Bersediakah Anda Untuk Dikritik?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dikritik, sama ada dari individu yang lebih berpengalaman di tempat kerja atau dari individu yang tidak dikenali di internet, ia pasti menyakitkan. Banyak perkara yang boleh menjadi bahan kritikan, dari cara kerja, cara penulisan, keperibadian sehinggalah ke aspek penampilan. Kebiasaannya kritikan akan menyebabkan emosi berubah dan merendahkan keyakinan diri.

Mempertahankan diri adalah tindak balas pertama seseorang individu apabila berdepan kritikan. Ia merupakan satu sifat manusia untuk takut dihakimi. Sama ada kritikan negatif atau kritikan membina, ia tetap memberikan kita rasa seperti dikutuk.

Sememang anda tidak dapat mengawal apa yang akan individu lain fikirkan tentang diri anda, tetapi anda boleh memilih bagaimana cara untuk menerima dan bertindak balas terhadap teguran yang diberikan.

Bertenang

Jarakkan diri anda dari situasi yang tidak menyenangkan itu. Hindari keinginan untuk mempertahankan diri dan jangan memberi sebarang tindak balas sehingga anda berada dalam keadaan dan fikiran yang rasional. Ini dapat mengelakkan anda dari mengeluarkan atau berkata sesuatu yang mungkin akan anda sesali kemudian nanti.

Jika kritikan diberikan melalui emel atau komen di rangkaian sosial, tunggu sekurang-kurangnya sejam sebelum memberi sebarang jawapan balas. Seandainya kritikan diberikan secara berdepan, ambil nafas sedalamnya dan dengan sopan beritahu mereka bahawa anda menghargai kritikan tersebut, tetapi anda perlukan masa untuk memikirkannya. Utarakan topik  atau kritikan ini apabila anda sudah memikirkan dengan sewajarnya

Ulangi kritikan

Seperti yang disaran di atas, anda tidak digalakkan untuk memberi sebarang jawapan balas segera. Tetapi, selain menunjukkan penghargaan anda, pastikan anda tidak tersalah faham tentang apa yang dimaksudkan.

Untuk melakukan ini, ulangi kritikan yang diberikan kepada individu yang mengkritik anda, dan tanya kepadanya adakah pemahaman anda sama seperti apa yang dimaksudkannya. Kekalkan hubungan mata, nada mesra dan ulangi kritikan dengan olahan ayat anda sendiri.

Jika kritikan itu tidak masuk akal, pengkritik mungkin menyedarinya dan mengundurkan diri. Namun, berwaspada agar tidak memperbesarkan apa yang dikatakannya.

Sebagai contoh, jika pengkritik menyatakan strategi jualan anda tidak berjaya, elakkan bertanya, “Adakah anda mengatakan strategi jualan saya merugikan syarikat”?, ini adalah contoh memperbesarkan keadaan. Ia menampakkan seperti anda sedang mempertahankan diri dan tidak rasional.

Untuk berjaya dalam apa juga tugas kerja, anda perlu dianggap sebagai seorang yang munasabah dan benar-benar mengambil berat tentang kerja anda.

Individu yang memberikan kritikan negatif cuba mahu melihat cara anda mempertahankan diri, membuatkan anda marah dan hillang kewarasan fikiran. Sesetengah darinya mungkin sengaja ingin melukakan anda, merendahkan diri anda, menerima kritikan negatif dan merasa kecewa.

Fokus kepada kritikan yang dapat membangunkan anda ke dunia realiti dan kenyataan, bukan sekadar menganggu emosi dan fikiran.

Pertimbangan nilai

Kritikan boleh dibahagikan kepada 2 kategori: membina (constructive) atau merosakkan (destructive). Kritikan yang membina adalah positif dan bermanfaat kerana ia bertujuan untuk membantu anda menjadi lebih baik. Manakala kritikan merosakkan, seperti namanya, akan cuba menghancurkan anda.

Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, sukar untuk membezakan yang mana satu kritikan membina dan yang mana satu kritikan merosakkan. Ada masanya kritikan membina disampaikan dengan nada yang lantang dan kritikan yang merosakkan disampaikan dengan nada yang lembut.

Apa yang perlu anda lakukan adalah dengan mengabaikan nada kritikan tetapi melihat adakah anda dapat belajar dan menerima manfaat dari kritikan yang diberikan, atau ia sekadar luahan perkataan yang pedas dan menyakitkan hati?

Siapa yang mengkritik anda juga penting. Adakah pengkritik itu sekadar troll dari internet? Atau adakah dia seorang guru dan rakan yang baik? Adakah individu tersebut seorang yang pendapatnya mempunyai nilai untuk dipertimbangkan?

Apabila anda telah mengimbangi dan memutuskan sama ada kritikan itu membina atau sebaliknya, ia akan menjadi satu langkah yang mudah kerana anda boleh membuang dan menolak kritikan yang merosakkan dan meneruskan hidup anda seperti biasa.

Sedia terima kesilapan diri

Menerima kesilapan dan kesalahan diri pastinya satu cabaran yang besar. Kritikan membina mempunyai manfaat yang dapat anda pelajari untuk menjadikan diri anda lebih baik. Menjadi lebih yakin dalam kepakaran anda adalah sesuatu yang baik.

Tetapi, ada masanya anda perlu mengakui kelemahan anda. Tidak kira betapa hebatnya anda dalam sesuatu perkara, pastinya akan ada yang lebih hebat dari anda. Dan percayalah, anda boleh menjadi lebih baik.

Jika anda tidak memahami tentang kepentingan dikritik, anda sedang menafikan hak anda untuk belajar dan memperbaiki diri dan dalam masa yang menghormati pendapat individu lain.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 9, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019