Kebahagiaan: Apa Yang Menghalang Anda?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bahagia adalah perkara yang sangat subjektif. Sama seperti bagaimana kita menilai kecantikan, kebahagiaan juga adalah perkara yang berbeza bagi setiap individu. Terdapat individu yang merasa bahagia dengan mudah hanya apabila dapat melihat insan yang disayangi dan dicintai; gembira dan sentiasa di sisi. Ada individu yang merasa bahagia apabila segala impian dan matlamat, berjaya dicapai. Jadi adakah anda bahagia? Jika tidak, apa yang menghalang anda dari menikmati dan merasai kebahagian? Ikuti artikel berikut untuk mengenal pasti punca yang mungkin menyebabkan menghalang anda dari merasa bahagia.

  1. Perbandingan

Anda akan sukar untuk merasa bahagia jika anda sering melihat diri anda dengan cara yang negatif. Ia memburukkan lagi keadaan jika anda membandingkan diri anda dengan individu lain. Melihat individu di sekeliling anda bahagia dan berkeinginan untuk merasa perkara yang sama, adalah tidak salah. Tetapi ia menjadi satu kesalahan apabila anda mula membuat perbandingan dengan mereka. Kerana ia mungkin akan menimbulkan rasa tidak senang hati, dengki apabila melihat individu lain bahagia.

  1. Bertegas

Mengkritik diri sendiri demi kebaikan dan ke arah yang positif tidak salah. Tetapi andai anda mengkritik diri anda yang akhirnya membuatkan anda merasa tidak gembira – anda hanya akan menjatuhkan semangat anda sendiri. Tidak salah bertegas dan mendisplinkan diri sendiri demi untuk memastikan anda berjaya mencapai matlamat tetapi ia haruslah mengikut cara yang bersesuai dan dapat mendorong diri anda ke arah yang positif.

  1. Negatif

Terlalu bersikap negatif. Anda melihat segalanya dalam situasi yang negatif. Segala kritikan atau pendapat individu lain, anda mengganggapnya sebagai sesuatu yang bersifat negatif. Bagaimana untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik, lebih bahagia, andai anda memandang pesimis terhadap kehidupan? Jatuh bangun dalam kehidupan adalah biasa, ia akan dilalui oleh setiap individu. Namun yang penting adalah bagaimana anda bangun kembali dan menilai segala yang berlaku sebagai sesuatu yang positif.

  1. Zon selesa

Anda takut untuk ‘berlari’ mendapatkan apa yang anda inginkan bagi anda, apa yang anda miliki sekarang, sudah mencukupi. Sedangkan jauh disudut hati, anda menginginkan sesuatu yang lebih. Anda mungkin merasa ‘selamat’ dengan apa yang ada di sekeliling anda, namun, adalah anda bahagia? Berikan keberanian pada diri untuk keluar dari zon anda dan mengecapi apa yang anda inginkan. Mungkin anda tidak dapat mencapai sepenuhnya matlamat anda, tetapi percayalah, anda akan lebih bahagia dan puas setelah mencuba berbanding terus kekal berada di zon anda.

  1. Merungut

Anda sentiasa merungut tentang segalanya; pekerjaan, kehidupan, perhubungan dan lain-lain. Segalanya pada pandangan anda adalah tidak memuaskan hati anda. Namun, rungutan tidak mendatangkan apa-apa erti jika ianya hanya rungutan tanpa usaha untuk mengubahnya. Ada masanya merungut boleh menghilangkan tekanan, tetapi ia boleh menjadi sesuatu yang menjengkel jika rungutan itu berulang-ulang.

  1. Membebani fikiran

Risau tentang pandangan individu di sekeliling adalah tidak salah. Tetapi, seandainya anda menjadi terlalu risau atau obses dengan pandangan individu sekeliling anda, ia hanya akan membuatkan anda tidak dapat maju ke hadapan. Jika pandangan itu adalah sesuatu yang positif, terima dan ambil ia sebagai satu dorongan, jika sebaliknya, ‘tutup’ telinga dan teruskan melangkah ke hadapan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan

Tarikh Reviu: Mac 6, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan