Mewarna, Melukis: Asah Kreativiti Anak

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pernahkah anda terfikir mengapa seni dan kraf seperti mewarna dan melukis adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak? Malah menurut pakar, untuk kanak-kanak pada usia 3 hingga 8 tahun, aktiviti sebegini adalah penting dalam membantu aspek tumbesaran dan perkembangan mereka.

Anda mungkin sudah mengetahui dan menyedari bahawa seni adalah cara terbaik untuk mengendali dan menguruskan rasa kegelisahan dan tekanan pada kanak-kanak. Tetapi adakah anda tahu bahawa aktiviti sebegini yang melibatkan tugasan seperti mewarna dan melukis juga dapat memberikan kesan positif kepada pembangunan kognitif dan fizikal mereka? Ikuti artikel ini untuk penjelasan lebih lanjut.

Mengapa seni?

Menurut pengasas bersama dan Pengarah Eksekutif Church Street School for Music and Art, di New York City, Lisa Ecklund-Flores, meningkatkan kreativiti anak bukan sahaja akan dapat membantu meningkatkan peluang anak anda untuk menjadi seperti pelukis terkenal, Picasso, tetapi aktiviti yang melibatkan seni dan kreatif ini dapat membantu anak-anak anda untuk mengembangkan aspek mental, sosial dan emosi.

Mencipta seni dipercayai boleh meningkatkan keupayaan kanak-kanak untuk menganalisis dan menyelesaikan masalah dalam pelbagai cara. Apabila kanak-kanak menguasai berus mewarna, ia akan dapat meningkatkan kemahiran motor mereka. Dengan mengira jenis dan warna, mereka secara tidak langsung mempelajari tentang asas-asas matematik. Apabila mereka diberikan peluang untuk bereksperimen dengan bahan-bahan, seperti penggunaan warna air atau mencampurkan pelbagai jenis warna, mereka sedang bereksperimen dengan sains dan penciptaan.

Aspek paling penting dalam seni adalah apabila anda sebagai ibu bapa membenarkan anak-anak anda untuk mencipta dan menghasilkan sesuatu yang mungkin di luar pemikiran anda, walaupun pada pandangan anda sebagai seorang individu dewasa, ia tidak lebih daripada sekadar contengan, ia sebenarnya membantu meningkatkan keyakinan diri anak-anak anda. Malah, kanak-kanak yang mendapat peluang untuk bereksperimen dan melakukan kesilapan akan mempunyai kebebasan untuk mendapatkan cara pemikiran yang baru, yang sekali gus melangkaui batasan dalam bidang seni dan kraf.

Apakah kepentingan seni?

Seperti yang dinyatakan pada awal-awal tadi, seni seperti melukis dan mewarna, memainkan peranan penting dalam aspek perkembangan kanak-kanak melebihi daripada apa yang anda mungkin fikirkan selama ini. Aktiviti yang melibatkan kreativiti dan artistik ini secara tidak langsung dapat membantu anak-anak anda belajar dalam pelajaran lain seperti membaca dan matematik. Dan dalam masa yang sama ia menggalakkan pembangunan visual, motor dan sosial.

Menggunakan seni sebagai kaedah atau cara bagi mempelbagaikan ekspresi adalah antara salah satu kaedah yang terbaik untuk berkomunikasi. Kepelbagaian seni yang berbeza secara tidak langsung akan dapat membantu mendedahkan atau memberikan kanak-kanak peluang menzahirkan apa yang berada dalam pemikiran mereka, perasaan serta mungkin apa yang mereka minati.

Bagi pendidik dan pakar dalam seni visual kanak-kanak, Lina Idárraga, mempercayai bahawa seni membolehkan kanak-kanak untuk meluaskan dan memperkembangkan perasaan mereka. Seni juga dapat memberikan manfaat kepada individu yang kurang upaya.

Bagi Idárraga, kanak-kanak mungkin tidak dapat meluahkan apa yang dirasa dan idea mereka melalui lisan, tetapi mereka mungkin meluahkannya melalui muzik, tarian dan ekspresi badan mereka. Jika individu dewasa seperti golongan ibu bapa dapat memahami dan menafsir ‘luahan’ yang cuba disampaikan kanak-kanak, pastinya mereka akan dapat memahami kanak-kanak dengan lebih baik.

Pakar psikologi juga turut mempercayai bahawa seni adalah satu perkara yang akan memberikan impak positif kepada sesiapa sahaja tidak kira peringkat usia. Walau bagaimanapun, zaman kanak-kanak adalah peringkat yang paling ideal untuk mengajar kanak-kanak semua aspek dan cabang seni yang berbeza. Ini kerana, dalam tempoh mereka masih pada usia yang muda, otak mereka adalah seperti span yang mudah untuk menyerap pelbagai maklumat dan ilmu.

Kepentingan seni dan kreativiti

Kanak-kanak boleh diibaratkan sebagai kain putih yang bersih dan suci daripada sebarang kekotoran atau kerosakan. Mereka ini masih dalam usia untuk belajar perihal kehidupan sebelum menginjak alam dewasa. Oleh itu, apa sahaja yang diajarkan oleh ibu bapa kepada mereka akan menjadi satu aspek dalam pembentukan diri mereka.

Kebanyakan ibu bapa hanya menekankan tentang kepentingan aspek pelajaran semata-mata kepada anak mereka sedangkan terdapat banyak lagi aspek yang membantu pembentukan diri anak-anak misalnya aspek sukan, aspek kemahiran mahupun aspek seni kreatif.

  1. Memupuk minat dalam aspek seni dan kreatif

Secara semula jadi, sikap kreatif sudah wujud dalam diri setiap kanak-kanak lagi. Namun, dengan dorongan dan didikan ibu bapa, sikap ini akan lebih bercambah lalu menjadikan anak-anak lebih yakin dan selesa untuk mengekspresikan kesenian dan kreativiti mereka kepada umum.

Mewarna, Melukis Asah Kreativiti Anak - kepentingan seni kreatif

  1. Mengasah kemahiran motor halus anak

Kemahiran motor halus anak anda dapat dipupuk dengan menggunakan latihan seni seperti melukis mahupun menulis. Ini adalah praktis yang terbaik untuk menguatkan motor halus mereka. Dalam pada itu, dengan praktis ini juga ibu bapa dapat mengetahui tangan dominan anak mereka sekali gus lebih memudahkan proses dan praktis pengawalan motor halus atau tangan mereka. Ini akan membuatkan anak anda lebih cepat dan pandai menulis kelak.

  1. Menghubungkan neuron-neuron anak anda

Seni merupakan aktiviti yang dapat menghubungkan setiap deria yang terdapat pada manusia iaitu deria lihat, dengar, sentuh, bau dan rasa. Oleh itu aktiviti seni seperti melukis yang melibatkan deria lihat dan sentuh atau lain-lain jelas sekali dapat membantu dalam pembentukan neuron anak anda sekali gus menghubungkannya.

  1. Meluahkan perasaan mereka melalui seni

Anak-anak boleh diajar untuk meluahkan perasaan mereka melalui seni agar mereka mempunyai satu medium alternatif selain ibu bapa untuk meluahkan perasaan gembira, sedih atau marah mereka. Ibu bapa dapat mengesan perasaan anak anda dengan melihat kepada penggunaan warna, corak atau bentuk lukisan mereka lalu memudahkan ibu bapa membaca perasaan anak mereka dan mengambil tindakan yang sepatutnya.

  1. Membina ikatan seisi keluarga

Anda boleh jadikan aktiviti kesenian dan kreatif seperti melukis sebagai satu aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga. Dengan aktiviti seperti ini, ibu bapa bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama anak-anak, tetapi hasil lukisan tersebut juga boleh dijadikan kenangan untuk masa hadapan.

  1. Boleh dijadikan alat untuk mengajar anak

Tidak semua kanak-kanak boleh belajar dengan cara yang formal. Malah kebanyakan kanak-kanak cenderung untuk belajar melalui visual. Oleh itu, ibu bapa boleh menggunakan cara ini untuk proses pembelajaran anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggunakan visual seperti lukisan binatang dan makanan untuk mengajar anak nama binatang serta nama makanan.

Didikan seni dan kreatif sangat penting dalam pembentukan fizikal dan perkembangan emosi anak anda pada hari ini. Seni bukan sahaja dapat membantu dari aspek pembangunan emosi atau rohani, seni juga dapat membantu dalam perkembangan fizikal kanak-kanak yang amat diperlukan seperti kemahiran menulis semasa dewasa kelak. Oleh itu, ibu bapa haruslah menekankan kepentingan didikan seni dan kreatif ini seawal usia anak lagi.

Jenis seni

  1. Muzik

Mendengar atau menghasilkan muzik atau bunyi dapat membantu kanak-kanak untuk mengembangkan kemahiran intelek, pendengaran, deria, ucapan dan kemahiran motor mereka. Bahasa muzik adalah satu bahasa yang universal dan anak kecil yang membesar dengan belajar mendengar muzik akan dapat bergaul secara sosial dengan kanak-kanak lain dan mudah untuk bertenang. Muzik juga dapat merangsang kemahiran mendengar dan kecerdasan emosi mereka.

Muzik dan lagu kanak-kanak merupakan alat pengajaran yang hebat dan terbaik. Rima dan pengulangan, bersama pengerakan tangan merupakan cara yang terbaik untuk kanak-kanak meningkatkan kemahiran dan keupayaan perbendaharaan kata mereka dan lebih memahami maksud sesuatu perkataan. Mendengar muzik dan menyanyikan lagu-lagu bersama dengan anak kecil atau bayi bukan hanya akan memberikan perubahan pada tahap fisiologi, tetapi ia juga secara tidak langsung dapat menggalakkan ikatan emosi yang kuat dengan ibu bapa.

  1. Kesusasteraan

Pakar psikologi pendidikan khusus dalam pendidikan awal kanak-kanak bersetuju bahawa ia sebenarnya agak sukar untuk mengembangkan dan membina tabiat membaca dalam kanak-kanak seperti individu dewasa. Secara umumnya, anda sebagai ibu bapa mungkin hanya akan dapat untuk menanam rasa suka membaca dalam diri seseorang anak pada tempoh mereka masih kecil.

Membaca kepada kanak-kanak merupakan satu cara yang dapat memperkayakan pengalaman mereka. Ia membantu membangun dan memperkembangkan kemahiran kognitif seperti ingatan, bahasa dan imaginasi. Kanak-kanak akan menemui satu dunia yang sangat luar biasa dan unik dalam buku. Berkongsi buku dan cerita dengan kanak-kanak pada usia yang sangat muda akan menjadikan mereka menganggap membaca sebagai satu hiburan yang menyeronokkan dan bukan sebagai kerja rumah yang membosankan. Ini sekali gus akan menjadikannya tugasan untuk menjadikan membaca sebagai salah satu permainan yang akan dilakukan pada masa lapang mereka sebagai sesuatu yang mudah.

Minat untuk membaca ini harus ditanam, diperkuatkan dan diperkembangkan bermula dari rumah. Ia bukan sahaja untuk memupuk dan membangunkan keupayaan membaca dan berimaginasi, tetapi dalam masa yang sama ia juga akan menguatkan ikatan antara anak dan ibu bapa.

Mewarna, Melukis Asah Kreativiti Anak - jenis seni

  1. Melukis dan mewarna

Sama ada berwarna ataupun melukis, kedua-dua aktiviti ini adalah sangat bermanfaat. Antara manfaat yang boleh diperolehi adalah ia membantu mengembangkan kemahiran motor, menulis, membaca, kreativiti dan meningkatkan harga diri anak-anak. Bukan sekadar itu sahaja, aktiviti mewarna dan melukis pastinya merupakan satu kaedah dan cara yang terbaik untuk kanak-kanak menyatakan dan meluahkan perasaan dan emosi mereka. Jika itu tidak cukup menyakinkan anda tentang kebaikan dua aktiviti kreatif ini, mewarna dan melukis juga turut memainkan peranan penting dalam perkembangan keperibadian dan kematangan psikologi mereka.

Sekiranya anda sebagai ibu bapa ingin menggalakkan perkembangan kreativiti semula jadi dalam diri anak-anak, pakar mencadangkan anda untuk memberikan anak anda peluang untuk mewarna dan melukis secara bebas kepada anak-anak anda. Dengan cara ini, ia memberikan anak-anak anda peluang untuk mengekspresikan imaginasi dan kreativiti mereka. Berikan kepada mereka bahan seperti warna air, krayon, dan tanah liat. Benarkan mereka untuk bereksperimen pada kertas lukisan, kadbod dan sebarang material yang bersesuaian dan tidak mendatangkan bahaya kepada mereka.

  1. Teater

Ia mungkin satu seni yang jarang dipraktiskan di Malaysia, berbanding di negara barat. Tetapi sebenarnya penglibatan kanak-kanak dalam seni teater akan dapat membantu kanak-kanak untuk mempelajari nilai penting dalam diri mereka seperti rasa hormat dan sikap toleransi. Persembahan teater kanak-kanak akan memberikan kanak-kanak peluang untuk meletakkan diri mereka dalam sesuatu watak yang berbeza daripada mereka serta berpeluang untuk merasai dan mendalami watak tersebut. Secara tidak langsung, ini akan dapat membantu mereka untuk menjadi lebih terbuka dan berdedikasi. Penglibatan dalam teater juga akan membantu meluaskan lagi imaginasi dan kreativiti anak anda.

  1. Ekspresi badan

Pergerakan dan ekspresi badan akan memberikan kesan positif kepada pembangunan fizikal dan pertumbuhan badan yang sihat. Kanak-kanak belajar untuk membawa diri dengan penuh keyakinan dan mengekalkan kelenturan dan keupayaan semula jadi mereka untuk bergerak, berlari dan melompat. Selain itu, manfaat lain yang boleh diperolehi adalah ia dapat membantu anak-anak anda dalam aspek keseimbangan, koordinasi dan kawalan badan mereka. Selain kebolehan fizikal, ekspresi badan melalui pergerakan juga menawarkan manfaat untuk kecerdasan emosi mereka. Ia memberikan faedah sosial dan kreativiti kepada mereka dengan cara yang positif.

Menggalakkan seni pengerakan badan untuk memperkembangkan kanak-kanak secara tidak langsung memberikan mereka peluang untuk mengekspresikan diri melalui cara dan pengerakan yang disukai mereka. Sebagai ibu bapa, cuba galakkan anak-anak anda untuk memperbanyakkan pergerakan badan dalam mengekspresikan diri mereka.

Cara menginspirasikan kreativiti anak

  • Bersedia

Memberikan peluang kepada anak anda untuk mengekspresikan kreativiti bermakna anda perlu bersedia dengan kekotoran, ruang yang berselerak dan keadaan yang mungkin sedikit huru-hara. Sediakan ruang untuk anak-anak anda bebas bereksperimen dan mengekspresikan imaginasi mereka dengan keadaan yang akan menjadi sedikit berselerak. Mungkin jika cuaca bersesuaian, anda boleh membenarkan anak-anak anda untuk melakukannya di halaman rumah.

Mewarna, Melukis Asah Kreativiti Anak -inspirasi seni

  • Arahan

Hindari daripada memberikan sebarang arahan kepada anak-anak anda. Usah memberitahu kepada anak anda apa yang perlu atau bagaimana untuk melakukannya. Sebaliknya, benarkan anak anda untuk melakukan apa yang dirasakannya dan berikan galakan.

  • Berbual

Cuba untuk berbual dan berbicara mengenai seni. Apabila bercakap bersama anak anda tentang hasil seni yang melibatkan aspek mewarna dan melukis ini, cuba untuk memberikan komen yang lebih spesifik. Sebagai contoh, anda boleh bertanyakan, “Mama tengok awak lebih suka menggunakan warna biru. Kenapa awak memilih warna tersebut?”

  • Meneroka

Cuba untuk mendalami proses seni yang dilakukan oleh anak anda. Sebagai contoh, cara yang terbaik untuk menggalakkan komunikasi berkaitan dengan seni yang dihasilkan oleh anak anda adalah seperti menyatakan, “Ceritalah pada mama apa yang awak hasilkan ini,” atau tanyakan, “seronok tak mewarna dan melukis gambar ini?”

  • Sendiri

Elakkan daripada melukis atau mewarna bersama dengan anak. Apabila ibu bapa mewarna atau melukis sesuatu sementara anak anda turut melakukan perkara yang sama, ia mungkin mendatangkan kecenderungan untuk menyebabkan wujudnya rasa kecewa dalam diri anak. Cara yang terbaik adalah dengan berada dekat bersama dengan anak anda dan membiarkan mereka tahu bahawa anda tertarik dan menyokong dengan apa yang dilakukannya.

  • Biarkan

Apabila anak anda selesai dengan aktiviti seninya, cuba elakkan daripada memberi cadangan untuk sebarang penambahan atau perubahan pada hasil kerja mereka. Ini kerana adalah penting untuk anak anda merasakan apa yang dilakukan dan dihasilkannya adalah sudah mencukupi, walaupun ia hanyalah sekadar titik pada satu kertas lukisan.

Bebas mengekspresi

Menurut pengasas Brooklyn Design Lab, iaitu sebuah sekolah seni untuk kanak-kanak, Amy Yang, kanak-kanak mungkin tidak dapat menyatakan secara spesifik tentang apa yang dilukis atau dilakukan pada kertas, tetapi mereka gemar dan sukakan perasaan yang muncul apabila mereka dapat mewarna pada sekeping kertas, bagaimana hasilnya apabila manik bergemerlapan (glitter) ditaburkan serta bunyi lembut yang terhasil daripada sapuan berus berwarna. Maka biarkan anak-anak anda untuk melakukan apa yang digemari, mewarna, melukis atau mungkin kelihatan seperti menconteng sekeping kertas. Namun, hakikatnya ia adalah cara terbaik untuk membenarkan anak-anak anda mengekspresikan apa yang dirasa dan difikirkannya. Biarkan mereka menikmati saat-saat itu.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan