Masalah ponteng sekolah, merokok, melanggar peraturan, sentiasa bertengkar, dan mencuri merupakan antara isu yang sering dilakukan oleh individu remaja yang mempunyai jiwa memberontak. Mengapakah wujudnya jiwa yang memberontak ini? Apakah puncanya? Dan bagaimana untuk mengatasi anak remaja yang memberontak ini?
Mengapa remaja memberontak?
Perlu diingatkan bahawa individu remaja secara semula jadinya memang suka memberontak; jika sekali sekala terdapat pertengkaran kecil yang berlaku dan melibatkan anak anda, ia tidak bermakna anak anda bermasalah.
Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa mereka berkembang dengan sihat dan berkeyakinan menyuarakan pendapat mereka dan berupaya membentuk pandangan sendiri.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi punca yang menyebabkan remaja memberontak yang memerlukan kita memahami remaja.
Kita semua sebagai ibu bapa, pernah melalui dan merasai zaman muda.
Antara faktor umum yang boleh menjadi punca remaja memberontak adalah seperti timbulnya rasa untuk melawan setelah dikenakan hukuman, tindakan disiplin atau mungkin peraturan yang dikenakan membatasi keinginan diri mereka, perubahan hormon, tekanan daripada rakan sebaya dan kebimbangan kerana gagal mencapai jangkaan yang diharapkan oleh ibu bapa kepada mereka.
Namun, terdapat juga faktor lain yang mungkin menjadi puncanya seperti masalah keluarga, contohnya melibatkan ibu bapa yang sering bergaduh, masalah kewangan keluarga, penderaan fizikal dan emosi serta tekanan akibat perpisahan ibu bapa.
Simptom anak remaja memberontak
Walaupun fasa memberontak dalam kalangan remaja adalah normal, namun anda sebagai ibu bapa masih perlu berwaspada dengan tanda-tanda amaran seseorang remaja bermasalah.
Antaranya adalah:
- Komunikasi di antara anda berdua semakin berkurangan dan anak remaja anda sentiasa cuba mengelakkan diri dari anda.
- Sentiasa bertengkar walaupun hanya mengenai isu-isu kecil dan remeh serta mudah naik darah.
- Anak remaja anda tidak jujur dan menggunakan pembohongan untuk melepaskan diri daripada kesalahan yang dilakukan.
- Mereka mudah naik angin atau marah dan menjauhkan diri dari ahli keluarga lain.
- Penurunan atau peningkatan berat badan yang mendadak.
- Mencederakan diri sendiri, contohnya, luka, melecet, terdapat tanda lebam tanpa sebab yang kukuh bagaimana atau bila ia berlaku.
- Bertukar rakan-rakan secara tiba-tiba.
- Anak remaja kerap ponteng sekolah, bergaduh di sekolah, pencapaian akademik yang semakin merosot.
- Anda mula menyedari bahawa anak anda merokok, terlibat dalam penggunaan alkohol atau dadah.

Memahami pemikiran anak remaja
Remaja sering menjadi mangsa yang selalu disalah anggap oleh individu dewasa. Ini kerana otak mereka tidak berkembang dengan sepenuhnya lagi dan individu dewasa biasanya cepat menilai melalui tindakan mereka.
Otak seorang individu remaja sedang dalam proses pembangunan dan terdapat banyak hubungan penting di seluruh otak yang masih berlaku semasa proses perkembangannya.
Ini bermakna sel-sel saraf pada otak yang menghubungkan bahagian otak masih terbentuk atau dipangkas.
[embed-health-tool-child-growth-chart]