Goiter

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Definisi

Apa itu Goiter?

Goiter ialah pembesaran kelenjar tiroid di luar kebiasaan. Selalunya ia bukanlah ketumbuhan atau kanser. Walaupun goiter selalunya tidak menyakitkan, tetapi goiter yang terlalu besar boleh menyebabkan batuk dan kesukaran untuk menelan atau bernafas.

Apakah kebarangkalian Goiter?

Goiter sangatlah biasa berlaku. Ia lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki  dan berlaku pada mana-mana peringkat umur. Ia boleh dikawal dengan mengurangkan faktor risiko. Silalah berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Goiter?

Simptom-simptom yang biasa berlaku ialah;

  • Bengkak yang boleh dilihat pada pangkal leher yang menjadi semakin jelas apabila anda bercukur atau bermekap.
  • Rasa tercekik dibahagian kerongkong
  • Batuk
  • Suara menjadi parau
  • Kesukaran untuk menelan
  • Kseukaran untuk bernafas

Mungkin terdapat simptom-simptom yang tidak disenaraikan di atas. Sekiranya anda mempunyai kebimbangan mengenai apa-apa simptom, silalah berunding dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Sekiranya anda mempunyai mana-mana tanda dan simptom yang disenaraikan di atas atau sebarang persoalan, silalah berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh badan kita berbeza, sebaiknya berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan solusi yang teraik bagi diri anda.

Punca

Apakah Punca Goiter?

Kekurangan iodin yang merupakan elemen penting dalam penghasilan hormon tiroid. Ia boleh ditemui di dalam air laut dan pasir di tepi pantai. Kekurangan iodin boleh diterukkan lagi dengan pengambilan makanan yang mengandungi perencat hormon yang tinggi seperti kobis, brokoli dan kobis bunga.

Penyakit Grave. Goiter kadang-kadang boleh berlaku apabila kelenjar tiroid menghasilkan terlalu banyak hormon tiroid (hipertirodisme). Dalam penyakit Grave, antibodi yang terhasil daripada sistem imun anda menyerang sel tiroid anda sendiri (penyakit autoimun) , menyebabkan tiroid menghasilkan hormon tiroksina secara berlebihan . Rangsangan yang berlebihan ini juga menyebabkan tiroid menjadi bengkak.

Penyakit Hashimoto. Goiter juga boleh terjadi hasil daripada tiroid yang kurang aktif (hipotiroidisme). Seperti penyakit Grave, penyakit Hashimoto juga disebabkan oleh masalah autoimun , namun penyakit Hashimoto tidak menyebabkan tiroid menghasilkan hormon berlebihan tetapi sebaliknya ia merosakkan kelenjar tiroid mengakibatkan penghasilan hormon yang terlalu sedikit. Disebabkan paras hormon yang terlalu rendah, kelenjar pituitari akan merembeskan hormon perangsang tiroid (TSH) untuk merangsang kelenjar tiroid yang menyebabkan pembengkakannya.

Goiter multinodular/nodul berganda. Dalam kondisi ini, beberapa benjolan pepejal atau cecair yang dipanggil nodul terhasil di kedua-dua belah tiroid, menyebabkan pembesaran keseluruhan kelenjar.

Nodul tiroid tunggal. Dalam kes ini, nodul tunggal akan terhasil pada satu bahagian kelenjar tiroid anda. Kebanyakannya bukan kanser (benigna) dan tidak membawa kepada kanser

Kanser tiroid/Barah tiroid. Kekerapan kanser tiroid jauh lebih rendah berbanding dengan nodul tiroid benigna. Kanser tiroid selalunya menghasilkan pembesaran pada sebelah bahagian sahaja.

Kehamilan. Hormon yang terhasil sewaktu kehamilan, iaitu hormon gonadotrofin korion manusia boleh menyebabkan kelenjar tiroid sedikit membengkak.

Keradangan. Tiroiditis adalah keradangan yang menyebabkan kesakitan dan pembengkakan pada tiroid. Ia juga boleh menyebabkan hormon tiroksina terhasil terlalu banyak atau terlalu kurang.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Goiter?

Terdapat banyak faktor risiko untuk goiter seperti;

  • Kekurangan iodin dalam diet. Orang yang tinggal dalam kawasan kekurangan bekalan iodin dan orang yang tiada akses kepada suplemen iodin berisiko tinggi untuk goiter
  • Perempuan lebih cenderung untuk mengalami masalah tiroid , dan mereka juga berisiko tinggi untuk mendapat goiter.
  • Semakin berumur, semakin tinggi risiko.
  • Sejarah perubatan. Sejarah peribadi dan keluarga yang pernah mengalami penyakit autoimun meningkatkan risiko anda.
  • Kehamilan dan menopaus. Tiada sebab yang jelas bagaimana masalah tiroid banyak berlaku pada wanita semasa hamil dan menopaus
  • Ubat-ubatan tertentu. Beberapa ubat-ubatan seperti immunosuppresant, anti retroviral, ubat jantung amiodarone (Cordarone, Pacerone dan lain-lain) dan ubat psikiatri lithium (Lithobid dan lain-lain) meningkatkan risiko anda.
  • Terdedah kepada radiasi. Risiko anda meningkat sekiranya anda pernah menerima terapi radiasi pada kawasan leher atau dada ataupun anda pernah terdedah kepada radiasi di dalam fasiliti nuklear, ujian nuklear atau kemalangan.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut./strong>

Bagaimana pesakit Goiter didiagnosis?

Doktor boleh mengesan tiroid yang bengkak dengan hanya menyentuh leher anda dan menyuruh anda menelan air liur sewaktu pemeriksaan fizikal rutin. Dalam sesetengah kes, doktor juga boleh merasa kehadiran nodul. Untuk mengesahkan goiter, ujian berikut boleh dijalankan;

  • Ujian hormon. Ujian darah boleh mengukur paras hormon yang dihasilkan oleh kelenjar tiroid dan pituitari. Sekiranya tiroid anda kurang aktif, paras hormon tirod akan berkurangan , pada masa yang sama, paras hormon perangsang tiroid (TSH) akan meningkat kerana kelenjar pituitari cuba untuk merangsang tiroid untuk menghasilkan lebih banyak hormon tiroid. Goiter yang disebabkan tiroid yang terlalu aktif selalunya melibatkan paras hormon tiroid yang tinggi dalam darah tetapi hormon perangsang tiroid (TSH) yang rendah daripada normal.
  • Ujian antibodi. Sesetengah goiter disebabkan oleh penghasilan antibodi luar biasa. Ujian darah boleh mengesahkan kehadiran antibodi tersebut.
  • Satu alat transduser akan diletakkan pada leher. Gelombang bunyi akan dipantulkan di leher dan belakang, lalu menghasilkan imej pada skrin komputer. Imej tersebut akan menunjukkan saiz kelenjar tiroid dan kehadiran nodul yang doktor mungkin terlepas sewaktu pemeriksaan fizikal.
  • Imbasan tiroid. Isotop radioaktif akan disuntik ke dalam vena pada bahagian dalam siku. Kemudian anda akan dibaringkan di atas meja dengan kepala ditarik ke belakang sambil kamera khas akan menghasilkan imej tiroid anda pada skrin komputer. Masa yang diambil untuk setiap prosedur mungkin berbeza, bergantung kepada berapa lama masa yang isotop  perlukan untuk sampai ke tiroid. Imbasan tiroid memberikan informasi tentang jenis dan saiz tiroid anda, tetapi ia lebih invasif, memakan masa dan mahal berbanding ujian ultrasound.
  • Biopsi. Ultrasound akan digunakan untuk memberi panduan sewaktu jarum dimasukkan ke dalam tiroid(biopsi sedutan jarum halus) bagi mengambil sampel tisu dan cecair untuk diuji.

Bagaimana pesakit Goiter dirawat?

Rawatan goiter bergantung kepada saiznya, tanda dan simptom-simptom yang anda alami, dan punca goiter tersebut. Doktor anda mungkin akan menyarankan;

  • Sekiranya goiter bersaiz kecil dan tidak menyebabkan apa-apa masalah, tiroid pula berfungsi dengan normal, doktor akan mencadangkan pendekatan tunggu dan lihat (wait and see).
  • Sekiranya anda ada hipotiroidisme, penggantian hormon tiroid dengan levotiroksina akan menghilangkan simptom-simptom hipotiroidisme dan memperlahankan rembesan hormon perangsang tiroid (TSH) dari kelenjar pituitari, sekaligus mengecilkan saiz goiter. Untuk keradangan kelenjar tiroid, doktor akan mencadangkan anda untuk mengambil aspirin atau kortikosteroid. Goiter yang terkait dengan hipertiroidisme memerlukan ubat-ubatan untuk mengurangkan paras hormon tiroid ke tahap normal.
  • Membuang keseluruhan atau sebahagian kelenjar tiroid anda (tiroidektomi total atau separa) adalah pilihan sekiranya anda mempunyai goiter yang besar yang membuatkan anda tidak selesa atau kesukaran untuk bernafas dan menelan, ataupun anda mempunyai goiter bernodul yang menyebabkan hipertiroidisme. Pembedahan juga adalah rawatan untuk kanser. Anda mungkin memerlukan levotiroksina selepas pembedahan tersebut, bergantung kepada jumlah tiroid yang dibuang.
  • Iodin radioaktif. Dalam sesetengah kes, iodin radioaktif digunakan untuk merawat tiroid yang terlampau aktif. Iodin radioaktif diambil secara oral dan akan sampai ke tiroid melalui aliran darah , lalu memusnahkan sel tiroid. Rawatan akan membuatkan saiz goiter mengecil, tetapi lambat laun boleh menyebabkan tiroid menjadi kurang aktif pula. Disebabkan itu, penggantian hormon dengan hormon tiroid sintetik levotiroksina menjadi keperluan untuk sepanjang hayat.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Goiter?

Perubahan gaya hidup dan kaedah perubatan sampingan yang berikut boleh membantu anda untuk berhadapan dengan goiter.

  • Dapatkan iodin secukupnya. Untuk memastikan anda mendapat iodin yang cukup, gunakan garam beriodin, makan makanan laut atau rumpai laut – sushi adalah sumber rumpai laut yang bagus – sebanyak 2 kali seminggu. Udang dan kerang juga mengandungi iodin yang tinggi. Sekiranya anda tinggal berhampiran dengan pantai, buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan juga mengandungi iodin, sama juga seperti susu lembu dan yogurt. Setiap orang memerlukan kira-kira 150 mikrogram iodin sehari (kurang daripada setengah sudu teh garam beriodin). Jumlah iodin yang mencukupi sangat penting untuk wanita mengandung dan menyusu badan, serta bayi dan kanak-kanak.
  • Mengurangkan penggunaan iodin. Kadangkala, pengambilan iodin yang terlalu banyak boleh menyebabkan goiter. Sekiranya pengambilan iodin secara berlebihan menjadi punca goiter, elakkan makan garam beriodin, kerang, rumpai laut, suplemen iodin.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan