Apa itu Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak ?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak ?

Jika anak anda mempunyai kecacatan jantung, ini bermakna anak anda telah dilahirkan dengan masalah pada struktur jantungnya.

Sesetengah kecacatan jantung dalam kalangan kanak-kanak adalah ringkas dan tidak memerlukan rawatan. Kecacatan jantung kongenital dalam kalangan kanak-kanak yang lain adalah lebih rumit dan perlu menjalani beberapa pembedahan selama bertahun-tahun.

Mempelajari mengenai kecacatan jantung kongenital anak anda boleh membantu anda dalam memahami keadaan dan mengetahui apa yang anda boleh jangkakan untuk beberapa bulan dan tahun yang akan datang.

Apakah kebarangkalian Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak ?

Lebih kurang 1 dalam setiap 100 bayi yang dilahirkan mempunyai kecacatan jantung kongenital, daripada sederhana sehingga teruk. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak?

Kecacatan jantung kongenital yang teruk biasanya boleh dilihat sejurus selepas dilahirkan atau semasa beberapa bulan pertama selepas dilahirkan. Tanda dan simptom yang boleh dilihat termasuklah:

  • Warna kulit kelabu pucat atau biru.
  • Pernafasan laju.
  • Bengkak pada kaki, abdomen atau kawasan di sekeliling mata.
  • Sesak nafas sewaktu diberi makanan, menyebabkan kenaikan berat badan kurang.

Kecacatan jantung kongenital yang kurang serius tidak boleh didiagnosis sehingga bayi tersebut membesar menjadi kanak-kanak, kerana anak anda tidak mengalami sebarang tanda yang jelas. Jika terdapat tanda dan simptom yang jelas pada kanak-kanak yang lebih tua, ini termasuk:

  • Mudah sesak nafas ketika bersenam atau melakukan aktiviti.
  • Mudah letih ketika bersenam atau melakukan aktiviti.
  • Pengsan ketika bersenam atau melakukan aktiviti.
  • Bengkak pada tangan, buku lali atau kaki.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anak anda mempunyai sebarang tanda atau simptom di atas atau mempunyai sebarang soalan, sila rujuk doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara yang berbeza. Berbincang dengan doktor mengenai apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak?

Bagaimanakah jantung berfungsi

Jantung terbahagi kepada empat kamar yang berongga, dua di bahagian kanan dan dua lagi di bahagian kiri. Untuk mengepam darah ke seluruh badan, jantung menggunakan bahagian kiri dan kanannya bagi melakukan tugas-tugas yang berbeza.

Bahagian kanan jantung mengalirkan darah ke paru-paru melalui saluran darah yang dipanggil arteri pulmonari. Di dalam paru-paru, darah mengambil oksigen bersamanya dan kemudian kembali ke bahagian kiri jantung melalui vena pulmonari.  Bahagian kiri jantung kemudian mengepam darah melalui aorta dan ke seluruh badan.

Bagaimanakah kecacatan jantung berlaku

Ketika enam minggu pertama kehamilan, jantung mula membentuk dan berdegup. Saluran darah utama yang masuk dan keluar daripada jantung juga mula membentuk semasa waktu kritikal ini.

Pada waktu ini kecacatan perkembangan jantung bayi anda mula berlaku. Penyelidik masih tidak mengetahui punca sebenar mengapa kecacatan ini terjadi, tetapi ia mungkin disebabkan oleh genetik, keadaan perubatan tertentu, sesetengah ubat dan faktor persekitaran, seperti merokok, mungkin memainkan peranan.

Jenis kecacatan jantung

Terdapat pelbagai jenis kecacatan jantung kongenital, terbahagi kepada beberapa kategori:

  • Lubang dalam jantung. Lubang boleh terbentuk pada dinding di antara kamar jantung atau antara saluran darah utama yang keluar daripada jantung.

Bagi keadaan tertentu, lubang ini membenarkan darah yang kurang oksigen untuk bercampur dengan darah yang kaya dengan oksigen, menyebabkan sedikit sahaja oksigen yang dibawa ke seluruh badan anak anda. Bergantung kepada saiz lubang tersebut, kekurangan oksigen yang mencukupi menyebabkan kulit dan kuku jari anak anda kelihatan biru dan mungkin boleh mengakibatkan kegagalan jantung kongestif.

  • Kecacatan septal ventrikular berlaku apabila terdapat lubang di antara dinding kanan dan kiri kamar pada separuh bahagian bawah jantung (ventrikel). Kecacatan septal atrial pula terjadi apabila terdapat lubang di antara bahagian atas kamar jantung (atria).
  • Duktus arteriosus yang paten merupakan sambungan antara arteri pulmonari (mengandungi darah ternyahoksigen) dan aorta (mengandungi darah beroksigen) Kecacatan penuh pada saluran atrioventrikular adalah keadaan yang menyebabkan lubang pada bahagian tengah jantung.
  • Aliran darah tersekat. Apabila saluran darah atau injap jantung menjadi sempit akibat kecacatan jantung, jantung perlu bekerja dengan lebih keras untuk mengepam darah melalui saluran yang sempit ini. Perkara ini lama kelamaan akan menyebabkan jantung membesar dan otot jantung semakin menebal. Contoh bagi jenis kecacatan ini adalah stenosis pulmonari atau stenosis aortik.
  • Saluran darah abnormal. Beberapa kecacatan jantung kongenital berlaku apabila saluran darah masuk dan keluar daripada jantung tidak terbentuk dengan betul, atau saluran ini tidak terletak pada posisi yang sepatutnya.
  • Kecacatan yang dipanggil transposisi arteri utama yang berlaku apabila arteri pulmonari dan aorta berada pada bahagian jantung yang salah.

Keadaan yang dipanggil koarktasi aorta berlaku apabila saluran utama darah yang membekalkan darah kepada badan menjadi terlalu sempit. Sambungan anomali sepenuhnya pada vena pulmonari merupakan kecacatan yang berlaku apabila saluran darah daripada paru-paru bersambung pada bahagian jantung yang salah.

  • Abnormaliti injap jantung. Jika injap jantung tidak dapat buka dan tutup dengan betul, darah tidak boleh mengalir dengan baik.

Salah satu contoh bagi jenis kecacatan ini dipanggil anomali Ebstein. Bagi anomali Ebstein, injap trikuspid – yang mana terletak antara atrium kanan dan ventrikel kanan – tidak terbentuk dengan baik dan selalu bocor.

Contoh lain ialah atresia pulmonari, di mana tiada injap pulmonari, mengakibatkan aliran darah yang abnormal ke paru-paru.

  • Jantung tidak terbentuk sepenuhnya. Kadang kala, sebahagian besar jantung gagal untuk membentuk dengan baik. Contohnya, sindrom hipoplastik jantung kiri, yang mana bahagian kiri jantung tidak terbentuk dengan baik untuk membolehkan jantung mengepam darah yang cukup kepada badan,
  • Kombinasi kecacatan. Sesetengah bayi dilahirkan dengan beberapa kecacatan jantung. Tetralogi Fallot merupakan kombinasi daripada empat jenis kecacatan: lubang dalam dinding di antara ventrikel jantung, laluan antara ventrikel kanan dan arteri pulmonari sempit, sambungan antara aorta dan jantung bertukar, dan otot ventrikel kanan menebal.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak ?

Terdapat banyak faktor risiko bagi kecacatan jantung kongenital dalam kalangan kanak-kanak, seperti:

  • Rubela (Campak German). Mempunyai rubela ketika hamil boleh menyebabkan masalah pada perkembangan jantung bayi anda. Doktor akan melakukan ujian imuniti terhadap penyakit viral ini sebelum anda hamil dan memberi vaksin kepada anda untuk melawan jangkitan ini sekiranya anda tidak mempunyai imuniti.
  • Anda boleh mengurangkan risiko kecacatan jantung kongenital dengan mengawal diabetes anda dengan baik sebelum cubaan untuk mendapat anak atau ketika anda hamil. Diabetis gestasi secara umumya tidak meningkatkan risiko bayi anda untuk mengalami kecacatan jantung.
  • Ubat-ubat tertentu yang diambil ketika hamil boleh menyebabkan kecacatan jantung, termasuk kecacatan jantung kongenital. Beri doktor anda senarai penuh ubat-ubatan yang anda ambil sebelum cuba untuk hamil. Ubat-ubatan yang diketahui boleh menyebabkan risiko kecacatan jantung kongenital termasuk thalidomide (Thalomid), perencat enzim penukar angiotensin (ACE), statin, ubat jerawat isotretinoin (Absorica, Amnesteem, Claravis) dan litium.
  • Minum alkohol ketika hamil. Elakkan alkohol ketika hamil kerana ia boleh meningkatkan risiko kecacatan jantung kongenital.
  • Merokok ketika hamil boleh meningkatkan kecenderungan kecacatan jantung kongenital pada bayi.
  • Kecacatan jantung kongenital kadang kala boleh diwarisi dalam keluarga dan mungkin berkait dengan sindrom genetik. Ramai kanak-kanak yang mengalami Sindrom Down – yang mana disebabkan oleh kromosom ke-21 yang lebih (trisomi 21) – mempunyai kecacatan jantung. Kehilangan pecahan (pemotongan) bahan genetik pada kromosom 22 juga boleh menyebabkan kecacatan jantung.

Ujian generik boleh mengesan gangguan yang berlaku ketika pembentukan fetus. Jika anda sudah mempunyai anak yang mempunyai kecacatan jantung kongenital, konselor genetik boleh menjangka kebarangkalian anak anda yang seterusnya akan mempunyai masalah yang sama atau tidak.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak didiagnosis?

Sesetengah kecacatan jantung kongenital boleh mengakibatkan simptom yang serius sejurus selepas lahir, menyebabkan bayi tersebut memerlukan penjagaan rapi di hospital dan penilaian segera oleh ahli kardiologi. Kecacatan lain, seperti kecacatan septal atrial, mungkin tidak boleh didiagnosis sehinggalah mencapai usia remaja – ataupun ketika sudah dewasa.

Bayi yang baru lahir di U.S. akan disaring sekurang-kurangnya 24 jam selepas dilahirkan bagi melihat sebarang penyakit jantung kongenital serius yang boleh merendahkan paras oksigen. Saringan ini melibatkan ujian ringkas dan tidak sakit menggunakan mesin yang dipanggil oksimeter nadi. Oksimeter menggunakan sensor yang diletakkan pada kulit bayi bagi menganggar jumlah oksigen di dalam darah bayi. Ujian ini membantu dalam mengesan masalah jantung dari awal lagi supaya bayi dapat terus dirawat. Saringan ini hanya dapat mengesan kecacatan jantung yang paling serius, tetapi sesetengah bayi yang mempunyai ujian yang normal masih lagi boleh mempunyai masalah jantung, terutamanya koarktasi aorta atau kecacatan lain pada bahagian kiri jantung.

Jika kecacatan jantung kongenital disyaki, doktor anda akan merujuk anda kepada ahli kardiologi kanak-kanak. Selepas menjalani pemeriksaan fizikal yang lengkap, ahli kardiologi akan melakukan elektrokardiogram (EKG). EKG akan dilakukan dengan meletakkan pad kecil (dipanggil lead) pada dada kanak-kanak tersebut, yang mana akan bersambung dengan mesin pemantau yang merekod dan mencetak keluar isyarat elektrik jantung.

Ahli kardiologi selalunya akan melakukan ekokardiogram, yang mana akan menunjukkan gambaran jantung dengan lebih jelas menggunakan ultrasound. Gelombang khusus ultrasound dapat menunjukkan semua kamar dan injap jantung, arteri utama yang keluar daripada jantung, dan arah serta kelajuan aliran darah dalam pelbagai kawasan jantung. Ekokardiogram juga dapat menilai sama ada jantung sedang mengecut dan relaks dengan normal. Ekokardiogram adalah alat utama dalam mendiagnosis kecacatan jantung kongenital.

Ekokardiogram fetus adalah sejenis ultrasound khusus yang membolehkan diagnosis masalah jantung dapat dilakukan dari dalam uterus. Perkara ini boleh dilakukan seawal 16-18 minggu kehamilan. Ujian ini akan dipesan apabila ahli obstetrik mengesyaki abnormaliti jantung pada paras II ultrasound. Ujian ini juga boleh dilakukan sekiranya terdapat ahli keluarga terdekat yang mempunyai kecacatan jantung kongenital atau jika ibu mengalami keadaan, seperti diabetes, yang mungkin akan menyebabkan masalah jantung kepada fetus.

Bagi sesetengah kanak-kanak, X-ray dada boleh dilakukan bagi menilai saiz dan bentuk jantung. Ia juga boleh menunjukkan jumlah darah di dalam jantung yang dipam ke dalam paru-paru.

Kadang kala pengkateteran jantung juga dilakukan. Bagi prosedur ini, tiub yang panjang dan nipis (kateter) dimasukkan melalui saluran darah pada tali pusat (bayi yang baru lahir) atau pelipat paha terus ke dalam jantung. Apabila kateter sudah berada di tempatnya, ia boleh menyukat paras oksigen dan tekanan di dalam kamar jantung. Pewarna mungkin akan disuntik melalui kateter untuk melihat struktur dalaman jantung dengan lebih jelas dan melihat arah aliran darah ke seluruh jantung.

Kebanyakan kecacatan jantung kongenital boleh dirawat melalui pengkateteran jantung. Contohnya, alat ini boleh menutup lubang pada jantung arah membuka injap yang ketat atau saluran darah yang sempit.

Ahli kardiologi kanak-kanak adalah doktor yang paling layak untuk mendiagnosis kecacatan jantung kongenital dan memberi rawatan. Perkara ini benar bahkan dapat dilakukan sebelum bayi dilahirkan lagi. Jika anda merupakan bakal ibu atau ayah dan anak anda telah didiagnosis dengan kecacatan jantung kongenital melalui ultrasound fetus, ahli obstetrik anda mungkin akan merujuk anda kepada ahli kardiologi kanak-kanak.

Bagaimana pesakit Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak dirawat?

Terdapat kecacatan jantung kongenital tidak mempunyai kesan jangka panjang pada kesihatan anak anda – contohnya, kecacatan yang tidak membawa masalah sekiranya tidak dirawat. Kecacatan tertentu, seperti lubang yang kecil, akan sembuh dengan sendirinya apabila anak anda membesar.

Namun, sesetengah kecacatan jantung adalah serius dan memerlukan rawatan sejurus selepas didiagnosis. Bergantung kepada jenis kecacatan jantung yang anak anda alami, doktor akan merawat kecacatan jantung kongenital dengan:

  • Prosedur menggunakan pengkateteran. Sesetengah kanak-kanak dan orang dewasa yang mempunyai kecacatan jantung kongenital kini boleh dirawat menggunakan teknik pengkateteran, yang mana jantung boleh dibaiki tanpa perlu melakukan pembedahan membuka dada dan jantung. Prosedur kateter selalunya digunakan utuk membaiki lubang atau kawasan yang sempit.

Bagi prosedur yang dilakukan menggunakan pengkateteran, doktor akan memasukkan tiub nipis (kateter) ke dalam vena kaki dan tiub tersebut dibawa ke dalam jantung dengan bantuan gambaran x-ray. Selepas kateter telah diletakkan pada kawasan yang kecacatan, sebuah alat kecil akan dimasukkan melalui kateter tersebut ke dalam jantung bagi membaiki kecacatan.

  • Pembedahan buka jantung. Bergantung kepada keadaan anak anda, dia mungkin memerlukan pembedahan untuk membaiki kecacatan yang dialami. Kebanyakan kecacatan jantung kongenital boleh dibaiki melalui pembedahan buka jantung. Dalam pembedahan buka jantung ini, dada harus dibuka.

Bagi sesetengah kes, pembedahan invasif jantung secara minimal mungkin boleh dijadikan sebagai salah satu pilihan. Pembedahan jenis ini melibatkan bukaan kecil di antara tulang belikat dan sejenis alat akan dimasukkan melaluinya bagi membaiki kecacatan tersebut.

  • Pemindahan jantung. Sekiranya kecacatan jantung tidak boleh dibaiki, pemindahan jantung mungkin akan menjadi pilihan.
  • Sesetengah kecacatan jantung kongenital yang sederhana, terutamanya yang dikesan ketika zaman kanak-kanak atau dewasa, boleh dirawat menggunakan ubat yang dapat membantu jantung untuk berfungsi dengan lebih berkesan.

Ubat yang dikenali sebagai perencat enzim penukar angiotensin (ACE), penyekat reseptor angiotensin II (ARB), dan penyekat beta serta ubat yang boleh menyebabkan cecair berkurang (diuretik) boleh membantu untuk mengurangkan stress terhadap jantung dengan merendahkan tekanan darah, dengupan jantung dan jumlah cecair di dalam dada. Ubat-ubat yang lain juga boleh dipreskripsi bagi membantu merawat degupan jantung tidak sekata (artima).

Kadang kala, kombinasi rawatan juga diperlukan. Tambahan pula, prosedur pengkateteran dan pembedahan boleh dilakukan secara berperingkat, selama beberapa tahun. Rawatan yang lain mungkin perlu dilakukan sekali lagi apabila anak anda semakin membesar.

Rawatan jangka panjang

Sesetengah kanak-kanak yang mempunyai kecacatan jantung kongenital perlu menjalani pelbagai prosedur dan pembedahan sepanjang hayat mereka. Walaupun keberkesanan bagi kanak-kanak yang mempunyai kecacatan jantung telah meningkat secara mendadak, kebanyakan individu, kecuali bagi yang mengalami kecacatan yang biasa, akan memerlukan penjagaan yang berterusan, meskipun pembedahan untuk membaiki kecacatan tersebut telah dilakukan.

  • Rawatan dan pemantauan sepanjang hayat. Sekiranya anak anda telah menjalani pembedahan bagi merawat kecacatan jantung, keadaan anak anda perlu dipantau seumur hidup mereka.

Pada mulanya, hal ini akan dilakukan oleh ahli kardiologi kanak-kanak, dan kemudiannya oleh ahli kardiologi orang dewasa. Kecacatan jantung kongenital boleh memberi kesan terhadap kehidupan zaman dewasa anak anda kerana ia boleh menyumbang kepada masalah kesihatan yang lain.

Semakin anak anda membesar, penting untuk mengingatkan mereka mengenai keadaan jantung yang telah dibaiki dan keperluan penjagaan yang berterusan. Sentiasa galakkan anak anda untuk memberitahu doktornya mengenai kecacatan jantung dan prosedur yang telah dilakukan bagi merawat masalah tersebut.

  • Hadkan senaman. Ibu bapa kepada anak yang mempunyai kecacatan jantung kongenital mungkin risau mengenai risiko permainan dan aktiviti yang kasar meskipun setelah dirawat. Walaupun sesetengah kanak-kanak perlu menghadkan jumlah dan jenis senaman yang boleh dilakukan, ramai yang boleh menyertai aktiviti yang normal atau seakan normal.

Doktor akan memberitahu aktiviti yang selamat untuk anak anda. Jika terdapat aktiviti yang berbahaya, galakkan anak anda untuk menyertai aktiviti yang lain selain daripada fokus terhadap perkara yang anak anda tidak boleh lakukan. Walaupun setiap anak adalah berbeza, kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai kecacatan jantung kongenital akan membesar dan menjalani kehidupan yang sihat dan produktif.

  • Pencegahan jangkitan. Bergantung kepada jenis kecacatan jantung kongenital yang anak anda alami, dan pembedahan yang telah dijalani bagi membaiki kecacatan tersebut, anak anda perlu mengambil langkah tambahan bagi mengelakkan jangkitan.

Kadang kala, kecacatan jantung kongenital boleh meningkatkan risiko jangkitan – sama ada pada lapisan jantung atau injap jantung (jangkitan endokarditis). Oleh sebab risiko ini, anak anda perlu mengambil antibiotik bagi mengelakkan jangkitan sebelum menjalani prosedur pembedahan atau rawatan gigi.

Kanak-kanak lebih cenderung untuk mempunyai risiko jangkitan yang lebih tinggi termasuk kecacatan yang dibaiki dengan alat atau bahan prostetik, seperti injap jantung palsu.

Tanya ahli kardiologi anak anda sekiranya pencegahan antibiotik perlu untuk anak anda.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak ?

Berikut merupakan perubahan gaya hidup dan kaedah rawatan sampingan yang mungkin membantu anda mengatasi kecacatan jantung kongenital dalam kalangan kanak-kanak:

  • Masalah perkembangan. Oleh sebab sesetengah kanak-kanak yang mengalami kecacatan jantung kongenital perlu menjalani tempoh penyembuhan yang panjang disebabkan oleh pembedahan atau prosedur, mereka akan jauh ketinggalan berbanding kanak-kanak lain yang sama umur dengan mereka. Masalah ini akan berpanjangan sehingga ke alam persekolahan, dan mereka juga mengalami masalah untuk membaca atau menulis.
  • Masalah emosi. Ramai kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan akan berasa kurang yakin dengan kebolehan mereka dan mungkin akan mempunyai masalah emosi apabila mereka memasuki alam persekolahan.
  • Kumpulan sokongan. Mempunyai anak yang mengalami masalah perubatan yang serius bukanlah mudah dan, bergantung kepada keterukan kecacatan tersebut, perkara ini boleh jadi sangat susah dan menakutkan. Anda boleh bersembang dengan ibubapa yang telah mengharungi situasi yang sama untuk mendapatkan semangat dan menenangkan anda.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Jun 5, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Jun 5, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.