Daging, Adakah Baik untuk Kesihatan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tidak kira sama ada daging lembu atau kambing, umumnya daging merupakan antara jenis makanan yang sering diambil oleh kebanyakan individu. Namun sejauh mana kebaikannya pada tahap kesihatan kita? Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut. 

Kandungan nutrisi daging lembu dan kambing

Kedua-dua daging ini mengandungi banyak nutrisi dan zat-zat penting. Kedua-duanya juga mempunyai kualiti yang hampir sama. Secara perbandingan, kandungan protein dalam lembu dan kambing adalah tidak jauh beza, tetapi kandungan lemak mungkin berbeza.

Dari sudut kalori dan lemak, lembu adalah pilihan yang lebih sihat berbanding kambing. 100 gram daging lembu mengandungi 217 kalori, 26.1 gram protein dan 4.2 gram lemak berbanding kambing yang mengandungi 258 kalori, 25.6 gram protein dan 8.8 gram lemak.

Melihat kepada vitamin dan mineral pula, lembu dan kambing, kedua-duanya hampir sama kaya dengan:

  • Zink.
  • Selenium.
  • Fosforus.
  • Zat besi.
  • Tembaga.
  • Potassium.
  • Magnesium.
  • Sodium.
  • Vitamin B, K dan D.

Walau bagaimanapun, daging kambing mengandungi protein yang lebih berkhasiat. Ini adalah kerana kebanyakan kambing tidak diproses dan diternak di dalam ladang tertutup sepertimana lembu.

Daging, Adakah Baik untuk Kesihatan - kambing atau lembu

Adakah daging kambing lebih sihat berbanding daging lembu?

Kualiti dan khasiat daging banyak bergantung kepada jenis makanan yang diberikan kepada binatang tersebut. Daging daripada binatang yang diberikan rumput adalah lebih sihat dan bersih. Jika perlu membuat pilihan, kambing secara amnya lebih sihat kerana perusahaan lembu yang sangat meluas pada hari ini menyebabkan susah untuk mendapatkan lembu yang diternak secara organik dan diberikan makanan rumput. Kebanyakannya memberikan gandum sebagai makanan kerana lebih murah dan menggemukkan lembu.

Manakala kambing pula kebiasaannya diusahakan serta diberikan makanan yang lebih organik dan semula jadi.

Kandungan lemak dalam kambing adalah lebih tinggi, tetapi lemak tersebut adalah lemak sihat. Kandungan lemak omega-3 yang sihat untuk jantung adalah lebih banyak memandangkan ia mengambil rumput sebagai makanan.

Tambahan pula, kualiti dari sudut kelembutan dan rasa tentunya lebih baik bagi daging kambing berbanding lembu. Ini menjadikan ia pilihan utama.

Apa pun pilihannya, daging merah harus dielakkan daripada menjadi santapan harian anda. Kajian mendapati bahawa pengambilannya secara berlebihan meningkatkan risiko sakit jantung, diabetes dan mengurangkan jangkaan umur.

Benarkah daging kambing penyebab tekanan darah tinggi?

Kebanyakan orang yang menghidap penyakit hipertensi atau darah tinggi akan mengehadkan atau mengelakkan daripada memakan kambing kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan tekanan darah naik.

Daging merah tidak sepatutnya dimakan terlalu banyak kerana ia mempunyai kandungan lemak tepu yang cukup tinggi yang boleh meningkatkan kolesterol dan menyebabkan penyakit jantung. Oleh itu, pastikan pengambilan lemak tepu daripada makanan tidak boleh melebihi 20 gram setiap hari.

Umumnya, terdapat 6 gram lemak tepu dalam daging lembu dan 2.5 gram dalam ayam bagi setiap hidangan. Sementara itu, lemak tepu dalam daging kambing adalah hanya sekitar 0.71 gram per 100 g.

Kambing kaya dengan lemak tak tepu, iaitu sekitar 1 gram setiap bahagian, berbanding dengan lembu atau ayam. Lemak tak tepu adalah sejenis lemak baik yang membantu mengimbangi paras kolesterol darah, mengurangkan keradangan dalam badan dan menstabilkan degupan jantung.

Memakan daging kambing tidak menyebabkan hipertensi. Bagaimanapun terdapat beberapa faktor yang mana meningkatkan tekanan darah.

Teknik masakan salah

Tekanan darah tinggi berlaku selepas memakan kambing selalunya disebabkan teknik memasak yang salah. Memasaknya dengan cara goreng, bakar atau panggang akan meningkatkan kalori dalam makanan. Teknik memasak ini kebanyakannya memerlukan minyak masak, mentega atau marjerin yang kemudian menjadi lemak dan diserap oleh daging. Ini menyebabkan kalori makanan tinggi mencapai 64%.

Daging, Adakah Baik untuk Kesihatan - teknik masakan

Pengambilan kalori yang tinggi dalam badan akan berubah menjadi lemak, dari semasa ke semasa ia berkumpul dalam saluran darah dan menyebabkan tekanan darah meningkat.

Jika anda ingin makan daging kambing tetapi bimbang mengenai risikonya terhadap kesihatan, sebaiknya elakkan hidangan kambing bergoreng, dibakar atau dipanggang. Sebaliknya olah makanan kepada cara memasak lain iaitu sup. Tambahkan juga sayuran kaya serat, vitamin dan mineral bersama hidangan kambing anda.

Benarkah daging diproses punca kanser?

Agensi Antarabangsa Penyelidikan Kanser (IARC) yang juga sebuah agensi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan daging yang diproses sebagai karsinogen, sesuatu yang menyebabkan kanser. Dan ia juga telah mengklasifikasikan daging merah sebagai karsinogen berkemungkinan, sesuatu yang mungkin menyebabkan kanser. 

Daging yang diproses termasuk sosej, hotdog, ham, bacon dan sesetengah makanan proses berasaskan daging yang lain. Ia merujuk kepada daging yang telah dirawat dalam beberapa cara untuk memeliharanya atau memperisakannya. Prosesnya termasuk pengambilan garam, pengawetan, penapaian dan salai. Daging merah termasuk daging lembu, kambing, biri-biri dan khinzir.

Risiko kanser

Dalam satu kajian, memakan daging yang diproses dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara.

Kebanyakan pakar percaya makanan yang diproses mempunyai karsinogen (punca kanser), tetapi bukti kepercayaan bergantung kepada kajian kanser kolorektal, pankreas dan prostat.

WHO telah mengklasifikasikannya, termasuk ham, bacon, salami dan sosej sebagai karsinogen Kumpulan 1 (diketahui menyebabkan kanser) yang bermaksud terdapat bukti kuat bahawa ia boleh menyebabkan kanser. Memakannya akan meningkatkan risiko kanser usus dan perut. Daging merah, dikelaskan sebagai karsinogen Kumpulan 2A yang bermaksud ia mungkin menyebabkan kanser.

Untuk analisis ini, dalam Jurnal Antarabangsa Kanser, para penyelidik menggabungkan data daripada 16 prospektif kajian pemerhatian persatuan daging yang diproses dengan kanser payudara. Mereka mendapati bahawa penggunaan daging diproses yang tinggi (kira-kira 25 hingga 30 gram sehari, secara purata) dikaitkan dengan peningkatan risiko 9 peratus untuk kanser payudara berbanding mereka yang mengambilnya dalam jumlah sedikit (0 hingga 2 gram sehari).

Apa yang kita makan adalah faktor utama dalam kesihatan secara keseluruhan dan diet yang betul boleh membantu menghilangkan sel kanser sambil menggalakkan kesihatan. Kebenarannya,sebuah institusi dalam diet standard Amerika menyatakan makanan yang diproses adalah tidak baik untuk kesihatan dan meningkatkan risiko kanser.

Daging, Adakah Baik untuk Kesihatan - daging proses

Sel-sel kanser sangat bahaya, ia mempunyai keupayaan untuk membiak dan bermutasi, mengelakkan apoptosis (cara badan memusnahkan sel yang rosak). Ia juga boleh menggunakan angiogenesis untuk mencipta saluran darah baru dan berkembang. Inilah sebabnya mengapa kanser, yang dibiarkan, akan sentiasa tumbuh dan merebak ke bahagian lain badan. Kanser payudara yang paling biasa merebak ke nodus limfa, paru-paru, hati, tulang, dan otak. Ini dipanggil kanser payudara metastatik dan dikaitkan dengan kadar survival yang jauh lebih rendah.

Berhenti memakan daging, bawa kebaikan?

Umum mengetahui bahawa penternakan lembu bagi menghasilkan produk daging dan tenusu boleh menghasilkan banyak pelepasan gas rumah hijau, dan dengan permintaan yang berganda, kebimbangan ini semakin meningkat.

Tetapi di sebalik itu, penggunaan daging lembu ini juga boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan manusia. Bagaimanapun, keadaan ini belum difahami hingga sekarang.

Menurut World Economic Forum (WEF), beralih daripada daging lembu kepada protein alternatif lain boleh menyelamatkan berjuta-juta nyawa dan secara mendadak mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Penyelidikan baru yang dijalankan oleh Oxford Martin School untuk WEF menunjukkan bahawa usaha menggantikannya terutama daging lembu boleh memberikan manfaat besar terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar. 

Sebuah organisasi berpengaruh di Swiss ski resort of Davos mendedahkan bahawa 2.4% daripada kematian berkaitan diet global boleh dielakkan dengan mengelakkan makan daging lembu.

Perlu menghindari sepenuhnya?

Tidak sama sekali. Industri daging lembu dan tenusu sangat penting, bukan sahaja popular dalam kalangan pengguna tetapi ia juga menjadi punca pendapatan kebanyakan orang seluruh dunia. Bagaimanapun, cabaran utama adalah terhadap permintaan daging yang semakin meningkatkan dan kesan buruknya terhadap alam sekitar dan kesihatan.

Apakah alternatif makanan lain?

Tidak dinafikan bahawa permintaan untuk daging dijangka terus meningkat. Sehubungan itu, analisis terhadap 13 sumber protein termasuk lembu, khinzir dan ayam serta buah-buahan dan sayur-sayuran seperti kekacang, pengganti bukan haiwan yang diproses seperti tauhu dan juga serangga telah dilakukan.

Ia mendapati bahawa bertukar daripada daging kepada protein alternatif boleh menyebabkan kesan negatif dan positif terhadap pengambilan nutrien, tetapi secara keseluruhan, peningkatan penggunaan alternatif memberikan peningkatan kesihatan.

Kacang dan kacang pis menawarkan rangsangan kesihatan terbesar, dan didapati kemungkinan untuk mengurangkan kadar kematian sehingga tujuh peratus.

Oleh itu, dengan bukti yang jelas ini, sistem makanan perlu diubah bagi penjagaan masa depan planet kita.

Manfaat dan impaknya

Kita sering mendengar tentang manfaat kesihatan yang diperolehi jika kita mengurangkan atau berhenti mengambil daging merah, seperti lembu dalam diet pemakanan seharian.

Individu vegan iaitu yang tidak makan makanan berasaskan haiwan sememangnya mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat serangan jantung, diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, kanser tertentu seperti kanser payudara, kanser prostat dan obesiti.

Bagaimana jika anda, individu yang memakan daging sepanjang hidup ini, ingin mengurangkan jumlah pengambilannya atau ingin berhenti makan sepenuhnya? Apakah kesan yang mungkin anda hadapi? Bagaimana tubuh dan fikiran anda bertindak balas tentang situasi ini?

  • Kekal lapar

Secara psikologinya, untuk satu atau dua minggu pertama percubaan anda tanpa mengambilnya, anda mungkin berasa anda masih lapar. Anda tidak akan berasa puas walaupun anda telah memakan makanan berprotein, karbohidrat dan kalori.

Ini kerana ada telah terbiasa memakannya dan mengambil sejumlah kecil sayur-sayuran pada kebanyakan hidangan makanan. Dan apabila anda hanya memakan sayur-sayuran, anda akan merasakan bahawa anda masih belum makan hidangan utama anda.

Ia mungkin akan berlanjutan dan mengambil masa untuk membiasakan diri. Tetapi fikiran anda pasti akan terbiasa dengan corak perubahan diet anda dalam beberapa minggu. Perbanyakkan pengambilan makanan seperti avokado, kekacang, quinoa, dan tauhu yang penuh protein dan dapat mengenyangkan anda.

  • Perubahan rasa

Zink, merupakan sejenis mineral yang membantu dalam fungsi imun dan penyembuhan luka, tetapi dalam masa yang sama ia boleh mempengaruhi deria rasa dan bau. Zink terkandung dalam tiram, daging lembu dan ketam.

Berhenti mengambil daging atau ikan, mungkin akan membuatkan anda tidak mendapat jumlah zink yang mencukupi untuk tubuh anda. Malah makanan vegetarian seperti kacang tanah dan bijirin penuh mengandungi phytat, sejenis asid yang akan mengurangkan penyerapan zink oleh tubuh.

Zink adalah mineral penting untuk membantu menambah selera dan kepekaan terhadap rasa sesuatu makanan. Diet vegetarian tidak akan membantu anda memperolehi zink dengan banyak.

Setiap individu wanita dewasa perlu mendapatkan 8mg zink dan individu lelaki pula sebanyak 11mg zink setiap hari. Makanan tambahan seperti bijirin, yogurt, kacang dan oat dapat membantu dalam pengambilan zink harian anda.

  • Usus lebih sihat

Mikrobiotik (Microbiome) adalah mikroorganisma hidup yang ada dalam tubuh anda. Ia menyumbang kepada fungsi pencernaan yang betul, sistem imun dan tisu usus yang sihat.

Serat makanan dalam sayuran, buahan dan bijirin membantu tubuh mengekalkan mikrobiotik yang sihat di dalam usus yang membantu dalam pertumbuhan bakteria sihat. Ini bermakna diet vegetarian meningkatkan kesihatan saluran pencernaan, mengawal pergerakan usus dan mencegah sembelit.

Apabila anda mula menambahkan lebih banyak makanan berasaskan tumbuhan ke dalam diet anda, anda mungkin berasa seperti anda pergi ke tandas lebih kerap daripada biasa. Tetapi jika anda pergi sekali sehari, anda sebenarnya menjadi lebih teratur.

  • Memanjangkan jangka hayat

Secara semula jadi, mengurangkan atau memberhentikan terus pengambilannya akan mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser dan obesiti. Ini secara tidak langsung membantu memberikan anda peluang untuk hidup lebih lama.

Makanan yang berasaskan tumbuhan seperti sayuran dan buahan, seperti avokado dan kekacang, kaya dengan asid lemak tak tepu yang dapat mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung atau sebab-sebab lain.

Daging, Adakah Baik untuk Kesihatan - penurunan berat

  • Penurunan berat badan

Jika anda sedang berusaha untuk menurunkan berat badan, makan pengurangan atau berhenti mengambilnya merupakan antara cara yang paling berkesan.

Kajian dari Loma Linda University menunjukkan vegetarian, walaupun mempunyai jumlah pengambilan kalori yang sama seperti individu bukan vegetarian, cenderung mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) yang lebih rendah daripada mereka yang memakannya.

Umumnya, pemakan daging kurang menggunakan protein tumbuhan, beta karoten, serat dan magnesium, dan lebih banyak mengambil asid lemak yang menyumbang kepada penyakit jantung.

  • Kulit bertambah baik

Sama ada anda percaya atau tidak, berhenti memakannya dan mengambil banyak buahan dan sayuran yang berkhasiat dapat menjadikan kulit anda lebih baik.

Vitamin yang terdapat dalam sayuran dan buahan seperti vitamin A, C dan E, dipercayai dapat melawan radikal bebas dalam tubuh yang merupakan punca kepada kecacatan kulit.

Sesetengah makanan seperti buah beri, sitrus, prun dan zaitun mengandungi tahap antioksidan yang tinggi yang sememangnya baik untuk kulit.

  • Mulakan secara perlahan

Elakkan daripada membuat perubahan secara drastik, ia akan menyebabkan tubuh dan fikiran anda sukar untuk menerima kejutan ini. Mulakan dengan mengurangkan atau memberhentikan pengambilan daging merah.

Kekalkan pengambilan daging tanpa lemak seperti ayam untuk sebulan dua sebelum anda cuba untuk memberhentikan pengambilan daging dengan lemak pula.

  • Mengikut kesesuaian

Jika anda memilih untuk berhenti memakan makanan berasaskan daging, atau dalam erti kata lain, hanya makan makanan berasaskan tumbuhan seperti sayuran, buahan dan bijirin, pastikan anda telah mendapatkan nasihat dan pandangan doktor atau pakar kesihatan terlebih dahulu. Buat perancangan untuk diet pemakanan anda sebaik mungkin.

Gaya hidup sihat

Jika anda berasa sukar untuk berhenti terus daripada mengambilnya dalam hidangan pemakanan anda, tidak mengapa dan anda tidak perlu memaksa diri anda. Namun, anda dinasihatkan untuk menjaga dan menitik beratkan jumlah pengambilannya setiap hari dalam setiap hidangan, tanpa mengira jenis daging yang anda ambil. Dalam masa yang sama, pastikan anda turut mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dengan memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta memperbanyakkan minum air. Juga, jangan lupa untuk bersenam!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan