Subkesuburan: Masalah Kesuburan Yang Sering Disalahertikan

Pada tahun 2016, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mendedahkan satu statistik yang menunjukkan kadar kehamilan negara kita telah jatuh mendadak ke tahap yang terendah dalam sejarah. Ketika itu, nisbah kadar kehamilan buat wanita yang berusia 15 hingga 49 tahun hanya 1.9 bayi. Lebih membimbangkan, purata umur ibu yang melahirkan bayi pertama adalah pada usia 27.7 tahun. Statistik ini menunjukkan bahawa isu kesuburan tidak lagi boleh dipandang remeh dan perlu ditangani dengan segera.

Masalah kesuburan & pasangan suami isteri

Tahap kesuburan yang tinggi adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh kedua-dua pasangan suami isteri bagi merealisasikan impian mereka untuk mendapatkan cahaya mata. Pun begitu, tidak semua pasangan bernasib baik kerana ada juga dari kalangan suami isteri yang mengalami masalah ketidaksuburan. Secara umumnya, masalah ini akan timbul dari pelbagai faktor dan aspek seperti usia, hormon, berat badan, tahap kesihatan, pemakanan, pekerjaan dan gaya hidup.

Kini, masalah ketidaksuburan mungkin dapat diatasi dengan bantuan pelbagai jenis ubatan dan rawatan berteknologi tinggi seperti induksi ovulasi, IUI (Intra-Uterine Insemination), ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection) atau IVF (In-Vitro Fertilisation) yang anda boleh cuba sekiranya anda mempunyai masalah kehamilan. Pun begitu, ia bukan memberikan jaminan 100% untuk anda terus berjaya hamil selepas melakukannya. Sebaliknya, ini semua adalah ikhtiar daripada anda dan pasangan.

Persoalannya, apa sebenarnya punca kepada masalah ketidaksuburan ini? Adakah ia salah pasangan lelaki atau wanita? Hakikatnya, tiada mana-mana pihak yang harus dipersalahkan di dalam hal ini. Ini kerana masalah ketidaksuburan boleh berpunca daripada kedua-dua pasangan tidak kira lelaki atau wanita.

Sebanyak 85 peratus daripada pasangan suami isteri dengan tahap kesuburan yang normal akan berjaya menimang cahaya mata dalam tempoh setahun mencuba. Jika tidak, peluang untuk mendapatkan zuriat akan menjadi semakin rendah seiring dengan peningkatan usia pasangan suami isteri itu sendiri.

Jadi, anda dan pasangan tidak perlu saling menyalahkan satu sama lain. Baik lelaki atau wanita, salah seorang daripada anda atau kedua-duanya mungkin mengalami masalah kesuburan tanpa anda sedari. Sebaiknya, cuba ketahui apa punca sebenar ketidaksuburan anda ataupun pasangan dan segera berjumpa dengan pakar untuk mencuba mencari penyelesaiannya.

Apa kata pakar?

Bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai masalah kesuburan yang semakin meningkat di negara ini, pihak Hello Doktor mengadakan sesi temu bual bersama Dr. Helena Lim, yang bertugas sebagai pakar perunding kesuburan di KL Fertility & Gynaecology Centre, Kuala Lumpur. 

Menurutnya, sudah hampir mencecah ribuan individu yang mengalami masalah kesuburan telah datang menemuinya untuk membincangkan masalah ketidaksuburan yang dialami mereka. Bukan berniat mahu mendabik dada, sebaliknya beliau cuma berkongsi perasaan seronok dan bangga apabila majoriti daripada pesakitnya kembali kepadanya untuk mengucapkan terima kasih ekoran telah berjaya hamil hasil khidmatnya.

Dr. Helena adalah graduan kelulusan perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1999 dan merupakan salah seorang daripada doktor pakar perunding kesuburan di KL Fertility & Gynaecology Centre, Kuala Lumpur. 

Selepas menamatkan housemanship di Hospital Kuala Lumpur, beliau mula bertugas sebagai pensyarah pelatih di Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada tahun 2006, beliau mula melanjutkan pelajaran ke bidang master dalam bidang obstetrik dan ginekologi di United Kingdom. Sekembalinya semula ke sini, beliau kembali berbakti sebagai pensyarah di UKM. 

Disebabkan minat yang terlalu mendalam di dalam bidang kesuburan, beliau telah banyak melakukan kajian dan latihan di dalam bidang ini. Pada tahun 2012, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk menyertai pasukan KL Fertility & Gynaecology Centre sebagai salah seorang pakar perunding kesuburan. Sejak itu, beliau telah melibatkan dirinya di dalam bidang kesuburan sehingga ke hari ini demi membantu pasangan suami isteri untuk menyelesaikan masalah ketidaksuburan mereka demi mendapatkan cahaya mata. 

Pada beliau, apa yang paling menggembirakan adalah maklum balas daripada individu yang telah berjaya hamil selepas mendapatkan khidmat rawatan kesuburan di sini. Ini sudah pasti adalah matlamat utama hidup beliau.

Salah lelaki atau wanita?

Setiap kali berbicara mengenai masalah kesuburan, sudah pasti akan timbul persoalan yang sangat biasa – adakah ia salah lelaki atau salah wanita? Sedangkan kita patut tahu bahawa sebenarnya tiada mana-mana pihak yang patut dipersalahkan dalam hubungan suami isteri. 

Hakikatnya, wanita lebih banyak dipersalahkan setiap kali isu ketidaksuburan atau subkesuburan ini diketengahkan dan ini adalah tidak patut sama sekali.

Bagi wanita, masalah kesuburan yang dialami mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti usia, hormon, ovulasi, endometriosis, fibroid, polip, kecacatan pada telur, sindrom DES (diethylstilbestrol) dan lain-lain. Jika anda merupakan salah seorang daripada wanita yang mempunyai masalah ini, jangan terlalu risau kerana masih ada peluang untuk hamil walaupun bukan secara semula jadi. Kini, terdapat pelbagai jenis rawatan kesuburan yang boleh dilakukan dan antara yang paling popular adalah kaedah IVF (in-vitro fertilisation) atau persenyawaan in-vitro. 

Namun begitu, tidak adil untuk menyalahkan pasangan wanita semata-mata. Sejak 5 hingga 10 tahun kebelakangan ini, masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki telah meningkat dan kini, 40% hingga 50% dari masalah ketidaksuburan adalah berpunca daripada pasangan lelaki. Ini mungkin berkait rapat dengan aspek pemakanan, pekerjaan atau gaya hidup zaman sekarang secara keseluruhannya. Mungkin, ada sesuatu perubahan yang perlu kita lakukan. Perkara yang lebih penting adalah kita perlu menjalani gaya hidup yang lebih sihat demi kesuburan dan kesihatan pasangan suami isteri.

Dalam erti kata yang lain, Dr. Helena dan pihak Hello Doktor sendiri sudah pasti tidak bersetuju jika kesalahan ini diletakkan di bahu pasangan wanita semata-mata. Ia adalah masalah pasangan suami isteri yang perlu diselesaikan secara bersama. Jadi, ia tidak lagi perlu didebatkan dan kesemua pihak perlu membuka mata seluas-luasnya untuk melihat perkara ini dengan lebih terbuka.

infertility-in-men

Subkesuburan vs ketidaksuburan

Di dalam temubual bersama Dr. Helena juga, beliau turut menjelaskan bahawa kita tidak boleh hanya memandang masalah ketidaksuburan semata-mata. Sebaliknya, beliau turut mendedahkan mengenai masalah subkesuburan. Ia adalah tentu sekali masalah yang biasa dialami oleh pasangan suami isteri, cuma anda sendiri belum sedar tentangnya.

Kira-kira 1 daripada setiap pasangan akan mengalami masalah untuk hamil – sama ada mereka mengalami masalah subkesuburan atau ketidaksuburan. Sebenarnya, ia boleh diselesaikan jika anda dan pasangan segera menemui pakar untuk mengetahui masalah sebenar anda. Persoalannya, apakah maksud subkesuburan dan apakah beza ia dengan ketidaksuburan?

Kebanyakan individu akan terkeliru dengan kedua-dua terma ini dan beranggapan ia adalah perkara yang sama. Pun begitu, ia sudah tentu sekali berbeza. Subkesuburan adalah kelewatan untuk hamil manakala ketidaksuburan adalah ketidakmampuan untuk hamil tanpa sebarang rawatan kesuburan. Ia juga boleh terjadi kepada kedua-dua pasangan lelaki dan wanita.

Bagi individu yang mengalami subkesuburan, masih wujud peluang untuk hamil secara semula jadi, namun mengambil masa yang lebih lama berbanding masa yang biasa. Bagi individu yang mengalami ketidaksuburan pula, peluang untuk hamil tanpa sebarang intervensi perubatan adalah suatu perkara yang boleh dikatakan sebagai mustahil.

Faktor risiko subkesuburan

Sebenarnya, terdapat beberapa faktor risiko yang akan meningkatkan risiko anda mengalami subkesuburan. Kebanyakan faktor risiko ini pula adalah sama untuk lelaki dan juga wanita, termasuklah:

  • Wanita yang berusia 35 ke atas
  • Lelaki yang berusia 40 ke atas
  • Mempunyai berat badan yang lebih atau kurang dari BMI
  • Menghisap rokok
  • Mengambil dadah
  • Meminum alkohol secara berlebihan
  • Kerap mengalami stres sama ada pada fizikal atau mental
  • Kerap terdedah kepada radiasi
  • Kerap terdedah kepada toksin
  • Pengambilan ubat-ubatan yang tertentu 

Kebanyakan punca berlakunya subkesuburan pula juga adalah sama seperti ketidaksuburan. Kesukaran untuk hamil boleh jadi disebabkan masalah pada lelaki atau wanita atau kedua-duanya sekali. Berikut merupakan faktor subkesuburan berlaku kepada individu:

#1. Masalah ovulasi

Sama seperti masalah ketidaksuburan, ia juga kebiasaannya disebabkan oleh masalah ovulasi. Tanpa proses ovulasi berfungsi dengan baik di dalam sistem reproduktif wanita, telur tidak boleh dilepaskan untuk disenyawakan. Terdapat beberapa kondisi yang boleh menghalang proses ovulasi, termasuklah:

  • Polycystic ovary syndrome (PCOS): Kondisi ini menyebabkan proses ovulasi terhalang atau menyebabkan kitaran ovulasi terganggu.
  • Diminished ovarian reserve (DOR): Kondisi ini menyebabkan kiraan telur wanita berkurang disebabkan oleh penuaan atau pelbagai sebab yang lain seperti pengambilan ubatan atau pernah menjalankan pembedahan ovari.
  • Premature ovarian insufficiency (POI): Kondisi ini juga dikenali sebagai menopaus pramatang yang akan menyebabkan ovari gagal untuk berfungsi akibat kondisi perubatan atau rawatan seperti kimoterapi.
  • Hypothlamus dan kondisi kelenjar pituitari: Kondisi ini akan memberi kesan terhadap kebolehan tubuh badan menghasilkan hormon untuk mengekalkan fungsi ovai yang normal.

#2. Masalah rahim

Rahim adalah tempat di mana bayi anda membesar. Ketidaknormalan atau kecacatan padanya sudah pasti akan mengganggu keupayaan anda untuk hamil. Ini termasuklah kondisi rahim kongenital, yang selalunya berlaku sejak lahir lagi, atau mungkin boleh berlaku seiring dengan perjalanan usia anda. 

Antara kondisi rahim yang bermasalah termasuklah:

  • Septate uterus: Kondisi ini berlaku apabila tisu rahim terbahagi kepada dua bahagian.
  • Bicornuate uterus: Kondisi ini berlaku apabila rahim mempunyai dua kaviti -memberi bentuk seakan jantung, berbanding satu sahaja seperti yang sepatutnya.
  • Double uterus: Kondisi ini berlaku apabila rahim mempunyai dua kaviti yang kecil dan kedua-duanya mempunyai bukaan masing-masing.
  • Fibroid: Kondisi ini berlaku apabila rahim mempunyai ketumbuhan di dalam atau di atasnya.

#3. Masalah tiub fallopio

Tiub fallopio yang tersekat akan menghalang sperma daripada memasuki telur. Ia boleh disebabkan oleh kondisi seperti:

  • Endometriosis
  • Pelvic inflammatory disease (PID)
  • Tisu mengalami parut akibat pembedahan yang pernah dilakukan, contohnya pembedahan untuk kehamilan ektopik
  • Pernah mengalami gonorrhea atau chlamydia

#4. Masalah penghasilan sperma

Penghasilan sperma yang tidak normal boleh menyebabkan subkesuburan. Ini boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai punca, termasuklah:

  • Gonorrhea
  • Chlamydia
  • HIV
  • Diabetes
  • Beguk
  • Kanser dan rawatan kanser
  • Pembesaran salur darah pada testis, yang dikenali sebagai varicocele
  • Kecacatan genetik, seperti sindrom Klinefelter

#5. Masalah pergerakan sperma

Pergerakan sperma yang tidak normal juga boleh menyebabkan subkesuburan. Ini boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai punca, seperti:

  • Kondisi genetik, seperti cystic fibrosis
  • Ejakulasi pramatang
  • Kecederaan atau kerosakan pada testis
  • Berlaku sekatan pada testis

#6. Masalah berkaitan sistem imunisasi tubuh badan

Dalam beberapa kes yang sangat jarang berlaku, ada wanita yang tubuh badannya akan mencipta antibodi yang menyerang embrio lalu menyebabkan keguguran. Ini juga merupakan salah satu daripada punca subkesuburan.

Jadi, apakah yang anda boleh lakukan?

Menurut Dr. Helena lagi, anda sebenarnya tidak perlu menunggu terlalu lama jika anda dan pasangan sudah mencuba sekian lama tetapi masih belum berjaya untuk hamil. Sebaiknya, ujian kesuburan perlu dilakukan dengan kadar segera terutamanya jika anda sudah mencecah usia 35 tahun ke atas. 

Ini bagi membolehkan doktor dan anda sendiri mengetahui punca sebenar anda dan pasangan masih belum berjaya bergelar ibu atau bapa. Ia mungkin boleh jadi subkesuburan atau ketidaksuburan. Jika anda mengalaminya, jangan terus berputus asa. Ini kerana dengan bantuan teknologi perubatan kini, anda masih boleh untuk hamil walaupun bukan secara alami.

Namun begitu, tidak semua daripada pasangan akan menemui jawapannya. Kira-kira 25 peratus daripada pasangan yang melakukan ujian kesuburan tidak menemui punca subkesuburan atau ketidaksuburan mereka. Golongan individu ini dikategorikan sebagai ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan. Diagnosis kepada kondisi ini benar-benar mengecewakan. Cuba anda bayangkan, anda dan pasangan telah melakukan ujian kesuburan dan didapati bahawa kedua-dua anda adalah normal tetapi setelah bertahun mencuba, anda masih tidak dapat hamil. Sudah pasti ia sangat mengecewakan anda, bukan?

Sebenarnya, perkara yang paling penting untuk anda tahu adalah walaupun setiap ujian yang anda lakukan adalah normal, ia tidak bermakna tiada langsung faktor yang boleh menghalang anda untuk hamil secara semula jadi. Adalah sangat penting untuk ujian tersebut hanyalah bersifat permukaan sahaja dan tidak semestinya menunjukkan keputusan yang 100% tepat. Jadi, ia mungkin sebenarnya adalah sesuatu yang berada di luar kemampuan kita.

Konklusi

Konklusinya, masalah kesuburan tidak boleh dipersalahkan terhadap wanita sahaja. Anda sebagai pasangan suami dan isteri seharusnya segera melakukan ujian kesuburan pada awal perkahwinan anda untuk memastikan anda dan pasangan berada pada laluan yang betul atau tidak. Jika anda atau pasangan didiagnosis dengan masalah subkesuburan atau ketidaksuburan, jangan mudah putus asa. Dengan bantuan pelbagai jenis ujian, ubatan dan rawatan yang berteknologi kini, anda masih berpeluang untuk hamil walaupun bukan secara semula jadi.

Namun apa yang paling penting, kita semua perlu tahu bahawa setiap kurniaan di atas muka bumi ini adalah milik tuhan sekalian alam. Di sebalik setiap kejayaan dunia sains kini, kita masih perlu berpaling jua kepada pencipta kita akhirnya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

enEnglish

Rujukan
Dr Helena Lim Yun Hsuen Kesuburan- Obstetrik dan Ginekologi

Dr Helena Lim Yun Hsuen merupakan pakar kesuburan di KL Fertility Centere. Beliau menerima ijazah kedoktoran dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1999, dan menjadi Perunding dalam bidang Obstetrik & Ginekologi semenjak tahun 2006.  Pada tahun 2018, Dr Helena telah menerima anugerah Fellowship dari Royal College of Obstetricians & Gynecologists, UK (FRCOG). Beliau seseorang yang sangat meminati bidang kesuburan dan kesihatan wanita khususnya berkaitan kesan pemakanan, tekanan dan psikologi mengenai kesuburan.

Lihat Lebih Lagi
Artikel Terkini