Kuku: Perubahannya dan Tahap Kesihatan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kuku, merupakan satu bahagian badan yang sering dipandang remeh aspek penjagaannya bagi sesetengah individu. Namun, hakikatnya, ia tetap memerlukan penjagaan yang penting. Malah ia sebenarnya boleh membantu untuk anda mengenal pasti tahap kesihatan anda. Tak percaya? Ikuti perkongsian artikel ini. 

Apa itu kuku?

Kuku atau sebenarnya dipanggil plat kuku adalah terdiri daripada lapisan keratin lutsinar berlamina. Plat ini tumbuh dari pangkal kuku. Apabila sel baru tumbuh, sel tua ditolak keluar ke hujung jari dalam bentuk lapisan keratin yang keras dan padat. Sel tua ini merupakan sel yang mati, oleh sebab ini, anda tidak akan berasa sakit apabila memotongnya. 

Plat ini tumbuh dengan kadar kira-kira 3mm sebulan. Ini adalah dua hingga empat kali ganda berbanding kadar pertumbuhan plat pada bahagian kaki.

Dasar kuku adalah lapisan kulit yang menampung plat. Warna sebenarnya adalah mengikut warna dasarnya yang kaya dengan kapilari dan kelenjar. Oleh itu, warna plat kuku anda boleh mencerminkan tahap kesihatan anda. 

Kutikel terletak di hujung proksimal kuku. Ia sebenarnya adalah lapisan kulit mati yang hampir tidak kelihatan yang terlipat di atas bagi melindungi plat yang baru tumbuh.

Tahap kesihatan

Tahukah anda, bahawa kuku anda boleh mendedahkan tahap kesihatan anda secara keseluruhan? Warna putih, warna merah muda, benjolan padanya adalah mungkin tanda penyakit dalam tubuh yang berkaitan dengan masalah di hati, paru-paru, dan jantung.

Pucat

Keadaannya yang pucat boleh menjadi petanda penyakit serius, seperti:

  • Anemia.
  • Kegagalan jantung kongestif.
  • Penyakit hati.
  • Malnutrisi.

Putih

Jika kebanyakan plat berwarna putih dengan rim gelap, ia menunjukkan masalah berkaitan hati seperti hepatitis. Seperti yang ditunjukkan dalam imej di atas, terdapat juga masalah penyakit kuning (jaundice), yang juga merupakan satu lagi tanda masalah hati.

Kebiruan

Turut dikenali sebagai bluish, ia bermakna tubuh anda tidak mendapat oksigen yang mencukupi. Ini boleh dikaitkan dengan masalah paru-paru, seperti emfisema (Penyakit Sekatan Pulmonari Kronik, COPD). Sesetengah masalah jantung juga boleh dikaitkan dengan keadaan kebiruan ini.

Kuning

Faktor penyebab yang paling biasa adalah jangkitan kulat. Apabila jangkitan semakin teruk, ia berpotensi menyebabkan plat terpisah daripada bahagian dasarnya, dan menjadikan ia tebal dan rosak. Memakai pewarna kuku merah tanpa lapisan asas atau tabiat merokok turut boleh menjadi penyebab masalah ini.

Dalam sesetengah kes yang jarang berlaku, seandainya plat anda menjadi warna kuning, menebal dan seakan seperti berhenti untuk tumbuh, ia dianggap sebagai satu tanda sesuatu berlaku di dalam badan anda dan mungkin berkaitan dengan masalah kesihatan tertentu. Ia mungkin menunjukkan keadaan kesihatan yang serius seperti penyakit tiroid, penyakit paru-paru, diabetes atau psoriasis.

Pecah atau terpisah

Plat yang sentiasa kering dan rapuh mempunyai hubung kait dengan penyakit tiroid. Plat yang pecah dan terpisah disertai warna kekuningan mungkin lebih disebabkan jangkitan kulat.

Bengkak 

Jika kulit di sekitarnya kelihatan merah dan bengkak, ia dikenali sebagai kerengsaan. Ia mungkin kerana masalah lupus atau gangguan tisu penyambung lain. Jangkitan juga boleh menyebabkan bahagian sekitarnya kelihatan kemerahan dan mengalami kerengsaan.

Ripple

Seandainya pada permukaan plat kuku, anda merasakan ia tidak rata, kasar dan seperti ada lekukan kecil, ia mungkin petanda awal psoriasis atau keradangan arthritis. Warnanya yang tidak sekata juga adalah perkara biasa; ini kerana kulit di bawahnya mungkin berwarna coklat kemerah-merahan.

Garis gelap di bawah

Sekiranya terdapat garis gelap di bawah plat anda, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin. Ia mungkin disebabkan melanoma, sejenis kanser kulit paling berbahaya.

Gnawed

Tabiat menggigit kuku mungkin dianggap satu tabiat yang biasa dan tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes, ia merupakan simptom kebimbangan yang berterusan yang mungkin memerlukan rawatan. Individu yang gemar melakukan tabiat ini juga boleh dikaitkan dengan gangguan obsesif-kompulsif. Sekiranya anda mendapati sukar untuk menghentikan tabiat ini, anda perlu berjumpa dan mendapatkan nasihat doktor.

Dalam kebanyakan kes berkaitan masalah kesihatan, perubahan pada plat tidak mendatangkan bahaya. Ini kerana bukan semua individu yang memiliki plat berwarna putih mempunyai hepatitis.

Namun, sekiranya timbul kebimbangan melihat perubahan yang mungkin merisaukan anda, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor atau pakar dermatologi.

Mengapa Bertukar Kuning?

Tahukah anda terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan plat kuku anda menjadi kuning. Selain disebabkan anda menggunakan serbuk kunyit ketika memasak, ia boleh bertukar kuning kerana beberapa faktor lain. 

Plat terbentuk daripada sel-sel mati dan dipenuhi keratin. Keadaannya yang berwarna kuning adalah masalah biasa dalam kalangan lelaki dan wanita; sama ada disebabkan kesan pengilat kuku, gaya hidup anda atau tanda-tanda masalah perubatan.

Pengilat kuku

Biasanya, pigmen pada bahan pengilat merupakan penyebab mengapa plat kuku bertukar kuning. Lebih gelap warna pengilat, lebih banyak kesan yang ditinggalkannya. Satu-satunya cara untuk mengelakkannya adalah dengan menggunakan kot asas yang jernih sebelum menggunakan pengilat. 

Kuku Perubahannya dan Tahap Kesihatan - warna pengilat

Ia bukan sahaja melindungi plat anda daripada kesan warna tetapi juga membuat pengilat tahan lebih lama. Menggunakan penanggal pengilat yang diperbuat daripada aseton juga menambah warna kuning pada plat. Pilih penanggal bukan aseton setiap kali anda perlu menanggalkan pengilat yang dipakai.

Tabiat merokok

Sekiranya anda seorang perokok, maka plat kuku anda mungkin menjadi kuning disebabkan tar dan nikotin dari rokok anda. Di samping itu, merokok menghalang aliran oksigen ke plat, menyebabkan kekurangan oksigen yang juga menyebabkan ia bertukar kuning. Untuk mengelakkannya menjadi kuning, anda perlu berhenti merokok. Walaupun susah, mungkin ini lebih baik untuk kesihatan anda sendiri.

Jangkitan kulat

Masalah ini juga boleh disebabkan oleh jangkitan kulat. Tanda-tandanya termasuklah plat mengelupas, di samping bau yang kurang menyenangkan. Jika tidak dirawat, plat anda boleh menebal dan hancur.

Selain itu, warnanya yang bukan semula jadi mungkin menandakan penyakit tiroid, hati dan paru-paru. Jika anda merasa curiga dengan warna  plat kuku anda, rujuk kepada doktor untuk menentukan masalah sebenar anda.

Atasinya

Jika plat anda sudah pun menjadi kuning. Anda masih boleh mencerahkannya dengan menggunakan jus lemon dan baking soda (serbuk penaik) atau pergi ke salon untuk pembaikan segera. 

Sama seperti kulit anda, ia anda perlukan oksigen supaya tetap sihat dalam jangka masa panjang. Sekalipun anda gemar menggunakan pengilat kuku, membiarkannya tanpa diwarnakan akan membantu plat anda kekal lebih sihat.

Rapuh dan Kering

Penjagaan plat kuku dengan bersih dan rapi sangat penting kerana ia adalah perkara pertama yang akan diperhatikan. Tetapi terdapat keadaan yang membuatkannya tidak kelihatan baik seperti kering dan rapuh. Bagaimana merawatnya?

1. Rendam dalam minyak zaitun

Bunyi agak pelik kan? Hasil rawatan rumah murah ini bukan sahaja dapat membantu memperkuat plat yang rosak, tetapi juga menguatkan plat yang lemah atau mengelupas. 

Salah satu manfaat menggunakan minyak sayuran adalah ia membantu melegakan kekeringan dan keretakan kuku kaki, dan tidak seperti krim, minyak melakukan kerja yang lebih baik menyerap ke dalam kuku dan melembapkan strukturnya lebih lama daripada krim dan gel.

Jadi, rendam plat rapuh dalam minyak zaitun kira-kira 10-15 minit sehari selama sebulan, kemudian ulanginya untuk dua kali seminggu.

2. Elakkan penggunaan pengilat kuku

Sememangnya pengilat mengandungi bahan kimia yang tinggi toksik. Apabila bahan kimia ini bersentuhan dengan kuku ia cenderung mengeringkannya. 

Bahan kimia toksik yang merangkumi aseton, formaldehid, toluena, dan phthalates tidak hanya memberi kesan kepada tahap kesihatannya secara negatif, penyelidikan telah menunjukkan bahawa ia boleh menyebabkan bahaya dan ketoksikan organ serta merengsa kulit, mata, dan paru-paru.

3. Makan makanan kaya biotin

Cara lain untuk merawat plat yang rapuh adalah dengan memastikan diet anda mengandungi makanan yang kaya biotin, seperti hati, telur masak, bijirin penuh, avokado, dan sebagainya. 

Ini kerana selain manfaat kesihatan biasa, biotin yang merupakan vitamin dari B kompleks membantu menguatkan dan menebalkannya. Anda juga dinasihatkan untuk menambahkan biotin jika perlu.

4. Pastikan tidak terkena bahan pencuci pakaian

Oleh sebab tidak mungkin untuk anda menjaganya daripada air kerana penyediaan hidangan dan dobi, adalah sangat penting untuk anda mencari jalan bagi mengurangkan kekerapannya.

Anda boleh mendapatkan sepasang sarung tangan pelindung yang baik yang dapat membantu mencegah dan menyembuhkan plat yang rapuh. Ini kerana ia telah diperhatikan bahawa memakai sarung tangan ketika melakukan pekerjaan rumah tangga dapat mencegah plat anda daripada menjadi kering dan rapuh.

5. Minum banyak air

Seperti yang dinyatakan, adalah penting untuk mengelakkan air secara luaran ketika merawat plat yang rapuh. Pupuk tabiat terhidrasi dengan meminum banyak air. Apabila sudah mencukupi, tambahkan dengan makanan sihat yang kaya dengan air seperti tembikai dan timun.

Ini penting kerana kajian menunjukkan bahawa minum banyak air adalah salah satu cara terbaik untuk melembapkan kuku dan kulit anda dari dalam.

Kuku Kaki

Jika di atas anda sudah membaca mengenai kuku pada bahagian jari tangan, kini kita beralih pula kepada kuku kaki. Adakah anda tahu, bahawa terdapat cara yang betul untuk memotongnya? 

Memotongnya mungkin perkara yang remeh bagi anda, tetapi bagi sesetengah individu, penjagaan kaki yang betul penting untuk kesihatan mereka. Pesakit diabetes contohnya, perlu memastikan mereka memotong kuku dengan betul untuk mengurangkan risiko masalah kaki di masa hadapan.

Teknik penting untuk memotongnya

Teknik yang betul diperlukan untuk mengelakkan ia daripada menjadi cekam atau jangkitan berlaku. Masalah cekam ini disebabkan plat yang masuk ke dalam kulit dan bukannya tumbuh secara normal, merupakan sebab utama kesakitan kaki, dan ia boleh membawa kepada jangkitan yang serius.

Sesetengah plat tumbuh ke dalam secara sendiri tanpa mengira apa yang anda lakukan. Dalam kes tersebut, ia hanya boleh ditangani melalui pembedahan.

Tetapi jika anda belajar cara memotongnya dengan betul, anda mungkin dapat melindungi kaki anda daripada masalah cekam.

Tip memotong 

ihsan Bright Side
  • Potong lurus. Kuku kaki tidak boleh dipotong menyerong pada sisi. Elakkan memotongnya menjadi bentuk melengkung.
  • Gunakan pengetip kuku yang sesuai. Pengetip yang lebih besar lebih sesuai digunakan pada bahagian kaki, dan lebih mudah. Pastikan pengetip anda dan alatan lain yang anda gunakan pada jari kaki anda dinyahkuman seperti menggunakan alkohol sebelum dan selepas menggunakannya.
  • Biarkan ia sedikit panjang. Jangan memotongnya terlalu pendek, kerana ia adalah satu lagi sebab mengapa masalah cekam berlaku. Ia juga boleh meningkatkan risiko jangkitan.
  • Potong sewaktu kering, bukan basah. Plat yang basah mungkin berkeruping, membengkok, atau tidak dipotong dengan baik kerana lebih lembut. Memotongnya sewaktu kering akan memberi anda potongan yang bersih dan licin.
  • Potong secara kecil-kecilan. Jangan cuba untuk memotongnya dalam satu ketipan. Sebaliknya, potong sedikit demi sedikit.
  • Mengilatnya dengan betul. Sekiranya anda suka mengilatkannya, jangan seret papan pengilat ke depan dan ke belakang berulang kali. Sebaliknya, gerakkan pengilat anda pada satu arah sehingga plat licin.
  • Jangan potong kutikel. Jika anda ingin menyingkirkan kutikel atau kulit selaput pada plat di kaki anda, gunakan kayu kutikel (kayu pokok oren) untuk menolaknya. Memotong boleh menyebabkan pendarahan atau jangkitan, sedangkan menolaknya menjadikan kuku kaki kelihatan kemas tanpa risiko kesihatan.

Kuku setiap orang tumbuh pada kelajuan yang berbeza, jadi tidak ada tempoh masa yang tetap tentang berapa kerap anda perlu memotongnya. Hanya perhatikan kepanjangannya dan potong sebelum ia mula bergeser dengan kasut dan menyebabkan kesakitan.

Finger Clubbing: Perubahan Bentuk Jari dan Kuku

Jari belantan (finger clubbing) adalah perubahan khusus dalam bentuk jari dan kuku anda. Ia juga dipanggil sebagai digital clubbing atau Hippocratic finger. Keadaan ini menyebabkan kuku anda terbentuk seperti keadaan sudu yang terbalik. Ia disebabkan oleh pembentukan tisu di bahagian jari (terminal phalanges) yang menyebabkan bahagian hujung jari membesar dan plat kuku melengkung ke bawah.

Menurut Cancer Research UK, jari belantan berlaku dalam lebih daripada 3 daripada 10 orang (35%) dengan kanser paru-paru bukan sel kecil tetapi hanya kira-kira 4 daripada 100 orang (4%) dengan kanser paru-paru sel kecil. Anda juga boleh mendapatkannya dengan mesothelioma (tumor yang berkembang daripada tisu mesotelium).

Kuku: Perubahannya dan Tahap Kesihatan - finger clubbing

Menurut kajian Finger Clubbing: Do We Require Digital Index Quantitator?, jari belantan ditemui dalam pelbagai keadaan termasuk penyakit paru-paru, kardiovaskular, hati, tiroid dan gastrousus. 

Ia juga boleh digredkan dalam 5 peringkat iaitu:

Peringkat 1: Permukaan plat yang tidak sekata dan lembut

Peringkat 2: Peningkatan sudut hyponychial

Peringkat 3: Menyerlahkan kecembungan plat

Peringkat 4: Belantan (clubbed) muncul pada hujung jari

Peringkat 5: Wujud perubahan berkilat atau berkilau dalam plat atau dan berhampiran kulit

Punca jari belantan

Walaupun keadaan jari belantan dikaitkan dengan keadaan kesihatan paru-paru, namun terdapat beberapa sebab yang berpotensi.

i) Idiopati (Idiopathic)

Ini adalah kategori di mana belantan berlaku tanpa sebab yang jelas dan tiada apa-apa sebab perubatan.ii) Ciri-ciri warisan

Terdapat beberapa cara belantan boleh diwarisi. Kebiasaannya ia diwarisi dalam pembentukan dominan autosomal, iaitu jika salah seorang daripada ibu bapa anda pembawanya, ada kemungkinan 50:50 anda juga mewarisinya.

iii) Secondary clubbing

Ia merujuk kepada belantara yang berlaku bersama dengan keadaan perubatan. Keadaan biasa yang dikaitkan adalah:

  • Penyakit kanser
  • Penyakit jantung kognital, atrial myxoma dan endocarditis
  • Keadaan gastrousus seperti penyakit usus radang, penyakit celiac dan Sirosis hati
  • Masalah endokrin seperti Thyroid acropathy

Diagnosis

Kebiasaannya belantan diperhatikan melalui pemeriksaan fizikal dan berdasarkan penemuan lain seperti kehadiran penyakit paru-paru atau kanser.

Pengukuran lain boleh dilakukan untuk mengesahkan diagnosis termasuk:

Sumber: semanticscholar.org

 Gambar A adalah keadaan kuku normal dan gambar B keadaan jari belantan (finger clubbing). 

  • Lovibond’s profile sign: Sudut antara pangkalan kuku dan kuku itu sendiri
  • Nisbah kedalaman distal/ interphalangeal
  • Schamroth’s sign: Kekurangan tingkap (jurang) di antara jari-jari, apabila digit dari setiap tangan diletakkan bersama-sama dengan kedua-dua tangan bersentuhan

Bagaimanapun, diagnosis boleh berbeza mengikut keadaan kesihatan seseorang individu.

Kesimpulan

Penjagaan plat kuku adalah amat penting. Sebarang perubahan yang berlaku haruslah diambil peduli dan tidak memandang ia sebagai satu perkara remeh. Ini kerana ia berkemungkinan menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan yang lain. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut