‘Secondary Dysmenorrhea’ Bukan Senggugut Biasa

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dismenorea adalah satu istilah perubatan yang merujuk kepada senggugut, iaitu kesakitan yang berkaitan dengan haid. Ia dibahagikan kepada dua jenis dismenorea, primer dan sekunder.

Dismenorea primer adalah kesakitan senggugut yang biasanya akan berulang kembali dan tidak disebabkan oleh penyakit atau masalah kesihatan lain. Ia adalah satu keadaan yang akan dilalui oleh hampir kesemua wanita yang kedatangan haid. Kesakitan ini biasanya bermula satu atau dua hari sebelum munculnya haid, atau ketika pendarahan haid bermula. Kesakitan ini akan dirasai di bahagian bawah abdomen, bahagian belakang badan atau paha. Masalah senggugut yang dirasai boleh bermula dari kesakitan yang ringan sehingga kronik dan akan berlarutan untuk tempoh 12 sehingga 72 jam. Antara simptom lain yang turut boleh berlaku adalah rasa loya dan muntah, keletihan, serta cirit-birit. Senggugut ini biasanya kurang menyakitkan pada wanita yang berusia dan berkemungkinan besar akan berhenti sepenuhnya apabila seseorang wanita itu mempunyai bayi.

Secara umumnya, dalam tinjauan yang dilakukan, dismenorea primer merupakan satu masalah yang sering dihadapi oleh hampir 50 hingga 90 peratus wanita di seluruh dunia dan ia digambarkan sebagai satu pengalaman haid yang menyakitkan. Majoriti individu wanita yang menghidapi masalah ini adalah individu wanita yang masih muda dan masalah ini akan berkurangan seiring dengan peningkatan usia.

Manakala dismenorea sekunder adalah kesakitan senggugut yang berlaku apabila kekejangan haid disebabkan keadaan yang tidak diketahui atau tidak dapat dilihat seperti penyakit atau gangguan pada organ pembiakan wanita, seperti endometriosis, adenomyosis, fibroid rahim atau jangkitan; ketidakstabilan struktur atau alat kawalan kelahiran dalam rahim (intrauterine). Kesakitan dismenorea sekunder ini biasanya bermula lebih awal dalam kitaran haid, lebih menyakitkan dan berlangsung lebih lama dari kesakitan senggugut haid yang biasa, iaitu dismenorea primer. Biasanya tidak ada sebarang simptom yang akan berlaku.

Tanpa pemeriksaan perubatan, sukar untuk menentukan sama ada sakit atau kesakitan yang berlaku disebabkan oleh dismenorea primer atau sekunder. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tanda yang boleh membantu anda menentukan jika kekejangan haid anda disebabkan oleh dismenorea sekunder.

Apakah punca dismenorea?

Sebelum mengenali lebih lanjut tentang dismenorea primer atau sekunder, anda perlu mengetahui terlebih dahulu apakah yang menyebabkan berlakunya dismenorea atau senggugut ini.

Kesakitan senggugut ini berlaku disebabkan oleh kontraksi iaitu pengetatan dalam otot rahim oleh bahan kimia yang dikenali sebagai prostaglandin. Rahim, bahagian di mana janin membesar menjadi bayi, akan mengalami kontraksi sepanjang kitaran haid wanita. Semasa pendarahan haid, rahim akan mengalami kontraksi yang lebih kuat. Sekiranya kontraksi ini terlalu kuat, ia boleh menekan ke atas saluran darah berhampiran, memotong bekalan oksigen ke tisu otot rahim. Kesakitan berlaku apabila bahagian otot secara ringkasnya kehilangan bekalan oksigen.

Majoriti wanita yang mengalami dismenorea primer tidak mempunyai sebarang faktor risiko yang menyebabkan wujudnya gangguan ini. Dalam kajian sistematik untuk menilai faktor risiko dismenorea faktor seperti demografi, alam sekitar, ginekologi dan psikologi dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah ini, termasuklah faktor usia kurang daripada 30 tahun, indeks jisim badan, merokok, mengalami tempoh haid yang lebih lama, aliran haid tidak teratur atau banyak dan mempunyai trauma serangan seksual.

Dismenorea primer atau dismenorea sekunder?

‘Secondary Dysmenorrhea’ Bukan Senggugut Biasa

Salah satu tanda untuk menentukan bahawa kesakitan senggugut yang anda hadapi berkemungkinan besar adalah sekunder dan bukannya primer adalah apabila kesakitan yang anda rasai tidak beransur pulih dan mungkin tidak sembuh walaupun selepas tiga bulan anda mengambil ubatan seperti ubat menghilangkan kesakitan sebagai kaedah rawatan.

Tanda alternatif lain adalah apabila anda menyedari bahawa sebelum ini, anda tidak pernah mengalami atau merasai kesakitan seperti yang anda lalui kini. Dan, kesakitan itu mula muncul dan berlaku apabila anda mula mencecah usia sekitar 25 tahun.

Secara umumnya, setiap individu wanita akan merasai kesakitan senggugut ini ketika kali pertama menempuhi alam akil baligh. Dan, jika keadaan kesakitan ini berulang kembali, ia berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan lain yang mungkin perlu diberikan perhatian.

Walau bagaimanapun, ia mungkin bukan satu tanda yang tepat, kerana ada masanya masalah berkaitan endometriosis boleh berlaku pada zaman remaja. Antara tanda lain yang boleh menunjukkan bahawa anda berkemungkinan mempunyai dismenorea sekunder adalah apabila pendarahan haid tidak normal seperti berlaku pendarahan yang terlalu banyak atau berlebihan, pendarahan haid yang ringan atau sedikit, berlaku pendarahan selepas melakukan hubungan seksual atau berlaku pendarahan antara tempoh kedatangan haid.

Seandainya kesakitan ketika haid berlaku sama ada pada sebelah kiri atau kanan pelvis berbanding kesakitan pada di tengah-tengah abdomen, ia mungkin petunjuk masalah kesihatan seperti endometriosis dan fibroid. Malahan, jika kesakitan itu tidak pulih tetapi menjadi semakin teruk dan menyakitkan selepas tempoh 72 jam, semestinya ia adalah bukti ia bukan sekadar kesakitan senggugut biasa atau dismenorea primer tetapi mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan yang lain. Antara tanda lain yang cenderung menunjukkan bahawa ia adalah keadaan sekunder adalah seperti pelepasan faraj yang berbau atau berwarna, sakit ketika kencing, demam atau kesejukan.

Bagaimana dismenorea sekunder menyebabkan senggugut?

Kesakitan haid yang disebabkan oleh dismenorea sekunder adalah kerana wujudnya penyakit dalam organ pembiakan wanita. Antara keadaan yang boleh menyebabkan dismenorea sekunder adalah:

Endometriosis

‘Secondary Dysmenorrhea’ Bukan Senggugut Biasa - endometriosis

Keadaan di mana lapisan tisu rahim (endometrium) dijumpai di luar rahim. Ia merupakan salah satu penyebab utama dismenorea sekunder. Seperti dismenorea primer, kesakitan pada bahagian belakang boleh berlaku pada ketika kedatangan haid, tetapi ia juga boleh berlaku di luar tempoh yang tidak berkaitan dengan haid. Kesakitan ini amat menyakitkan dan kronik sehingga boleh menyebabkan seseorang individu itu tidak dapat melakukan tugasan harian seperti pergi ke sekolah atau kerja. Antara tanda lain simptom ini adalah merasai kesakitan ketika melakukan perhubungan seksual, kesakitan senggugut tidak beransur pulih walaupun selepas mengambil ubatan seperti ibuprofen, malah kesakitan menjadi bertambah serius.

Penyakit radang pelvik

Jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang bermula dalam rahim dan boleh merebak ke organ pembiakan yang lain dan akhirnya menjejaskan fungsinya. Bakteria ini dipercayai mempunyai keupayaan memasuki faraj ketika perhubungan seksual dan merebak ke rahim serta saluran kelamin. Antara simptom penyakit ini adalah apabila faraj mengeluarkan atau melepaskan sesuatu yang mempunyai bau yang tidak menyenangkan, haid tidak teratur, kesakitan pada bahagian perut, mengalami mual dan muntah serta cirit-birit.

Stenosis serviks

Mengetatkan pembukaan ke rahim. Ini bermakna laluan melalui serviks, dari faraj ke bahagian utama rahim, menjadi sempit atau berkemungkinan ditutup sepenuhnya. Sesetengah individu wanita dilahirkan dengan masalah kesihatan ini, namun, dalam sesetengah kes, stenosis serviks boleh berlaku disebabkan keadaan seperti menopaus. Bagi individu wanita yang masih mengalami pendarahan haid, darah haid yang bercampur dengan sel-sel dari rahim boleh mengalir ke pelvis dan berisiko menyebabkan endometriosis.

Fibroid (tumor jinak)

Ketumbuhan yang melekat pada dinding dalaman rahim. Mungkin wujud satu atau beberapa fibroid yang berkembang dan kebiasaannya ia tidak mendatangkan bahaya, tetapi boleh menyebabkan pendarahan dan kesakitan yang teramat sangat ketika kedatangan haid.  

Adenomyosis

‘Secondary Dysmenorrhea’ Bukan Senggugut Biasa - Adenomyosis

Keadaan di mana lapisan tisu rahim tumbuh dalam otot rahim dan menyebabkan kesakitan semasa haid kerana peningkatan saraf kesakitan yang dirangsang apabila otot rahim mengalami kontraksi ketika haid. Walau bagaimanapun, kesakitan adenomyosis tidak akan berlaku sehinggalah seseorang individu wanita itu berusia 35 tahun dan kesakitan bahagian belakang dan sekitar pelvik juga boleh berlaku pada di luar tempoh kedatangan haid.

Simptom dismenorea sekunder

i. Kekejangan beberapa hari sebelum haid

Wanita yang mengalami dismenorea sekunder boleh mendapat kekejangan bermula beberapa hari sebelum permulaan haid mereka. Kekejangan juga boleh bertahan lebih lama daripada kekejangan haid yang normal, seperti melepasi akhir period.

Kekejangan yang disebabkan oleh dismenorea primer boleh bermula kira-kira satu atau dua hari sebelum tempoh anda bermula atau ketika hari pertama anda haid dan mereka boleh bertahan selama beberapa jam atau sehingga beberapa hari, anggaran 12 jam sehingga tempoh 72 jam. Bagaimanapun, ia tidak melepasi akhir haid anda.

ii. Kekejangan yang melampau

Tahap kesakitan yang anda alami mungkin meningkat berbanding kekejangan haid dan dari semasa ke semasa mungkin menunjukkan kekejangan itu disebabkan oleh dismenorea sekunder. Sebagai contoh, sebagai remaja anda mungkin mengalami kekejangan ringan, tetapi kekejangan menjadi semakin teruk apabila anda dewasa.

Kesakitan yang biasa dihadapi adalah kekejangan biasa sehingga kesakitan yang agak serius, dan berkemungkinan kesakitan itu akan berterusan. Biasanya kesakitan ini hanya melibatkan bahagian bawah abdomen dan suprapubic (kawasan sekitar bahagian rahim). 

Kesakitan dismenorea primer mungkin ringan dan teruk. Kesakitan biasanya berlaku di bahagian perut, bahagian belakang dan paha. Namun masalah ini biasanya akan berkurangan seiring peningkatan usia dan biasanya akan pulih selepas seseorang individu wanita itu melahirkan anak.

iii. Simptom lain

Semasa mengalami kekejangan, perhatikan juga tanda-tanda lain yang hadir. Wanita yang mengalami kekejangan haid akibat dismenorea primer sering mengadu simptom lain. Manakala wanita yang mengalami dismenorea sekunder mungkin tidak mengalami simptom lain.

Tanda-tanda anda mengalami dismenorea primer ialah:

  • Loya/mual
  • Muntah
  • Keletihan
  • Cirit-birit

Diagnosis dismenorea sekunder

Melakukan diagnosis untuk dismenorea biasanya akan dimulakan dengan pengumpulan data dan informasi berkaitan sejarah perubatan dengan terperinci untuk membantu pakar sakit puan. Berikut adalah cara diagnosis dilakukan:

i. Sejarah pesakit

Pakar sakit puan anda akan mengambil sejarah kesihatan yang teliti dan bertanya soalan tentang keadaan semasa anda. Adalah penting untuk memberikan jawapan yang jujur. Beberapa soalan yang mungkin ditanya oleh doktor anda mungkin termasuk:

  • Bilakah haid pertama anda?
  • Bilakah simptom bermula?
  • Adakah sesuatu membuatkan simptom lebih buruk atau lebih baik?
  • Bagaimanakah kesakitan yang mempengaruhi kehidupan harian anda? Adakah ia mengganggu aktiviti harian biasa anda?

ii. Ujian fizikal

Selepas mengambil sejarah kesihatan yang menyeluruh, doktor anda juga perlu melakukan ujian fizikal. Sebagai sebahagian daripada pemeriksaan ini, doktor akan memeriksa vagina, vulva dan serviks anda untuk memeriksa ketidaknormalan. Doktor juga akan memeriksa perut anda untuk mengenal pasti tanda-tanda bengkak.

Bergantung kepada hasil pemeriksaan, doktor anda mungkin membuat keputusan untuk menjalankan ujian darah atau ujian pengimejan. Ujian ini dapat memberikan maklumat tambahan kepada doktor untuk membantunya membuat diagnosis.

iii. Kongsikan sebarangan simptom

Sesetengah simptom mungkin menunjukkan masalah yang serius dan anda harus segera kongsikannya dengan doktor anda. Hubungi atau jumpa doktor anda sekiranya anda mengalami:

  • Kesakitan secara tiba-tiba
  • Kesakitan yang tidak pernah hilang
  • Demam
  • Pelepasan faraj (vagina discharge)
  • Bengkak pada perut
  • Pendarahan rahim yang tidak normal, seperti mengalami  pendarahan haid banyak, pendarahan luar biasa, pendarahan tidak teratur (ini boleh menjadi tanda untuk gangguan tiroid)
  • Kesakitan pada bahagian pelvik
  • Mual, loya, muntah
  • Cirit-birit
  • Kesakitan pada bahagian belakang
  • Sakit kepala ketika pendarahan haid

Selain itu, dismenorea sekunder juga dikaitkan dengan kesan sekunder terhadap patologi yang mendasari seperti dispareunia (persetubuhan yang sukar atau sakit) dan diskesia (kesukaran untuk membuang najis daripada rektum).

Rawatan dismenorea sekunder

Pilihan rawatan untuk dismenorea sekunder adalah termasuk pengambilan ubat penahan kesakitan, terapi hormon dan pembedahan untuk keadaan yang berterusan. Ubatan anti-radang bukan steroid, turut boleh digunakan untuk merawat radang pada rahim dan apa-apa kesakitan yang berkaitan.

Wanita yang masih mengalami simptom yang teruk selepas mencuba ubat anti-radang boleh disyorkan sebagai terapi hormon estrogen dan progestin, kombinasi yang sering dijumpai dalam pil kawalan kelahiran berdos rendah. Pil kawalan kelahiran dapat membantu mengawal hormon dan mengurangkan kesan keadaan yang disebabkan ketidakseimbangan hormon. Selalunya pembedahan diperlukan untuk membetulkan penambahan tisu yang terdapat dengan endometriosis atau tumor daripada fibroid rahim.

Berikut adalah antara rawatan yang boleh digunakan untuk merawat:

Endometriosis

Tiada ubat yang dikenal pasti dapat menyembuhkan endometriosis, tetapi ia boleh dirawat dengan pengambilan ubatan tertentu ataupun melalui pembedahan. Namun, dalam kebanyakan kes, kedua-dua kaedah rawatan, iaitu pengambilan ubatan dan pembedahan akan digunakan. Mengeluarkan tisu parut melalui kaedah pembedahan adalah kaedah rawatan yang paling berkesan dan efektif untuk mengurangkan risiko kemungkinan pengulangan semula endometriosis.

Fibroid (tumor jinak)

Kaedah rawatan untuk tumor adalah bergantung kepada saiz, jumlah dan lokasi. Antaranya:

  1. Pemantauan jika fibroid tidak mendatangkan atau menyebabkan sebarang simptom dan saiznya tidak begitu besar, keadaan ini boleh dipantau dari masa ke masa untuk sebarang perubahan.
  1. Ubat – gabungan hormon dan ubatan lain boleh digunakan untuk mengecutkan saiz fibroid sebelum kaedah pembedahan dilakukan.
  1. Ultrasound menggunakan MRI – mesin MRI akan mengesan dan memantau fibroid. Manakala penggunaan ultrasound adalah untuk memanaskan dan memusnahkan tisu fibroid. Prosedur ini dilakukan tanpa anestetik, tetapi ubat diberikan untuk membantu melonggarkan embolisme arteri. Jika menggunakan local anaesthetic – sejenis ubat yang dapat menghilangkan rasa kesakitan – tiub halus akan melalui arteri di lengan atau di kaki, memasuki arteri utama yang membekalkan fibroid dengan darah. Proses ini akan dipantau melalui sinaran-X. Zarah halus seperti pasir kemudiannya akan disuntik ke arteri untuk menghalang bekalan darah ke fibroid. Proses ini seterusnya akan membuatkan fibroid mati secara perlahan-lahan dan sebarang simptom umum akan berkurangan dalam tempoh beberapa bulan.

‘Secondary Dysmenorrhea’ Bukan Senggugut Biasa - Histeroskopi

  1. Histeroskopi – fibroid akan dikeluar atau disingkirkan melalui serviks menggunakan histeroskop – sebuah teleskop nipis – dengan gelung pemotong.
  1. Laparoskopi – turut dikenali sebagai ‘pembedahan lubang kunci’ (keyhole surgery). Teleskop nipis ini akan dimasukkan melalui perut, dan instrumen lain akan digunakan untuk mengeluarkan fibroid daripada abdomen dalam bentuk bahagian yang kecil.
  1. Pembedahan terbuka – untuk fibroid yang mempunyai saiz yang besar perlu dikeluarkan melalui pembedahan dengan melakukan potongan pada abdomen. Prosedur ini dipercayai boleh melemahkan dinding rahim dan menjadikan wujud kecenderungan untuk pembedahan caeseran jika berlaku kehamilan pada masa hadapan.
  1. Histerektomi – pembedahan ini akan mengeluarkan dan menyingkirkan sama ada beberapa fibroid atau kesemua fibroid dari rahim. Dan seandainya melakukan kaedah ini, peluang untuk hamil tidak mungkin akan berlaku.

Adenomyosis

Merupakan satu keadaan yang sukar untuk dirawat. Memberikan tekanan kepada sel endometrium mungkin memberikan kesan untuk mengurangkan kesakitan haid, haid yang berlebihan atau banyak, atau kesakitan yang berlaku ketika melakukan hubungan seksual – merupakan antara simptom yang mungkin berlaku berkaitan adenomyosis. Rawatan yang paling banyak digunakan ialah peranti intrauterine yang melepaskan levonorgestrel (Mirena ™). Satu kaedah yang dapat menyembuhkan adenomyosis pada ketika ini adalah dengan menggunakan rawatan histerektomi – iaitu dengan membuang seluruh bahagian rahim dan serviks secara pembedahan.

Jangan ambil mudah

Oleh kerana dismenorea adalah satu masalah kesakitan berkaitan ginekologi yang biasa dan umum, kebanyakan wanita memandang remeh tentang isu ini dan ada yang mengganggap kesakitan haid yang amat menyakitkan itu adalah sebahagian daripada proses kedatangan haid. Sebenarnya, tanpa disedari ramai individu wanita menderita dalam diam kerana masalah berkaitan dismenorea, terutamanya dismenorea sekunder. Memperbaiki gaya hidup sihat dan mengamalkan diet pemakanan yang seimbang adalah amat penting untuk dapat menghindari daripada mengalami masalah dan kesakitan ini untuk tempoh yang panjang dan berterusan. Jika anda mengesyaki sebarang simptom berkaitan dismenorea, sila berjumpa dengan doktor perubatan anda dengan segera.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut