Penyakit Kulit Bayi: Ekzema, Ruam dan Alahan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Setiap ibu bapa mahukan kulit bayi mereka kekal sihat, bersih, dan licin. Disebabkan itu, ada ibu bapa yang sanggup mengambil risiko dan berhabis wang ringgit menggunakan pelbagai jenis produk atau rawatan semata-mata demi kecantikan kulit bayi. Namun begitu, penyakit kulit bayi seperti ekzema, ruam dan alahan masih berisiko menjangkiti bayi anda. Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Ekzema

Ekzema atau atopic dermatitis adalah sejenis keradangan pada kulit yang turut mendatangkan bengkak, gatal dan ruam merah yang kelihatan seperti kulit yang melecur. Ia kebiasaannya akan dihidapi oleh kanak-kanak yang berusia bawah 5 tahun dan akan menjangkiti bahagian muka, tangan, siku atau lutut.

Apa punca ekzema?

  • Keturunan
  • Kulit terlalu kering, gatal dan sensitif terhadap kepanasan atau sebarang permukaan kasar
  • Kulit terdedah kepada bahan kimia seperti minyak wangi atau sabun
  • Infeksi virus
  • Alahan kepada bahan makanan atau bahan bukan makanan

Apa simptom ekzema?

  • Kulit menjadi kemerahan, bersisik dan bertukar warna
  • Kulit menjadi bengkak dan berair
  • Timbul tompok-tompok yang kering dan gatal pada muka, tangan, kaki dan leher

Contoh kulit bayi yang menghidapi ekzema:

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/ekzema/

Ruam

Ruam adalah masalah yang paling biasa dialami bayi dan kanak-kanak. Ada ruam yang serius dan ada yang tidak. Ada ruam yang akan sembuh cepat dan ada yang lambat. Sebaiknya, anda merujuk kepada doktor anda untuk lebih kepastian. Terdapat beberapa jenis ruam yang biasa terjadi pada bayi dan kanak-kanak, termasuklah:

  • Ekzema
  • Ruam panas
  • Ruam lampin
  • Ruam alahan
  • Jangkitan kulat seperti panau dan kurap
  • Jangkitan virus seperti campak, rubella dan denggi
  • Sengatan dan gigitan
  • Kaligata (urtucaria)
  • Kontak dermatitis

Walaupun banyak punca yang boleh mengakibatkan ruam, ia tetap akan mendatangkan simptom yang sama. Ruam kebiasannya akan berwarna kemerahan, kering, gatal, bengkak dan bersisik.

Alahan

Alahan pada kulit bayi dan kanak-kanak akan berlaku apabila badan bertindak balas terhadap bahan atau pencetus (alergen) yang kebiasaannya tidak berbahaya bagi individu lain. Reaksi setiap alahan adalah berbeza mengikut alergen dan individu itu sendiri.

Menurut Dr Lim Wei Leng yang merupakan Perunding Pakar Kanak-kanak dan Neonatologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), terdapat pelbagai jenis gejala alahan dan yang paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak adalah ruam kulit, sesak nafas, gegata, gatal-gatal mata, cirit-birit, bersin, batuk, muntah, semput, hidung berair dan sakit pada abdomen. Paling bahaya, boleh berlaku lemas akibat tidak dapat bernafas (anafilaksis) iaitu satu tindak balas alahan yang boleh membawa maut.

Menurut beliau lagi, alergen yang kerap membangkitkan alahan adalah makanan seperti produk tenusu, makanan laut, kekacang dan telur. Selain itu, persekitaran di kawasan rumah juga menyumbang kepada alergen seperti bulu haiwan, kulat, hama, debunga atau gigitan serangga. Asap rokok, minyak wangi dan bahan kimia kegunaan rumah seperti sabun juga mampu menyebabkan alahan.

Disebabkan alahan ini sangat banyak punca dan sukar ditentukan mana satu penyebab alahan anak anda, bawa mereka berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.

Apa yang anda perlu lakukan?

Tanpa mengira jenis penyakit yang bayi anda hidapi, perkara yang paling penting untuk dilakukan adalah membawa mereka berjumpa dengan doktor. Ini kerana ibu bapa sendiri kadangkala tidak mengetahui jenis penyakit dan ubatan atau rawatan yang diperlukan seterusnya.

Mungkin jika ia hanya sekadar ruam biasa, ia akan hilang dengan sendiri. Namun jika penyakit kulit berlaku disebabkan oleh alahan, anda perlu berhati-hati kerana ada jenis alahan yang boleh membawa maut. Paling penting, rujuk pakar perubatan atau pakar kulit yang telah diiktiraf dan jangan hanya percaya akan nasihat individu yang tidak berkelayakan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut