Kerap Peluh Pada Waktu Malam? Ini Mungkin Penyebabnya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Peluh pada waktu malam sekali-sekala ialah normal terutamanya jika kipas rosak dan anda memakai pakaian serta selimut tebal. Tetapi, jika badan basah termasuk cadar dan tilam selepas suhu pendingin hawa serendah 16°C, ia mungkin disebabkan keadaan tertentu.

Banyak perkara boleh menyebabkan anda berpeluh pada waktu malam.

Mengapa kerap peluh? 

1. Menopaus

Bagi wanita berumur sekitar menopaus (45 hingga 55 tahun), peluh dan rasa panas yang dialami mungkin merupakan petanda kepada menopaus.

2. Hiperhidrosis idiopatik

Ini ialah keadaan di mana badan memberikan isyarat kepada kelenjar peluh untuk mengeluarkan peluh dengan banyak tanpa sebab atau rangsangan biasa (bersukan, gemuruh, suhu panas). Keadaan ini boleh berlaku di tapak tangan, tapak kaki, serta bahagian belakang badan dan pinggul.

3. Jangkitan

Batuk kering atau tuberkulosis (tb) ialah jangkitan yang paling kerap dikaitkan dengan peluh malam. Selain tb, jangkitan bakteria lain seperti endokarditis (radang injap jantung), osteomeilisis (radang tulang), dan abses (nanah). HIV juga boleh membawa kepada simptom yang sama.

4. Kanser

Lebih serius lagi, peluh malam merupakan salah satu tanda awal bagi sesetengah kanser, paling biasa ialah kanser kelenjar limfoid atau limfoma. Kebiasaannya, peluh malam akan berlaku bersama-sama dengan simptom lain seperti hilang berat badan, hilang selera makan, dan demam.

5. Ubat-ubatan

Ini termasuk ubat antidepresan (kemurungan) dan sesetengah ubat kesihatan mental yang lain. Ubat untuk merendahkan suhu badan seperti aspirin dan acetaminophen (panadol) kadangkala boleh menyebabkan badan berpeluh pada waktu malam.

6. Hipoglisemia

Pesakit diabetes yang berpeluh pada waktu malam mungkin disebabkan oleh kadar gula dalam darah yang rendah, terutamanya jika mengambil insulin.

7. Gangguan hormon

Antaranya ialah pheochromocytoma (tinggi hormon adrenalin dan noradrenalin) dan hipertiroid.

8. Masalah urat saraf

Mungkin jarang berlaku tetapi sebahagian gangguan pada urat saraf boleh menjadi punca termasuk strok, neuropati autonomik dan disrefleksia autonomik.

Sebahagian daripada sebab yang disebutkan di atas ialah serius (kanser, tuberkulosis) dan memerlukan nasihat serta pemeriksaan doktor. Sebaiknya, dapatkan rujukan ahli profesional terutamanya jika keadaan tersebut berlaku bersama-sama dengan simptom lain seperti hilang berat badan dan demam.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut