kebanyakan pemain bola sepak mengalami rasa sengatan atau terbakar, berlaku apabila saraf pada pleksus brachial tertegang melebihi had semasa perlanggaran dengan pemain lain
    • Kelahiran sukar. Bayi mengalami kecederaan ini apabila berlaku masalah semasa kelahiran seperti posisi songsang atau proses bersalin yang panjang. Jika bahu bayi tersebut teralih jauh di dalam salur kelahiran, bayi tersebut berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan palsy pleksus brachial. Saraf atas tercedera dinamakan sebagai palsy Erb. Palsy kelahiran pleksus brachial penuh berlaku apabila kedua-dua saraf, atas dan bawah rosak
    • Trauma teruk – termasuk kemalangan jalanraya, motosikal, terjatuh atau ditembak- boleh menyebabkan kecederaan pleksus brachial
    • Radang menyebabkan kerosakan pleksus brachial. Keadaan yang jarang berlaku dikenali sebagai sindrom Parsonage-Turner (pleksus brachial) menyebabkan radang tanpa trauma dan berlaku lumpuh pada beberapa otot lengan
    • Ketumbuhan / benign atau kanser boleh tumbuh di dalam pleksus brachial atau tekanan pada pleksus brachial atau merebak kepada saraf, menyebabkan kerosakan pada pleksus brachial
    • Rawatan radiasi. Rawatan radiasi mungkin menyebabkan kerosakan pada pleksus brachial

Faktor risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya mendapat kecederaan pleksus brachial?

Terdapat banyak faktor risiko bagi kecederaan ini, antaranya ialah:

  • Terlibat dengan sukan terutamanya bola sepak dan tinju
  • Terlibat dengan kemalangan kelajuan tinggi

Diagnosis & rawatan

Maklumat yang disediakan bukan sebagai pengganti kepada mana-mana nasihat perubatan. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimanakah kecederaan pleksus brachial didiagnosis?

Untuk diagnos keadaan anda, doktor akan melihat simptom dan menjalankan pemeriksaan fizikal.

Bagi membantu diagnosis keseriusan dan tahap kecederaan, anda perlu menjalani satu atau lebih ujian berikut:

  • Elektromiografi (EMG). semasa melakukan EMG, doktor memasukkan jarum elektrod ke dalam beberapa otot. Ujian ini akan menilai aktiviti elektrik otot anda semasa ia mengecut dan kendur. Anda berasa sedikit sakit semasa elektrod dimasukkan tetapi kebanyakan pesakit boleh menjalankan ujian tanpa banyak ketidakselesaan
  • Kajian pengaliran saraf. Ujian ini biasanya dilakukan dan merupakan sebahagian daripada EMG dan mengukur kelajuan pengaliran saraf anda apabila sedikit aliran dilepaskan pada saraf. Ini akan memberi maklumat tentang fungsi saraf anda
  • Pengimejan resonan magnetik (MRI). Ujian ini menggunakan magnet yang kuat dan gelombang radio untuk menghasilkan pandangan teliti dalam beberapa potongan badan anda. Ia akan menunjukkan tahap kerosakan akibat kecederaan pleksus dan membantu melihat status arteri yang penting kepada tangan dan kaki atau untuk pembinaan semula. Cara baru MRI resolusi tinggi dikenali sebagai neurografi resonan magnetik juga mungkin digunakan
  • Myelografi Tomografi berkomputer (CT). Myelografi CT menggunakan beberapa siri X-ray untuk mendapatkan imej keratan rentas badan anda. Myelografi CT menambah material kontras, disuntik melalui tulang belakang, untuk menghasilkan gambaran teliti saraf tunjang dan akar saraf anda semasa imbasan CT. ujian ini kadang kala dilakukan apabila MRI tidak menyediakan maklumat yang mencukupi
  • Jika doktor mengesyaki saluran darah pada bahagian lengan anda tercedera, doktor akan mencadangkan angiogram – ujian pengimejan di mana bahan kontras disuntik ke dalam arteri atau vein untuk memeriksa keadaan saluran darah anda. Maklumat ini penting untuk merancang prosedur pembedahan anda

Bagaimanakah kecederaan pleksus brachial dirawat?

Rawatan bergantung kepada beberapa faktor termasuk kecederaan serius, jenis kecederaan, dan tempoh antara masa kecederaan dan keadaan lain yang muncul.

Saraf yang hanya tertegang mungkin pulih tanpa rawatan.

Doktor anda akan mengesyorkan terapi fizikal untuk mengekalkan fungsi sendi dan otot anda, mengekalkan purata pergerakan dan mencegah kekakuan sendi.

Proses pemulihan kadang kala menyebabkan terbentuknya parut yang perlu dibuang secara pembedahan untuk memperbaiki fungsi saraf. Pembaikan pembedahan diperlukan pada saraf yang mempunyai kesan parut ketara atau saraf yang terpotong atau terkoyak.

Pembedahan untuk memperbaiki saraf pleksus brachial perlu dilakukan dalam masa enam ke tujuh bulan selepas kecederaan. Jika pembedahan dilakukan tujuh bulan selepas kecederaan, otot tidak dapat kembali berfungsi seperti biasa.  

Jenis pembedahan

  • Graf saraf. Bagi prosedur ini, bahagian pleksus yang rosak dibuang dan digantikan dengan sebahagian saraf yang diambil daripada bahagian lain. Ini dapat membantu memulihkan fungsi lengan anda
  • Pemindahan saraf. Apabila akar saraf tercabut daripada saraf tunjang, pakar bedah akan mengambil saraf kurang penting yang masih melekat pada saraf tunjang dan menghubungkan ia ke saraf yang tercabut

Dalam kes tertentu, pakar bedah melakukan teknik ini berhampiran otot yang hendak diperbaiki untuk mempercepatkan proses pemulihan berbanding melakukan graf saraf jauh daripada otot tersebut. Sesetengah doktor melakukan kombinasi graf dan pemindahan saraf.

Tisu saraf tumbuh perlahan, hampir seinci (2.5 sentimeter) sebulan, ia mengambil masa beberapa tahun untuk mendapat kebaikan penuh daripada pembedahan tersebut. Semasa tempoh pemulihan, anda perlu pastikan sendi fleksibel dengan melakukan senaman. Splint mungkin digunakan untuk mengekalkan posisi tangan daripada berpusing ke dalam.

  • Pemindahan otot. Pemindahan otot adalah prosedur di mana pakar bedah membuang otot atau tendon yang kurang penting daripada bahagian lain badan anda, biasanya paha, dipindahkan ke bahagian lengan anda dan disambungkan semula ke saluran darah dan saraf otot tersebut

Meredakan kesakitan

Kesakitan yang berlaku akibat kecederaan pleksus brachial dijelaskan sebagai sakit melemahkan, deria menghancurkan teruk atau pembakaran berterusan. Ubat narkotik biasanya digunakan pada permulaannya, tetapi ia boleh diubah apabila pemulihan anda berkembang untuk mengoptimumkan kelegaan kesakitan.

Perubahan gaya hidup & kaedah pengubatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup & kaedah pengubatan sampingan yang membantu saya menangani kecederaan pleksus brachial?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi kecederaan pleksus brachial:

  • Bagi diri anda. Jika anda tidak dapat menggunakan tangan atau lengan sementara waktu, lakukan pergerakan sederhana dan terapi fizikal dapat membantu mencegah kekakuan sendi anda
  • Bagi anak anda. Anda sebagai ibubapa perlu melakukan senaman kepada sendi dan fungsi otot anak anda setiap hari, bermula seawal usia bayi tiga minggu. Ini dapat membantu mencegah sendi daripada kaku kekal dan ia dapat mengekalkan kekuatan dan kesihatan otot anak anda

Jika anda mempunyai sebarang persoalan, sila berunding dengan doktor anda untuk memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak menyediakan khidmat nasihat, diagnosis dan rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Ogos 1, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Ogos 1, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut