MERS-CoV: Virus Dari Timur Tengah

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

MERS-CoV ialah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan. Ia termasuk dalam kumpulan virus coronavirus dan pertama kali ditemui di Saudi Arabia pada tahun 2012. Coronavirus terdiri daripada banyak virus yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit daripada demam biasa kepada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

MERS ialah singkatan kepada Middle East Respiratory Syndrome atau Sindrom Pernafasan Timur Tengah manakala CoV pula membawa maksud coronavirus. MERS ialah penyakit manakala MERS-CoV pula merupakan virus yang menjadi punca kepada penyakit tersebut.

MERS mungkin terkeliru dengan demam biasa

Simptom biasa bagi penyakit ini ialah demam, batuk, dan susah bernafas. Ia hampir sama dengan simptom demam biasa. Pneumonia atau jangkitan paru-paru juga mungkin berlaku tetapi jarang. Ia juga boleh memberikan simptom yang melibatkan saluran pemakanan seperti cirit-birit.

Simptom yang dialami oleh pesakit mungkin berbeza-beza daripada tiada simptom atau ringan sehingga simptom yang teruk dan maut. Virus lebih agresif dalam kalangan mereka yang berumur, lemah sistem imun dan menghidap penyakit kronik seperti buah pinggang, kanser, dan kencing manis.

Peratusan kematian daripada penyakit MERS ialah 35 peratus. Angka ini mungkin lebih tinggi daripada jangkaan sebenar kerana masih terdapat kes yang tidak direkodkan dalam kalangan mereka yang tidak mengalami sebarang simptom.

MERS-CoV terdapat di dalam unta

Kajian mendapati bahawa manusia dijangkiti MERS-CoV melalui sentuhan langsung atau tidak langsung dengan unta yang mengandungi virus tersebut atau daripada manusia yang dijangkiti virus sama. Beberapa buah negara telah didapati merekodkan unta yang mengandungi virus ini termasuk Mesir, Oman, Qatar, dan Arab Saudi.

Asal usul virus ini tidak dapat difahami sepenuhnya tetapi dipercayai berasal daripada kelawar dan tersebar dalam kalangan unta.

Sejak tahun 2012, sebanyak 27 negara telah melaporkan kes MERS termasuk China, Mesir, Arab Saudi, Jerman, Amerika Syarikat dan Malaysia. 80 peratus daripadanya berlaku di Arab Saudi. Kes lain di luar Arab Saudi kebiasaannya berlaku dalam kalangan pelancong.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.