5 Salah Faham Tentang Disleksia

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Meskipun kajian dan maklumat tentang disleksia sangat luas, masih terdapat banyak fakta tidak tepat atau salah faham mengenainya. Ia mungkin menyebabkan ibu bapa tersalah anggap terhadap keadaan anak mereka yang menghadapi keadaan ini, seterusnya menjadikan mereka kurang keyakinan diri dalam kalangan rakan di sekolah.

Adakah apa yang anda tahu mengenani disleksia semuanya tepat? Jom lihat apakah salah faham tersebut.

1. Disleksia ialah semata-mata masalah membaca secara terbalik

Kanak-kanak yang mengalami keadaan ini mempunyai masalah untuk melihat huruf atau perkataan dalam bentuk individu. Kadangkala, mereka melihat huruf tersebut sebagai terbalik tetapi ia bukanlah simptom yang berlaku pada semua penghidap disleksia dan bukan juga satu-satunya masalah yang dihadapi.

Mereka juga mungkin menghadapi masalah lain seperti menulis, mengeja, bercakap, dan bersosial.

2. Mereka hanya perlu berusaha lebih

Bukan semata-mata usaha lebih tetapi isu utamanya ialah otak mereka yang berfungsi dengan cara berbeza. Oleh itu, kaedah pembelajaran yang berbeza perlu diterapkan untuk memberikan hasil yang lebih baik. Usaha lebih sahaja tidak menyelesaikan masalah mereka, malah mungkin boleh menyebabkan tekanan dan putus asa.

3. Petanda kepada IQ rendah

Disleksia bukannya masalah kecerdasan atau IQ tetapi merupakan masalah pembelajaran. Sebahagian daripada mereka bahkan sangat mahir dalam beberapa perkara seperti melukis, memasang alatan yang terpisah, dan mencipta reka bentuk. Salah faham ini mungkin berlaku kerana mereka diukur melalui gred peperiksaan tanpa diberikan teknik pengajaran yang sesuai dengan keadaan mereka.

4. Keadaan ini tidak dapat dirawat dan diubah

Disleksia ialah masalah pembelajaran yang kekal seumur hidup. Namun, dengan bantuan dan kaedah pembelajaran yang betul sejak usia kecil, mereka boleh berjaya sama seperti orang lain.

5. Disleksia sangat jarang berlaku

Menurut International Dyslexia Foundation, antara 15 hingga 20 peratus daripada populasi dunia mempunyai masalah pembelajaran dan disleksia merupakan sebab paling kerap berlaku. Jabatan Kesihatan dan Khidmat Kemanusiaan Amerika Syarikat menganggarkan sebanyak 15 peratus rakyat negara berkenaan menghidap keadaan ini.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut