Rambut Berbuah: Bagaimana ia Berlaku?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sedang anda menyikat rambut anda, tiba-tiba anda berasakan seperti ada sesuatu yang terlekat pada helaian rambut anda. Tekstur rambut anda menjadi kering dan terasa seperti berbiji-biji. Pernah alami situasi di atas? Keadaan ini bukan disebabkan masalah kelemumur mahupun kutu, tetapi ia dipanggil rambut berbuah. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai keadaan masalah rambut sebegini.

Apa itu Rambut Berbuah?

Masalah rambut berbuah ini sering kali dihadapi oleh individu wanita, terutamanya mereka yang bertudung. Ia adalah satu keadaan di mana pada bahagian hujung rambut terdapat benda asing yang berwarna putih atau hitam yang melekat dan amat sukar untuk ditanggalkan. Ia disebabkan oleh bakteria yang tumbuh dan melekat pada rambut.

Bakteria putih atau hitam? Bakteria ini dikenali sebagai Peidra. Dalam bahasa Sepanyol, ia membawa maksud “batu”, iaitu jangkitan kulat cetek tanpa simptom batang rambut. Ia diklasifikasikan kepada dua, iaitu black piedra dan white piedra.

Black Piedra

Keadaan ini berlaku disebabkan kulat yang dipanggil Piedraia hortae. Penyakit ini jarang berlaku dan hanya terhad kepada sebahagian kawasan dengan keadaan tropika lembap yang mempunyai suhu dan kelembapan yang tinggi. Sebagai contoh, black piedra mungkin lebih banyak berlaku di negara seperti Amerika Selatan, termasuk Brazil serta di Asia Tenggara. Tetapi penyakit ini jarang berlaku di Amerika Syarikat.

Jangkitan ini menyebabkan wujudnya nodul hitam kecil pada rambut kulit kepala dan kurang menjangkiti bahagian lain, seperti rambut pada bahagian muka mahupun di bahagian kemaluan. Ia kerap menjangkiti manusia dan monyet. 

Menerusi mikroskop, nodul ini kelihatan terdiri daripada unsur-unsur hiphal (hyphal) dan ascospores kecil sebagai agen penyebab dalam stroma yang mengandungi simen gelap (dark cement-containing stroma). Keadaan rambut dengan piedra hitam biasanya boleh dirawat dengan menggunakan asid salisilik topikal atau krim azole walaupun, terdapat kecenderungan untuk keadaan ini berulang kembali. 

White Piedra

Jangkitan ini berlaku disebabkan oleh kulat yang dinamakan sebagai Pleurococcus beigelii dan kemudian ditukar kepada Trichosporon beigelii. Kini, ia dikenali sebagai Trichosporon asahii bersama 5 spesies lain iaitu Trichosporon ovoides, Trichosporon inkin, Trichosporon mucoides, Trichosporon asteroides, dan Trichosporon cutaneum. Kesemua 6 organisma ini adalah semua agen penyebab white piedra. Namun, T asahii dianggap paling berkait rapat dengan kewujudan piedra putih.

Rambut Berbuah Bagaimana ia Berlaku - white piedra 2

Penyakit ini lebih kerap berlaku di kawasan dengan iklim sederhana dan semitropik (subtropika) seperti Amerika Selatan, Asia, Eropah, Jepun dan sebahagian Amerika Selatan. Habitat semula jadi spesies Trichosporon adalah tanah, air tasik dan tumbuhan. 

Piedra putih lebih kerap berlaku pada bahagian rambut kemaluan, rambut axillary, janggut, kumis, kening atau bulu mata. Sering kali jangkitan ini berlaku pada kuda dan monyet. Walau bagaimanapun, di Brazil, piedra jenis ini dilaporkan turut menjangkiti bahagian rambut kulit kepala manusia.

Simptom Rambut Berbuah

Seperti yang dinyatakan di atas masalah rambut berbuah ini boleh dikenal pasti dengan kehadiran nodul putih atau hitam yang melekat pada batang rambut. Ia sering berlaku pada rambut di kulit kepala, bahagian muka atau rambut di bahagian kemaluan. 

Antara beberapa simptom lain adalah seperti:

  • Tekstur rambut yang kasar, kering dan mudah patah
  • Rambut terasa berbiji-biji
  • Sakit atau berasa gatal-gatal pada bahagian yang dijangkiti

Jangkitan ini walaupun kerap berlaku kepada individu wanita, tetapi individu lelaki juga berisiko untuk berdepan dengan masalah rambut berbuah ini. Jadi, jangan ambil mudah!

Perbezaan Masalah Rambut 

Berikut adalah perbezaan beberapa keadaan permasalahan rambut yang perlu anda ketahui.

Black piedra vs white piedra

Kedua-dua masalah rambut ini boleh dianggap sebagai ‘sepupu’. Perbezaan nodul yang dikategorikan di bawah piedra hitam adalah keras, berwarna hitam atau coklat, dan agak sukar untuk disingkirkan. Berbeza dengan piedra putih yang lebih banyak terjadi pada rambut di bahagian muka, piedra hitam lebih kerap berlaku pada rambut di kulit kepala berbanding rambut pada bahagian badan atau muka. 

Kutu vs rambut berbuah

Rambut Berbuah Bagaimana ia Berlaku - kutu

Kutu adalah serangga kecil yang tidak boleh terbang tetapi akan melekat pada batang rambut dan menghisap darah dari kulit kepala. Telur kutu yang lebih dikenali sebagai nits adalah berwarna gelap, tetapi kutu yang menetas akan menjadi warna terang. Tidak seperti kutu, masalah rambut berbuah, kebiasaannya tidak menghasilkan sensasi rasa gatal yang teruk atau membuatkan anda berasa seperti sesuatu sedang berjalan di atas kulit kepala anda. Nodul yang wujud daripada masalah rambut berbuah boleh disingkirkan dengan mudah tetapi nits tidak mudah disingkirkan.

Tinea versicolor vs rambut berbuah

Tinea versicolor adalah merupakan jangkitan kulat pada kulit yang disebabkan oleh yis. Individu yang mengalami masalah ini akan mengalami tompokan bersisik pada mana-mana bahagian pada badan yang dijangkiti. Tompokan ini boleh menjadi warna yang cerah atau gelap, berbanding warna kulit anda. Berbeza dengan masalah jangkitan kulat ini, rambut berbuah hanya akan muncul sebagai nodul hitam atau putih pada sekitar batang rambut.

Kelemumur vs rambut berbuah

Rambut Berbuah Bagaimana ia Berlaku - kelemumur

Kedua-dua masalah ini adalah berkaitan dengan rambut. Tetapi, keadaan kelemumur akan mendatangkan kesan kepada kulit kepala, sedangkan rambut berbuah akan memberi kesan kepada batang rambut. Kelemumur akan menyebabkan wujudnya kepingan berwarna putih dan mengakibatkan rasa gatal pada kulit kepala. 

Faktor Penyebab Rambut Berbuah

Anda sudah mengetahui tentang bakteria yang menjadi punca kepada wujudnya masalah rambut berbuah ini serta simptomnya. Tetapi, apakah faktor yang memungkinkan anda untuk mengalami masalah rambut berbuah ini? Ikut penjelasan berikut.

Seperti yang dinyatakan pada awal-awal tadi, majoriti  individu yang sering berhadapan dengan masalah rambut berbuah ini adalah individu wanita bertudung. Tidak bermakna jika rambut yang ditutup dengan tudung tidak diberikan penjagaan yang rapi. Wanita yang bertudung haruslah lebih menjaga rambut kerana seharian rambut dibaluti tudung.

Selain daripada wanita bertudung yang menghadapi masalah ini, ada juga beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan masalah rambut berbuah ini terjadi. Antaranya adalah:

  1. Rambut basah dan tidak cukup kering

Kebiasaannya, terdapat individu yang setelah membasuh rambut, mereka tidak mengeringkan rambut dengan betul. Ada dalam kalangan mereka yang terus mengikat rambut dalam keadaan rambut masih basah. Hal ini tidak digalakkan kerana rambut memerlukan pengeringan yang betul supaya rambut tidak mengalami kerosakan seperti rambut berbuah atau kering dan bercabang.

  1. Penggunaan pengering rambut

Rambut Berbuah Bagaimana ia Berlaku - pengering rambut

Penggunaan pengering rambut dengan haba yang terlalu tinggi dan terlalu panas juga boleh merosakkan rambut. Keadaan ini akan menyebabkan rambut menjadi terlampau kering dan jika sering digunakan, rambut akan rosak. Kecenderungan untuk rambut berbuah juga tinggi.

  1. Tidur tidak mencukupi

Tidak mendapat tidur yang mencukupi boleh mengakibatkan seseorang individu berdepan dengan keletihan dan kelesuan. Keadaan ini akan mendorong perubahan hormon dalam badan berikutan aturan tidur yang tidak berkualiti dan tidak mencukupi. Apabila berlaku perubahan hormon, ia secara tidak langsung memberi impak kepada proses pertumbuhan rambut. Sering kali rambut akan mula gugur. Selain itu, antara masalah lain yang berkemungkinan untuk berlaku adalah apabila rambut mulai rosak dan mula mengalami tekstur berbiji-biji iaitu rambut berbuah. 

  1. Produk penjagaan rambut secara berlebihan

Penggunaan produk penjagaan rambut seperti syampu atau perapi rambut secara berlebihan dan terlalu banyak, boleh menjadi punca kepada rambut berbuah. Perkara ini boleh berlaku disebabkan sesetengah produk mengandungi kandungan minyak secara berlebihan. Justeru, anda memerlukan penjagaan dan pemilihan produk rambut khusus untuk mengatasi masalah ini.

  1. Jangkitan bakteria dan kuman

Seperti yang dijelaskan di atas, jangkitan bakteria dan kuman boleh berlaku kepada rambut yang diperam, berada dalam keadaan lembap dan tidak mendapat penjagaan yang betul. Akibatnya, rambut akan menjadi rosak dan berbau busuk. Keadaan ini boleh berlaku kepada individu yang memakai tudung, memakai topi dan juga helmet. Peluh yang terkumpul pada kulit kepala cenderung untuk memerangkap bakteria dan boleh menyebabkan pelbagai masalah rambut lain, seperti rambut berbuah dan bercabang.

Komplikasi Rambut Berbuah

Antara beberapa komplikasi yang biasa berlaku akibat masalah rambut berbuah ini adalah rambut akan gugur dan/ atau rambut akan menjadi rapuh. Individu dengan masalah ketahanan badan yang rendah seperti pesakit HIV atau individu yang menjalani kemoterapi, berkemungkinan akan mempunyai pruritic, yang dicirikan dengan sensasi rasa terbakar atau necrotic nodul atau papules iaitu masalah berkaitan tisu mati. Keadaan ini boleh menyebabkan kegatalan dan ketidakselesaan yang serius.

Tip Elak Rambut Berbuah

Rambut berbuah biasanya dikaitkan dengan wanita bertudung. Tabiat mengikat rambut ketika basah, atau memakai tudung dalam keadaan rambut masih belum kering menyebabkan bakteria tumbuh dan melekat pada rambut. 

Dalam bahasa mudah, rambut berbuah merujuk kepada masalah ketepuan produk pada kulit kepala anda disebabkan penjagaan kulit kepala yang tidak teliti. 

Tidak bermakna jika rambut yang berselindung di sebalik tudung, tidak perlu diberikan penjagaan yang khusus. Wanita yang bertudung juga perlu menjaga rambut supaya rambut sentiasa sihat dan menawan. Tentunya anda akan berasa geli disebabkan terdapatnya bakteria yang tumbuh serta melekat pada rambut anda. Oleh itu, anda perlulah menjaga rambut dengan sebaiknya.

Tip mencegah rambut berbuah:

Berikut adalah beberapa tip mencegah rambut berbuah yang boleh dilakukan melalui perawatan di rumah. Ia adalah cadangan, namun, disebabkan terdapat beberapa penggunaan bahan yang mungkin boleh mendatangkan mudarat seperti kerengsaan, anda adalah dinasihatkan untuk memastikan bahawa anda tidak alahan kepada bahan-bahan yang akan anda gunakan. 

  1. Gunakan clarifying shampoo

Clarifying shampoo adalah cara paling biasa untuk menyingkirkan ketepuan produk pada rambut. Pun begitu, jangan gunakan syampu ini secara berlebihan. Disebabkan kesannya yang kuat, ia boleh mengeringkan kulit kepala. Penggunaan syampu ini sekali sebulan sudah mencukupi.

  1. Bilas dengan cuka epal sider

Banyak produk rambut boleh mengganggu pH semula jadi rambut dan memberi kesan negatif kepada keadaan kulit kepala. Mengambil pendekatan DIY, anda boleh menggunakan cuka epal sider (apple cider vinegar) untuk menyingkirkan ketepuan produk. Ia juga membantu mengembalikan rambut dan kulit kepala ke pH semula jadi. Tetapi jangan gunakan secara langsung sebaliknya campurkan dengan air dalam nisbah 1:4 untuk membilas rambut.

  1. Cuba gunakan jus lemon

Rambut Berbuah Bagaimana ia Berlaku - jus lemon

Sepertimana cuka epal sider, jus lemon turut mempunyai nilai pH yang sama. Campurkan dengan air sebelum digunakan seperti cuka epal sider. Keasidan jus lemon membantu menyingkirkan kelemumur dan sisa produk, membersihkan kulit kepala seperti syampu. Biarkan campuran tersebut di kulit kepala selama 10 minit, sikat dan bilas setelah selesai.

  1. Pengelupasan dengan baking soda

Apabila rambut anda bertambah berat dengan produk melekit, cuba gunakan baking soda sebagai exfoliant kulit kepala. Anda boleh mencampurkan dengan air, perapi dan beberapa titis minyak kegemaran anda. Alirkan campuran tersebut melalui rambut yang lembap sewaktu mandi dan ikuti dengan kondisioner rambut yang sesuai. Jangan amalkannya lebih daripada sekali sebulan.

  1. Gunakan syampu dan perapi yang sesuai

Disebabkan anda tidak boleh menggunakan syampu clarifying dengan kerap, pastikan anda menggunakan produk yang bersesuaian dengan keadaan kulit kepada dan rambut anda. Cari syampu yang ringan dan kurang bahan yang memberatkan seperti paraben, sulfat, dan silikon yang meninggalkan sisa pada rambut.

  1. Biarkan rambut lepas

Setelah seharian dikepam dan diikat di dalam hijab, membiarkan rambut anda lepas lebih baik. Bahkan apabila rambut tidak diikat atau saling berselirat, produk rambut akan kurang mempunyai gumpalan kawasan untuk menetap. Pastikan rambut anda kering sebelum memakai tudung.

  1. Elakkan cuci rambut setiap hari

Jika anda memakai hijab, anda mungkin berasa tidak selesa dan memilih untuk mencuci rambut anda setiap kali anda mandi. Tetapi hakikatnya, jika anda mencuci rambut dengan terlalu kerap, tabiat ini cenderung untuk menyebabkan rambut anda menjadi terlalu kering dan akibatnya akan senang untuk menjadikan rambut berbuah. 

Anda dinasihatkan untuk mencuci rambut selang sehari dan sebaiknya, jika anda ingin mencuci rambut, pastikan anda mempunyai masa untuk mengeringkan rambut anda secara semula jadi. Seandainya anda bekerja dan anda ingin mencuci rambut, disarankan untuk anda mencuci rambut anda pada waktu malam supaya anda mempunyai masa untuk mengeringkan rambut anda dengan sebaiknya. 

  1. Hindari penggunaan pengering rambut

Haba yang terlalu panas yang kerap dikenakan kepada rambut berisiko menyebabkan rambut rosak. Ia akan mengakibatkan rambut menjadi terlalu kering dan cenderung untuk menjadi rambut berbuah. Sebaiknya, walaupun ia mengambil masa untuk kering, tetapi berikan rambut anda untuk mengering secara semula jadi tanpa menggunakan sebarang alat pengering rambut. 

  1. Minyak kelapa 

Dikatakan minyak kelapa merupakan antara bahan semula jadi yang sangat baik dan berkesan untuk merawat masalah berkaitan kulit dan rambut. Selain dipercayai dapat melembutkan kulit, untuk masalah berkaitan rambut, ia dikatakan mampu menghilangkan masalah rambut berbuah serta dalam masa yang sama membantu melebatkan rambut. Cara penggunaan minyak ini adalah dengan menyapu ke seluruh kulit kepala dan diurut dengan perlahan. 

Berhijab bukan alasan untuk anda tidak memastikan rambut sihat dan cantik. Rambut merupakan mahkota wanita, oleh itu jagalah kesihatan rambut anda dengan baik. Amalkan tip tersebut dan jaga kebersihan kulit kepala anda sebelum rambut kembali berbuah. Dan jika ada tidak berhijab sekalipun, penjagaan rambut adalah penting untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan atau rambut berbuah mahupun rosak. 

Penjagaan Rambut

Anda mungkin terfikir jika anda mengalami masalah rambut berbuah, jalan penyelesaian yang terbaik adalah dengan menggunting rambut atau mencukur bahagian yang dijangkiti bakteria penyebab rambut berbuah. Tetapi, ia seharusmya diikuti dengan rawatan krim sapu antikulat dan juga oral yang diperlukan untuk beberapa minggu sahaja. Kebiasaannya, rambut berbuah adalah satu keadaan yang tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, anda masih perlu memberikan perhatian terhadap aspek penjagaan rambut anda, tidak kira sama ada anda berhijab ataupun tidak. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut