Peraturan asas untuk penambahan berat badan adalah dengan meningkatkan pengambilan kalori anda. Dengan pengambilan kalori yang lebih, tenaga yang lebih dan tidak digunakan ini akan disimpan menjadi lemak. 1 gram lemak mengandungi 9 kalori manakala 1 gram alkohol berada kedudukan yang sedikit rendah dengan 7.1 kalori. Lazimnya, apabila keperluan kalori harian kita telah dipenuhi atau lebih sedikit berbanding tahap yang diperlukan, pusat kenyang akan terangsang, menyebabkan kita rasa kenyang dan kurang cenderung untuk mengambil makanan tambahan. Bagaimanapun, beberapa kajian mendapati meminum arak sebelum atau ketika makan tidak mempengaruhi saiz hidangan makanan kita. Justeru, pengambilan alkohol yang banyak atau kronik dikaitkan dengan pengumpulan lemak berbanding pengambilan alkohol yang sederhana.
Tambahan lagi, selain menambah tenaga (kalori) dalam badan, alkohol mungkin merangsang kita untuk makan lebih banyak. Penilaian dan ulasan 17 kertas kajian berkaitan alkohol, selera makan dan keseimbangan tenaga mendapati bahawa 10 kajian sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa terdapat peningkatan pengambilan makanan sejurus pengambilan alkohol. Walaupun dalam keadaan di mana minuman beralkohol tersebut diselindung, kajian tetap mendapati bahawa ianya membawa kepada peningkatan pengambilan makanan. Alkohol mungkin meningkatkan lagi persepsi selera individu dengan mempengaruhi hormon yang memainkan peranan dalam kawalan lapar dan kenyang. Sebagai contoh, alkohol didapati menekan hormon Leptin, sejenis hormon yang bertanggungjawab dalam menghasilkan rasa kenyang. Alkohol juga turut menekan pemecahan lemak (oksidasi lemak), mencadangkan bahawa pengambilan alkohol yang kerap membawa kepada pengumpulan lemak yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen