Buli Siber Punca Kematian Dalam Diam

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dunia hiburan dikejutkan dengan kematian selebriti K-pop ternama yang merupakan seorang pelakon dan juga penyanyi terkenal, Sulli. Bintang terkenal yang berusia 25 tahun ini dikatakan membunuh diri kerana akibat daripada tekanan buli siber yang diterimanya.

Mangsa buli siber

Sepanjang pembabitan awal Sulli atau nama sebenarnya Choi Ji-ri, dalam dunia hiburan, beliau yang merupakan salah seorang ahli kumpulan f(x) dikatakan mula menjadi mangsa buli siber dengan pelbagai komen-komen negatif yang diberikan terhadap dirinya. 

Beliau terus menjadi perhatian dan kontroversi apabila membuat pengakuan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan artis hip-hop Choiza yang merupakan seniornya. Sedangkan dalam dunia hiburan K-Pop, perkara seperti ini amat dikawal ketat dan tidak sebebas industri hiburan negara lain. 

Tekanan mental 

Pada tahun 2014, beliau membuat pengumuman untuk berhenti daripada industri muzik dengan menyatakan bahawa dirinya mengalami penat secara mental dan fizikal selepas menderita akibat komen-komen jahat, negatif dan khabar angin yang tidak benar mengenai dirinya di atas talian. 

Selain merupakan individu aktif di media sosial, beliau juga merupakan pengacara rancangan siri televisyen, Reply Night, sebuah program yang memberi peluang selebriti untuk membincangkan mengenai pengalaman mereka berdepan dengan gangguan dan buli dalam talian. 

Dalam rakaman salah satu episod program tersebut, Sulli ada memberikan kenyataan berkaitan bahawa setiap manusia mempunyai sisi lain di dalam diri mereka. Dalam kenyataannya, Sulli berkata, “Saya berasakan semua orang memiliki sisi yang berbeza di dalam diri mereka. Diri saya yang sebenar memiliki sisi gelap dan manakala diri Sulli yang merupakan seorang selebriti sentiasa menunjukkan sisi ceria.”

Tambah beliau lagi, “Saya bertanyakan banyak nasihat dari orang-orang sekeliling saya adakah saya sebenarnya menipu orang lain. Semua orang mempunyai aspek atau sisi gelap masing-masing, cuma mereka bertindak seolah-olah mereka tidak mempunyai sisi tersebut. Kita hidup dalam kesamaran.”

Gerakan Sulli Act

Walaupun selebriti ini sudah tiada lagi, namun masih terdapat warganet yang bercakap buruk mengenai mendiang. Keadaan ini sekali gus menjadi perhatian banyak pihak di Korea Selatan yang menganggap isu buli siber sudah di luar kawalan. Gerakan Sulli Act dicadangkan badan undang-undang di sana untuk membanteras perkara sama menimpa selebriti lain.

Menurut seorang lagi penyanyi di Korea Selatan, Kwon Ji-an atau lebih dikenali sebagai Solbi, berkata,”Kematian Sulli bukan sahaja pencetus kepada isu buli siber ini tetapi diharap agar beliau diingati sebagai aktivis hak wanita yang bersemangat bebas dan jujur mengenai apa yang dirasainya.”

Solbi juga pernah menjadi mangsa serangan siber pada tahun 2009, ketika menjadi anggota kumpulan Typhoon dan keadaan ini mencetuskan masalah kemurungan, fobia sosial dan gangguan panik. 

Bukan kes buli siber yang pertama

Sebenarnya, jenayah buli ini bukanlah perkara baru. Ia boleh berlaku kepada sesiapa, sama ada individu dikenali umum, pemimpin negara, selebriti sehinggalah kepada individu biasa. Kesan buli siber ini adalah jauh lebih bahaya berbanding kesan buli secara fizikal, walaupun kedua-duanya adalah dua perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. 

Kecanggihan teknologi sepatutnya digunakan untuk membawa manfaat dan bukannya sebagai medan untuk menunjukkan kehebatan diri dengan menjadi keyboard warrior,  tempat untuk serangan peribadi.

Berpada-pada

Buli siber ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan artis K-pop seperti mendiang Jonghyun yang merupakan anggota kumpulan SHINee, mendiang Jeong Da Bin seorang aktres dari Korea Selatan, tetapi ia turut berlaku dalam kalangan artis Hollywood seperti Demi Lovato, Selena Gomez, Zayn Malik, Ed Sheeran dan Emma Watson.

Malahan individu biasa seperti kita juga tidak dapat lari untuk menerima sebarang kecaman berunsur buli ini. Buli atas talian ini cenderung menyebabkan wujudnya masalah kemurungan, gangguan emosi sehingga boleh menyebabkan seseorang individu mencabut nyawanya sendiri. Jadi beringat-ingatlah sewaktu memberikan sebarang komen dalam talian, kerana anda tidak tahu apa yang dirasai oleh individu yang menerima komen daripada anda. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel ini:

Tarikh Reviu: Oktober 21, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut