Wanita dan Seksualiti: Apa yang Harus Diketahui?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Wanita dan seksualiti, dahulunya merupakan antara topik sensitif untuk dibual dan dibincangkan secara terbuka. Namun, berbeza pada masa kini, perbincangan mengenai perihal seksualiti wanita secara terbuka semakin diterima. Apa yang penting, individu wanita itu sendiri semakin menyedari aspek seksualiti dan kesihatan seksual bukanlah sesuatu perkara yang boleh dianggap remeh.

Apakah itu seksualiti?

Seksualiti merangkumi pelbagai aktiviti fizikal dan psikologi yang luas. Ia memenuhi keperluan fizikal dan emosi yang penting berkaitan keintiman.

  • Seksualiti bukan sekadar melibatkan perhubungan seksual, tetapi ia juga mengenai perasaan anda terhadap diri anda, hubungan bersama individu lain dan tentang hubungan seks dan pengalaman seksual.
  • Kepentingan wanita berkaitan seks dan tindak balas terhadap rangsangan seks adalah berbeza-beza mengikut individu. Dipercayai respons seksual wanita meningkat di akhir usia 30-an dan awal usia 40-an, namun, seorang individu wanita boleh menikmati pengalaman seksual sepanjang hidupnya.
  • Kualiti dalam perhubungan dan pengalaman seksual adalah berbeza bagi setiap individu. Ia dipengaruhi oleh keadaan hidup, usia, tahap hormon dan aspek kesihatan dan kesejarahteraan secara keseluruhan.

Wanita dan seksualiti: Masalah seksual yang sering diabaikan

Sama seperti individu lelaki, seorang individu wanita turut berisiko untuk mengalami masalah seksual. Masalah seksual atau dikenali sebagai disfungsi seksual wanita (female sexual dysfunction, FSD) oleh profesional kesihatan, adalah merujuk kepada sebarang perkara yang mengganggu kepuasan wanita dengan aktiviti seksual. Malahan, perasaan anda terhadap pasangan dan perhubungan seksual juga pasti akan menjejaskan kepuasan seksual anda.

Masalah ini boleh berlaku pada sebarang fasa kitaran tindak balas seksual yang menghalang individu atau pasangan daripada mengalami kepuasan seksual. Kitaran tindak balas ini boleh dibahagikan kepada empat fasa iaitu: keseronokan, puncak rangsangan (plateau), orgasma dan resolusi.

Kitaran tindak balas seksual

Masalah seksual adalah satu masalah kesihatan yang boleh dirawat. Dan, untuk mengenal pasti bagaimana atau mengapa masalah ini boleh berlaku, penting untuk anda memahami tentang kitaran tindak balas seksual. Umumnya, kitaran ini adalah sama bagi individu lelaki mahupun wanita, walaupun terdapat sedikit perbezaan pada kadar dan perubahan fizikal.

  1. Fasa keseronokan

Wanita dan Seksualiti Apa yang Harus Diketahui - fasa keseronokan

Fasa ini adalah berkaitan keinginan yang meningkatkan minat dan responsif kepada aktiviti seksual. Pada tempoh ini anda sedang berada dalam ‘mod’ dan denyutan jantung serta kadar pernafasan anda semakin laju dan kulit anda mungkin akan bertukar kemerahan.

  1. Fasa puncak rangsangan

Rangsangan seksual seperti sentuhan, penglihatan, pendengaran, rasa, bau atau imaginasi – mendatangkan perubahan fizikal yang lebih mendalam. Cecair akan dirembeskan pada sekitar faraj, melembapkan faraj, labia dan vulva. Cecair ini memberikan pelinciran untuk hubungan seksual. Faraj akan berkembang, dan klitoris membesar. Puting akan menjadi keras atau tegak.

  1. Fasa orgasma

Turut dikenali sebagai klimaks. Fasa ini adalah puncak kepada keghairahan hubungan seksual. Pada tempoh ini otot yang mengelilingi faraj berhubung secara berirama, dan mewujudkan sensasi yang amat menyenangkan. Ia disebut sebagai klimaks seksual.

  1. Fasa resolusi

Faraj, klitoris dan kawasan sekitarnya akan kembali kepada keadaan asal, iaitu keadaan di mana sebelum menerima sebarang rangsangan. Pada ketika ini, berkemungkinan besar anda akan cenderung untuk merasa tenang, santai dan mengantuk yang mungkin membuatkan anda tertidur.

Setiap individu wanita akan melalui proses kitaran pada tahap yang tersendiri, iaitu tahap yang normal buat dirinya. Masalah seksual berpotensi untuk berlaku seandainya, salah satu fasa dari kitaran tindak balas seksual ini tidak berlaku.

Simptom masalah seksual wanita

Jenis masalah seksual dalam kalangan wanita adalah berhubung kait dengan tahap kitaran tindak balas seksual. Apabila salah satu tahap pada kitaran tindak balas tersebut tidak berjaya dicapai, ia sekali gus menyebabkan gangguan kepada kepuasan seksual dan akhirnya mencetuskan masalah, bukan sahaja kepada individu wanita tersebut tetapi turut menjejaskan pasangan dan perhubungan.

Antara tiga masalah seksual umum yang sering dihadapi wanita, adalah termasuk:

  • Kekurangan keinginan seksual – kurang minat atau keinginan terhadap seks, merupakan antara masalah umum sama ada kepada lelaki mahupun wanita, tetapi ia lebih cenderung untuk berlaku kepada wanita. Tiada keinginan atau kurangnya keinginan boleh membantutkan kitaran tindak balas seksual sebelum ia bermula. Bagi sesetengah individu, hilang keinginan atau minat ini adalah sesuatu isu sementara dan bagi sesetengah yang lain pula, ia mungkin menjadi satu masalah yang berterusan untuk jangka panjang.
  • Kesukaran mencapai klimaks – tidak mampu untuk berasa terangsang secara seksual sering kali dikaitkan dengan kekurangan minat dan keinginan. Bagi sesetengah kes, seseorang individu wanita mungkin mempunyai keinginan seksual tetapi tidak berasa terangsang. Klimaks mungkin berlaku agak lambat atau mungkin tidak berlaku sama sekali (anorgasmia). Perkara sebegini boleh menyebabkan kesedihan dan tekanan bagi seorang individu wanita yang ingin merasa terangsang. Akibatnya, ia boleh mencipta satu kitaran tidak sihat yang membuatkan wanita itu hilang keinginan dan minat terhadap seks kerana dia tidak merasai klimaks atau orgasma. Dianggarkan bahawa hampir 7 hingga 10 peratus wanita menderita gangguan orgasmik.
  • Kesakitan – berasa sakit semasa melakukan perhubungan seksual atau persetubuhan (dyspareunia) adalah sesuatu yang jarang berlaku. Tetapi ia tidak mustahil untuk berlaku. Sama seperti masalah seksual lain, kesakitan ini mungkin akan menyebabkan seseorang individu wanita itu hilang minat terhadap seks.

Punca wujudnya masalah seksual wanita

Wanita dan Seksualiti Apa yang Harus Diketahui 2

Pelbagai faktor boleh menjadi punca kepada kewujudan masalah ini, sama ada faktor fizikal, psikologi atau kesihatan. Ia adalah berbeza bagi setiap individu. Berikut adalah antara punca yang mungkin menjadi penyebab kepada masalah seksual wanita:

  1. Emosi

Masalah yang melibatkan perasan ini turut boleh menjejaskan fungsi seksual wanita seperti kemurungan, kegelisahan – mengenai seks atau perkara lain, tekanan, kemarahan, dan rasa bersalah. Individu yang mungkin pernah berdepan sejarah penderaan, sama ada berkaitan seksual atau fizikal mahupun emosi, mungkin berdepan dengan emosi ketakutan, rasa bersalah yang disebabkan pengalaman terdahulu.

  1. Perhubungan

Pelbagai isu dalam perhubungan turut boleh menjejaskan keinginan seksual wanita. Antara masalah yang mungkin berlaku adalah seperti pembahagian tugasan rumah, anak, perihal kewangan. Kekurangan komunikasi dengan pasangan juga boleh menjadi penghalang kepada seorang wanita untuk meluahkan mengenai keperluan seksualnya. Mati pucuk juga turut boleh menjadi antara masalah dalam perhubungan.

  1. Fizikal

Keadaan fizikal dan perubatan boleh menyebabkan kemerosotan dalam keinginan wanita terhadap kehidupan seksualnya. Antaranya seperti:

  • Keletihan (lesu)
  • Penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit hati, penyakit buah pinggang
  • Kanser
  • Gangguan neurologi
  • Gangguan vaskular (aliran darah)
  • Ketidakseimbangan hormon
  • Menopaus
  • Kehamilan
  • Penyalahgunaan dadah dan alkohol
  1. Rangsangan

Rangsangan adalah penting dalam hubungan seksual. Seandainya individu wanita atau pasangannya mungkin kurang pengetahuan mengenai rangsangan dan tindak balas seksual, ia mungkin akan menjejaskan keupayaan wanita untuk mencapai kepuasan yang diingini dan klimaks.

  1. Ginekologi

Pelbagai masalah berkaitan ginekologi yang melibatkan gangguan pelvis yang menyebabkan kesakitan dalam perhubungan seks turut boleh mengakibatkan kehilangan kepuasan dalam seks. Antara masalah yang mungkin dihadapi adalah termasuk:

  • Kekeringan faraj – sering dihadapi oleh individu wanita berusia muda yang disebabkan kekurangan rangsangan. Bagi individu wanita yang lebih berusia, penurunan estrogen yang berlaku disebabkan perimenopaus atau menopaus yang menyebabkan masalah kekeringan faraj. Ia turut boleh disebabkan ketidakseimbangan hormon atau penyakit lain dan turut disebabkan ubatan tertentu. Masalah ini boleh menyebabkan hilangnya rasa ghairah dan menjadikan hubungan seksual tidak menyelesakan.
  • Penyakit kelamin – penyakit kelamin atau penyakit sebaran seksual, antaranya seperti gonorrhea, herpes dan sifilis. Ia boleh menyebabkan perubahan dalam alat kelamin dan membuatkan seks menjadi tidak selesa dan menyakitkan.
  • Penyakit keradangan pelvik – merupakan jangkitan faraj yang bergerak memasuki serviks, rahim dan ovari. Ia sangat menyakitkan dan lebih menyakitkan apabila melakukan hubungan seksual.
  • Vaginitis – keradangan dan kerengsaan tisu faraj yang disebabkan jangkitan bakteria atau punca lain turut boleh mengakibatkan seks menjadi tidak selesa dan menyakitkan.
  • Endometriosis, sista ovari dan parut pembedahan – mana-mana antara berikut, turut boleh menjadi penghalang atau perubahan anatomi yang menjejaskan perhubungan seksual yang menjadikan ia menyakitkan.
  1. Perubatan, kesihatan

Melibatkan pengambilan ubatan tertentu berikutan faktor kesihatan juga boleh mengakibatkan kemerosotan keinginan atau keghairahan dalam perhubungan seksual. Individu yang menjalani kemoterapi atau radiasi untuk kanser tertentu juga boleh berdepan masalah kekurangan pelincir faraj.

Adakah masalah seksual wanita ini boleh dirawat?

Sama ada sesuatu kes masalah seksual seseorang individu wanita itu dapat dirawat atau tidak, ia sebenarnya bergantung kepada punca yang menjadi penyebab kepada munculnya masalah ini. Jika masalah ini muncul disebabkan tekanan, rasa takut atau kegelisahan, ia boleh dirawat dengan kaunseling, pendidikan atau komunikasi yang baik antara pasangan. Bagi masalah yang berkaitan dengan keadaan fizikal, ia boleh dirawat dengan kaedah yang bersesuaian

Kaedah rawatan

Jenis rawatan bagi masalah seksual ini adalah bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi. Ada masanya tiada rawatan yang diperlukan. Antara kaedah rawatan yang boleh digunakan adalah termasuk:

  1. Pendidikan

Anda boleh mempelajari tentang anatomi manusia, fungsi seksual dan perubahan umum yang berkaitan dengan penuaan, serta tingkah laku seksual dan tindak balas yang sesuai, dapat membantu individu wanita mengatasi rasa kegelisahan mengenai fungsi seksual dan prestasinya.

  1. Rangsangan

Meningkatkan rangsangan ini melibatkan bahan erotik seperti video atau buku, melancap atau perubahan pada rutin atau posisi seks.

  1. Teknik

Wanita dan Seksualiti Apa yang Harus Diketahui - 3

Pelbagai teknik gangguan boleh diaplikasikan untuk membantu meningkatkan keghairahan dan menghilangkan kegelisahan. Seperti mewujudkan fantasi erotik, muzik, video, bersenam sambil melakukan hubungan seksual dan lain-lain.

  1. Tingkah laku non-coital

Merupakan aktiviti merangsang secara fizikal yang tidak melibatkan hubungan seksual. Ianya seperti urutan sensual, bagi meningkatkan keselesaan.

  1. Posisi seksual

Cara ini penting untuk membantu mengurangkan kesakitan. Menggunakan posisi kedudukan seksual yang membolehkan individu wanita mengawal kedalaman penembusan (depth of penetration) dapat membantu melegakan kesakitan. Pelincir faraj dapat membantu mengurangkan kesakitan disebabkan geseran.

  1. Komunikasi

Kurang komunikasi dengan pasangan juga boleh menyebabkan masalah seksual itu muncul. Seorang individu wanita perlu belajar meluahkan dan memberitahu pasangan mereka tentang keperluan, keinginan seksual mereka untuk mereka turut sama mempunyai peluang menikmati hubungan seksual yang memuaskan.

  1. Terapi seks

Seorang pakar terapi seks mungkin dapat membantu pasangan untuk memberikan tumpuan dalam hubungan seksual dengan mengesyorkan latihan dan keperluan khusus yang bersesuaian dengan masalah yang dihadapi.

Langkah pencegahan

Perkara paling penting untuk mencegah atau merawat masalah seksual ini adalah dengan berkomunikasi secara terbuka dan jujur dengan pasangan. Mengamalkan gaya hidup yang sihat turut dapat menggalakkan kesejahteraan diri secara keseluruhan. Ini sekali gus dapat meningkatkan keyakinan diri, yang mungkin dapat meningkatkan minat dan keghairahan anda terhadap seks.

Antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan diet pemakanan yang sihat, tidak merokok, melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari, mendapatkan rehat yang mencukupi, sentiasa memastikan diri berada di bawah tekanan, mengawal pengambilan alkohol dan memastikan diri melakukan pemeriksaan kesihatan seperti ujian Pap dan mamogram.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut