Chemo brain

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Chemo brain?

Kemoterapi boleh membantu untuk menghapuskan sel kanser, tetapi penggunaannya boleh mengakibatkan kesan sampingan. Adalah biasa bagi mereka yang menjalani kemoterapi untuk mengalami kekaburan minda, yang dipanggil Chemo Brain semasa dan selepas rawatan. Anda mungkin akan merasa sukar untuk mengingati nama-nama atau tidak boleh melakukan banyak kerja pada waktu yang sama seperti yang pernah anda lakukan.

Sebanyak tiga daripada empat orang yang menghidap kanser mengatakan bahawa mental / minda mereka menjadi tumpul. Masalah ini selalunya disebabkan oleh ubat kemoterapi yang diambil, tetapi ia juga boleh datang dari kanser itu sendiri atau masalah lain seperti jangkitan, kiraan sel darah yang rendah, keletihan, masalah tidur, atau tekanan.

Apakah kebarangkalian Chemo brain?

Chemo Brain agak lazim berlaku. Sila berbincang dengan doktor untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Chemo brain?

Tanda-tanda umum Chemo Brain adalah:

  • Menjadi tidak terurus.
  • Kekeliruan.
  • Kesukaran menumpukan perhatian.
  • Kesukaran mencari kata yang betul.
  • Kesukaran mempelajari kemahiran baru.
  • Kesukaran melakukan tugasan berganda secara serentak.
  • Keletihan.
  • Kekaburan minda.
  • Hanya mampu menumpukan perhatian untuk tempoh masa yang singkat.
  • Masalah ingatan jangka pendek.
  • Mengambil masa yang lebih lama daripada biasa untuk menyelesaikan tugasan rutin.
  • Masalah dengan memori lisan, seperti mengingat perbualan.
  • Masalah dengan memori visual, seperti mengingati imej atau senarai perkataan.

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mengalami mana-mana tanda dan simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai apa-apa persoalan, sila berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, berbincang dengan doktor anda adalah perkara yang terbaik untuk menentukan apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca Chemo brain?

Selain daripada simptom Chemo Brain yang  bermula semasa dan selepas rawatan, terdapat beberapa kes di mana simptom-simptom tersebut bermula bahkan menjadi semakin teruk setelah rawatan selesai. Kebanyakan rawatan kanser, termasuklah kemoterapi dan terapi radiasi tertentu, boleh menyebabkan masalah jangka pendek, jangka panjang, dan tertunda.

Kajian menunjukkan bahawa mungkin terdapat lebih daripada satu punca Chemo Brain, terutama untuk simptom jangka pendek. Sesetengah orang yang menghidapi kanser mempunyai masalah otak walaupun mereka tidak menjalani kemoterapi. Masalah juga timbul bagi mereka yang mendapatkan rawatan hormon, seperti yang digunakan untuk merawat kanser payudara atau prostat. Bagi sesetengah kes yang lain, masalah bermula selepas pembedahan. Selain daripada kemoterapi, terdapat banyak lagi perkara yang boleh merosotkan fungsi otak.

Sebagai contoh, masalah fungsi otak boleh disebabkan atau diterukkan lagi oleh salah satu atau gabungan faktor-faktor berikut:

  • Kanser itu sendiri.
  • Ubat lain yang digunakan sebagai sebahagian daripada  rawatan, seperti steroid, anti-loya, atau ubat tahan sakit.
  • Pembedahan dan ubat yang digunakan semasa pembedahan (anestesia).
  • Kiraan darah yang rendah.
  • Masalah tidur.
  • Jangkitan.
  • Keletihan.
  • Perubahan hormon atau rawatan hormon.
  • Lain-lain penyakit, seperti diabetes atau tekanan darah tinggi.
  • Kekurangan nutrisi.
  • Umur pesakit.
  • Kemurungan.
  • Tekanan, keresahan, kebimbangan, atau tekanan emosi yang lain.

Kebanyakan faktor-faktor di atas boleh mengakibatkan masalah jangka pendek, dan akan bertambah baik apabila punca sebenar dirawat atau telah sembuh. Beberapa faktor, seperti kemurungan, boleh menyebabkan masalah otak yang berkekalan melainkan puncanya dirawat.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Chemo brain?

Terdapat banyak faktor risiko untuk Chemo Brain, seperti:

  • Kanser otak.
  • Kemoterapi yang diberikan secara terus ke sistem saraf tunjang.
  • Kemoterapi yang digabungkan dengan radiasi seluruh otak.
  • Kemoterapi atau radiasi berdos tinggi.
  • Terapi radiasi ke otak.
  • Umur yang lebih muda semasa diagnosis dan rawatan kanser.
  • Peningkatan umur.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Chemo brain didiagnosis?

Tiada definisi yang jelas tentang Chemo Brain, disebabkan itu, tidak ada ujian untuk mendiagnosis keadaan ini. Pesakit-pesakit kanser yang sudah sembuh yang pernah mengalami simptom-simptom Chemo Brain  selalunya mendapat skor dalam julat normal bagi ujian memori.

Doktor mungkin akan mengesyorkan ujian darah, imbasan otak atau ujian lain untuk mengecualikan punca-punca masalah ingatan yang lain. Tetapi jika tiada punca yang jelas dapat dijumpai untuk simptom yang dialami, doktor akan merujuk anda kepada pakar yang boleh membantu untuk anda mengatasi masalah yang dihadapi.

Bagaimana pesakit Chemo brain dirawat?

Jika Chemo Brain mengganggu kehidupan harian anda, doktor mungkin mencadangkan anda untuk membuat temu janji bersama kaunselor atau ahli psikologi. Terdapat perkara lain yang boleh membantu juga, seperti:

  • Beberapa jenis ubat perangsang dan antikemurungan.
  • Senaman  – walaupun 5 minit sehari.
  • Banyakkan tidur dan rehat.
  • Melatih otak anda dengan teka-teki, bermain instrumen, atau belajar melakukan hobi baru.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Chemo brain?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi Chemo Brain:

  • Kawal persekitaran kerja anda semampu yang boleh. Sekiranya bunyi bising dan hiruk-pikuk menyebabkan gangguan kepada anda, cubalah mencari sudut yang tenang di mana anda boleh menumpukan perhatian. Muzik lembut boleh membantu menenggelamkan bunyi lain.
  • Sediakan diri anda untuk berjaya. Sebelum menangani tugasan rumit yang memerlukan tumpuan, ambil langkah-langkah yang diperlukan  untuk memastikan anda mempunyai peluang terbaik untuk berjaya. Makan secukupnya supaya anda tidak terganggu dengan kelaparan. Pilih waktu yang anda paling peka untuk melakukan kerja. Dapatkan tidur malam yang baik. Buat pelan perancangan supaya anda tahu apa yang  perlu dilakukan untuk menyelesaikan tugasan.
  • Tetap teratur. Gunakan kalendar atau buku perancangan untuk  menjalankan tugas. Dengan cara itu anda tidak akan menghabiskan masa tertanya-tanya mengenai temujanji dan tugasan yang patut dilakukan. Tulis semuanya di dalam buku perancangan anda. Aturkan tugasan yang menjadi keutamaan di rumah dan di tempat kerja juga. Mempunyai ruang kerja yang teratur juga membantu anda untuk menghabiskan lebih banyak masa pada tugasan yang perlu diselesaikan
  • Kosongkan minda daripada gangguan. Apabila timbul pemikiran yang mengganggu, tuliskannya di dalam buku perancangan anda. Dengan menulis semula apa yang anda fikirkan boleh  membantu untuk anda selesaikannya dan mengingati semula pada kemudian hari.
  • Berehat dengan kerap. Bahagikan tugas anda kepada beberapa bahagian mengikut kemampuan dan berehat setiap kali selesai satu bahagian. Biarkan diri anda berehat untuk tempoh yang singkat supaya anda dapat meneruskannya kemudian.
  • Latih minda anda. Cuba selesaikan  teka-teki, silangkata atau permainan nombor untuk melatih minda anda. Melakukan hobi baru atau belajar kemahiran baru, seperti belajar bermain alat muzik atau bahasa.
  • Lakukan senaman. Senaman yang sederhana, seperti berjalan pantas, dapat membantu anda untuk mengatasi tekanan, keletihan dan kemurungan. Semua perkara ini boleh membantu mengurangkan masalah ingatan. Jika anda tidak aktif sebelum ini, dapatkan kebenaran dari doktor terlebih dahulu sebelum memulakan senaman.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.