Vaksin Tidak Akan Menyebabkan Autisme, Jangan Mudah Terpedaya!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sehingga ke hari ini, gerakan anti-vaksin di seluruh dunia semakin membesar dan membimbangkan. Ini kerana fahaman mereka yang tidak bersandarkan saintifik dan hanya berdasarkan perasaan semata-mata adalah tidak rasional dan akan menjadi racun kepada seluruh masyarakat di dunia. Kini, mereka muncul pula dengan dakyah baharu yang mengatakan pengambilan vaksin akan menyebabkan anak anda menghidap autisme. Jadi, sejauh manakah kebenaran fahaman mereka ini?

Vaksinasi atau imunisasi adalah satu tindakan memasukkan zat yang mengandungi antigen ke dalam tubuh badan untuk menghasilkan antibodi. Tujuan ia dilakukan adalah untuk menjadi senjata terkuat manusia bagi melawan pelbagai penyakit yang berbahaya seperti campak, beguk, rubella (MMR) dan lain-lain. Pun begitu, masih wujud golongan ibu bapa yang tidak memberikan vaksin kepada anak mereka kerana tidak mempercayainya. Malahan, mereka percaya bahawa ia akan menyebabkan anak mereka menghidap autisme.

Persoalannya, adakah kepercayaan yang sangat menakutkan ini adalah fakta atau auta semata-mata? Ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenai kaitan antara vaksin dengan autisme dengan lebih lanjut.

Sebelum mengupas isu ini dengan lebih mendalam lagi, kita perlu tahu sedikit sebanyak mengenai vaksin dan autisme terlebih dahulu.

Apa itu vaksin?

Vaksin adalah satu bahan kimia yang mengandungi antigen. Ia diperolehi daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus, bakteria atau kuman yang telah dilemahkan atau dimatikan. Menurut pakar pediatrik, suntikan vaksin ini bertujuan untuk memberikan kanak-kanak perlindungan terhadap pelbagai penyakit berbahaya seperti campak, beguk, rubella (MMR).

Vaksin adalah sangat penting kerana tanpanya, penyakit-penyakit berbahaya ini mampu menyebabkan kematian. Sebenarnya, prosedur mengambil suntikan vaksin adalah sangat mudah, selamat dan telah terbukti berkesan menghasilkan imuniti dalam tubuh badan kanak-kanak sekali gus melindungi mereka daripada penyakit yang boleh membawa maut.

Apa itu autisme?

Autisme adalah gangguan pertumbuhan tumbesaran kanak-kanak yang akan memberi kesan terhadap aspek mental yakni pemikiran mereka. Mengikut statistik, malangnya ia boleh terjadi kepada 1 atau 2 orang daripada 1,000 orang kanak-kanak dan lebih berisiko terhadap kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak yang menghidap autisme akan mempunyai masalah dalam kemahiran-kemahiran seperti berikut:

  • Kemahiran kognitif
  • Kemahiran bertutur dan berkomunikasi
  • Kemahiran interaksi sosial
  • Kemahiran mengawal emosi dan tingkah laku
  • Kemahiran sensori atau sentuhan fizikal
  • Kemahiran bermain

Antara punca yang diketahui menyebabkan kanak-kanak menghidap autisme adalah faktor genetik, persekitaran, neurobiologi atau ibu atau bapa terlalu lewat usia ketika hamil. Kini, terdapat satu lagi punca yang dikatakan mampu menyumbang kepada penyakit ini iaitu pengambilan vaksin. Adakah ia benar?

Dari mana timbulnya kepercayaan ini?

Kepercayaan ini mula ditimbulkan oleh seorang doktor anti-vaksin iaitu Dr. Andrew Wakefield bersama rakan-rakan penyelidiknya melalui sebuah penyelidikan mereka terhadap 8 orang kanak-kanak. Kesemua kanak-kanak yang dipilih menjadi bahan kajian ini mempunyai tanda awal autisme setelah menerima imunisasi MMR pada bulan sebelum penelitian dijalankan. Dalam pada itu lagi, kesemua kanak-kanak ini mempunyai gangguan pada sistem pencernaan mereka. Kesemua mereka kemudiannya dikumpulkan dan dijadikan sebagai bahan kajian.

Seterusnya, Dr. Andrew bersama para pengkajinya mula menjalankan kajian dengan melakukan endoskopi terhadap kanak-kanak terbabit. Hasilnya, para pengkaji menemui pembengkakan kelenjar pada organ pencernaan mereka. Dr. Andrew kemudiannya membuat satu kesimpulan bahawa ia berlaku disebabkan oleh suntikan vaksin MMR. Beliau menegaskan bahawa vaksin MMR mampu menyebabkan peradangan pada usus sehingga protein yang tidak sepatutnya berada dalam aliran darah boleh masuk dan mengalir sampai ke otak.

Berdasarkan penemuan ini, Dr. Andrew mula mempercayai bahawa vaksin MMR ini akan menyebabkan gangguan pada perkembangan otak kanak-kanak yang mengambilnya lalu mengakibatkan mereka menghidapi autisme. Fahaman ini kemudiannya disebarkan oleh beliau dan para pengkajinya untuk membuat masyarakat dunia peduli dan kagum dengan penemuan mereka itu.

Penemuan mereka ini mencetuskan gerakan anti-vaksin yang tidak mempercayai keberkesanan vaksin dan beranggapan bahawa ia adalah antara punca penyebab kondisi autisme dalam kalangan kanak-kanak. Berikut, merupakan kepercayaan mereka terhadap vaksin:

  • Menyebabkan kerosakan pada usus kanak-kanak lalu menyebabkan penyerapkan protein encephalopathic dengan lebih mudah lalu menyebabkan mereka menjadi pelupa, keliru dan kesengsaraan.
  • Bahan yang terdapat dalam vaksin seperti merkuri, aluminium dan lain-lain mampu menjadi toksik dalam sistem saraf tubuh badan kanak-kanak lalu merosakkannya.
  • Penggabungan ketiga-tiga vaksin yang menjadi satu ini akan menyebabkan sistem imun tubuh badan kanak-kanak tidak dapat menerimanya sekali gus.

Berdasarkan teori Dr. Andrew Wakefield, ketiga-tiga kepercayaan ini akan menjadi punca utama kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin boleh menghidapi austime.

Siapa itu Dr. Andrew Wakefield?

Dr. Andrew Wakefield adalah seorang bekas doktor dan pengkaji perubatan daripada Britain. Beliau merupakan antara pelopor awal dalam pergerakan anti-vaksin moden menerusi pelbagai kajiannya. Beliau mendapatkan ijazah perubatannya pada tahun 1985 dan telah dilatih sebagai seorang pakar bedah khusus dalam bidang penghadaman dan pencernaan.

Pun begitu, lesen kedoktoran beliau telah ditarik balik pada tahun 2010 selepas Majlis Perubatan Umum Britain mendapat beliau telah salah guna kuasa dan ilmunya sebagai seorang doktor. Beliau telah didapati bersalah menggunakan kanak-kanak sebagai bahan kajian dengan memberikan ubat dan melakukan prosedur yang melanggar etika seorang doktor.

Dua daripada rakan penyelidiknya iaitu Profesor John Walker-Smith dan Simon Murch juga didapati bersalah oleh panel.

Apa yang beliau lakukan?

Pada tahun 1955, Dr. Andrew mendakwa bahawa beliau telah ditawarkan secara sendiri oleh ibu bapa anak autisme yang mempunyai isu pada perutnya. Kemudian, beliau juga telah berjumpa dengan ramai ibu bapa yang mendakwa bahawa anak mereka mula menunjukkan tanda-tanda kecacatan pada tumbesaran dan perkembangan mental selepas menerima suntikan vaksin MMR. Disebabkan itu, beliau mula menjalankan kajian terhadap kanak-kanak yang telah mengambil vaksin untuk melihat sama ada ia akan menyebabkan autisme atau tidak. Malangnya, beliau sendiri mempercayai kenyataan itu.

Selepas itu, kebanyakan syarikat akhbar di Britain mula memaparkan berita mengenai “penemuan” Dr. Andrew ini. Paling mengejutkan, timbul juga sebuah prasangka yang mengatakan bahawa Perdana Menteri Britain pada ketika itu iaitu Tony Blair tidak membenarkan anaknya, Leo mengambil suntikan vaksin kerana khuatir akan kesan sampingannya. Pun begitu, beliau sendiri tidak mengeluarkan apa-apa komen mengenainya.

Disebabkan penularan kepercayaan ini, kadar pengambilan vaksin di Britain mulai menurun daripada 90 peratus kepada 79 peratus pada tahun 2003.

Apa terjadi selepas itu?

Selepas itu, pelbagai penyiasatan mula dilakukan terhadap Dr. Andrew kerana beliau telah membuat huru-hara dalam bidang perubatan dunia. Hasil penyiasatan itu mendapati bahawa memang terdapat banyak kepincangan dalam kajian beliau yang tidak beretika itu. Ini menyebabkan kedoktoran beliau ditarik balik oleh kerajaan Britian.

Masih tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Britain yang tidak mempercayai kajiannya itu, beliau berpindah ke Amerika Syarikat pula. Di sana, beliau telah menjadi seorang penerbit dokumentari. Beliau juga masih bergiat aktif dalam kempen anti-vaksin. Beliau menegaskan bahawa punca vaksin mampu menyebabkan berlakunya autisme dalam kalangan kanak-kanak adalah bahan kimia yang terdapat di dalam vaksin itu sendiri.

Antara bahan yang beliau anggap berbahaya adalah merkuri. Pun begitu, British Immunology Society (BIS) pula telah menegaskan bahawa merkuri tidak lagi digunakan sebagai bahan membuat vaksin di Britain. Selain itu, aluminium juga dianggap berbahaya kerana boleh meningkatkan respon imun tubuh badan kanak-kanak terhadap virus yang tidak aktif. Namun begitu juga, BIS turut menegaskan bahawa kandungan aluminium di dalam vaksin adalah berada pada tahap yang sangat rendah dan selama untuk digunakan.

Tidak mahu berputus asa dengan kajiannya, Dr. Andrew kemudiannya mengatakan bahawa suntikan vaksin MMR yang telah digabungkan menjadi satu itu merupakan punca kanak-kanak menghidap autisme. Apa alasannya? Beliau mengatakan bahawa ia akan menyebabkan sistem imun tidak mampu menerima kandungan vaksin yang terlalu banyak atau terlalu kuat lalu merencatkan otak kanak-kanak. Akan tetapi, BIS sekali lagi menepis dakwaan itu dengan menekankan bahawa sistem imun akan berdepan dengan ribuan bakteria, virus atau kuman pada setiap hari tanpa apa-apa kesan sampingan yang lain. Ini dikuatkan lagi dengan kajian yang menunjukkan bahawa tiada apa-apa masalah kesihatan yang dialami oleh 500,000 kanak-kanak setelah 12 tahun mengambil vaksin MMR.

Selain daripada itu, tiada kajian lain yang dapat mengaitkan apa-apa kerosakan otak dalam kalangan kanak-kanak dengan pengambilan vaksin.

Ini membuktikan kajian yang dilakukan oleh Dr. Andrew adalah tidak kuat atau kukuh seperti yang beliau percaya. Terdapat banyak lagi bukti dan kajian yang mampu melawan fakta beliau yang ampuh dan banyak kepincangan. Pun begitu, masih ada golongan yang mempercayainya dan masih terus berpegang teguh dengan kepercayaan anti-vaksin. Mengapa ini terjadi?

anak autisme

Bagaimana kepercayaan ini tersebar ke serata dunia?

Sejak hasil kajian itu mula menular menerusi televisyen, radio dan internet, dunia menjadi kacau-bilau dan menyebabkan gerakan anti-vaksin semakin berani dan berleluasa. Ia semakin teruk apabila seorang aktres wanita Amerika yang sangat terkenal di persada dunia, Jenny McCarthy mendakwa vaksinasi merupakan punca anaknya menghidap autisme. Gara-gara kenyataan ini dibuat tanpa penyelidikan terperinci terlebih dahulu, fahaman anti-vaksin mula menular di segenap pelusuk dunia melalui pelbagai media.

Di Malaysia pula, gerakan golongan anti-vaksin ini juga mula kian membimbangkan. Meskipun masih tiada individu yang tampil membuat kenyataan bahawa anak mereka menghidap autisme akibat pengambilan vaksin, tidak mustahil satu hari nanti akan ada.

Baru-baru ini juga, telah gempar satu Malaysia apabila bekas penyanyi kumpulan nasyid yang terkenal di Malaysia Mohd Suhaimi Bin Saad dari kumpulan In-Team,mendedahkan bahawa dia tidak percaya akan kepentingan vaksinasi menerusi laman media sosialnya. Kenyataan ini mengundang pelbagai reaksi yang kebanyakannya negatif daripada netizen. Beliau merupakan antara selebriti terawal di Malaysia yang berani menyuarakan pendapat beliau berkenaan vaksinasi ini.

Dalam erti kata yang lebih mudah, kepercayaan ini akan lebih mudah tersebar jika terdapat penglibatan selebriti atau individu terkenal yang menjadi dalangnya. Dengan kewujudan internet dan media sosial kini, ia lebih cepat tersebar kepada masyarakat dunia.

Sejauh manakah kebenarannya?

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh National Autistic Society di Britain, ia adalah tidak benar. Menurut mereka, autisme adalah sangat kompleks dan punca ia berlaku adalah pelbagai dan tidak menentu. Ia mungkin disebabkan oleh genetik, persekitaran atau pengambilan ubat-ubatan yang mampu mengganggu pertumbuhan otak kanak-kanak.

Pun begitu, tidak terdapat satu bukti kukuh dan kuat yang dapat mengaitkan austisme dengan pengambilan vaksin MMR. Menurut mereka lagi, antara contoh ubat-ubatan yang boleh menyebabkan austisme adalah sodium valproate antidepressants dan anti-epileptic yang kebanyakan negara juga telah mengharamkan penggunaannya dan bukannya sebarang vaksin.

Manakala di Denmark pula, seramai 2 juta kanak-kanak yang lahir di antara tahun telahpun dikaji untuk melihat sama ada autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak yang telah mengambil suntikan vaksin atau tidak. Keputusannya, ia adalah tidak benar sama sekali. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa vaksin bukanlah penyebab berlakunya autisme dalam kalangan kanak-kanak dan risikonya sebenarnya boleh berlaku terhadap kesemua kanak-kanak tanpa mengira mereka mengambil vaksin atau tidak.

Kajian ini terpaksa dilakukan semula kerana kebimbangan terhadap vaksin dan perkembangan autisme yang tidak pernah tamat. Dan dengan gerakan anti-vaksin yang dilihat semakin kukuh sejak beberapa dekad lepas, trend ini sangat membimbangkan buat kesemua ahli perubatan di dunia. Pun begitu, hasilnya tetap sama iaitu tiada sebarang perkaitan secara langsung atau tidak langsung di antara pengambilan vaksin dengan autisme.

Pada 2011, Institute of Medicine (IOM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa vaksin adalah selamat untuk diambil setelah menjalankan kajian terhadap 8 individu dewasa dan kanak-kanak. Ia kemudiannya disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Centers For Disease Control (CDC) pada 2013. Kajian mereka yang berfokuskan kepada antigen (bahan kimia yang terdapat di dalam vaksin untuk menghasilkan antibodi) dalam vaksin selama dua tahun pertamanya diambil menunjukkan bahawa jumlah antigen yang berada dalam tubuh badan kanak-kanak yang menghidapi autisme dengan yang tidak menghadapinya adalah sama sahaja.

Bahan-bahan yang terdapat dalam vaksin seperti merkuri dan aluminium juga telah terbukti tidak akan menyebabkan kanak-kanak menghidap autisme. Ini dapat disahkan dengan kajian saintifik yang dibuat oleh IOM dan CDC dengan jayanya yang dapat membuktikan bahawa vaksin tidak akan menyebabkan kerencatan pada otak kanak-kanak.

Dalam erti kata yang lebih mudah, vaksin adalah tidak memudaratkan dan tidak akan menyebabkan kanak-kanak yang mengambilnya menghidapi autisme.

Jadi, apa yang boleh anda buat?

Sebenarnya, tiada apa yang anda perlu risaukan mengenai keberkesanan vaksin ini kerana telah banyak kajian yang mengatakan ia adalah selamat untuk diambil oleh anak anda. Jika anda masih ragu-ragu mengenainya, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah mengeluarkan kenyataan yang menasihatkan ibu bapa untuk tidak mempercayai dakwaan bahawa kononnya suntikan vaksin boleh menyebabkan kanak-kanak menghidapi autisme.

Beliau yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menyarankan ibu bapa untuk tidak melayan segala masalah-masalah yang mempunyai kaitan dengan anekdot berkenaan, seperti mengaitkan vaksin dengan autisme atau sebagainya. Menurut beliau lagi, walaupun tidak memaksa orang ramai untuk mengambil vaksin dan membiarkan ia diputuskan oleh individu, beliau masih mengesyorkannya.

Sebelum ini juga Persatuan Doktor Islam Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa sudah sampai masa untuk suntikan vaksin diwajibkan buat semua kanak-kanak sebelum mereka memasuki alam persekolahan lagi kerana ia boleh menyebabkan kematian dan boleh menjadi sebuah epidemik jika tidak diuruskan dengan bijak.

Menteri Kesihatan kita iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad pula mengeluarkan kenyataan bahawa gerakan anti-vaksin di negara kita adalah faktor utama tahap imunisasi negara kita merosot. Selain itu, ia juga malah menyukarkan pihaknya mewajibkan pengambilan vaksin terhadap kanak-kanak di negara ini.

Konklusinya, sudah pasti vaksin adalah selamat dan tidak akan menyebabkan kanak-kanak menghidap autisme. Jadi, adakah anda masih mahu percaya dengan gerakan anti-vaksin ini? Keputusan terletak di tangan anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut