Detoks Kulit, Boleh Ke?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Anda pasti pernah mendengar mengenai produk detoks yang dikatakan bagus untuk kesihatan dan kecantikan diri. Tetapi wujudkah sebenarnya istilah detoks kulit? 

Apakah itu detoks?

Dalam bahasa yang mudah untuk difahami, detoks adalah bermaksud menyingkirkan toksin daripada badan. Ia melibatkan toksin yang datang daripada persekitaran, diet pemakanan anda serta tabiat gaya hidup yang anda amalkan, seperti merokok.

Hakikatnya,organ badan kita seperti paru-paru, hati, buah pinggang dan usus mempunyai keupayaan untuk menyingkirkan bahan berbahaya dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, bahan yang terkandung di dalam alkohol dan rokok boleh menyebabkan kerosakan kekal pada badan.

Hubung kait detoks dan kulit

Kulit merupakan organ terbesar pada badan yang terdedah kepada kotoran daripada persekitaran. Antara perkara yang menjadi kepercayaan adalah kulit boleh dibersihkan dengan mengeluarkan kekotoran yang menyumbat liang pori. Namun sebenarnya, ia tidak benar. 

Menurut ahli dermatologi, Dr Fayne Frey, dari perspektif perubatan, sebenarnya tidak wujud istilah detoks kulit. Perkara yang boleh dilakukan adalah untuk melindungi kulit daripada persekitaran yang bertoksin, seperti pencemaran dan sinaran UV.

Persekitaran yang tidak bersih, diet pemakanan yang tidak seimbang berserta tabiat mencuci dan exfoliate wajah secara berlebihan boleh mengurangkan serta menipiskan lapisan kulit paling luar.

Lapisan ini yang dikenali sebagai stratum corneum, membantu mengekalkan kesihatan kulit dengan menyekat bahan-bahan yang boleh menyebabkan penuaan pramatang dan kerosakan lain pada kulit. 

Jadi bolehkah kita detoks kulit?

Pengarah Perubatan CosmedicsUK, Dr. Ross Perry berkata, “Detoks kulit adalah berkaitan dengan apa yang anda lakukan pada permukaan kulit untuk melindunginya daripada pencemaran luar. Ia sama sekali tidak mempunyai tujuan pembersihan dari dalam kulit.”

Eh…kenapa pula begitu? Kerana toksin tidak boleh disingkirkan daripada badan melalui kulit. Sebaliknya, organ badan seperti yang dinyatakan pada awal tadi, berperanan untuk menyingkirkan toksin.

Tidak ada sebarang produk yang secara fizikalnya boleh menyingkirkan toksin kerana kebenarannya, kulit tidak mempunyai keupayaan untuk membuang sebarang toksin daripada badan. 

Produk antipenuaan

Kebanyakan produk kulit yang digunakan hanyalah untuk membuangkan masalah pada kulit seperti sebum yang berlebihan serta sel kulit mati. Namun, individu dengan kulit yang ekstra sensitif, perlu lebih berhati-hati apabila menggunakan sebarang produk yang dikategorikan sebagai produk ‘detoks’. Ini kerana ia boleh mengakibatkan keradangan.

Sesetengah produk penjagaan kulit akan menggunakan istilah ‘detoks’ dari segi perlindungan kulit. Produk seperti ini kebiasaannya mengandungi antioksidan yang boleh membantu mengurangkan kesan kerosakan akibat persekitan yang tercemar.

Tetapi hakikatnya ia tidak berfungsi membawa keluar toksin yang merosakkan dari badan. Ia cuma bertindak menghalang atau membuang radikal bebas yang boleh menjejaskan kulit. 

Kesimpulannya

Apa yang boleh disimpulkan adalah mustahil untuk anda melakukan detoks kulit jika kulit itu sendiri tidak mempunyai fungsi untuk menyingkirkan toksin. Jadi detoks kulit adalah satu perkara mitos semata-mata.

Sebaliknya, anda perlu menjaga aspek diet pemakanan harian dan mengambil makanan yang dapat membantu paru-paru, buah pinggang, hati dan usus untuk berfungsi dengan lebih baik dalam menyingkirkan toksin. 

Dalam masa yang sama, jangan abaikan penjagaan kulit wajah anda. Pastikan anda mencuci muka dua kali sehari, memakai pelembap, melakukan skrub seminggu sekali serta jangan lupa untuk pakai krim pelindung matahari, okay?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut