Skurvi (Kekurangan Vitamin C)

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 18/12/2019 . 4 mins read

Definisi

Apakah itu skurvi?

Skurvi adalah satu nama yang diberikan kepada satu keadaan kekurangan vitamin C. Ia boleh menyebabkan anemia, kelemahan, keletihan, pendarahan spontan, sakit pada anggota badan terutamanya pada kaki, bengkak di beberapa bahagian badan, dan kadang-kadang ulser gusi serta kehilangan gigi.

Apakah kebarangkalian skurvi?

Skurvi telah diketahui sejak zaman Yunani dan zaman Mesir kuno, dan sering dikaitkan dengan para pelaut pada abad ke-15 hingga ke-18, ketika pelayaran laut yang panjang menjadikannya sukar untuk mendapatkan bekalan makanan yang segar. Ramai yang maut akibat kesan tersebut.

Skurvi juga berlaku semasa kelaparan kentang Ireland pada tahun 1845 dan Perang Saudara Amerika. Wabak paling terkini yang telah direkodkan adalah di Afghanistan pada tahun 2002, berikutan peperangan dan kemarau.

Kes-kes skurvi moden adalah sangat jarang berlaku, terutamanya di tempat-tempat di mana terdapatnya roti dan bijirin yang diperkaya, tetapi ia masih boleh menjejaskan individu yang tidak mengambil vitamin C yang mencukupi. Sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom skurvi?

Gejala kekurangan vitamin C boleh mula muncul selepas 8 hingga 12 minggu. Antara tanda-tanda awal termasuklah kehilangan selera makan, penurunan berat badan, kelesuan, kerengsaan, dan keletihan.

Dalam masa 1 hingga 3 bulan, individu mungkin akan mengalami tanda-tanda seperti berikut:

  • Anemia
  • Myalgia, atau sakit, termasuk sakit tulang
  • Bengkak, atau edema
  • Petechiae, atau bintik merah yang kecil akibat pendarahan di bawah kulit
  • Rambut corkscrew
  • Penyakit gusi dan kehilangan gigi
  • Penyembuhan luka yang lambat
  • Sesak nafas
  • Perubahan mood, dan kemurungan

Dalam masa yang sama, individu yang terjejas akan menunjukkan tanda-tanda edema umum, penyakit kuning yang teruk, pemusnahan sel darah merah, yang dikenali sebagai hemolisis, pendarahan secara tiba-tiba dan spontan, neuropati, demam, dan sawan. Ia boleh membawa maut.

Bayi yang mempunyai skurvi akan menjadi cemas dan mudah marah. Mereka mungkin mengalami kesakitan yang menyebabkan mereka melakukan postur seperti posisi katak untuk mendapatkan keselesaan.

Terdapat juga kemungkinan berlakunya pendarahan subperiosteal, sejenis pendarahan yang berlaku di hujung tulang panjang.

Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa kekurangan vitamin C dalam wanita semasa kehamilan boleh menyebabkan masalah terhadap perkembangan otak janin.

Mungkin terdapat beberapa gejala yang tidak disenaraikan di atas. Sekiranya anda mempunyai keraguan mengenai gejala yang berlaku, sila berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu berjumpa dengan doktor jika anda mempunyai mana-mana keadaan seperti yang berikut:

  • Rasa sangat letih dan lemah sepanjang masa
  • Rasa marah dan sedih sepanjang masa
  • Sakit sendi atau kaki yang agak teruk
  • Mempunyai gusi bengkak atau berdarah – kadangkala gigi anda boleh tertanggal
  • Muncul bintik merah atau biru pada kulit
  • Mempunyai kulit yang mudah lebam

Ini juga mungkin simptom-simptom bagi skurvi.

Jika anda mempunyai tanda-tanda atau simptom-simptom seperti yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, silalah berbincang dengan doktor. Tubuh setiap individu bertindak secara berbeza. Ia adalah langkah yang terbaik untuk membincangkannya dengan doktor mengenai apa yang terbaik untuk keadaan semasa anda.

Punca

Apakah punca skurvi?

Manusia tidak dapat mensintesis atau menghasilkan vitamin C. Ia perlu diperoleh daripada sumber luaran, terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran, atau makanan yang diperkaya. Skurvi terjadi disebabkan oleh vitamin C yang tidak mencukupi dalam diet individu, untuk sekurang-kurangnya 3 bulan.

Faktor-faktor risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada skurvi?

Walaupun skurvi sangat jarang berlaku, anda mungkin lebih berisiko jika anda:

  • Sedang menjalani diet ‘fad’ yang luar biasa atau terhad – dengan sedikit atau tiada sumber vitamin C
  • Makan makanan yang sangat sedikit – sebab yang mungkin termasuk rawatan yang membuat anda berasa sangat sakit sepanjang masa (seperti kemoterapi) atau gangguan makan seperti anoreksia
  • Mempunyai diet yang buruk dan merokok – merokok mengurangkan jumlah vitamin C yang diserap tubuh badan anda daripada makanan
  • Mempunyai diet yang tidak sihat dan hamil atau menyusu – badan anda memerlukan lebih banyak vitamin C pada masa ini

Kumpulan lain yang mungkin lebih berisiko untuk mengalami skurvi termasuklah:

  • Individu dengan keadaan pencernaan yang teruk, seperti penyakit Crohn atau kolitis ulseratif
  • Bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat jumlah vitamin disyorkan – baca tentang vitamin untuk kanak-kanak
  • Individu yang sangat tua, yang mungkin sukar untuk memasak atau mengekalkan diet yang sihat
  • Individu yang mengalami ketagihan dadah atau alkohol

Diagnosis dan rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit skurvi didiagnosis?

Doktor akan menjalankan ujian fizikal, dan meminta ujian makmal untuk menilai tahap vitamin C dalam darah.

Ujian pengimejan boleh mendedahkan kerosakan dalaman akibat skurvi.

Bagaimana pesakit skurvi dirawat?

Rawatan akan melibatkan pengambilan suplemen vitamin C melalui mulut atau suntikan.

Dos yang disyorkan ialah:

  • 1 hingga 2 gram (g) sehari selama 2 hingga 3 hari
  • 500 miligram (mg) untuk 7 hari seterusnya
  • 100 mg selama 1 hingga 3 bulan

Dalam tempoh 24 jam, pesakit boleh melihat perubahan terhadap keletihan, kelesuan, kesakitan, anoreksia, dan kekeliruan. Lebam, pendarahan, dan kelemahan mula akan berkurangan dalam tempoh masa 1 hingga 2 minggu.

Selepas 3 bulan, pemulihan yang lengkap mungkin akan berlaku. Kesan jangka panjang mungkin tidak akan berlaku, kecuali dalam kes kerosakan pergigian yang teruk.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani skurvi?

Gaya hidup dan remedi di rumah yang berikut mungkin membantu anda untuk mengatasi skurvi:

Skurvi boleh dicegah dengan mengambil vitamin C secara mencukupi, sebaiknya dalam diet, tetapi kadangkala diambil dalam bentuk suplemen.

Sumber vitamin C yang terbaik adalah buah-buahan dan sayuran.

Cara terbaik untuk mendapatkan cukup vitamin dan mineral adalah dengan memakan makanan yang sihat dan seimbang.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"

    Artikel lain untuk anda

    tanda-tanda kekurangan vitamin C

    Tanda-tanda Kekurangan Vitamin C

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 12/03/2019 . 3 mins read
    Jintan Putih

    Jintan Putih

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Nur Bashirouh
    Diterbitkan pada 28/05/2018 . 3 mins read