Anda mungkin tahu bahawa suhu badan normal manusia berada pada paras 37 darjah Celsius (°C). Namun apabila diukur dengan termometer, suhu badan anda tidak berada pada nilai tersebut.
Betul ke suhu badan normal 37°C? Kenapa bila diukur nilai yang saya dapat lebih tinggi daripada normal? Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Suhu badan normal bukan 37°C?
Nilai suhu badan normal 37°C tersebut telah diperkenalkan oleh Dr Carl Wunderlich, seorang doktor Jerman pada kurun ke-19 setelah membuat pemeriksaan pada 25,000 orang pesakit dalam tempoh 16 tahun.
Nilai tersebut merupakan nilai purata bagi mereka yang tidak mempunyai simptom demam, dan Carl berpendapat mereka yang demam mempunyai suhu badan 38°C dan ke atas.
Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa ia lebih tinggi pada sebelah petang berbanding pagi.
Dapatan kajian telah diterbitkan pada tahun 1868 bagi membantu doktor-doktor di seluruh dunia untuk merawat penyakit yang mempunyai kaitan dengan simptom demam.
Namun, kajian yang diterbitkan pada tahun 1992 di Jurnal Persatuan Perubatan Amerika telah menunjukkan purata suhu badan normal manusia berada pada paras 36.7°C.
Ia berbeza mengikut beberapa faktor seperti umur, jantina, tahap aktiviti dan masa.
Anggaran suhu badan normal mengikut usia adalah seperti berikut:
- Bayi dan kanak-kanak mempunyai nilai purata normal di antara 36.6°C hingga 37.2°C
- Orang dewasa mempunyai nilai purata normal di antara 36.1°C hingga 37.2°C
- Individu yang berusia 65 tahun dan ke atas mempunyai nilai purata yang lebih rendah daripada 36.2°C
Suhu badan normal setiap individu adalah berbeza namun ia berada pada paras di bawah nilai tertentu, bergantung kepada lokasi pengambilannya:
- Bacaan yang diambil di ketiak adalah kurang daripada 37.2°C
- Bacaan yang diambil di mulut adalah kurang daripada 37.8°C
- Bacaan yang diambil di punggung atau telinga adalah kurang daripada 38°C
Jika bacaan suhu melebihi apa yang dinyatakan di atas, individu tersebut berkemungkinan mengalami simptom demam.
Apa yang mempengaruhinya?
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Dr Carl, masa merupakan faktor yang boleh mempengaruhi penurunan dan peningkatan suhu badan dalam lingkungan nilai yang normal.
Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu-satunya faktor penentu kepada nilai purata normal seseorang individu tersebut.
Secara amnya, suhu badan dikawal oleh struktur hipotalamus pada organ otak.
Isyarat yang dihantar oleh reseptor pada pelbagai jenis organ akan diproses oleh struktur ini yang kemudiannya akan menghantar isyarat tindak balas bersesuaian dengan keadaan semasa.
Di kala dunia sedang bertarung dengan wabak pandemik COVID-19, penting untuk kita mengetahui suhu badan normal bagi mencegah penularan virus tersebut, sekali gus membolehkan negara melepasi tempoh PKP yang berlangsung kini.
Jika badan berasa sejuk, isyarat tersebut akan menyebabkan otot menggeletar. Jika badan terasa panas, isyarat tersebut akan menyebabkan badan berpeluh bagi menyejukkan badan melalui proses penyejatan.
Purata suhu badan individu juga berubah mengikut faktor usia. Semakin lanjut umur seseorang itu, semakin berkuranglah kebolehan badan mereka untuk mengawalnya.
Disebabkan itulah, golongan remaja dan dewasa muda mempunyai purata suhu badan normal yang jauh lebih tinggi berbanding dengan mereka yang sudah berusia (terutamanya mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas).
Faktor lain seperti aktiviti fizikal, lokasi pengambilan suhu badan, pengambilan makanan atau minuman tertentu dan hormon (terutamanya dalam kalangan wanita) boleh menyebabkan variasi pada nilai normal.
Bacaan suhu badan demam pada termometer tinggi
Jika terdapat variasi pada suhu badan manusia, paras manakah yang dianggap sebagai suhu badan demam?
Alat termometer boleh dijadikan sebagai panduan dan secara amnya, seseorang itu boleh dikatakan mempunyai suhu badan demam apabila:
- Bacaan pada telinga atau punggung 38°C dan ke atas
- Bacaan pada mulut 37.8°C dan ke atas
- Bacaan pada ketiak 37.2°C dan ke atas
Walaupun purata suhu badan demam yang tersenarai di atas boleh diguna pakai oleh semua peringkat umur, namun bagi populasi orang tua, paras untuk simptom demam adalah rendah.
Ini berikutan sistem badan mereka yang tidak lagi cekap dalam menyimpan tenaga haba menyebabkan purata nilai normal mereka berada pada paras yang rendah.
Secara teorinya, jika bacaan termometer melebihi 1.1°C daripada bacaan purata nilai normal, individu itu dianggap mempunyai simptom demam.
Simptom demam kebiasaannya datang dengan simptom lain seperti:
- Menggigil kesejukan
- Penat dan kelesuan
- Pening kepala
- Sakit badan
- Perpeluhan
- Hilang selera makan
- Berdebar-debar
- Kehausan
Bukan semua simptom demam bermaksud anda mempunyai jangkitan kuman atau diserang penyakit tertentu.
Kadangkala mereka yang mengalami tekanan emosi, taufan tiroid (thyroid storm) dan penggunaan ubat tertentu juga boleh demam.
Oleh itu, sukar untuk kita tentukan punca demam tersebut tanpa mendapatkan pemeriksaan kesihatan dari hospital atau klinik berdekatan.
Hipotermia, suhu badan rendah
Hipotermia merupakan keadaan kesihatan yang perlu diambil serius kerana jika suhu badan tidak kembali kepada nilai asal, individu tersebut berisiko untuk mati.
Seseorang itu dikatakan mengalami hipotermia apabila suhu badan rendah dan jatuh melebihi paras 35°C.
Walaupun kebanyakan individu sering mengaitkan fenomena hipotermia dengan keadaan berada di luar ketika musim sejuk, ia juga boleh berlaku jika anda berada di dalam lokasi tertutup (indoor).
Bayi merupakan populasi yang berisiko untuk mendapat hipotermia.
Ini berikutan ketidakupayaan mereka untuk mengambil langkah-langkah mengekalkan suhu badan seperti berselimut, memakai baju sejuk dan sebagainya.
Bayi juga mempunyai keluasan permukaan yang besar berbanding dengan berat badan menyebabkan mereka untuk mudah mengalami penurunan suhu badan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, keterukan hipotermia bagi bayi boleh dibahagikan kepada tiga:
- Hipotermia ringan (mild): Nilai purata di antara 36.0 hingga 36.4°C
- Hipotermia sederhana (moderate): Nilai purata di antara 32.0 hingga 35.9°C
- Hipotermia serius (severe): Nilai purata kurang daripada 32.0°C
Oleh sebab bayi tidak boleh memberikan isyarat spesifik kepada ibu bapa, tanda-tanda di bawah boleh dijadikan sebagai panduan:
- Bacaan suhu badan rendah di ketiak dan punggung (36.4°C dan ke bawah)
- Tangisan yang lemah
- Kepenatan
- Sejuk pada tangan, kaki dan abdomen
- Tidak mahu makan
- Kurang kenaikan berat badan
- Gagal untuk membesar (failure to thrive)
Konklusi
Jika anda menghadapi masalah atau kekeliruan suhu badan demam atau tidak, dapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan doktor untuk kepastian.
[embed-health-tool-bmi]