Tip Menjaga Kebersihan Alat Sulit Si Kecil

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kebersihan alat sulit sangat penting buat setiap individu tanpa mengira jantina atau usia. Bayi anda yang masih kecil mungkin masih belum mengetahui apa-apa mengenainya malahan anak anda yang sudah berada di usia kanak-kanak juga mungkin masih belum mahir menjaga kebersihan alat sulit. Berikut merupakan beberapa tip yang boleh ibu bapa ikuti dalam menjaga kebersihan alat sulit si kecil.

Bayi lelaki

Alat sulit bayi lelaki akan bersih secara semulajadi. Namun begitu, anda masih perlu memastikan kawasan alat sulit bayi lelaki dibersihkan dengan kerap terutamanya pada bahagian kulup zakar jika mereka belum bersunat. Ikuti tip-tip berikut:

  • Bersihkan kawasan kulup iaitu kulit berlebihan yang terdapat pada hujung zakar dengan kerap menggunakan air.
  • Jangan tarik bahagian kulup untuk tujuan membersihkannya kerana ia sukar kembali ke bentuk asal dan boleh menyebabkan kecederaan lalu meninggalkan parut.
  • Jangan gunakan sabun untuk mencuci kulup kerana ia adalah kawasan yang halus dan mudah terengsa. Gunakan air sahaja untuk mencucinya.
  • Jika terdapat sesuatu yang berwarna keputihan di bahagian kulup, ia adalah ‘smegma’. Ia adalah rembesan semula jadi badan dan perlu dibersihkan.
  • Semasa mandi atau tukar lampin, cuci kawasan sekeliling alat sulit dan skrotum bayi. Anda boleh menggunakan kain basah atau kapas untuk mengelapnya.
  • Kulup akan terlekat pada hujung zakar dan hanya akan tercerai sekitar usia bayi 2 tahun. Jangan ceraikannya secara paksa kerana ia boleh mendatangkan kecederaan.
  • Jika sudah bersunat, dedahkan zakar bayi kepada udara semasa tempoh pemulihannya. Semasa mandi, cuci zakar seperti biasa atau anda juga boleh sapukan jeli petroleum untuk melindungi ia daripada bergeser dengan lampin atau seluar.
  • Sekiranya berlaku sebarang infeksi pada zakar bayi, segera bawa mereka berjumpa doktor.
  • Sesudah mencapai usia kanak-kanak, ajar mereka untuk mencuci zakar sama seperti cara mencuci bahagian badan yang lain.

Bayi perempuan

Sama seperti bayi lelaki, alat sulit bayi perempuan juga akan bersih secara semulajadi. Pun begitu, ibu bapa masih perlu memastikan alat sulit bayi perempuan dibersihkan dengan kerap pada luar dan dalam faraj. Ikuti tip-tip berikut:

  • Bersihkan kawasan faraj dengan menumpukan pada bahagian luarnya.
  • Jangan sesekali memasukkan sebarang objek untuk membersihkan bahagian dalam faraj kerana ia boleh merosakkan kulit dan dijangkiti kuman atau bakteria.
  • Semasa mandi atau menukar lampin, gunakan kain basah atau kapas untuk menyapu kawasan luar faraj dari depan ke belakang. Tumpukan pada uretra (bukaan lubang air kencing bayi perempuan).
  • Jika lampin terlalu kotor dan najis telah memasuki labia (bibir faraj), bersihkannya dengan menggunakan kain flanel atau span dan sapukannya pada luar dan dalam faraj dari depan ke belakang.
  • Sekiranya berlaku sebarang infeksi pada faraj bayi, segera bawa mereka berjumpa doktor.
  • Sesudah mencapai usia akil baligh dan mereka mula datang bulan, ajar mereka tentang kitarannya dan cara menggunakan tuala wanita dengan betul. Selain itu, ajar mereka mencuci faraj dengan cara mengelapnya dari depan ke belakang. Ini bertujuan mengelak sebarang kuman atau bakteria masuk ke dalam faraj.

Beritahu si kecil kesayangan anda akan kepentingan kebersihan alat sulit bagi mengelakkan jangkitan kuman atau bakteria. Ibu bapa boleh gunakan produk kulit yang telah disahkan oleh pakar perubatan atau pakar kulit sahaja. Amalan menjaga kebersihan alat sulit ini perlu ditanam seawal usia lagi agar ia kekal sehingga mereka dewasa kelak.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut