Aneurisme serebral

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Aneurisme serebral?

Aneurisme serebral (aneurisme otak) adalah bonjolan atau penggelembungan saluran darah di dalam otak. Ia seringkali kelihatan seperti buah beri yang tergantung di batangnya. Aneurisme otak berkemungkinan bocor atau pecah, menyebabkan pendarahan di dalam otak (pendarahan stroke). Selalunya, aneurisme serebral yang pecah berlaku di ruang antara otak dan tisu nipis yang meliputi otak.


Aneurisme serebral adalah satu keadaan yang mengancam nyawa. Hal ini kerana, sekiranya aneurisme serebral pecah, ia boleh menyebabkan stroke, kerosakan otak, dan juga kematian jika tidak dirawat dengan serta-merta.

Apakah kebarangkalian Aneurisme serebral?

Menurut Brain Aneurysm Foundation, tidak semua aneurisme akan pecah. Sekitar 6 juta orang di Amerika Syarikat mengalami aneurisme yang tidak pecah. Dianggarkan 50 hingga 80 peratus daripada aneurisme tidak pernah pecah dalam seumur hidup seseorang.

Hanya kira-kira 30,000 orang di Amerika Syarikat mengalami aneurisme setiap tahun. 40 peratus daripada aneurisme yang pecah pula boleh membawa maut.

Walau bagaimanapun, ia boleh dielakkan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Aneurisme serebral?

Bergantung kepada peringkat aneurisme serebral, simptom bagi setiap peringkat agak berbeza.

Aneurisme yang Pecah

Simptom yang paling penting disebabkan aneurisme yang pecah adalah sakit kepala teruk yang datang tiba-tiba. Sakit kepala ini sering digambarkan sebagai “sakit kepala paling teruk” yang pernah dialami oleh pesakit.


Tanda-tanda aneurisme yang pecah termasuklah:

  • Sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba;
  • Pening dan muntah;
  • Leher yang tegang;
  • Penglihatan kabur atau berganda;
  • Sensitif terhadap cahaya;
  • Sawan;
  • Kelopak mata jatuh;
  • Tidak sedarkan diri;
  • Kekeliruan.

Aneurisme yang bocor

Dalam sesetengah kes, aneurisme mungkin bocor sedikit. Hal ini (pendarahan sentinel) mungkin hanya menyebabkan:

  • Sakit kepala yang teruk
  • Aneurisme yang pecah selalunya ¬†disebabkan oleh kebocoran.

Aneurisme yang tidak pecah

Aneurisme otak yang tidak pecah mungkin tidak mempunyai apa-apa simptom, terutamanya jika ia kecil. Walau bagaimanapun, aneurisme yang besar pula boleh menghimpit pada tisu dan saraf otak, menyebabkan:

  • Sakit di atas dan di belakang mata;
  • Anak mata kembang;
  • Perubahan pada penglihatan atau penglihatan berganda;
  • Kebas, lemah atau lumpuh pada satu sisi muka;
  • Kelopak mata jatuh.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas, atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Oleh itu, adalah yang terbaik untuk berbincang dengan doktor apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah Punca Aneurisme serebral?

Aneurisme serebral berlaku akibat penipisan dinding arteri . Aneurisme sering terbentuk di percabangan arteri kerana bahagian-bahagian saluran darah itu lemah. Walaupun aneurisme boleh berlaku di mana-mana bahagian otak, ia paling kerap muncul di arteri di pangkal otak.


Satu kajian dalam jurnal stroke oleh Persatuan Jantung Amerika menyimpulkan bahawa sebab-sebab berikut boleh menyebabkan aneurisme yang sedia ada pecah:

  • Senaman berlebihan;
  • Meminum kopi atau soda;
  • Meneran semasa membuang air besar;
  • Kemarahan terlampau;
  • Terperanjat;
  • Hubungan seksual.

Sesetengah aneurisme muncul sepanjang hayat seseorang, ada yang diwarisi, dan ada yang berlaku kerana kecederaan otak.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Aneurisme serebral?

Beberapa faktor risiko boleh menyebabkan keadaan ini, termasuk:

  • Sejarah keluarga

Orang yang mempunyai sejarah keluarga aneurisme serebral lebih cenderung mempunyai aneurisme berbanding mereka yang tiada.

  • Pernah mengalami aneurisme sebelum ini

Orang yang pernah mempunyai aneurisme serebral lebih cenderung mempunyai aneurisme yang lain.

  • Jantina

Wanita lebih cenderung untuk mengalami aneurisme serebral atau pendarahan subaraknoid.

  • Keturunan

Orang Afrika Amerika lebih cenderung untuk mengalami pendarahan subaraknoid berbanding orang kulit putih.

  • Tekanan darah tinggi

Risiko pendarahan subaraknoid adalah lebih besar bagi orang yang mempunyai sejarah tekanan darah tinggi.

  • Merokok

Di samping menjadi punca tekanan darah tinggi, menghisap rokok juga boleh meningkatkan risiko untuk aneurisme cerebral pecah.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut./strong>

Bagaimana pesakit Aneurisme serebral didiagnosis?

Jika doktor anda berpendapat bahawa anda mempunyai aneurisme otak, anda mungkin perlu melakukan beberapa ujian berikut:

  • Computed tomography (CT)

Pemeriksaan CT boleh membantu mengenal pasti lokasi pendarahan di otak. Kadangkala tusukan lumbar boleh digunakan jika doktor anda mengesyaki bahawa anda mengalami aneurisme serebral yang pecah dengan pendarahan subaraknoid.

  • Computed tomography angiogram (CTA)

CTA adalah kaedah yang lebih tepat untuk menilai saluran darah daripada imbasan CT biasa. CTA menggunakan gabungan pengimbasan CT, teknik komputer khas, dan bahan kontras (pewarna) yang disuntik ke dalam darah untuk menghasilkan imej-imej pembuluh darah.

  • Magnetic resonance angiography (MRA)

Sama seperti CTA, MRA menggunakan medan magnet dan tenaga gelombang radio untuk memberikan gambaran pembuluh darah di dalam badan. Sepertimana cerebral angiography, bahan kontras sering digunakan dalam MRA untuk membuat saluran darah muncul dengan lebih jelas.

  • Cerebral angiogram

Semasa ujian X-ray ini, sebatang kateter dimasukkan melalui saluran darah di pangkal paha atau lengan dan bergerak melalui saluran darah ke dalam otak. Bahan kontras kemudian disuntik ke dalam arteri serebral. Seperti ujian-ujian di atas, pewarna ini membolehkan sebarang masalah dalam arteri, termasuk aneurisme, dilihat pada X-ray. Walaupun ujian ini lebih invasif dan membawa lebih banyak risiko daripada ujian lain, ini adalah cara terbaik untuk mengesan aneurisme serebral kecil (<5 mm).

Bagaimana pesakit Aneurisme serebral dirawat?

Rawatan untuk aneurisme berbeza mengikut saiz, lokasi, dan tahap aneurisme serta sama ada ia telah pecah atau bocor.

Disebabkan risiko serangan aneurisme bersaiz kecil (<10 mm) adalah rendah dan pembedahan untuknya berisiko tinggi, doktor anda mungkin mahu terus memantau sahaja keadaan anda dan tidak terus membuat pembedahan. Sekiranya aneurisma anda besar, menyebabkan kesakitan atau simptom-simptom lain, atau jika aneurisme anda pernah pecah sebelum ini, doktor anda mungkin akan mengesyorkan pembedahan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Aneurisme serebral?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi penyakit ini:

  • Berhenti merokok
  • Makan diet buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, daging tanpa lemak, dan produk tenusu rendah lemak
  • Bersenam secara berkala, tetapi tidak berlebihan
  • Mengawal tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.