Beliau berkata, jangkitan virus measles mudah merebak yang mana satu kes boleh menularkan jangkitan kepada 12 hingga 18 individu lain. Jangkitan menular melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan langsung dengan cecair pernafasan daripada orang dijangkiti. Dan, demam campak ini boleh dicegah dengan imunisasi.
Vaksin campak diberikan kepada Orang Asli suku Batek bermula minggu ini

Bermula minggu ini, suntikan vaksin secara menyeluruh akan diberikan kepada penduduk Orang Asli suku Batek bagi mengekang penularan wabak measles atau demam campak yang melanda mereka sejak sebulan lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, selain suku kaum terbabit, penduduk sekitar yang berada di kampung berkenaan juga tidak terkecuali daripada diberikan vaksin yang sama.
“Kampung itu bukan hanya didiami orang asli, malah terdapat juga masyarakat tempatan di sekitarnya.
“Jadi, ketika ini pihak jabatan sedang mengumpul data untuk mengenal pasti bilangan mereka yang terdedah dan akan memberikan vaksin kepada mereka secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya dijangka akan mengalami kesukaran dalam melaksanakan tugas tersebut namun usaha pihaknya itu akan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Dalam masa sama, program suntikan imunisasi secara berjadual akan diteruskan terutama kepada kanak-kanak. Cuma sebelum ini pihak kami menghadapi kesukaran memandangkan suku kaum itu kerap berpindah-randah,” katanya.
Dr Zaini berkata orang asli tidak boleh dipersalahkan kerana mungkin ketika kita ingin melakukan suntikan imunisasi secara berjadual di kampung itu tapi kebetulan mereka tiada kerana perlu mencari hasil hutan.
Tambahnya, suntikan vaksin bukan satu-satunya cara pencegahan demam campak atau penyakit lain, namun pihaknya perlu melihat dalam aspek lain seperti pemakanan.
Wabak campak menular ke Hulu Terengganu dan Jerantut
Berdasarkan laporan terkini (semalam) daripada Berita Harian, wabak demam campak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, dipercayai merebak ke komuniti Orang Asli di Hulu Terengganu, Terengganu dan Jerantut, Pahang.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM menerima 20 laporan kes disyaki demam campak di perkampungan Orang Asli di dua negeri itu, iaitu 12 kes di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu dan lapan kes di Kampung Ulu Sat, Jerantut.
Daripada jumlah itu, katanya, 11 kes disahkan wabak demam campak, iaitu tujuh kes di Kampung Gerdong, dan empat kes di Kampung Ulu Sat, yang dipercayai berkait dengan kes di Gua Musang.
Katanya, siasatan awal mendapati terdapat sejarah kontak atau pergerakan di antara kes di Hulu Terengganu dengan komuniti Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh.
Tambah beliau, buat masa ini kejadian wabak ini adalah terkawal. Orang ramai diminta tidak khuatir dan KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kejadian ini dari semasa ke semasa.
Setakat semalam, seramai 10 Orang Asli di masukkan ke wad di Hospital Hulu Terengganu selepas menunjukkan simptom jangkitan saluran pernafasan, cirit-birit dan muntah, membabitkan sembilan dari Kuala Koh serta seorang dari Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.
Sementara itu, ditanya tentang cadangan untuk mengenakan kuarantin di kawasan yang terjejas, Dr Dzulkefly berkata kawasan terbabit telah dikepung untuk mengelak penyakit itu daripada merebak.
Baca juga:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen