backup og meta

Makin Ramai Kanak-Kanak & Remaja Bantut Di Malaysia, Ini Inisiatif IMFeD For Growth!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/06/2023

    Makin Ramai Kanak-Kanak & Remaja Bantut Di Malaysia, Ini Inisiatif IMFeD For Growth!

    Bagi ibu bapa, tumbesaran si kecil yang sihat dan sempurna amat diutamakan. Perkara yang paling dibimbangkan pula adalah andai kata proses itu terbantut. Persoalannya, apa tanda anak bantut dan cara cegah bantut?

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda juga boleh klik di sini.

    Realiti masalah tumbesaran anak di Malaysia

    Untuk pengetahuan anda semua, kanak-kanak normal akan mencapai 60 peratus daripada tumbesaran tubuh badan mereka pada usia 5 tahun. Namun, ada isu yang boleh menghalang proses ini.

    Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2022, sekitar 21.2 peratus atau 1 dalam 5 kanak-kanak di negara kita yang mengalami masalah bantut.

    Tinjauan sama juga melaporkan bahawa 6.8% remaja mengalami tanda anak bantut di atas. Dalam erti kata lain, kanak-kanak dan remaja di Malaysia tidak mencapai puncak tumbesaran yang normal.

    Kesan jangka pendek dan jangka panjang daripada masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak sudah tentu jelas lagi besar!

    tanda anak bantut

    Ini kerana mereka lebih cenderung untuk kerap jatuh sakit, mengalami masalah pembelajaran, isu pembulian serta rendah tahap keyakinan diri sendiri, sehingga menjejaskan kesihatan fizikal dan mental.

    Menginjak usia dewasa, mereka mungkin bakal mengalami peningkatan risiko kondisi kronik, penurunan produktiviti sumber ekonomi dan potensi pendapatan seumur hidup yang lebih rendah.

    Apa antara tanda anak bantut?

    “Walaupun majoriti kanak-kanak dan remaja kita membesar secara normal, namun masalah bantut dalam kalangan mereka yang masih kecil kekal menjadi suatu kebimbangan,” jelas Pakar Pediatrik, Profesor Dr Lee Way Seah.

    Sebenarnya, kebimbangan ini wajar dizahirkan dengan usaha untuk mengelak dan mencegah masalah ini. Perkara pertama yang ibu bapa perlu buat adalah tahu apa tanda anak bantut.

    Tidak perlu tunggu doktor untuk mengesahkan jika anak anda ada masalah ini, berikut beberapa tanda anak bantut yang setiap penjaga atau ibu bapa perlu awasi:

    • Ketinggian yang tidak meningkat saban tahun
    • Indeks jisim badan (BMI) di bawah paras normal
    • Mereka nampak kecil berbanding rakan sebaya
    • Mereka nampak muda berbanding usia sebenar
    tanda anak bantut
    Profesor Dr. Lee Way Seah, Pengerusi Program IMFeD For Growth.

    Apa yang lebih membimbangkan, kebantutan yang dialami oleh individu pada zaman kanak-kanak dan remaja akan berterusan sehingga ke usia dewasa bahkan kekal seumur hidup mereka.

    Ini kerana mereka telah hilang ruang dan peluang untuk mencapai tumbesaran optimum pada usia yang sepatutnya. Apabila masalah ini dibiarkan, kesannya mungkin kekal sepanjang hayat.

    Profesor Lee yang juga Pengerusi Program IMFeD For Growth turut menegaskan bahawa masalah ini perlu diteliti dan diatasi dari peringkat awal jika sudah ada tanda anak bantut!

    Bagaimana pula cara cegah bantut?

    Menurut Profesor Lee lagi, ada 3 aspek yang penting dalam cara cegah bantut iaitu M (mengukur), I (identifikasi), M (mengurus) setiap inci tumbesaran anak anda sejak usia mereka masih kecil.

    Dalam pada itu, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) juga telah memperkenalkan kempen tahunan IMFeD For Growth sejak tahun 2012 serta melancarkan Growth Watch Month pada bulan ini!

    “Bulan Pemerhatian Tumbesaran ini tentu sahaja akan membuka mata dan minda serta memicu gelombang kesedaran ibu bapa terhadap tumbesaran anak masing-masing,” kata Dr Selva Kumar Sivapunniam, Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA).

    tanda anak bantut
    Dr. Selva Kumar Sivapunniam, Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA)

    Kempen ini akan memberikan ibu bapa informasi tentang tumbesaran anak melalui konten media dan temu bual. Di samping itu, ia turut akan menyiarkan 4 siri Forum Ibu Bapa secara langsung.

    Apa yang lebih menarik, akan ada juga acara Kempen Saringan Tahunan IMFeD For Growth yang bakal berlangsung bermula bulan Ogos hingga November di semua klinik yang telah disenaraikan.

    Buat ibu bapa yang berminat, anda boleh hadir bersama anak ke klinik di dalam direktori: https://clinics.imfed.my/

    Tumbesaran anak wajib jadi keutamaan ibu bapa!

    Dengan kewujudan kempen dan program seperti ini, ia mungkin boleh menjadi pemangkin semangat ibu bapa untuk tidak mengalah dan terus melawan masalah anak bantut di Malaysia.

    Selain tetap sedia memerhati tumbesaran anak dari hari, minggu, bulan dan tahun, para ibu bapa juga harus memberi perhatian yang khusus terhadap pemakanan serta nutrisi si kecil anda.

    IMFeD For Growth
    Dari kiri: Daphne Iking, Selebriti Ibu, Professor Dr. Lee Way Seah, Pengerusi Program IMFeD For Growth dan Dr. Selva Kumar Sivapunniam, Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA).

    Berpandukan kepada saranan suku suku separuh yang menggantikan panduan piramid makanan, model baharu ini wajar dijadikan pedoman dalam usaha mengelakkan isu anak malnutrisi.

    Meskipun ramai yang akan mengaitkan tanda anak bantut dengan faktor keturunan atau keadaan kesihatan, namun ia bukan bermaksud ibu bapa perlu berputus asa. Anda mungkin mampu mengubahnya!

    Hakikatnya, kesan bantut terhadap kanak-kanak itu akan kekal hingga usia remaja dan dewasa. Jika anak anda mempunyai masalah yang sama, segera jumpa pakar pediatrik untuk informasi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan