backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Apendisitis Akut

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 13/09/2019

Definisi

Apa itu Apendisitis Akut?

Apendisitis akut adalah radang usus buntu (apendiks), suatu organ yang sempit, berbentuk jari yang bercabang dari bahagian pertama usus besar di sebelah kanan abdomen. Walaupun apendiks adalah sejenis organ / struktur saki (vestigial) tanpa fungsi yang diketahui, ia boleh menjadi sakit. Malah, apendisitis akut adalah sebab paling lazim untuk pembedahan abdomen di dunia.

Sekiranya tidak dirawat dengan segera, terdapat kemungkinan bahawa apendiks yang meradang akan pecah, menumpahkan bahan najis ke rongga abdomen. Akibat yang paling biasa adalah jangkitan yang boleh mengancam nyawa (peritonitis), namun jangkitan juga boleh menjadi tertutup dan membentuk abses (nanah).

Apakah kebarangkalian Apendisitis Akut?

Apendisitis Akut adalah sangat lazim. Ia biasanya menjejaskan lebih ramai lelaki daripada wanita. Ia boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh ditangani dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Apendisitis Akut?

Tanda-tanda umum bagi Apendisitis Akut ialah:

  • Rasa tidak selesa atau kesakitan berhampiran pusat (awal serangan), berpindah ke bahagian bawah sebelah kanan.
  • Kesakitan yang ketara, setempat dan berterusan dalam masa beberapa jam.
  • Sakit yang bertambah buruk dengan pergerakan, pernafasan mendalam, batuk, bersin, berjalan atau sentuhan.
  • Sembelit dan ketidakupayaan untuk membuang angin, mungkin berselang-seli dengan cirit-birit.
  • Demam ringan (di bawah 39 darjah Celsius). Demam yang tinggi (mungkin diiringi dengan rasa sejuk menggigil) mungkin menunjukkan apendiks yang telah bernanah.
  • Denyutan jantung pantas.
  • Bengkak perut (pada peringkat akhir).
  • Kehilangan rasa sakit perut sejurus selepas simptom lain berlaku, menunjukkan apendiks telah pecah – suatu keadaan kecemasan.
  • Mual dan muntah (dalam sesetengah kes).
  • Hilang selera makan.
  • Lidah bersalut dan nafas berbau.
  • Kencing yang sakit dan / atau kencing yang kerap.
  • Darah dalam air kencing.
  • Perut bengkak atau kembung, terutamanya pada bayi.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Apendisitis Akut?

Apendisitis biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria, walaupun punca mengapa apendiks itu dijangkiti tidak diketahui.

Apendiks mungkin tersumbat dengan segumpal najis, garam kalsium, dan serpihan najis (disebut fekalit/fecaliths) atau tumor (jarang berlaku), yang membawa kepada keradangan dan jangkitan.

Bengkak dan keradangan boleh membawa kepada jangkitan, bekuan darah, atau apendiks pecah.

Lymphoid hyperplasia dikaitkan dengan gangguan keradangan dan jangkitan seperti penyakit Crohn, demam campak, amebiasis, gastroenteritis, jangkitan pernafasan, dan mononukleosis.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Apendisitis Akut?

Terdapat banyak faktor risiko bagi Apendisitis Akut, seperti:

  • Mempunyai sejarah keluarga Apendisitis.
  • Berjantina lelaki.
  • Berumur antara 10 hingga 19 tahun.
  • Mempunyai penyakit keradangan usus yang berterusan, seperti penyakit Crohn atau kolitis berulser (ulcerative colitis).

Kajian juga mencadangkan bahawa “diet Barat’ biasa, yang tinggi karbohidrat dan rendah serat, boleh meningkatkan peluang anda untuk mendapat Apendisitis. Tanpa serat yang cukup dalam diet anda, pergerakan usus menjadi lambat, meningkatkan risiko penyumbatan apendiks.

Terdapat juga hubungan antara pencemaran udara – khususnya, tahap pencemaran ozon yang tinggi – dan Apendisitis. Para saintis tidak pasti mengapa pencemaran udara dikaitkan dengan peningkatan risiko radang usus, tetapi mungkin kadar pencemaran ozon yang tinggi berupaya meningkatkan keradangan usus atau boleh mengubah mikroorganisma dalam usus.

Malah, kajian menunjukkan bahawa Apendisitis lebih kerap berlaku pada musim panas berbanding musim-musim lain sepanjang tahun, mungkin disebabkan gabungan antara faktor seperti peningkatan pencemaran udara, lebih banyak keracunan makana atau jangkitan gastrousus, dan pengambilan makanan segera dan makanan lain yang lebih tinggi karbohidrat dan rendah serat.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Apendisitis Akut didiagnosis?

Pemeriksaan lanjut diperlukan untuk menolak kebarangkalian gangguan lain yang menghasilkan simptom yang serupa dengan Apendisitis. Doktor anda akan bermula dengan melakukan pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan fizikal untuk Apendisitis akan mencari kawasan kesakitan di bahagian kanan bawah abdomen anda. Jika anda mengandung, rasa sakit mungkin akan berlaku pada bahagian abdomen yang lebih tinggi. Jika apendiks pecah, perut anda mungkin akan menjadi keras dan bengkak.

Perut bengkak dengan keras adalah satu simptom yang perlu dirujuk kepada doktor dengan segera.

Selain mencari titik kesakitan, doktor akan melakukan beberapa ujian untuk Apendisitis:

  • Analisis air kencing boleh menolak kebarangkalian jangkitan saluran kencing atau batu ginjal.
  • Pemeriksaan pelvik boleh memastikan bahawa wanita tidak mempunyai sebarang masalah pada organ pembiakan. Ia juga boleh mengetepikan jangkitan pelvis yang lain.
  • Ujian kehamilan boleh mengetepikan kehamilan luar rahim yang disyaki.
  • Pengimejan abdomen boleh menentukan sama ada anda mempunyai abses atau komplikasi lain. Ini boleh dilakukan dengan pemeriksaan X-ray, ultrabunyi (ultrasound), atau CT.
  • X-ray boleh mengetepikan radang paru-paru pada lobus kanan bawah. Ini kadang-kadang mempunyai simptom yang serupa dengan Apendisitis.

Bagaimana pesakit Apendisitis Akut dirawat?

Rawatan untuk Apendisitis adalah pelbagai.

Dalam kes yang jarang berlaku, radang apendiks mungkin menjadi lebih baik tanpa pembedahan. Rawatan mungkin hanya melibatkan antibiotik dan diet cecair.

Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, pembedahan diperlukan. Jenis pembedahan akan bergantung pada butiran kes anda.

Jika anda mengalami abses yang tidak pecah, anda mungkin akan menerima antibiotik terlebih dahulu. Doktor kemudian akan menyalirkan keluar abses anda dengan menggunakan tiub yang diletakkan melalui kulit anda. Pembedahan bagi mengeluarkan apendiks akan dibuat selepas anda menerima rawatan terhadap jangkitan.

Sekiranya anda mempunyai abses atau apendiks yang telah pecah, pembedahan mungkin diperlukan segera. Pembedahan untuk membuang apendiks dikenali sebagai apendektomi (appendectomy).

Doktor boleh melakukan prosedur ini sebagai pembedahan terbuka atau melalui laparoskopi. Laparoskopi adalah kurang invasif, menjadikan masa pemulihan lebih singkat. Walau bagaimanapun, pembedahan terbuka mungkin diperlukan jika anda mempunyai abses atau peritonitis.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Apendisitis Akut?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani Apendisitis Akut:

  • Elakkan aktiviti berat sejurus selepas rawatan. Jika apendektomi anda dilakukan melalui cara laparoskopi, hadkan aktiviti anda selama tiga hingga lima hari. Sekiranya anda menjalani apendektomi terbuka pula, hadkan aktiviti anda selama 10 hingga 14 hari. Sentiasa rujuk doktor tentang batasan aktiviti anda dan bila anda boleh menyambung semula aktiviti biasa selepas pembedahan.
  • Tahan abdomen apabila anda batuk. Letakkan bantal di atas perut anda dan letakkan tekanan sebelum anda batuk, ketawa atau bergerak untuk membantu mengurangkan kesakitan.
  • Maklumkan doktor jika ubat penahan sakit tidak membantu. Berada dalam kesakitan akan memberikan tekanan tambahan pada badan anda dan melambatkan proses penyembuhan. Sekiranya masih dalam kesakitan walaupun menerima ubat penahan sakit, sila maklumkan doktor anda.
  • Bangun, berdiri dan bergerak apabila anda sudah bersedia. Mulakan dengan perlahan dan tambahkan aktiviti sedikit demi sedikit semampu boleh. Mulakan dengan berjalan kaki sedikit.
  • Tidur apabila letih. Apabila badan anda melalui proses penyembuhan, anda mungkin mendapati anda berasa lebih mengantuk daripada biasa. Jangan tertekan dan berehat apabila anda perlu.
  • Bincangkan kembali mengenai jadual kerja atau sekolah dengan doktor anda. Anda boleh kembali bekerja apabila anda rasa mampu. Kanak-kanak mungkin dapat kembali ke sekolah kurang dari seminggu selepas pembedahan. Tetapi mereka perlu menunggu dua hingga empat minggu untuk meneruskan aktiviti berat, seperti kelas pendidikan jasmani atau bersukan

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 13/09/2019

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan