Krim Pelindung Matahari Bantu Atasi Risiko Kanser Kulit

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kalau keluar rumah, pakai tak krim pelindung matahari? Kebanyakan daripada kita tidak memakainya dan menganggap ia tidak penting. Tetapi sebenarnya ia membantu melindungi diri daripada kanser kulit.

Analisis kajian

Dalam satu kajian, penyelidik mendapati kadar penghidap melanoma menurun sebanyak 20 peratus bagi remaja di Amerika Syarikat. Namun keadaan ini berbeza bagi kes kanser kulit dalam kalangan individu dewasa. 

Kajian analisis data ini melibatkan 988,000 kes melanoma pelbagai peringkat usia yang diperolehi daripada Centers for Disease Control and Prevention dan National Cancer Institute dari tahun 2001 hingga 2015. 

Kumpulan usia yang terlibat adalah kanak-kanak (usia sifar hingga sembilan), remaja (10 hingga 19), dewasa muda (20 hingga 29), dan individu dewasa dalam peningkatan 10 tahun dari usia 30 tahun dan ke atas.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam JAMA Dermatology ini menyatakan umumnya, kes melanoma – sejenis kanser yang berkembang dari sel yang mengandungi pigmen yang dikenali sebagai melanocytes dan menjadikan kulit berwarna tan atau coklat, meningkat 65 peratus. 

Jumlah peningkatan kes adalah daripada 50,272 kepada 83,362 antara tahun 2001 hingga 2015 dan ia berlaku dalam kalangan individu dewasa yang berusia lebih daripada 40 tahun. 

Penurunan kanser kulit

Walau bagaimanapun, untuk tempoh yang sama, penurunan sebanyak 4 peratus setahun dicatatkan dalam kalangan lelaki muda dan 4.5 peratus setahun bagi wanita muda – sekali gus mencatatkan penurunan sehingga 20 peratus sejak tahun 2005. 

Penyelidik daripada University of Washington School of Medicine dan Fred Hutchinson Cancer Research Center di Seattle menyifatkan, penurunan dalam kalangan golongan muda ini disebabkan mereka mengikuti nasihat pemakaian krim pelindung matahari dan topi. Golongan ini juga dikatakan lebih memfokuskan aspek penjagaan kulit

Diagnosis

American Cancer Society menganggarkan lebih 96,000 individu akan didiagnosis dengan melanoma di Amerika Syarikat pada tahun 2019 dan lebih daripada 7,200 kes kematian dijangkakan akan berlaku.

Kanser kulit merupakan kanser yang paling biasa untuk berlaku dan melanoma hanya menyumbang 1 peratus daripada jumlah keseluruhan kanser ini. Namun ia menjadi punca banyak kes kematian melibatkan kanser kulit. 

Akhir kata

Mungkin di Malaysia, kanser kulit bukanlah satu kanser yang sering berlaku, tetapi itu tidak bermakna anda terlepas daripada risiko untuk mengalaminya. Jadi kenapa tidak mengambil langkah melindungi diri anda dari sekarang, bukan? Sebelum keluar rumah, pastikan anda memakai krim pelindung kulit. Mencegah itu pastinya lebih baik daripada merawat.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 18, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 18, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut