7 Tanda Anda Mengalami Tekanan Seksual Terhadap Seseorang

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Pernah tak anda melihat seseorang yang berlainan jantina dan tertarik dengannya secara seksual tanpa anda menjalinkan apa-apa ikatan atau hubungan perasaan terhadapnya? Jika ya, usah khuatir. Ia adalah sesuatu yang normal dan dikenali sebagai tekanan seksual. Ini sering terjadi kepada individu dewasa sama ada di tempat kerja atau kalangan kawan-kawan yang berlainan jantina.

Pun begitu, adakah terdapat sebarang tanda bahawa anda sedang mengalaminya? Jom ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut!

Apa itu tekanan seksual?

Menurut Nicole Prause yang merupakan ahli neurosains dan psikofisiologi dari Amerika, tekanan seksual adalah satu fenomena sosial yang berlaku apabila 2 individu berbeza jantina berinteraksi dan salah seorang atau kedua-dua mereka tertarik secara seksual, namun cuba untuk elak daripada melakukan hubungan seksual

Fenomena ini akan terjadi kepada 2 individu berbeza jantina yang tidak mempunyai hubungan cinta sesama sendiri. Kebiasaannya, ia akan terjadi kepada rakan sekerja di pejabat atau dalam kalangan kawan-kawan sendiri. Oleh itu, sila berhati-hati, ya?

Selain itu, tekanan sosial juga boleh terjadi kepada 2 individu yang pernah menjalinkan hubungan intim dan masih menyimpan perasaan terhadap satu sama lain, namun tidak mahu melakukannya lagi kerana khuatir terhadap situasi sosial mereka. 

Seorang individu yang normal pasti pernah mengalaminya. Anda juga begitu, bukan? Jika ya, usah khuatir. Ini kerana ia adalah satu perasaan yang normal selagi anda tidak mengambilnya terlalu serius. Persoalannya, bagaimana untuk tahu jika kita tertarik terhadap seseorang secara seksual?

Tanda anda mengalami tekanan seksual

Dalam erti kata yang lain, tekanan seksual adalah satu perasaan ingin melakukan hubungan seks yang dipendam tanpa merealisasikannya ekoran terhalang dek situasi kehidupan anda. Buat anda yang belum tahu, berikut merupakan tanda-tanda anda mengalami tekanan seksual terhadap seseorang:

#1. Eye contact yang sukar dihentikan

Pernah dengar istilah dari mata turun ke hati? Ya, ia mungkin benar. Namun, lebih bahayanya dari mata kita juga nafsu syahwat boleh terangsang! Disebabkan itu, jika anda sukar menahan diri daripada menatap dan merenung seseorang pada matanya dan berasa seperti dia adalah orang yang sangat sempurna untuk anda, ia mungkin tanda anda tertarik kepadanya secara seksual.

#2. Sentuhan yang mengghairahkan

Sentuhan pada tangan, paha atau mana-mana bahagian tubuh badan pasti akan membuat kita berasa sesuatu, bukan? Namun, individu yang tertarik kepada anda secara seksual pasti akan melakukan sentuhan yang boleh mendatangkan keghairahan. Kita sendiri boleh menilai sama ada sentuhan itu adalah biasa atau luar biasa bergantung kepada keinginan seseorang itu.

#3. Bersiap lebih lama semata-mata untuk berjumpa si dia

Jika anda biasa bersiap selama 30 minit atau 1 jam atau lebih, masa yang diambil mungkin akan lebih lama jika anda tertarik kepada seseorang itu secara seksual. Dari rambut ke hujung kaki, semuanya akan dirancang dan dipakai dengan harapan si dia akan tertarik kembali kepada anda. Tidak salah untuk nampak hebat, cuma jangan terlalu mencuba ya? Takut anda akan nampak seperti terlalu terdesak pula nanti.

tekanan seksual

#4. Minda tidak dapat fokus dan hanya memikirkan satu perkara

Perkara tersebut adalah seks. Setiap kali anda bertentang mata dengan si dia, tiada apa dalam fikiran anda melainkan perlakuan nakal yang akan bermain-main di minda anda. Ya, ia mungkin normal untuk berfantasi. Namun, ia juga adalah perkara yang kurang nilai moral dari sudut sahsiah dan rohani. Anda juga pasti tidak mahu orang lain membayangkan yang bukan-bukan terhadap diri anda, bukan?

 #5. Ton suara berubah

Ia adalah perkara saintifik. Tekanan seksual akan mengubah ton suara anda. Tidak percaya? Cuba anda dengar sendiri suara anda apabila bercakap dengan si dia yang menarik perhatian anda secara seksual. Jika hendak dibandingkan, ia pasti kedengaran lebih nakal, seksi dan kata-kata yang digunakan juga pasti berbaur sedikit lucah. Fakta menarik, perkara ini juga akan  berlaku di luar kawalan anda sendiri! 

#6. Kesunyian yang menenangkan

Apabila berbicara dengan seseorang, sudah pasti kita perlu bercakap dan berbual untuk mengelakkan suasana jadi bosan, bukan? Namun, ia agak berbeza apabila berada di samping individu yang anda tertarik secara seksual. Bersamanya, anda akan berasa sangat tenang dan selesa tanpa perlu bercakap walau satu patah perkataan pun. Ini kerana dalam fikiran anda sedang terbayang pelbagai fantasi aneh yang berkaitan tentang seks sahaja.

#7. Perasaan yang aneh apabila berduaan

Jika berada di khalayak ramai, mungkin tekanan seksual ini kurang menonjol. Namun, cuba anda ingat kembali di saat anda berada berduaan bersama si dia di dalam satu bilik tanpa orang lain. Sudah pasti anda akan berasa sesuatu yang aneh bukan? Bak kata Shah Rukh Khan dalam cerita hindustan lakonannya, “kuch kuch hota hai”. Jika ya, ia tanda anda tertarik kepadanya secara seksual.

Negatif atau positif?

Menurut Dr. Prause lagi, tekanan seksual boleh jadi positif dan negatif, bergantung kepada kesannya. 

Dari sudut positifnya, ia akan meningkatkan libido anda. Perasaan terpendam anda ini sudah pasti akan membuat anda tidak bosan terhadap pasangan anda dan tidak sabar untuk menunggu apakah yang akan terjadi pada hari-hari akan mendatang.

Dari sudut negatifnya, ia akan menjejaskan emosi anda. Perasaan yang terpendam terhadap seseorang akan membuat anda mudah berasa marah, sedih, malu atau stres kerana anda mungkin tidak mempu merealisasikan apa yang selalu anda bayangkan dalam fikiran.

Konklusi

Kesimpulannya, tekanan seksual ini mungkin normal. Namun, ia adalah perkara yang kurang nilai moral sama ada dari segi sahsiah atau rohani. Di dalam agama Islam juga, adalah berdosa jika kita asyik membayangkan perkara tidak senonoh tentang diri seseorang.

Hakikatnya, tidak baik untuk kita sebagai seorang manusia mempunyai niat yang tersembunyi terhadap orang lain. Tidak kira terhadap rakan sekerja, kawan-kawan atau sesiapa sahaja, kita tidak seharusnya membayangkan yang bukan-bukan tentang mereka.

Jika anda tergolong dalam kategori individu yang sering berasa “kuch kuch hota hai” terhadap seseorang, segera muhasabah diri anda. Lebih baik, sila dapatkan bantuan nasihat dan rawatan daripada doktor.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 18, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 31, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut